Monday, 17 March 2014

Petua Lembutkan Cucur



Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Alhamdulillah, dua tiga hari ni hujan dah mula turun, setelah kita melalui keadaan panas yang agak panjang. Kemudian disusuli pula dengan jerebu. Belum lagi dikira jerebu iman kita.

Cuaca yang redup dan sejuk macam ni cepat membuatkan kita berasa lapar. Sedap kalau dapat makan cucur panas-panas bersama secawan teh atau kopi panas.

Bagi sesetengah orang, buat cucur/jemput-jemput ni sangat mudah. Tapi ada juga yang merungut, bila dah sejuk cucur jadi keras. Saya bukanlah pandai sangat memasak dan petua yang saya dapat ini berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya.

Semasa membancuh tepung, masukkan air secukupnya sebelum digaul. Adunan hanya perlu digaul sekali sahaja dan berhenti apabila air dan tepung sudah sebati. Abaikan kalau masih terdapat ketulan tepung di dalam adunan tersebut.

Apa kesannya kalau kita kacau berlebihan? Hasilnya nanti, cucur akan menjadi keras dan liat. Ini kerana gluten akan terhasil apabila kita menggaul tepung secara berlebihan. Gluten adalah jaringan serat yang terbentuk apabila air dan tepung diuli (seperti dalam pembuatan roti). Sudah tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku.

Oleh itu, tepung perlu digaul pada kadar yang sangat minimum. Semakin banyak jaringan serat yang akan terhasil apabila semakin banyak kita menggaul. Sudah pasti kita tidak mahu perkara ini berlaku.

Selain itu, ada juga yang memasukkan telur ayam ke dalam bancuhan. Sesetengah  petua menyarankan agar telur dipukul sehingga kembang sebelum dicampurkan ke dalam bancuhan.

Banyak lagi petua-petua lain yang saya temui antaranya penggunaan air panas yang mendidih (menggantikan penggunaan air biasa), yis, baking powder, soda bikarbonat, perahan limau, minyak masak, water roux dan sebagainya.

Pada saya, setiap elemen yang dimasukkan ke dalam masakan mempunyai rasa yang berbeza. Kalau tidak banyak pun perbezaannya, sedikit pasti ada. Setiap orang punya cara tersendiri dalam memasak. Hormati perbezaan itu. Allah jadikan manusia berbeza hatta dalam soal citarasa. 

Cuma satu pesanan saya, janganlah dimasukkan semua elemen serentak. Takut lain pula jadinya. Haha.





No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015