Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
“Dah nak balik ke? Jangan
balik lagi. Kita duduk sembang-sembang dulu boleh?” beliau tersenyum.
Saya pelik dengan permintaan itu
tetapi sukar untuk saya menolak. Tidak ada ada rasa curiga dengan permintaannya
yang luar biasa. Saya ternanti-nanti juga apa yang akan disampaikan oleh
beliau.
Beliau lebih banyak bercerita.
Sesekali apabila ditanya saya menjawab sepatah dua. Segan nak bercakap
lebih-lebih kerana beliau guru saya. Saya fikir beliau hanya ingin meluangkan
masa berborak dengan saya. Dalam hati terselit bangga.
Ketika saya meminta izin untuk
balik, beliau berkata dengan nada yang cukup lembut sambil tangannya menepuk
bahu saya. Serta-merta saya teringat kesilapan saya pada hari tersebut. Terjawab
sudah mengapa Ustazah Maziah mengajak saya berborak petang itu.
Terlayar di fikiran saya apa yang
berlaku semasa tiba giliran saya untuk mengaji di hadapan ustazah. Belum pun
sempat saya memulakan bacaan, seorang rakan berbisik di telinga saya. Walaupun
tidak ada suara yang keluar dari mulut saya, tetapi perbuatan kami itu
rupa-rupanya diperhatikan oleh guru saya.
Saya menyangka ustazah tidak
sedar apa yang berlaku kerana beliau sedang menyemak bacaan beberapa orang
pelajar yang lain. Ketika itu saya berasa perbuatan saya adalah betul. Kalau salah
sekali pun, bukanlah salah saya. Orang lain yang berbisik di telinga saya,
bukan saya yang berbisik kepadanya. Lagi pun, saya cuma mendengar. Apalah salah
saya?
Sesi pembelajaran selepas itu
berjalan seperti biasa. Tidak kelihatan riak kurang senang atau pun marah di
wajah ustazah terhadap perbuatan yang telah saya dan rakan lakukan. Dalam diam, rupa-rupanya ustazah mencari masa
yang sesuai untuk menegur.
“Adilah, Rasulullah SAW
melarang dua orang berbisik di hadapan seorang yang lain. Kalau sedang duduk
bertiga (tiga orang), janganlah dua orang ini berbisik-bisik di hadapan yang
seorang yang lain. Takut yang seorang lagi sedih.” Kata ustazah.
Ayat yang mudah dan terus sampai
kepada maksud yang sebenarnya. Cukup untuk membuatkan saya sedar dan faham tanpa
menjatuhkan air muka saya. Terima kasih ustazah.
Astaghfirullah.
No comments:
Post a Comment