Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Mashaf masih lagi di tangan.
Sedang pandangan saya tebarkan ke segenap ruang binaan. Jiwa kecil saya sesak
dengan himpunan perasaan. Segala rasa
berpadu. Selepas 13 tahun saya kembali ke sini.
Saat pandangan saya jatuh ke lantai,
saya terasa ada seseorang sedang mencuri pandang ke arah saya. Pandangan kami bertembung. Wajah putih bersih
berhidung mancung itu sedang tersenyum.
Kami berbalas pandang dan
bertukar senyuman. Gerak hati saya mengatakan ada sesuatu yang diinginkan
olehnya. Saat dia menggamit ke arah saya, saya terus bangkit dan duduk
betul-betul di sebelahnya.
Kami langsung tidak bercakap. Dia
mengeluarkan mashaf lalu dibacanya. Saya pula tanpa disuruh-suruh mendengar dan
membetulkan bacaannya. Sebaik saja bacaan ditamatkan, dia renung wajah saya dengan
senyuman tidak lekang dari bibirnya.
Saya ingin beredar tapi dia
menahan. Saya melihat dia mencari sesuatu di dalam beg sandangnya. Akhirnya
tiga biji gula-gula dihadiahkan kepada saya.
Bersungguh-sungguh dia ingin saya menerimanya. Tidak mahu
menghampakannya, saya terima pemberian ikhlas itu dengan senang hati.
Saya cuba memberitahunya bahawa
pertolongan saya tidak seberapa dan saya tidaklah pandai sangat sebenarnya,
namun terhalang dek masalah bahasa. Usaha saya untuk bercakap dalam bahasa
Inggeris dan Arab nyata sia-sia kerana dia langsung tidak memahaminya.
Sayangnya saya tidak tahu berbahasa Turki.
Saya tepuk perlahan tangannya
sebagai isyarat saya berbesar hati dapat membantunya dan tidak semena-mena dia
memeluk saya dengan erat. Apalah sangat bantuan yang saya berikan kepadanya
ketika itu.
Kami berpisah usai solat Isyak.
Pengalaman singkat yang kerja buatnya dilorongkan oleh Allah. Allah yang
mengilhamkan kepada saya untuk menolong hambaNya yang memerlukan bantuan. Allah
jua yang memilih saya untuk berada di situ. Jika Allah tidak izinkan, saya
tidak dapat berbuat apa-apa.
Secebis kenangan yang indah.
Terima kasih Allah. Alhamdulillah. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment