Sunday, 17 November 2013

Maafkanlah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Saya terkenang kisah semasa saya berumur lima tahun. Ceritanya saya, tok ayah, tok dan seorang sepupu menghadiri satu majlis perkahwinan. Kami tiba agak lewat sekitar jam 4 petang kerana terdapat beberapa majlis yang perlu dihadiri sebelumnya.

Kami bertiga dijemput masuk ke dalam rumah sementara tok ayah saya menuju ke khemah yang disediakan untuk tetamu lelaki. Saya lihat masing-masing asyik berbual sesama sendiri. Kelibat tuan rumah tidak pula kelihatan sejak kami sampai.

Rumah itu bukanlah asing bagi saya dek kerana pertalian keluarga yang wujud antara kami maka saban tahun khususnya ketika lebaran rumah tersebut merupakan destinasi wajib yang akan kami kunjungi.

Tidak berapa lama kemudian saya lihat tuan rumah masuk. Agak janggal apabila dia pura-pura tidak kenal dan memalingkan wajahnya ke arah lain. Kemudian dia menjemput semua yang ada menjamu selera kecuali kami bertiga. Saya hanya mampu menelan air liur melihat orang lain menjamu selera. Saya masih ingat yang saya terkebil-kebil memandang wajah tok saya. Mujur kami sudah sering dipesankan dan diasuh agar jangan suka meminta-minta. Jika tidak sudah pasti saya memberontak apatah lagi saya memang betul-betul lapar. Saya cuma diam membungkam.

Sangka saya tuan rumah terlepas pandang tetapi apabila orang di hadapan, kanan, kiri dan belakang dipersilakan seorang demi seorang untuk makan saya tahu kehadiran kami tidak dialu-alukan. Kami bertiga membisu seribu bahasa. Tidak ada rungutan atau pun rengekan baik daripada saya mahu pun sepupu saya.  Ada juga tetamu yang bersimpati yang mengajak makan bersama. Namun tok saya menolak ajakan mereka dengan baik. 

Sepanjang perjalanan pulang saya asyik memikirkan tentang hal tersebut. Saya duduk di tepi tingkap kereta memandang rumah kenduri itu hingga hilang daripada pandangan mata. Saya tidak bertanya sepatah pun kepada tok saya apa yang berlaku sebenarnya.

Saya hairan, sebelum ini dia melayan kami sekeluarga dengan baik.  Kami bukanlah orang asing dengan mereka. Kami bersaudara. Pertalian keluarga yang dekat dan akrab. Mengapa kami dilayan sedemikian rupa? Apa salah kami? Mengapa dia pura-pura tidak mengenali kami sekeluarga? Setahu saya kami tidak mempunyai apa-apa masalah.

Saya terfikir satu perkara. Barangkali kerana tok dan tok ayah saya tidak setaraf dengan tetamu lain yang hadir. Tok ayah saya sekadar bekerja sebagai pemandu teksi dan kami datang juga dengan menaiki teksi. Tetamu yang hadir hebat-hebat belaka yang terdiri daripada orang-orang kenamaan dan golongan professional. Saya terdengar dia memanggil tetamu yang lain dengan gelaran terhormat.

Saya tidak pernah bercerita tentang kisah ini kepada sesiapa. Setiap kali saya tatap wajah itu, saya tidak akan lupa bagaimana dia melayan kami suatu masa dahulu. Sangat berbeza apabila saya berkunjung dengan kedua ibu bapa saya. Sejak dari insiden tersebut, saya kurang menyenanginya. 

Sehinggalah saya bertemu dengannya setelah sekian lama. Saya lihat dia terpaksa dipapah oleh anak-anaknya. Dia sudah tua. Kudratnya sudah tiada. Serta-merta kenangan itu menerpa di depan mata. Cumanya kali ini hati kecil saya bersuara. Maafkanlah dia. Itu cerita lama. Kisah masa mudahnya. Sudah pasti dia mengharapkan agar akhir kehidupannya bersih daripada segala dosa sama ada dengan Tuhan atau pun manusia. Kita juga banyak salah dan dosa. Tidakkah kita juga berharap akan hal yang sama? Allah terima taubat kita dan dibukakan hati hambaNya untuk memaafkan salah kita.


Wallahu’alam.
Astaghfirullah.




1 comment:

  1. Salam..
    Sedih pula membaca kisah Adilah ni. Syabas kerana dpt memaafkan. Tp saya rasa sebab kanak2 mmg tidak mudah lupa. Saya juga punya kisah yg bukan cucu kegemaran bila hanya sepupu yg diberi gula2 sedangkan kami adik beradik terkebil-kebil saja memandang. Di tambah pula sepupu yang kedekut tidak mahu berkongsi walaupun berpuluh biji gula-gula dia dpt.

    ReplyDelete


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015