Sunday, 29 December 2013

Allah Sebaik-baik Penjaga

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Wan mulai resah. Tengahari nanti dia perlu ke masjid untuk solat Jumaat. Nak diharapkan pembantu rumah untuk menjaga anaknya, pembantu rumah sudah pun cabut lari. Isteri pula tidak dibenarkan bercuti. Hendak dibawa bersama ke masjid, anaknya Ihsan tidak tahu hendak duduk diam. Ke mana saja perginya ketika orang mula bersolat nanti. Buntu.

Penat berfikir Wan tertidur bersama-sama dengan anaknya. Sayup-sayup terdengar suara emak berbisik di telinganya.

“Bangunlah Wan. Pergilah solat Jumaat. Jangan risau, jangan bimbang. Anakmu itu Allah yang jaga. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pemelihara.” ujar emaknya.

Wan terjaga. Ihsan masih lagi tidur di sisinya. Wan bingkas bangun menuju ke bilik air untuk berwuduk. Jiwanya terasa tenang. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada Allah.

Enjin dihidupkan lalu keretanya laju menuju ke masjid. Fikirannya dikosongkan daripada memikirkan perihal anaknya di rumah. Tidak ada lagi gundah gulana seperti sebelumnya.

Usai menunaikan solat Jumaat, dia bergegas pulang ke rumah. Berdebar-debar pula rasanya untuk pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah dia meluru ke arah pintu. Sebaik pintu dibuka, dia melihat anaknya masih lagi diulit lena. Hanya kalimah syukur yang mampu dilafazkan. Alhamdulillah.

Yakinlah bahawa bantuan Allah sangat dekat. Jika kita berusaha mencari keredhaan Allah nescaya Allah akan membuka jalan keluar bagi setiap masalah. Subhanallah.





Saturday, 28 December 2013

Berhenti Merokok

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Puluhan tahun menjadi perokok bukanlah suatu perkara yang mudah untuk berhenti. Tok ayah saya mula merokok sejak zaman mudanya. Sebagai seorang ayah, dia tidak mahu anaknya menjadi perokok sepert dirinya.

Saya tidak tahu bagaimana tok ayah saya berhenti merokok. Seingat saya, adik saya yang dalam lingkungan  lima ke enam tahun sentiasa menujukan pantun untuknya. Adik saya menghafal pantun dua kerat yang tertera di dinding sebuah klinik kesihatan.  Jadi setiap kali adik saya melihat tok ayah saya memegang rokok, adik saya akan mula berpantun.

Ayam berkokok di atas batang,
Hisap rokok penyakit datang.

Pantun ini menjadi siulan adik saya. Tok ayah saya sekadar senyum mendengar pantun tersebut. Hari demi hari, tok ayah saya mula mengurangkan bilangan batang rokok yang dihisapnya setiap hari. Lama juga masa yang diambil untuk dia mengorak langkahnya yang pertama. 

Dia membuat perubahan sedikit demi sedikit. Jika dahulu dia menghisap dua tiga batang rokok setiap hari, kemudian dia menghadkan kepada satu batang rokok sahaja. Dia cuba menyesuaikan diri dengan situasi itu. Tidak boleh lebih daripada sebatang. Tok ayah saya berusaha mendisiplinkan dirinya. Kelakar juga melihat dirinya yang terpaksa 'berjimat' dengan sebatang rokok untuk hari tersebut.

Berbulan-bulan lamanya tok ayah mengguna pakai cara tersebut. Tidak memilih untuk berhenti secara mengejut. Dia konsisten dan fokus terhadap apa yang ingin dicapai. Setelah dapat membiasakan dengan situasi itu, yang saya kira telah pun mencapai sasaran yang ditetapkan oleh dirinya sendiri. Dia mengatur strategi seterusnya.

Kali ini, matlamatnya adalah sebatang rokok untuk dua hari, setelah itu dipanjangkan kepada tiga, empat, lima dan seterusnya. Semua perubahan ini tidak berlaku sekelip mata. 

Kemuncaknya, dia meninggalkan terus kebiasaanya menghisap rokok yang telah pun sebati dalam dirinya sejak sekian lama. Keputusan berhenti merokok dibuat tanpa desakan sesiapa. Dia juga tidak pernah menyuarakan hasratnya berbuat demikian.

Dalam diam dia bergelut melawan ketagihannya. Paling ketara dalam usahanya menangani ketagihan tersebut, dia menghabiskan berpuluh-puluh biji gula-gula dalam sehari. Berminggu-minggu lamanya hal ini berlanjutan. Alhamdulillah, pada akhirnya dia berjaya. Hidup bebas tanpa rokok.


