Wednesday, 30 April 2014

3 Tips Pengurusan Masa Bagi WAHM

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Cabaran utama yang terpaksa dihadapi oleh para suri yang memilih untuk bekerja dari rumah adalah pengurusan masa. Tidak mudah untuk bekerja dari rumah apatah lagi dengan anak-anak yang masih kecil.

Kita boleh merancang namun ada masanya perancangan kita tidak berjalan seperti yang kita harapkan. Bayangkan, ketika kita baru mengadap laptop atau gajet untuk menulis atau memuat naik gambar di media sosial (facebook, instagram, twitter dan blog), anak-anak mula menangis.

Ada yang merengek inginkan perhatian, ada yang bergaduh kerana si abang memukul adik, ada pula yang berebut mainan, ada yang mengajak kita bermain bersama, ada yang ingin menyusu/makan, buang air dan pelbagai lagi. 

Semuanya menuntut perhatian kita. Belum lagi mengambil kira jika mereka tidak sihat, letih, mengantuk dan 1001 kerenah yang mahu atau tidak kita kena tanganinya dengan bijaksana. Lumrah anak-anak, begitulah. Bila mereka besar kelak, itulah yang akan kita rindukan.

Justeru, penting untuk kita cuba menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran. Apa saja boleh berlaku dan di luar kawalan kita. Bagi yang berpengalaman bekerja di pejabat, situasi ini sangat berbeza.

Jika di pejabat, masa dan tumpuan kita terhadap kerja-kerja yang diberikan. Anak-anak kita tinggalkan di rumah pengasuh atau pusat jagaan. Di rumah, setiap hari inilah yang akan kita lalui. Bergelut dengan tugasan di rumah dan anak-anak serta bisnes yang kita jalankan.

Oleh itu, penting untuk kita kembali kepada matlamat asal kita mengapa kita membuat keputusan untuk bekerja di rumah? 

Sebab utama kita memilih untuk bekerja di rumah supaya kita mempunyai banyak masa bersama keluarga dan melihat anak-anak membesar di depan mata.

Pada masa yang sama, kita ingin berjaya dalam bisnes (juga dengan kerjaya kita). Ini akan menguatkan tekad dan azam kita agar tidak mudah berputus asa. 

3 tips pengurusan masa yang boleh dipraktikkan oleh para suri yang bekerja dari rumah ketika anak-anak masih lagi kecil.

Buat jadual. Senaraikan tugasan yang perlu disempurnakan untuk hari tersebut. Ini dapat membantu kita mengatur masa dengan sebaik-baiknya.
Jadi para suri dapat membahagikan masa antara bisnes dan keluarga dengan betul dan tidak ada yang terabai. Contohnya, waktu anak tidur atau ke sekolah dapat digunakan untuk bisnes/kerja (yang dijalankan dari rumah).

Namun, perlu diingat bahawa masa ini sering berubah-ubah mengikut situasi dan keadaan pada hari tersebut (keperluan dan kemahuan anak-anak yang tidak menentu dan mengira masa).

Perancangan waktu sangat mustahak bagi yang bekerja dari rumah. Tanpa perancangan, waktu akan terbuang begitu saja dan menyebabkan kita gagal menyeimbangkan antara bisnes dan keluarga.

Kenal pasti waktu paling produktif. Bekerja dari rumah bukan bermaksud kita bekerja sama seperti kita bekerja makan gaji. Waktu bekerja adalah tidak tetap.

Oleh itu, dengan mengetahui waktu yang benar-benar kita dapat memberikan tumpuan terhadap kerja-kerja berkaitan bisnes dan sebagainya. Jadi, kita hanya perlu memperuntukan sejumlah masa (mungkin 15-20 minit) untuk menyelesaikan tugas tersebut.

Misalnya, kita suka bekerja pada jam 5 pagi kerana pada waktu itu sunyi, tenaga banyak dan badan segar. Maka, bangun lebih awal untuk solat malam, kemudian mulalah membaca untuk mencari idea dan menulis (blog, facebook dan lain-lain).

Segalanya sudah makin mudah sekarang ini. Kita hanya perlu siapkan tugasan seperti entri dan status di media sosial, selepas itu pilih masa itu paparan (post) itu muncul pada masa yang kita kehendaki.

Bolehlah kita buat kerja yang lain pula. Malah, kita boleh rancang segalanya untuk tempoh sebulan akan datang. Hebatkan?

Tetapi sekali lagi, masa ini juga tidak rigid kerana mungkin anak-anak terjaga dan sebagainya. Pandai-pandailah kita sesuaikan masa yang ada.

Beri ganjaran kepada diri sendiri. Tanggungjawab yang dipikul sebagai suri cukup berat. Menguruskan sendiri anak-anak tanpa, ditambah pula dengan kerja-kerja rumah yang tidak pernah berhenti sejak celik mata hingga kita tidur cukup memenatkan.

Rutin ini akan berlangsung setiap hari. Semakin bertambah apabila kita bekerja di rumah.

Berhenti sekejap dan renungkan semua yang telah berjaya kita capai dan sudahkan setiap hari. Pasti kita tidak menyangka bahawa kita telah berjaya melakukannya dengan segala macam cabaran yang telah kita harungi.

Kita layak mendapat ganjaran atas usaha keras kita itu. Rehat dan kumpul semula kekuatan kita walaupun dengan hanya bersantai-santai di rumah. Walau apa pun, jangan lupa untuk merehat dan memanjakan diri seketika.

Ingatan untuk kita semua, hampir mustahil untuk kita melakukan semua perkara tanpa sedikit pun perancangan, penyusunan kerja mengikut keutamaan. Ini akan menjadikan kerja-kerja kita lebih mudah diurus.





No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015