Tuesday, 22 April 2014

Menjemput Rezeki : Beri Kucing Makan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Bismillah.

Semasa berbual dengan seorang rakan, saya cuba mencungkil rahsia di sebalik kejayaan bapanya dalam dunia perniagaan. Dia terdiam mungkin cuba mengingat kembali.

Bapanya pernah mengalami zaman kejatuhan sebelum bangkit membina empayar perniagaannya seperti hari ini. Banyak halangan dan kepayahan yang terpaksa ditempuh sebelum bapanya berjaya.

Diuji dengan masalah rumah tangga yang berakhir dengan penceraian. Dalam masa yang sama bergelut dengan bisnes yang mulai merudum. Malah keadaan menjadi lebih sukar apabila ditipu rakan kongsinya sendiri.

Sebagai anak, dia melihat bapanya melalui kehidupan yang cukup sukar. Meskipun bapanya cuba menyembunyikan masalah yang dihadapi daripada pengetahuan orang lain. 

Satu persatu harta milik bapanya berpindah milik. Semuanya hilang sekelip mata. Hanya tinggal sehelai sepinggang. 

Macam-macam kerja yang dilakukan oleh bapanya untuk mendapatkan sesuap nasi. Ketika itu hidup ibarat kais pagi, makan pagi. Kais petang, makan petang.


Sehinggalah suatu hari, ketika sedang duduk di kaki lima untuk makan, tiba-tiba datang seekor kucing yang entah dari mana datangnya. Bapanya yang baru ingin menyuap nasi ke mulut, berhenti berbuat demikian. 

Kasihan melihat kucing itu, bapanya memberikan sedikit nasi bersama ikan goreng kepada kucing tersebut. Walaupun bapanya sendiri sudah beberapa hari hanya mengalas perut dengan air paip.

Bapanya ralit memerhatikan kucing itu makan. Terselit di hatinya, kucing ini juga lapar seperti aku. Kemudian datang pula kucing yang lain. Sekali lagi, bapanya memberikan kucing itu pula makan. 


Kucing-kucing yang datang meminta makanan kepada bapanya semakin banyak. Semuanya diberikan makanan, tidak ada yang dibiarkan oleh bapanya. Akhirnya, nasi di tangan bapanya telah pun habis tanpa sempat dijamah oleh bapanya walaupun sesuap. Bermakna bapanya perlu berlapar untuk tempoh sehari lagi.

Keesokkan harinya, perkara yang sama berulang. Malah kucing yang sama meminta makanan daripada bapanya walaupun bapanya makan di tempat yang berbeza dan jauh berbanding sehari sebelumnya. Peristiwa yang sama berlaku setiap hari selama seminggu.

Lalu, kucing ini dibawa pulang ke rumah kawan tempat bapanya menumpang tinggal. Kucing ini dimanjakan dan dijaga dengan baik. Bahkan kucing ini akan diberi makan terlebih dahulu sebelum bapanya sendiri makan.

Empat lima hari kemudian, seorang rakan bapanya mengajak untuk bertemu dan dalam pertemuan itu, bapanya ditawarkan untuk menguruskan sebuah projek. Di situlah titik tolak kebangkitan semula bapanya dalam dunia perniagaan.

Bertali arus projek yang masuk sehingga bapanya tidak menang tangan. Dengan bantuan dan pertolongan rakannya itu, (dan pastinya dengan izin Allah) nama bapanya berjaya dikeluarkan daripada senarai muflis.

Hari ke hari, rezeki bapanya makin bertambah seiring dengan usaha dan doa tanpa jemu. 

Putaran roda, jika tiga tahun dahulu bapanya terpaksa bergelut dengan saat sukar, maka kesusahan itu telah digantikan dengan kesenangan. 

Perbualan saya dengan anaknya hanyalah sekadar cerita tentang kucing-kucing yang dibela oleh bapanya telah membuka ruang untuk saya belajar pengalaman jatuh bangun seorang jutawan.

Bapanya bukan seorang penggemar kucing namun kini memelihara puluhan ekor kucing di rumah. Bagi bapanya, selain ibu yang mendoakannya, rezeki yang melimpah ini adalah berkat memberi makan kucing.

Malah, sekarang ini bapanya menggajikan dua orang pekerja untuk menguruskan segala keperluan kucing-kucingnya. 

Kucing seperti juga haiwan-haiwan lain tidak mampu membalas jasa manusia. Namun berbuat baik kepada haiwan seperti kucing membuka jalan untuk menjemput rezeki dengan cara yang lebih mudah.

Wallahu'alam.



No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015