Thursday, 26 December 2013

Tekun Berusaha Menjemput Rezeki

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Sebagai seorang Islam saya turut berbangga dengan kejayaan dan kemajuan yang dikecapi olehnya. Bukan mudah untuk bersaing dalam perniagaan yang didominasi oleh  bukan Islam. Pada peringkat awal pembukaan farmasinya saya agak pesimis.

Masakan tidak, di tempat yang sama terdapat beberapa buah farmasi yang lain. Ada juga farmasi di situ yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu bersaing dan mengalami kerugian. Sedih pula rasanya melihat situasi tersebut.

Berkat kesungguhan pemiliknya, hari ini dia menyemai hasilnya. Seorang yang sangat merendah diri sehingga ada kebanyakan pelanggan yang langsung tidak mengecam bahawa dia adalah pemiliknya. Pernah ada seorang pelanggan bertanya, “Orang duk sebut Najwa, Najwa. Yang mana satu Najwa?”

Seorang pelanggan lain pula menyampuk, “Tu yang kat depan tu la Najwa.” Najwa, pemilik farmasi itu hanya ketawa.

Kejayaannya hari ini tidak datang bergolek. Banyak pengorbanan yang telah dilakukan dan banyak juga cabaran yang terpaksa ditempuhinya. Kedudukan farmasinya bertentangan dengan stesen bas sudah tentu memudahkan orang ramai berkunjung ke premisnya. Kekangan terbesar adalah tempat letak kenderaan yang terhad. Silap parking, kita boleh disaman hatta pada hujung minggu sekali pun.

Namun itu bukan halangan untk pelanggan terus berkunjung ke farmasi tersebut. Premis satu pintu itu tidak pernah lengang. Sentiasa saja ada pelanggan yang keluar masuk. Lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Kepelbagaian produk antara tarikan utama pelanggan ke farmasinya. Sebutlah apa sahaja produk kesihatan semuanya ada dijual. Sesetengah barangan terpaksa disusun hingga mencecah siling. Tambahan pula harga yang ditawarkan lebih rendah jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Tidak hairanlah farmasi tersebut turut bertindak sebagai pembekal barangan kesihatan kepada beberapa farmasi yang lain.

Perniagaannya mampu pergi lebih jauh. Menjadi satu-satunya farmasi di kawasan itu yang beroperasi 365 hari setahun meskipun ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Tidak sukar untuk bertemu dengan pemiliknya kerana dia banyak menghabiskan masa di situ. Ini fasa dirinya berkuli. Akan tiba waktunya dia hanya perlu duduk goyang kaki.

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menambah nilai kepada perniagaannya sekarang. Salah satunya dengan menawarkan kad keahlian kepada para pelanggan di samping mendapatkan premis yang lebih besar supaya lebih banyak barangan dapat ditawarkan kepada para pelanggan sesuai dengan permintaan dan keperluan masyarakat setempat.

Wallahu’alam.

Astaghfirullah.



Bersedekah Dengan Makanan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Kisah ini terjadi di sebuah kampung yang terletak di Pulau Pinang. Seorang surirumah bernama Halimah mempunyai kisah menarik tentang sedekah. Di kampungnya, dia digelar Maksu Limah.

Maksu Limah mempunyai amalan sedekah yang amat unik. Dia seorang yang suka menjamu orang makan. Anaknya yang tinggal di asrama sejak berumur lima tahun tidak pernah pulang ke asrama dengan tangan kosong. Maksu Limah akan memasak dalam kuantiti yang banyak untuk dibawa balik oleh anaknya ke asrama dan dinikmati bersama teman-temannya.

Begitulah juga keadaannya apabila dia melawat anaknya di asrama. Perjalanan yang jauh dengan hanya menaiki motosikal bersama suaminya tidak pernah menjadi penghalang untuk dia meneruskan kebiasaannya itu. Raga motosikal suaminya sentiasa sarat dengan makanan.

Rutin Maksu Limah tidak terhenti sekadar itu. Setiap kali berkunjung ke rumah sesiapa sahaja pasti dibawanya buah tangan. Kebiasaannya jika tidak berkesempatan untuk memasak, Maksu Limah akan membeli di mana-mana gerai yang disinggahi.

Pernah suatu hari, ketika menziarahi seorang saudaranya di hospital Maksu Limah datang bersama anak dan menantunya dengan beg plastic penuh di tangan. Apabila ditanya mengapa dia membawa begitu banyak makanan, katanya untuk ahli keluarga pesakit yang menunggu di hospital.

