Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google
Ketika saya masih bersekolah, ada satu artikel dalam akhbar yang saya masih ingat sampai ke hari ini yang bertajuk Datang Naik Tongkang, Pulang Naik Kapal Terbang. Bukan itu saja, malah rancangan Majalah 3 turut memaparkan kisah tersebut.
Apakah yang cuba disampaikan melalui artikel dan rancangan itu? Ceritanya tentang pendatang asing warga Indonesia yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki. Mereka datang ke Malaysia dengan menaiki tongkang tetapi apabila mereka kembali ke negara asal mereka, mereka sudah mampu untuk menaiki kapal terbang.
Zaman itu, belum ada kapal terbang tambang murah. Justeru, sesiapa yang
menaiki kapal terbang dilihat mempunyai status sosial yang baik dan
tinggi kerana kosnya yang agak tinggi.
Kalau kita melihat cara mereka bekerja, boleh dikatakan mereka bekerja bermati-matian. Mungkin kerana mereka sudah terbiasa hidup susah di kampung halaman mereka. Maka alah bisa, tegal biasa. Berhujan dan berpanas adalah perkara biasa bagi mereka yang rata-ratanya bekerja sebagai buruh kontrak di tanah air kita.
Setelah bertahun-tahun memerah keringat di bumi asing, akhirnya mereka kembali ke tempat asal mereka. Terlopong saya ketika itu ditunjukkan rumah yang mereka miliki di Indonesia. Mereka memiliki segala-galanya, rumah banglo, tanah sawah, kebun buah-buahan, binatang ternakan dan perniagaan.
Jerit perih mereka di sini memberikan pulangan yang cukup mewah buat mereka. Semua itu tidak datang sekelip mata. Banyak yang mereka korbankan itu sampai ke tahap itu.
Pengorbanan terbesar pastinya dengan meninggalkan kampung halaman dan keluarga yang jaraknya beribu batu. Kemudian apabila bekerja di sini terpaksa tinggal berhimpit-himpit di rumah kongsi dan makan pakai hanya sekadar perlu buat mereka.
Itu kisah buruh kontrak Indonesia. Lain pula halnya dengan warga Kemboja yang merupakan pelarian perang. Tetapi ada satu persamaan mereka iaitu mereka, mereka bersusah payah dan bertungkus-lumus untuk berjaya.
Apa yang saya perhatikan, orang Kemboja suka berniaga pakaian. Antara yang mereka lakukan untuk menyara kehidupan di Malaysia ketika mula-mula menjejakkan kaki ke sini adalah menjaja dari rumah ke rumah.
Mereka mengendong dan menjunjung sebongkah besar bungkusan berisi pakaian untuk dijaja ke kampung-kampung dan taman perumahan. Boleh anda bayangkan sebesar mana bungkusan kain itu? Dengan tubuh mereka yang kecil itu, tuan rumah terpaksa membantu mengangkat bungkusan kain itu untuk diletakkan di atas kepala mereka.
Kadang-kadang terhuyung-hayang tubuh mereka yang kecil itu untuk mengimbangi berat bungkusan tersebut. Hari ini, kedai-kedai kain milik mereka boleh didapati dengan mudah. Mereka sudah tidak menjaja dari rumah ke rumah.
Komuniti mereka cukup kuat dan utuh serta saling menyokong dan mendokong. Mereka tidak perlukan bantuan daripada masyarakat luar kerana mereka mampu menjaga kebajikan komuniti mereka di sini.
Bahkan, generasi kedua dan seterusnya sudah ada yang bergelar profesional dalam negara dengan biaya mereka sendiri. Tidak hairanlah apabila sebuah pasar di sempadan Pulau Pinang dan Perak dinamakan dengan nama Pasar Kemboja. Sampai begitu sekali kesungguhan mereka berniaga diiktiraf.
Masyarakat Aceh yang berada di Malaysia kini juga tidak kurang hebatnya. Boleh dikatakan bisnes kedai runcit dan warung makan dimonopoli oleh mereka. Rakyat tempatan juga senang berurusan dengan mereka. Lebih dari itu, pembekal turut menaruh kepercayaan kepada mereka.
Semua
ini adalah kisah-kisah jutawan senyap yang berjaya. Ada yang bermula
dengan berniaga, ada juga yang mengumpul modal dengan bekerja sebelum
berniaga.
Tumpanglah semangat dan tirulah kesungguhan mereka dalam berniaga. Semua orang layak untuk berjaya. Semua orang layak untuk berbisnes dan lakukanlah kerana Allah.
Nantikan kisah-kisah kejayaan warga asing yang lain dalam dunia perniagaan ini pada entri yang akan datang.
No comments:
Post a Comment