Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google
Assalamualaikum.
Simpan dahulu sebelum berbelanja bukan sebaliknya. Setiap kali menerima pendapatan, asingkan bahagian yang ingin disimpan. Selebihnya digunakan untuk perbelanjaan dan sebagainya.
Kadar yang disarankan untuk disimpan adalah sebanyak 10 peratus. Namun, jumlah yang ingin disimpan itu terpulang kepada individu tersebut. Tidak ada gunanya kita menyimpan sejumlah wang yang banyak setiap bulan, tetapi di akhirnya kita mengeluarkan wang tersebut untuk dibelanjakan.
Simpanan bukanlah untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya. Malah simpanan juga harus dibahagikan kepada beberapa bahagian sesuai dengan keperluan dan matlamat sebenar. Contohnya simpanan untuk kecemasan, haji dan sebagainya.
Selain daripada keperluan, manusia juga mempunyai nafsu yang berkehendakkan terhadap sesuatu. Fitrah ini perlu diurus dengan sebaiknya. Ramai yang tewas dan dibelenggu masalah kewangan ekoran terlalu menurut kehendak.
Antara langkah bijak dalam memenuhi kemahuan dan kehendak ini adalah dengan menggunakan kaedah tabungan khusus. Kaedah ini dapat melatih
diri berbelanja mengikut kemampuan dan mengelakkan berhutang.
Apabila timbul keinginan untuk
membeli sesuatu, satu tabungan khusus perlu dibuat. Peruntukan daripada
pendapatan yang diperoleh akan digunakan untuk tabungan khusus ini. Pada masa
yang sama tidak menjejaskan tabungan tetap yang telah dibuat setiap bulan.
Dalam merealisasikan tabungan
khususnya ini beberapa perkara kemahuan lain perlu dikurangkan atau dikorbankan
untuk sementara waktu. Misalnya perbelanjaan untuk makan di luar atau
perbelanjaan untuk hobi dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, bajet untuk
memenuhi kehendak yang baru ini dapat diadakan.
Kaedah tabungan yang lebih
praktikal untuk dibuat adalah seperti yang dicadangkan oleh Tuan Shamsuddin
Kadir kepada peserta kursus kewangannya iaitu menyimpan wang kertas RM 5 yang
dimiliki. Setiap helai wang kertas hijau ini (RM 5) perlu disimpan dan
dimasukkan ke dalam tabung khas.
Wang ini tidak boleh dibelanjakan
sama sekali. Jika ingin berbelanja, gunalah wang kertas yang lain kerana si
hijau ini dikhususkan untuk simpanan. Jika kaedah ini diamalkan secara konsisten
dan disiplin yang tinggi, sudah tentu hasilnya tidak akan mengecewakan.
Kempen si hijau ini boleh
dilanjutkan ke satu tahap lagi iaitu kempen si oren. Si oren merujuk kepada
wang kertas RM 20. Sesuai dengan angkanya yang lebih besar, maka cabarannya
agak hebat untuk menyimpan si oren ini. Tidak mudah untuk mengekang kehendak
dan kemahuan berbelanja dengan nilai tersebut di tangan.
Mungkin ada yang tertanya-tanya
mengapa si hijau dan si oren yang dipilih? Sebenarnya, kedua-dua wang kertas
ini agak jarang diperoleh. Disebabkan jarang diperoleh, maka lebih mudah untuk
disimpan jika dibandingkan dengan wang kertas RM 1 dan RM 10.
Saya sendiri pernah mempratikkan
amalan menabung dengan cara ini. Ini berpunca daripada kesukaran untuk melatih
diri saya menabung. Oleh kerana saya masih belajar dan wang tidak banyak, jadi
saya memilih untuk menabung semua wang syiling yang saya miliki.
Apatah lagi, dompet saya ketika
itu tidak ada tempat untuk meletakkan duit syiling. Kekurangan itu menyebabkan
saya tidak selesa untuk membawa duit syiling. Hikmahnya, semua duit syiling yang
saya dapat, terus saya masukkan ke dalam tabung.
Hasilnya memang sangat mengujakan.
Setiap penghujung semester, jumlah yang terkumpul mencecah ratusan ringgit.
Cabaran terbesar saya apabila duit-duit syiling itu ditukarkan kepada duit
kertas, yang mendorong saya untuk berbelanja secara berlebihan.
Kebanyakan kawan-kawan di kolej
yang tahu saya mengumpulkan duit syiling akan datang beramai-ramai ke bilik
saya untuk menukar duit kertas mereka
dengan duit syiling saya. Mereka terpaksa menukar duit kertas dengan
duit syiling kerana ingin menggunakan mesin basuh di kolej. Sedangkan helaian wang kertas sering menggoda
saya untuk berbelanja dan inilah kelemahan saya ketika itu.
Bagi yang ingin memulakan kempen
si hijau ini, saya doakan anda berjaya. Mudah-mudahan anda dapat hidup dengan
tenang tanpa hutang.
ِ
No comments:
Post a Comment