Aturan hidup Allah untuk Maksu Limah sangat istimewa. Berkat amalannya yang suka bersedekah, Allah memberikan kehidupan yang bahagia dan tenang buat mereka sekeluarga. Pencapaian cemerlang anaknya sejak dari zaman pra-persekolahan sehingga sekarang cukup membanggakan. Hari ini anaknya menjadi sebutan di peringkat daerah dan negeri atas bakat yang dimiliki dan prestasi terbaiknya sebagai guru dan jurulatih bahasa.

Wallahu’alam.

Astaghfirullah.



Saturday, 23 November 2013

Guru Oh Guru

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Kamu biadap!

Terkedu saya mendengarnya. Apatah lagi kata-kata itu meluncur laju daripada mulut seorang guru. Kata-kata itu tidak ditujukan kepada saya, malah saya juga tidak berada di dalam situasi tersebut. Saya hanya orang luar yang secara tidak sengaja terdengar guru muda itu melabel pelajarnya dengan label yang negatif.




Saya yang tidak ada kena mengena pun terkesan, apatah lagi pelajar-pelajar lain yang turut berada di dalam kelas itu. Saya tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku walau apa pun alasannya.

Saya tidak dapat membayangkan perasaan pelajar tersebut. Walau seteruk mana pun perbuatan seseorang pelajar, guru tidak sewajarnya menuturkan ayat yang kasar dan keras seperti itu. Emosi pelajar tersebut pasti tercedera.

Ada solusi yang lebih baik dalam mengangani pelajar yang corot akhlaknya. Carilah kebaikan yang dikerjakan olehnya dan pujilah perbuatannya. Pendekatan yang jauh lebih mudah yang membawa kebaikan kepada semua pihak. Cuma kata kuncinya ialah sabar. Sabar itu indah tetapi bukan mudah.

Semua orang berpeluang untuk menjadi baik. Janganlah kita menjadi orang yang menutup terus pintu untuk mereka berubah ke arah kebaikan. Hakikatnya kekerasan tidak akan mengubah apa-apa dan hanya memburukkan lagi keadaan.


Wallahu’alam.



Thursday, 21 November 2013

Hendak Seribu Daya

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Ketika saya tiba di Pasar Kemboja itu, mereka sudah mahu pulang. Mereka menjinjit beg plastik berisi barangan yang dibeli secara borong di situ. Saya dapat mengagak  yang beg itu sarat berisi pakaian.

Ya, mereka memborong barangan itu untuk berjualan di kilang tempat mereka bekerja. Saban minggu mereka akan datang ke pasar itu dengan menaiki bas untuk mendapatkan stok. Saya difahamkan mereka akan mengedarkan barangan tersebut kepada rakan-rakan yang lain untuk dijual di tempat kerja masing-masing.

Siapa mereka ini? Mereka itu adalah pendatang asing yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki. Keberadaan mereka di sini nampaknya bukan sekadar makan gaji malah lebih daripada itu. Mereka nampak kilang tempat mereka bekerja itu bukan sekadar tempat mereka makan gaji semata-mata namun lebih daripada itu. Kilang itu adalah lubuk duit mereka.

Saya pasti sebelum mereka memutuskan untuk menjual barang-barang tersebut, mereka melakukan sedikit kajian. Mereka mengkaji berdasarkan pemerhatian terhadap gelagat dan perbualan pekerja di kilang tersebut khususnya dalam kalangan wanita yang gemar berbelanja dan pada masa yang sama suka bergaya. Mereka berniaga bersungguh-sungguh. Bahkan mereka mengambil tahu perkembangan fesyen di negara ini. Tidak hairanlah jika mereka menyebut perihal tudung Fareeda, Datuk Siti dan sebagainya. Rasanya orang seperti mereka berilah apa sahaja mereka mampu menjualnya.

Sayang sekali rakyat tempatan yang bekerja di kilang bertahun-tahun lamanya tidak menggunakan kesempatan yang ada meski pun ruang dan peluang sudah terbuka luas di depan mata. Kalau pun ada, mungkin hanya seorang dua. Kebanyakannya selesa dengan apa yang ada, cukuplah sekadar makan gaji. Tidak perlu bersusah payah memikirkan soal modal, stok dan sebagainya.

Apa pun pokok pangkalnya adalah diri sendiri. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Kejayaan itu milik sesiapa sahaja yang sanggup berusaha secara luar biasa. Insya-Allah.


Wallahua’alam.
Astaghfirullah.



