Friday 17 January 2014

Halal Lagi Baik

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


"Kat mana beli mi ni?"

"Kat market."

"Pulangkan balik kat orang yang jual tu. Kalau dia tak mau bagi balik duit pun tak apa. Mi ni bukan Islam yang buat. Tengok plastik ni tak ada cop apa-apa. Depa memang tak bagitau kalau kita tak tanya."

Macam tu la situasi kat sini yang majoritinya adalah bukan Islam. Apa yang menyedihkan, yang buat macam tu adalah orang Islam sendiri. Rasanya tak perlu pun orang Islam jual produk bukan Islam sebab pelanggannya seratus peratus orang Islam. Yang bukan Islam tak ada pun jual barang-barang basah yang dibuat oleh orang Islam.

Hampir semua barangan basah yang nak dibeli kena dapatkan kepastian daripada penjual. Barang ni orang Islam ke yang buat? Tak kira la nak beli kuetiau, tauhu dan sebagainya.

Itu cerita peniaga. Pelanggan lain pulaceritanya. Barangan buatan orang bukan Islam ni dijual sebab ada permintaan daripada pembeli. Orang Islam suka beli barang yang dibuat oleh orang bukan Islam disebabkan harganya yang murah dan rasanya yang lebih sedap berbanding yang dibuat oleh orang Islam.


Allah. Allah. 

Corat Coret

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


"Kelab aku nak buat lawatan ke Penang."

"Ye ke? Bagus la. Best. Macam-macam ada."

"Ramai orang cakap camtu. Apa yang best kat sana?"

"Tak best la kalau cerita awal-awal. Hang pi je la. Tengok apa yang ada. Tapi satu tempat ni hang jangan lupa pi tau."

"Apa nama tempat tu?"

"Pi tengok istana."

"Nanti aku ajak kawan-kawan aku pi."

Beberapa hari lepas tu.

"Ko kenakan aku. Penang mana ada istana."


"Macam mana nak ada istana, raja pun tak ada. Sorry la. Aku gurau je sebab tu kan pengetahuan am. Aku ingat hang tau."






Ubat Kesedihan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Menurut Ustaz Muhammad bin Abdullah (Ustaz Amin), terdapat tiga ubat untuk merawat kesedihan sama ada disebabkan oleh hal dunia atau pun fitrah kita sebagai manusia:

  • Akal

Nabi menyuruh kita mencari hikmah di sebalik kejadian yang berlaku kerana dalam hidup ini tidak ada yang namanya kebetulan. Setiap sesuatu ada kebaikan yang tidak kita ketahui.

  • Hati

Nabi menyuruh kita agar menanamkan iman dalam hati kita. Kita diajar supaya memperbaharui iman dengan kalimah Lailahaillallah.

  • Fizikal

Nabi menyuruh kita membaca Al-Quran. Disarankan agar kita membaca surah Yasin dan Kahfi kerana Yasin digelar hati Al-Quran manakala Kahfi pula dikatakan malaikat turun bersamanya membawa ketenangan. Jika tidak mampu membaca keseluruhan surah Kahfi, fokus kepada ayat 11 untuk mengelakkan stres dan juga membantu masalah sukar tidur.

Amalan lain yang boleh dilakukan untuk mengubat kesedihan adalah dengan doa dan solat.


Wallahu'alam.





Sekali Seumur Hidup

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Seorang guru saya pernah berkata. Kita sanggup berhabis-habisan atas alasan sekali seumur hidup. Mati pun sekali juga. Tapi lepas mati kita akan hidup lagi. Tak mati-mati dah lepas ni. Kita berhabis-habisan tak untuk menghadapi mati? 

Kalaulah kita tahu apa yang kita cari, kita takkan menyesal dengan apa yang tidak kita miliki.

Wallahu'alam.


Thursday 16 January 2014

Berubah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Dalam hati kita ni pasti terselit juga keinginan untuk berubah. Tak kiralah perubahan dari sudut apa pun. Kadang-kadang ambil masa bertahun sebelum kita buat keputusan untuk berubah. Itu pun kita dah rasa cukup susah.

Cabaran sebenar adalah selepas kita berubah yang datang dari segenap arah. Tak semua orang laluannya mudah. Ada orang yang berperang kiri, kanan, atas dan bawah.

Hanya kita dan Allah sahaja yang tahu betapa peritnya untuk kekal dalam perubahan itu. Ibarat langit yang tidak selalunya cerah. Begitu juga dengan diri kita.

Berapa kali kita gagal dalam usaha kita? Barangkali siri kegagalan itu lebih banyak berbanding kejayaan. Semua itu tak penting. Yang lebih penting adalah usaha kita untuk berubah.

