Tuesday, 6 May 2014

Ibu Tunggal Berjiwa Kental

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Besar jiwanya menadah setiap ujian yang tiba. Ketika ditebak rasa hatinya, ini jawapan yang beliau berikan, "Alhamdulillah, dulu Allah tentukan saya menjadi ibu tunggal. Alhamdulillah, sekarang Allah pilih saya menjadi usahawan."

Pemilik H'aNNisa Bakes, Puan Roshannisa Che Kassim melepaskan jawatannya di sebuah firma perkapalan terkemuka setelah hampir 20 tahun berkhidmat untuk terjun dalam dunia bakeri. 

Selepas beliau berpisah dengan suami, beliau nekad untuk menceburkan diri dalam dunia keusahawanan demi masa depan anak-anaknya. Tambahan pula, anak sulung beliau adalah orang kelainan upaya (OKU).

Faktor utama yang mendorong ibu kepada tiga orang cahaya mata ini berniaga adalah rentetan kerjayanya sebelum ini yang membataskan masanya bersama anak-anak. Melalui perniagaan, beliau dapat memberikan lebih tumpuan dalam menguruskan mereka.

Permohonan Ditolak

Tiga kali permohonannya untuk mendapatkan bantuan sebagai ibu tunggal daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JIKM) ditolak. Namun, tidak sedikit pun mencarikkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan.

Bagi beliau, kegagalan itu membuka pintu rezeki yang lebih besar yang Allah kurniakan buat mereka sekeluarga melalui jalan perniagaan. 

Benarlah seperti mana kata Dato' Roslan. Apabila Allah pandang kita, dia berikan ujiian. Apabila kita REDHA pada pukulan pertama, itulah lapisan terbaik sebagai pelapik jiwa.

Ilmu

Tidak hanya bersandarkan kepada takdir, beliau berusaha menimba ilmu dengan menghadiri kursus berkaitan bakeri untuk menambah ilmu pengetahuan. Di samping menggilap bakat dan kemahiran yang tersimpan.


Modal Kecil 


Dua tahun yang lalu, beliau memulakan bisnes dengan hanya bermodalkan RM 20 di tangan. Kini beliau memiliki mesin pengadun dan pembakar roti yang lebih besar.  Pendapatan bersih yang diperoleh setiap bulan juga semakin meningkat.

Beliau juga bertindak menjadi pembekal bihun jenama Sufi untuk menambahkan lagi sumber pendapatan mereka sekeluarga.

Pasaran

Produk keluarannya telah pun mendapat tempat di beberapa buah sekolah di kawasan sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang. Jangan terkejut kerana produk berasaskan roti keluarannya telah pun sampai ke Johor sekarang.

Selain menjual produk roti, beliau turut menerima tempahan lasagna berintikan ayam atau daging daripada masyarakat setempat. Harga lasagna ini bergantung kepada saiz bekas dan dijual pada harga RM 15 dan RM 35.

Sumbangan Kepada Masyarakat

Kesibukan dengan tugas dan tanggungjawabnya terhadap keluarga dan perniagaan, sedikit pun tidak menghalang beliau untuk berbakti kepada komuniti setempat.

Impian beliau agar suatu hari nanti beliau dapat membina dunia keusahawan khusus untuk golongan ibu tunggal. 

Di samping melibatkan diri dengan kerja-kerja sosial, beliau juga diamanahkan untuk mengetahui bahagian pembangunan wanita di tempat tinggalnya.

Beliau turut mengambil inisiatif sendiri dengan menganjurkan Bengkel Demonstrasi Baking Roti pada bulan Februari yang lalu.

Harapan

Beliau mengharapkan agar lasagna keluaran H'aNNiSa Bakes dapat merebut tempat dalam pasaran halal melalui penyertaan kali pertama syarikatnya dalam Persidangan dan Pameran Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) yang lalu.


Kesimpulan

Semoga bisnes Puan Roshannisa akan terus berkembang maju dan akan dapat membantu lebih ramai ibu tunggal untuk berjaya seperti beliau.

Saya juga berharap agar kita semua dapat belajar  dan mengambil manfaat daripada kisah ini.



No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015