Sunday, 17 November 2013

Maafkanlah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Saya terkenang kisah semasa saya berumur lima tahun. Ceritanya saya, tok ayah, tok dan seorang sepupu menghadiri satu majlis perkahwinan. Kami tiba agak lewat sekitar jam 4 petang kerana terdapat beberapa majlis yang perlu dihadiri sebelumnya.

Kami bertiga dijemput masuk ke dalam rumah sementara tok ayah saya menuju ke khemah yang disediakan untuk tetamu lelaki. Saya lihat masing-masing asyik berbual sesama sendiri. Kelibat tuan rumah tidak pula kelihatan sejak kami sampai.

Rumah itu bukanlah asing bagi saya dek kerana pertalian keluarga yang wujud antara kami maka saban tahun khususnya ketika lebaran rumah tersebut merupakan destinasi wajib yang akan kami kunjungi.

Tidak berapa lama kemudian saya lihat tuan rumah masuk. Agak janggal apabila dia pura-pura tidak kenal dan memalingkan wajahnya ke arah lain. Kemudian dia menjemput semua yang ada menjamu selera kecuali kami bertiga. Saya hanya mampu menelan air liur melihat orang lain menjamu selera. Saya masih ingat yang saya terkebil-kebil memandang wajah tok saya. Mujur kami sudah sering dipesankan dan diasuh agar jangan suka meminta-minta. Jika tidak sudah pasti saya memberontak apatah lagi saya memang betul-betul lapar. Saya cuma diam membungkam.

Sangka saya tuan rumah terlepas pandang tetapi apabila orang di hadapan, kanan, kiri dan belakang dipersilakan seorang demi seorang untuk makan saya tahu kehadiran kami tidak dialu-alukan. Kami bertiga membisu seribu bahasa. Tidak ada rungutan atau pun rengekan baik daripada saya mahu pun sepupu saya.  Ada juga tetamu yang bersimpati yang mengajak makan bersama. Namun tok saya menolak ajakan mereka dengan baik. 

Sepanjang perjalanan pulang saya asyik memikirkan tentang hal tersebut. Saya duduk di tepi tingkap kereta memandang rumah kenduri itu hingga hilang daripada pandangan mata. Saya tidak bertanya sepatah pun kepada tok saya apa yang berlaku sebenarnya.

Saya hairan, sebelum ini dia melayan kami sekeluarga dengan baik.  Kami bukanlah orang asing dengan mereka. Kami bersaudara. Pertalian keluarga yang dekat dan akrab. Mengapa kami dilayan sedemikian rupa? Apa salah kami? Mengapa dia pura-pura tidak mengenali kami sekeluarga? Setahu saya kami tidak mempunyai apa-apa masalah.

Saya terfikir satu perkara. Barangkali kerana tok dan tok ayah saya tidak setaraf dengan tetamu lain yang hadir. Tok ayah saya sekadar bekerja sebagai pemandu teksi dan kami datang juga dengan menaiki teksi. Tetamu yang hadir hebat-hebat belaka yang terdiri daripada orang-orang kenamaan dan golongan professional. Saya terdengar dia memanggil tetamu yang lain dengan gelaran terhormat.

Saya tidak pernah bercerita tentang kisah ini kepada sesiapa. Setiap kali saya tatap wajah itu, saya tidak akan lupa bagaimana dia melayan kami suatu masa dahulu. Sangat berbeza apabila saya berkunjung dengan kedua ibu bapa saya. Sejak dari insiden tersebut, saya kurang menyenanginya. 

Sehinggalah saya bertemu dengannya setelah sekian lama. Saya lihat dia terpaksa dipapah oleh anak-anaknya. Dia sudah tua. Kudratnya sudah tiada. Serta-merta kenangan itu menerpa di depan mata. Cumanya kali ini hati kecil saya bersuara. Maafkanlah dia. Itu cerita lama. Kisah masa mudahnya. Sudah pasti dia mengharapkan agar akhir kehidupannya bersih daripada segala dosa sama ada dengan Tuhan atau pun manusia. Kita juga banyak salah dan dosa. Tidakkah kita juga berharap akan hal yang sama? Allah terima taubat kita dan dibukakan hati hambaNya untuk memaafkan salah kita.


Wallahu’alam.
Astaghfirullah.




Thursday, 14 November 2013

Ikhlas

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Bismillah.
Dua hari lepas, Dr. Zulkifli Al-Bakri yang menjadi tetamu jemputan dalam rancangan 30 Minit Ustaz Don ketika menghuraikan tajuk wakaf, beliau turut mengaitkannya dengan kepentingan ikhlas. Beliau bercerita tentang kisah seorang raja pada zaman dahulu yang ingin membina sebuah masjid yang hebat di negaranya. Walau bagaimana pun, raja tersebut mahu agar pembinaan itu dibiayai dengan wang dan hartanya sahaja.

