Friday, 9 May 2014

Menerima Nikmat

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Bismillah.

Nikmat adalah sesuatu kurniaan Allah yang menggembirakan hati kita. Nikmat hadir dalam bermacam-macam bentuk dan rupa. 

Fitrah manusia tatkala mendapat nikmat pastinya kita akan berasa gembira. Apatah lagi jika nikmat itu sememangnya telah lama dinantikan oleh kita.

Antara nikmat yang disebut-sebut oleh sebahagian besar daripada kita adalah nikmat jodoh, anak, naik pangkat, duit (bonus, pusaka dan lain-lain) dan banyak lagi sebenarnya.

Bagaimana reaksi kita apabila mendapat nikmat tersebut? Pastinya gembira dan bahagia bukan kepalang. Mulut pula tidak jemu-jemu mengungkapkan syukur ke hadrat Allah atas segala limpahan rahmat dan nikmatNya kepada kita.

Itulah sepatutnya yang kita sebagai hambaNya lakukan. Rendah diri dan memuji Allah kerana tidak mungkin nikmat itu kita miliki jika Dia tidak mengizinkannya.

Namun, ramai yang terlupa bahawa bersama-sama nikmat itu ada ujian yang menanti. Ada musibah yang bakal menguji.

Inilah pesanan yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Mahmud agar kita sentiasa berwaspada. Di sebalik nikmat yang kita dapat, besertanya adalah musibah yang tersirat.

Jangan hanya dibuai keseronokan mendapat nikmat, tetapi berdoa dan pohonlah kepada Allah agar dipelihara daripada musibah yang hadir bersama nikmat itu.

Kita bersyukur kerana Allah memberi kita nikmat tersebut. Cuma kita minta jika ada musibah yang terlindung di sebalik nikmat itu, kita kembalikan semula musibah itu kepada Allah.

Misalnya kita dapat naik pangkat. Kita seronok dan bersyukur kerana Allah berikan rezeki  kepada kita. Tetapi jangan pula kita lupa untuk berdoa.

"Ya Allah, aku bersyukur atas nikmat naik pangkat yang Engkau berikan kepada aku. Aku sedar Ya Allah, bersama-sama nikmat ini ada musibahnya (ujian) untuk aku. 

Lindungilah aku daripada apa jua musibah yang Kau tetapkan bersama pangkat ini. Peliharalah aku daripada hasad dengki dan fitnah daripada orang lain.

Aku mahu nikmat ini, ya Allah. Aku tidak mahu musibah ini, ya Allah. Maka aku kembalikan musibah ini kepadaMu, ya Allah."

Orang tua dulu selalu berpesan, jangan seronok sangat nanti kita menangis. Inilah yang mereka cuba sampaikan kepada kita. Bukan menghalang kita berseronok tetapi sebagai peringatan untuk kita kerana dalam bekas gula selalunya ada semut yang menghurung.

Wallahu'alam.





No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015