Orang lain tidak tahu dan faham peritnya kita bergelut dengan perasaan. Ada yang memandang remeh usaha kita. Hal itu tampak kecil di mata mereka tapi bagi kita adalah sebaliknya. Mereka tidak berada di tempat kita. Sukar untuk difahami apa yang kita rasa. Setiap detik dan ketika kita berjuang melawan perasaan. Kita mencuba menjadi insan yang lebih baik di sisi Tuhan.

Berdoalah kerana doa itu kekuatan kita. Allah tahu betapa kita berusaha. Dia tahu derita dan air mata kita dalam mencari redaNya. Percayalah kasih sayang Allah mengatasi kemurkaanNya.


Wallahu’alam.




Wednesday 15 January 2014

Umur Pendek Yang Panjang

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya cemburu dengan insan yang bernama Ahmad Ammar Ahmad Azam. Ammar pergi dalam usia yang masih muda. Ramai yang tidak mengenali Ammar ketika hayatnya termasuklah saya.

Namun setelah beliau kembali kepada penciptaNya, namanya tidak lekang di bibir kita. Ammar bukan siapa-siapa jika kita mengukurnya mengikut KPI yang kita ada. Itu cakap-cakap kita sebagai manusia biasa. Tetapi di sisi Allah nama Ammar dijulang tinggi oleh penduduk di langit sana.

Hidupnya tidak lama tetapi cerita tentangnya bagaikan tiada nokhtahnya. Beliau terus memberi inspirasi kepada kita semua. Kisahnya membuka mata dan mencelikkan minda kita. Beliau kekal hidup walaupun hakikatnya beliau telah tiada.

Umur yang penuh keberkatan meski singkat. Ammar adalah contoh umur pendek yang panjang. Panjang dengan kebaikan.


Wallahu’alam.

Sayur

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google



Entri ni tiada kaitan dengan kangkung walaupun tetiba kangkung jadi trending dua tiga hari lepas. Kata orang kalau nak beli sayur yang berdaun contohnya sawi, tengok daunnya dulu. Kalau daunnya langsung tak dimakan ulat, jangan beli. Bahaya. Sebab banyak sangat racun yang disembur jadi ulat pun tak sanggup nak makan. Logik juga.

Tak kira la sayur apa yang kita beli. Lepas dah cuci sayur bersih-bersih, rendam dulu sayur tu dengan air garam sebelum dimasak. Bismillah, selawat dan doa. Usaha, doa dan tawakal. Tidak ada yang boleh memberi mudarat kepada kita tanpa izin Allah.

Wallahu’alam.




Monday 13 January 2014

Raikan Cinta Rasul

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Orang muda ekspresinya berbeza. Selalunya Maulidur Rasul di Malaysia bersifat ekslusif hanya disambut dalam komuniti Muslim sahaja. Justeru, sudah sampai masanya kita sambut cinta rasul dengan seluruh alam dan sampaikan kepada semua tentang Rasulullah SAW termasuk bukan Islam.

Atas dasar tersebut sekelompok anak muda mengambil inisiatif turun ke jalanan bagi menyebarkan dan menzahirkan perasaan cinta kepada Rasulullah kepada masyarakat bukan Islam. Ini bukanlah sesuatu yang asing di negara barat di mana Islam adalah minoriti, di Denmark contohnya apabila tiba Maulidur Rasul mereka akan memberikan bunga ros kepada masyarakat bukan Islam sebagai salah satu bentuk dakwah.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, PBUH2014 : For The Love - Maulid2.0 Giveaway telah diperluaskan ke beberapa buah tempat tumpuan ramai di sekitar ibu negara dan Melaka. Cara dakwah yang sangat santai di mana sukarelawan yang terlibat akan mengagihkan hadiah secara percuma seperti minyak wangi, air dan manisan seperti kek dan coklat.

Melalui pengalaman yang lalu, penerima yang terdiri daripada masyarakat bukan Islam akan bertanya mengapa mereka diberikan barangan secara percuma, dan para sukarelawan akan menjelaskan bahawa ini  adalah manifestasi rasa cinta kepada nabi kita sempena menyambut hari lahir baginda. Jika penerima inginkan penjelasan yang lebih lanjut berkaitan Islam dan sebagainya, maka sukarelawan terbabit akan memberikan buku kecil berkenaan Islam.

Tampak mudah, namun ada juga reaksi negatif daripada orang bukan Islam yang timbul disebabkan oleh salah faham mereka terhadap Islam. Pelikkan kan? Nak bagi free gift pun marah? Orang marah sebab kita bagi free gift? Cuba tengok nabi. Nabi nak bagi syurga, orang tentang nabi. Itu antara kata-kata semangat yang diberikan kepada para peserta.

Moga usaha kecik ini besar nilainya di sisi Allah. 



Wallahu'alam.