Justeru, tenaga kerja pun dikerahkan untuk membina masjid tersebut sebagai mana yang dikehendaki oleh raja. Setelah masjid itu siap dibina, baginda ingin mengabadikan namanya pada masjid tersebut. Namun pada malamnya, baginda bermimpi di mana dalam mimpinya baginda diarahkan agar menamakan masjid tersebut dengan nama seorang wanita.

Baginda tercari-cari siapakah pemilik nama tersebut. Lalu baginda memanggil pembesar-pembesarnya lalu ditanya kepada mereka jika ada di antara ahli keluarga mereka yang mempunyai nama yang sama seperti yang diilhamkan melalui mimpi kepada baginda. Malangnya, tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang mempunyai nama yang serupa.

Maka dihebahkan kepada rakyat jelata berkenaan hal itu dan ditawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat tentang pemilik nama tersebut. Diringkaskan cerita, akhirnya baginda dipertemukan dengan seorang wanita tua yang telah uzur dan miskin.

Baginda bertanya kepadanya adakah wanita tua ini ada memberikan apa-apa sumbangan dalam pembinaan masjid tersebut? Kata wanita tua ini tadi, dia tidak mempunyai apa-apa harta untuk disumbangkan. Tenaga juga telah tiada.

Cuma kebetulan pekerja yang terlibat dalam pembinaan masjid itu akan melalui jalan di hadapan rumahnya, jadi disediakan untuk mereka satu tempayan berisi air untuk mereka minum. Para pekerja ini akan singgah untuk minum setiap kali mereka dalam perjalanan pergi dan balik.

Lihatlah betapa Allah menerima amal baiknya dan memuliakannya. Walaupun jika dilihat dengan mata kasar, raja tersebutlah yang paling layak untuk menamakan masjid tersebut dengan namanya. Sementelah baginda yang menyumbang secara langsung dalam pembinaan  masjid itu,  namun Allah mengangkat seorang wanita yang terlalu jauh perkaitaannya dengan pembinaan rumah Allah itu.

Hanya Allah sahaja yang layak menilai keikhlasan hambaNya kerana ikhlas adalah suatu perkara yang tidak boleh diukur. Tidak juga boleh dilihat dengan mata kasar. Bahkan Imam Al-Ghazali sendiri menggambarkan ikhlas itu ibarat seekor semut hitam di atas batu hitam pada waktu malam yang kelam.

Wallahu’alam.

Astaghfirullah.

Berbaik Sangkalah

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Saya berjalan dari satu baris ke satu baris. Perlahan-lahan di celah-celah orang ramai mengharap agar ada yang kasihan lalu diberikan sedikit ruang. Saya sudah tidak peduli dengan jelingan tajam dan pandangan yang kurang menyenangkan tatkala saya memohon agar diberi sedikit laluan untuk saya terus melangkah ke hadapan.


Separuh ruang sudah saya terokai namun tidak ada yang bersimpati. Dalam hati saya memohon bersungguh-sungguh. Saya yakin Dia Maha Mendengar. Cuma ada beberapa baris yang masih berbaki. Mata saya melingas mencari kalau-kalau ada baki tempat duduk yang masih belum diisi. Saya menoleh kiri dan kanan mengharap ada ruang yang saya terlepas pandang.


Nafas dihela panjang. Bukan rezeki saya di sini. Tatkala saya pasrah dan menyerah, nun jauh di barisan hadapan sekali, ada seseorang sedang melambai-lambai dan mengisyaratkan agar saya duduk di sisinya. Saya lihat di situ padat. Masihkah ada ruang untuk saya? Getus hati kecil saya.


Saya turutkan langkah kaki. Apabila saya sampai kepadanya, dia mengalihkan posisi. Dia yang tadinya duduk bersila, mengecilkan duduknya supaya ada ruang untuk saya. Sungguh saya terharu. Tadi saya sangka, dia hanya pentingkan dirinya. Mana tidaknya, dengan keadaan sesak begitu, dia dengan senang hatinya menjamu selera. Isi begnya dikeluarkan satu persatu. Di hadapannya ada roti, yogurt dan kurma.


Apa pun saya bersyukur kerana Allah memakbulkan doa saya. Malah diberinya lebih baik daripada yang saya pinta. Tidak lama selepas itu saya terdengar bunyi bising. Dalam baris yang sama terdapat beberapa orang sedang bertengkar. Saya tidak tahu puncanya kerana bahasa itu cukup asing di telinga saya.


