Showing posts with label kisah sahabat nabi. Show all posts
Showing posts with label kisah sahabat nabi. Show all posts

Thursday, 2 April 2015

Kisah Zaid bin Harithah

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Selepas berkahwin, Khadijah binti Khuwailid telah menghadiahkan seorang budak kepada Rasulullah s.a.w. sebagai pembantu kepada baginda. 

Budak yang dimaksudkan ialah Zaid bin Harithah. Seorang budak berkulit hitam tetapi mempunyai hati yang sangat putih di samping pandai dan ikhlas bekerja.

Zaid berasal dari Yaman dan bapanya seorang yang kaya. Ketika beliau dan bapanya dalam perjalanan membawa barang dagangan, mereka telah dirompak di tengah padang pasir. Bapanya telah dijadikan hamba dan dijual di tempat lain. Sementara Zaid pula dijual di Makkah.

Setelah beberapa lama, Harithah iaitu bapa Zaid berjaya menebus dirinya. Lalu, dia mula mencari anaknya. Puas mencari di merata tempat, bapanya telah diberitahu bahawa mereka pernah melihat seorang budak seperti Zaid di Makkah.

Harithah kemudiannya ke Makkah untuk mencari anaknya. Sesampainya di sana, dia segera menemui Khadijah binti Khuwailid kerana dia mendapat tahu bahawa Khadijah telah membeli anaknya. Apabila ditanya kepada Khadijah tentang anaknya, Khadijah mengakui akan hal tersebut. Namun, Zaid telah pun dihadiahkan kepada suaminya.

Lantas Harithah pergi menemui Rasulullah s.a.w,.

Kata Harithah, "Aku datang dari jauh bersama rombongan dengan membawa harta yang cukup banyak. Aku datang sebab nak beli balik anak aku yang bernama Zaid. Aku tahu dia ada dengan kamu kerana Khadijah hadiahkan kepada kamu. Aku nak beli balik hamba itu. Beritahu saja berapa harganya. Aku orang kaya. Aku sayang anak aku. Aku nak beli."

Nabi s.a.w terus menjawab, "Betul, Zaid sekarang berada denganku. Tapi aku sayang dekat dia."

Kata Harithah, "Aku bapa dia. Aku lebih sayang kepada dia. Ini bapa saudaranya, juga sayang kepadanya."

"Baik. Aku nak tawarkan kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada yang kamu tawarkan kepada aku."

"Apa tawaran kamu?" tanya Harithah.

"Tawaran aku, kamu tak payah beli. Harta kamu, kamu ambil balik. Usah bayar walau sedikit pun. Sekarang ni, Zaid sedang berada di pasar. Kamu kenal dia kan? Kamu pergi sendiri tanya kepada dia di pasar dan bawa dia kepada aku. Lepas itu, kamu tanya dia. Kamu bapa kandungnya, itu bapa saudaranya. Aku ni bapa angkatnya. Siapa yang dia nak pilih?"

Apabila Zaid berada di situ. Maka Zaid pun ditanya, "Kamu kenal ini siapa?"

Jawab Zaid, "Aku kenal. Ini bapa aku. Ini bapa saudara aku (dan yang lain-lain)"

Zaid kenal semua yang datang.

Nabi kata kepada Zaid, "Mereka datang hendak membebaskan kamu. Nak mengambil kamu untuk balik ke Yaman dan tinggal bersama-sama mereka. Mereka tawarkan harta yang banyak kepada aku seolah-olah jika aku benarkan kamu pulang, aku akan jadi orang kaya yang penuh dengan harta benda. Tapi Zahid, kamu buatlah pilihan. Kamu sudah cukup dewasa untuk memilih."

"Kalau kamu pilih mereka, silakan. Pulanglah kamu ke Yaman. Jika kamu pilih aku, terserahlah kepada kamu."

Zaid tidak berfikir panjang. Beliau terus bersuara, "Kalau aku pilih mereka, aku hanya dapat dua sahaja. Aku dapat bapa, aku dapat bapa saudara. Tapi kalau aku pilih kamu, aku dapat tiga. Kamulah bapaku. Kamulah bapa saudaraku dan lebih daripada itu, kamulah kekasih aku. Rasulullah, aku pilih kamu."

Menangis Harithah mendengar pengakuan anaknya itu.






Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015