Teks:
Nor Adilah Ahmad Shokori
Boleh
dikatakan hari-hari saya menyebut tentang dirinya. Dia begitu, dia begini.
Semuanya tentang dia. Jarang benar saya berkongsi rasa hati saya dengan
sesiapa. Selalunya suka atau tidak saya akan diamkan sahaja. Tapi tidak dengan
dia. Dia menceriakan hari-hari saya.
Saya
tak pernah sangka kami akan akrab sampai begitu. Awalnya saya rasa susah untuk
menyesuaikan diri kerana komunikasi kami terbatas. Saya tidak faham apa yang
dituturkan. Berulang kali bertanya dan dia terpaksa mengulang soalan yang sama,
saya naik segan. Tidak mahu menyusahkan dia, saya mengiyakan semua persoalan
yang dia ajukan meski saya tidak tahu apa yang ditanyakan.
Begitulah
bulan-bulan awal perkenalan kami. Pagi, petang, siang dan malam bersama. Saya
sudah mampu memahami apa yang dikatanya. Dalam sehari entah berapa kali dia
akan memekik memanggil saya. Itulah yang menjadi halwa telinga saya. Di mata
orang, kami berbeza. Sangat berbeza. Peringkat awal saya terkejut juga
mendengar cakapnya yang kasar, namun lama-kelamaan telinga saya jadi lali.
Saya
tahu tatkala saya memperkenalkan dirinya kepada kawan-kawan saya, mereka
terperanjat. Mereka tidak menyangka itulah orangnya yang sentiasa meniti di
bibir saya. Saya tidak peduli dan saya tidak kisah. Saya lebih kenal dia.
Dengan dia, saya adalah saya. Saya menjadi diri saya yang sebenar. Saya dengan
perangai gila-gila, degil, suka mengusik dan manja. Itu rumusan dia tentang
saya.
Uniknya,
kami berkongsi tarikh lahir yang sama meski tahun berbeza. Dia anak bongsu tapi
dengan saya terlihat sisi seorang kakak. Dia sangat mengambil berat. Selalunya
apa yang dibeli atau dibawa pulang, pasti ada bahagiannya untuk saya. Kami
boleh bersembang hampir apa sahaja. Usik mengusik, gurau sendara, sakat
menyakat yang pasti berakhir dengan ketawa. Tidak ada yang berbekas di hati.
Cerita
ini cerita lama. Cukup sekadar mengenang insan yang pernah singgah dalam hidup
saya. Saya berdoa ukhuwah tidak berakhir di dunia tapi bersambung hingga ke
syurga. Amin. Amin.
Astaghfirullah.
No comments:
Post a Comment