Saya lihat wanita di sebelah saya itu cuba meleraikan pertengkaran yang berlaku sambil tangannya ligat menyimpan makanan yang dikeluarkan tadi. Pertengkaran itu berakhir apabila wanita yang membantu saya tadi memanggil salah seorang yang terlibat untuk duduk di sisinya. Saya tahu ruang yang ada terlalu sempit jadi saya memilih untuk menginjak ke depan. Tambahan pula saiz badan saya yang paling kecil antara semua, tidak ada salahnya saya berkorban sedikit supaya masing-masing punya tempat untuk duduk.


Persepsi saya terhadap wanita di sebelah saya ini telah berubah 360 darjah. Meski tiada segaris senyuman pun di wajahnya, ternyata dia seorang yang baik hatinya. Wajahnya sangat bersahaja. Senyum tidak, masam pun tidak. Awalnya saya sangka dia rakyat tempatan dengan berdasarkan kepada makanan dan pakaiannya. Apatah lagi dia seorang yang tinggi lampai. Saya silap. Setelah mendengar perbualannya di telefon, tahulah saya dia berasal dari negara yang paling ramai penduduknya di dunia.


Dua jam kemudian, orang ramai mula beredar. Di barisan hadapan itu tinggal kami berdua. Dia melunjurkan kaki ke hadapan. Sambil mengurut-urut perlahan. Saya tersenyum melihat perlakuannya. Saya tidak faham sepenuhnya apa yang diucapkan, yang saya tahu malam sebelumnya dia mendaki gunung menjejak sejarah.


Dia akhirnya berlalu meninggalkan saya sendirian di situ. Ada dua pelajaran besar yang saya dapat saya kutip. Pertama, yakin dan harap semata-mata kepada Dia yang Maha Esa. Kedua, bersangka baiklah dengan manusia.


Wallahu’alam.

Astaghfirullah.


Saturday, 5 October 2013

Seorang Ibu


Teks     : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google


“Ada mata pandang, ada telinga dengar, ada mulut diam. Masa arwah pakcik ada dulu, dia pesan macam tu la. Hidup ni bukan lama mana dah pun. Jangan duk berkelahi dengan anak menantu. Duk elok-elok.”

Dia merenung jauh. Bagai ada sesuatu yang tersimpan jauh di sudut hati.

“Makcik pun tak kisah. Allah bagi masa lapang banyak, bukan duk kena buat kerja apa lagi dah. Anak-anak pun dah lepas semua. Kita pun umur pun dah hujung-hujung ni. Buat amal ibadat la. Dulu-dulu nak pulun, kalut dengan anak-anak kecik. Kita doa yang baik-baik sudahlah untuk depa.”




Muka itu tak beriak.

“Pada makcik, jadi la pagi-pagi anak mai jenguk. Petang balik kerja dia singgah. Makcik selesa duk rumah sendiri. Lagi pun senang nak pi mengaji ka, dengar orang baca kitab ka. Seronok boleh duk keluar tengok pokok-pokok, ayam, itik. Boleh duk keluar peluh, badan pun sihat. Kalau duk saja tak buat apa pun, rasa macam nak demam jugak.”

Saya biarkan saja makcik itu berkata-kata.

“Mintak maaf nak. Makcik cakap banyak.”

“Eh, tak pa makcik. Tak ganggu pun. Saya pun tak buat apa.” Saya senyum.

Sebelum pulang, saya katakan kepadanya.

“Makcik untung sebab ada anak yang soleh dan menantu yang solehah.” Saya hulurkan tangan bersalam dengan dia sebelum saya meminta diri untuk pulang.

Saya lihat matanya berkaca. Adakah saya tersalah kata? Ya Allah ampunkanlah saya andai kata-kata saya tadi menghiris hatinya.

Sebelum saya melangkah saya sempat menjeling menantunya yang duduk di hujung kerusi panjang itu. Sejak dari tadi dia di situ. Sibuk dengan telefon di tangan. Alangkah beruntungnya dia kerana mendapat ibu mertua yang baik hati.

Kepala saya sarat dengan persoalan. Niat saya cuma sekadar menyapa apabila makcik itu duduk di sebelah saya. Seingat saya, saya cuma bertanya dua perkara. Pertama, makcik tinggal di mana? Kedua, adakah makcik datang dengan anak? Tidak saya sangka, pertanyaan yang hanya sekadar untuk berbahasa basi bertukar menjadi sesi luahan hati. Barangkali perkataan ‘anak’ itu menjentik hati tuanya.

