Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google
Meskipun ini merupakan kali kedua saya mendengar kisah yang sama, namun hati tetap dijentik pilu. Air mata bergenang di kelopak mata. Bertahan agar manik jernih ini tidak gugur.
Seorang ibu tidak pernah rasa ada rasa malu demi anaknya. Ustaz Kazim menyambung bicaranya dengan kisah benar yang dilalui bersama ibunya.
Ketika itu beliau, ibu serta adik perempuannya yang masih kecil dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya. Mereka berdiri di tepi jalan menahan bas 'lompat' (henti-henti)
Bas penuh sesak, maka mereka terpaksa berdiri bersama-sama penumpang yang lain. Tidak ada seorang pun yang sudi memberikan tempat duduk kepada ibunya yang terpaksa berpaut pada tiang sedangkan sebelah tangan lagi mendukung adiknya.
Adik perempuannya yang baru berusia beberapa bulan menangis. Puas dipujuk tetapi tangisannya tidak juga reda. Akhirnya, ibunya perlahan-lahan duduk di atas lantai bas dan menyusukan adiknya di celah-celah kaki penumpang lain yang sedang berdiri.
Ustaz yang turut berdiri sambil menggalas beg besar hanya mampu memandang dengan linangan air mata. Sejak itu, ustaz berazam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya apabila beliau dewasa kelak beliau dapat memberikan kebahagian dan kesenangan kepada ibunya.
Beliau tidak mahu lagi melihat ibunya hidup susah. Cukuplah pengorbanan ibu untuk mereka selama ini. Alhamdulillah, doa dan tekad seorang anak yang berumur 9 tahun dimakbulkan oleh Allah.
Seorang ibu sanggup mengenepikan rasa malunya kerana kasih dan sayangnya pada anak-anak. Sayangilah mereka kerana di situ letaknya syurga buat kita. Doakanlah mereka kerana itulah hadiah yang paling bermakna untuk mereka. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment