Teks
: Nor Adilah Ahmad Shokori
Saya
berjalan dari satu baris ke satu baris. Perlahan-lahan di celah-celah orang
ramai mengharap agar ada yang kasihan lalu diberikan sedikit ruang. Saya sudah
tidak peduli dengan jelingan tajam dan pandangan yang kurang menyenangkan
tatkala saya memohon agar diberi sedikit laluan untuk saya terus melangkah ke
hadapan.
Separuh
ruang sudah saya terokai namun tidak ada yang bersimpati. Dalam hati saya
memohon bersungguh-sungguh. Saya yakin Dia Maha Mendengar. Cuma ada beberapa
baris yang masih berbaki. Mata saya melingas mencari kalau-kalau ada baki
tempat duduk yang masih belum diisi. Saya menoleh kiri dan kanan mengharap ada
ruang yang saya terlepas pandang.
Nafas
dihela panjang. Bukan rezeki saya di sini. Tatkala saya pasrah dan menyerah,
nun jauh di barisan hadapan sekali, ada seseorang sedang melambai-lambai dan
mengisyaratkan agar saya duduk di sisinya. Saya lihat di situ padat. Masihkah
ada ruang untuk saya? Getus hati kecil saya.
Saya
turutkan langkah kaki. Apabila saya sampai kepadanya, dia mengalihkan posisi.
Dia yang tadinya duduk bersila, mengecilkan duduknya supaya ada ruang untuk
saya. Sungguh saya terharu. Tadi saya sangka, dia hanya pentingkan dirinya.
Mana tidaknya, dengan keadaan sesak begitu, dia dengan senang hatinya menjamu
selera. Isi begnya dikeluarkan satu persatu. Di hadapannya ada roti, yogurt dan
kurma.
Apa
pun saya bersyukur kerana Allah memakbulkan doa saya. Malah diberinya lebih
baik daripada yang saya pinta. Tidak lama selepas itu saya terdengar bunyi
bising. Dalam baris yang sama terdapat beberapa orang sedang bertengkar. Saya tidak
tahu puncanya kerana bahasa itu cukup asing di telinga saya.
Saya
lihat wanita di sebelah saya itu cuba meleraikan pertengkaran yang berlaku
sambil tangannya ligat menyimpan makanan yang dikeluarkan tadi. Pertengkaran itu
berakhir apabila wanita yang membantu saya tadi memanggil salah seorang yang terlibat
untuk duduk di sisinya. Saya tahu ruang yang ada terlalu sempit jadi saya
memilih untuk menginjak ke depan. Tambahan pula saiz badan saya yang paling
kecil antara semua, tidak ada salahnya saya berkorban sedikit supaya masing-masing
punya tempat untuk duduk.
Persepsi
saya terhadap wanita di sebelah saya ini telah berubah 360 darjah. Meski tiada
segaris senyuman pun di wajahnya, ternyata dia seorang yang baik hatinya. Wajahnya
sangat bersahaja. Senyum tidak, masam pun tidak. Awalnya saya sangka dia rakyat
tempatan dengan berdasarkan kepada makanan dan pakaiannya. Apatah lagi dia
seorang yang tinggi lampai. Saya silap. Setelah mendengar perbualannya di
telefon, tahulah saya dia berasal dari negara yang paling ramai penduduknya di
dunia.
Dua jam
kemudian, orang ramai mula beredar. Di barisan hadapan itu tinggal kami berdua.
Dia melunjurkan kaki ke hadapan. Sambil mengurut-urut perlahan. Saya tersenyum
melihat perlakuannya. Saya tidak faham sepenuhnya apa yang diucapkan, yang saya
tahu malam sebelumnya dia mendaki gunung menjejak sejarah.
Dia akhirnya
berlalu meninggalkan saya sendirian di situ. Ada dua pelajaran besar yang
saya dapat saya kutip. Pertama, yakin dan harap semata-mata kepada Dia yang Maha Esa.
Kedua, bersangka baiklah dengan manusia.
Wallahu’alam.
Astaghfirullah.
No comments:
Post a Comment