Terima kasih ya Allah kerana mendidik aku melalui makcik tua itu. Sungguh halus teguranmu ya Allah. 



Astaghfirullah.

Hati Teringat Mulut Menyebut


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Boleh dikatakan hari-hari saya menyebut tentang dirinya. Dia begitu, dia begini. Semuanya tentang dia. Jarang benar saya berkongsi rasa hati saya dengan sesiapa. Selalunya suka atau tidak saya akan diamkan sahaja. Tapi tidak dengan dia. Dia menceriakan hari-hari saya. 

Saya tak pernah sangka kami akan akrab sampai begitu. Awalnya saya rasa susah untuk menyesuaikan diri kerana komunikasi kami terbatas. Saya tidak faham apa yang dituturkan. Berulang kali bertanya dan dia terpaksa mengulang soalan yang sama, saya naik segan. Tidak mahu menyusahkan dia, saya mengiyakan semua persoalan yang dia ajukan meski saya tidak tahu apa yang ditanyakan.

Begitulah bulan-bulan awal perkenalan kami. Pagi, petang, siang dan malam bersama. Saya sudah mampu memahami apa yang dikatanya. Dalam sehari entah berapa kali dia akan memekik memanggil saya. Itulah yang menjadi halwa telinga saya. Di mata orang, kami berbeza. Sangat berbeza. Peringkat awal saya terkejut juga mendengar cakapnya yang kasar, namun lama-kelamaan telinga saya jadi lali.

Saya tahu tatkala saya memperkenalkan dirinya kepada kawan-kawan saya, mereka terperanjat. Mereka tidak menyangka itulah orangnya yang sentiasa meniti di bibir saya. Saya tidak peduli dan saya tidak kisah. Saya lebih kenal dia. Dengan dia, saya adalah saya. Saya menjadi diri saya yang sebenar. Saya dengan perangai gila-gila, degil, suka mengusik dan manja. Itu rumusan dia tentang saya.

Uniknya, kami berkongsi tarikh lahir yang sama meski tahun berbeza. Dia anak bongsu tapi dengan saya terlihat sisi seorang kakak. Dia sangat mengambil berat. Selalunya apa yang dibeli atau dibawa pulang, pasti ada bahagiannya untuk saya. Kami boleh bersembang hampir apa sahaja. Usik mengusik, gurau sendara, sakat menyakat yang pasti berakhir dengan ketawa. Tidak ada yang berbekas di hati.

Cerita ini cerita lama. Cukup sekadar mengenang insan yang pernah singgah dalam hidup saya. Saya berdoa ukhuwah tidak berakhir di dunia tapi bersambung hingga ke syurga. Amin. Amin.

Astaghfirullah.



Wednesday, 2 October 2013

Tomyam

Teks     : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google






“Tomyam ni lain kan?” Saya bertanya.

“Kenapa?” Dia tanya balik.

“Ye la, yang selalu kita beli tu cair. Yang ni pekat sikit. Rasa macam berlemak. Mesti letak santan tak pun susu cair.” Saya mula mengomen.

“Ntah…tak tahu.”

“Lor, tu ja?” Nampak sangat dia malas nak layan.

Lama baru dia balas.

“Masa Kak Biey kerja dengan kakak sulong kat kedai makan dia dulu, pernah tanya tukang masak dia. Ada banyak cara sebenarnya. Selalunya dia kata letak air kelapa la, sebab air kelapa ni ada rasa lemak manis sikit. Rasanya lebih ‘ringan’ kalau nak banding dengan santan.”

“Ooo... Patut pun.”

Kami sambung makan.

“Tapi kan Dila, kalau letak air kelapa banyak-banyak. Mesti harga pun mahal. Tak dapat la dia nak jual murah macam ni.”

“So?” Suspen pulak bunyinya. Saya menanti patah perkataan seterusnya.

“Boleh jugak ganti dengan air beras.”

“Air beras? Macam mana pulak tu?” Lurus saya bertanya.

“Air yang kita basuh beras tu. Jangan buang, simpan. Campur sekali dalam kuah tomyam. Tukang masak tu la cakap.”

Kemudian dia menambah.

“Air basuhan beras yang mula-mula sekali tu memang pekat.Yang kedua dan ketiga tu dah kurang sikit.”

Gulp!

Saya renung wajah di hadapan saya itu. 

"Dila! Sedap kan? Lemak berkrim disukai ramai." Katanya selamba sambil mengenyitkan mata.

“Kak Biey!!!”

Saya tengok dia dah terkekeh-kekeh ketawa.



Wednesday, 4 September 2013

Bila Bukan Muslim Bertanya

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Bismillah.

Tahun lepas semasa dalam penerbangan ke Kuala Lumpur, saya disapa oleh seorang wanita berbangsa Cina yang duduk bersebelahan saya di tepi tingkap. Ketika itu kapal terbang yang sepatutnya berlepas terpaksa ditunda selama hampir sejam gara-gara cuaca buruk di KLIA. Jadi dalam tempoh masa yang ada kami sempat bertukar-tukar cerita. Di situlah bermulanya cerita di mana saya berasa seperti baru terjaga daripada lena. Satu persatu persoalan tentang Islam diajukan kepada saya. Daripada ceritanya saya pasti pergaulan dengan rakan-rakan sekerjanya sedikit sebanyak memberi gambaran kepadanya tentang Islam.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa saya akan ditanya tentang Islam oleh seorang bukan Islam. Barulah saya sedar bukan mudah sebenarnya dalam keadaan saya sendiri tidak bersedia dan ceteknya ilmu yang saya ada. Perbualan kami nampak santai namun debar di hati hanya Allah yang Maha Mengetahui. Saya mengaku saya benar-benar takut. Takut saya gagal memberi pencerahan sebaiknya. Malah saya lebih takut andai jawapan saya menyebabkan dia lari jauh dari Islam. Dalam hati saya tidak putus-putus berdoa agar setiap patah bicara saya dipandu dengan ilham daripada Yang Esa. 

Perbualan kami terhenti apabila kapal terbang berlepas. Masing-masing memilih untuk berehat. Namun, saya gelisah. Minat yang ditunjukkan olehnya menyebabkan saya tidak senang duduk. Mata saya terpejam namun kepala masih ligat berfikir tentang perbincangan itu. Allah datangkannya kepada saya sebagai ujian buat saya. Semoga Alla mengurniakan hidayah kepadanya. Amin.


Thursday, 29 August 2013

Jutawan Muda - The Billionaire

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Carian Google

Assalamualaikum.

Beberapa hari yang lepas saya berkesempatan menonton filem 'The Billionaire'. Sebuah filem yang cukup menarik dan memberi inspirasi. Saya juga berjaya mengumpan emak dan adik saya untuk duduk bersama hingga ke penghujung cerita.


Cerita ini merupakan kisah benar seorang pemuda dari Thailand bernama Top Ittipat yang bergelar jutawan pada usia 19 tahun. Anak muda yang cekal dan tabah mengharungi kepayahan dalam merealisasikan hasratnya. Top berkorban segalanya hingga dia tidak punya apa-apa lagi untuk dirinya. Yang tinggal hanya sekeping hati yang kental.

Dia tidak mendapat kejayaan dengan mudah sebaliknya dia menempah kegagalan demi kegagalan tetapi Top tidak pernah berhenti belajar dan memperbaiki kesilapannya. Top juga hampir-hampir sahaja menyerah kalah dan berputus asa. Pada usia semuda itu, apa yang dilaluinya memang mengagumkan. Dia jatuh namun mampu bangkit semula setiap kali rebah. Sememangnya cerita ini wajar ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Saya juga terkesan dengan cerita ini. Malah saya juga teringin untuk mencuba rumpai laut goreng yang dihasilkan oleh Top. Pada saya bukan sekadar mengetahui rasanya tapi juga menghadam semangat dan kegigihannya.



Teringat ayat al-Quran yang bermaksud:

"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan"

(Surah Al-Insyirah: ayat  5 & 6)


Sungguh! Bukan senang nak senang tapi bukan juga susah nak susah.

Wallahualam.


Monday, 26 August 2013

Pengenalan

Bismillah.

Assalamualaikum.



Sukar sekali menulis tentang diri sendiri. Saya bermula dengan kisah ringkas diri ini. Saya Nor Adilah Ahmad Shokori, anak ketiga daripada lima bersaudara. Saya cuma insan biasa dan perjalanan hidup saya yang mungkin sama sahaja dengan hampir kebanyakan kita. Kisah saya hanya berputar di utara seawal pra-sekolah, peringkat rendah, menengah seterusnya matrikulasi dan universiti semuanya di sini. Begitulah aturan yang Dia tetapkan.

Tiada yang istimewanya tentang saya, tidak ada juga latar belakang luar biasa. Saya graduan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia, yang sebelumnya menekuni bidang perakaunan di peringkat Sarjana Muda di universiti yang sama. 

Kisah saya cuma kisah kecil yang telah ditetapkan jalur dan warnanya oleh Tuhan. Moga ada manfaat dalam kecilnya. 


Astaghfirullah.


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015