Amalan Yang Menyebabkan Fakir

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya ada menonton siaran ulangan rancangan Tanyalah Ustaz yang disampaikan Ustaz Abdullah Mahmud. Kata ustaz, dalam masyarakat Melayu ni banyak pantang larang dan ayat yang selalu kita dengar mak ayah kita akan cakap ‘orang tua-tua dulu kata’. Sebenarnya bukan orang tua-tua kata yang sebetulnya ulama dulu-dulu yang pesan.

Ustaz ada berkongsi denga penonton amalan yang menyebabkan kita fakir. Antaranya:
  1.  Makan dalam keadaaan berjunub.
  2. Pakai seluar dalam keadaan berdiri.
  3.  Pakai serban dalam keadaan duduk.
  4. Menjahit pakaian di badan
  5. Terlalu cepat meninggalkan tempat solat khususnya solat Subuh.
  6.  Mendoakan keburukan kepada anak-anak.
  7. Memadamkan lampu dengan cara meniup (contohnya: lilin).
  8. Membiarkan rumah bersawang (sarang labah-labah).
  9. Tidur tanpa seurat benang (tidak berpakaian).
  10.  Memintas orang tua yang berjalan di hadapan kita.  
Wallahu'alam.


Tip di Dapur: Papan Pencanai

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Tidak cukup peralatan bukan halangan untuk kita mencuba sesuatu masakan. Hanya memerlukan sedikit kreativiti mengguna pakai barangan yang sedia ada di dalam rumah.

Selalunya dulang atau talam kita gunakan untuk mengangkat makanan. Selain daripada itu, dulang atau pun juga disebut sebagai talam boleh digunakan sebagai papan pencanai. Basuh bersih-bersih dulang (yang tidak bertangkai) tersebut dan lap sehingga kering permukaan atas dan bawahnya. Kemudian, terbalikkan dulang itu dan gunakan bahagian bawahnya untuk mencanai.




Sunday 12 January 2014

Berurut dengan Duit Syiling

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya tak pernah tengok orang mengurut menggunakan duit syiling. Tapi beberapa tahun yang lalu, saya melihat seseorang melakukannya. Ketika itu ayah saya terlantar di hospital akibat serangan strok. Seorang pelawat yang menziarahi ayah saya meminta izin untuk mengurut tangan kiri ayah saya yang masih lemah dan kebas.

Tidak seperti urutan tradisional yang biasa kita lihat, urutan dilakukan dengan menggunakan duit syiling.  Setelah bahagian tersebut disapu dengan minyak angin, dia memulakan urutan daripada bahu hingga ke hujung jari. Duit syiling 10 sen itu ditekan pada urat-urat lengan supaya aliran darah menjadi lebih lancar.

Urutan tersebut tidak mengambil masa yang lama sekitar 10 hingga 15 minit sahaja. Pelawat yang berasal daripada Kemboja itu bercerita bahawa di kampung halamannya tidak ada minyak angin. Mereka hanya menggunakan minyak tanah untuk mengurut dan sebagainya.

Bila tengok cara dia mengurut nampak macam tak kuat mana. Tapi kesan-kesan lebam lepas berurut tu memang nampak jelas sampaikan kami takut kalau doktor tanya macam-macam. Lepas berurut tu ayah saya kata rasa kebas dah kurang sikit. Alhamdulillah.

Kalau diharapkan rasa kebas itu hilang seratus peratus tentulah sesuatu yang mustahil. Ini bukan magik. Bak kata tok saya, penyakit ni mai macam ribut tapi dia pi macam semut.

Friday 10 January 2014

Semuanya Sedekah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Jiran             :Tok Ngah, buah-buah kat kebun tu habis orang curi.

Tok Ngah      :Takpa la. Aku anggap sedekah.

Jiran     :Ada yang binatang makan. Sayang la buah-buah tu biar macam tu ja. Kalau jual tu boleh untung banyak tu.


Tok Ngah :Tak kira la burung ka, musang ka, aku anggap sedekah saja la. Kalau hampa teringin nak makan, ambil la. Aku tanam pokok-pokok tu semua untuk anak cucu aku makan. Buah-buah tu banyak, tak larat nak makan. Aku bukan nak buat jual.

Itu satu-satunya kebun buah-buahan yang Tok Ngah ada ketika itu. Tapi Tok Ngah tidak berkira. Tidak pernah bimbang soal rezeki. Semuanya dianggap sedekah. Tidak perlu susah hati dengan apa yang terjadi.

Allah ganti rezekinya. Walaupun nampak macam orang susah dengan hanya berbasikal ke mana-mana. Rezeki Tok Ngah tidak pernah putus. Ladang kelapa sawit, estet getah, bendang dan banyak lagi.

Oh, mudahnya menjemput rezeki!



Astaghfirullah.

Wednesday 8 January 2014

Berwuduk atau Mandi?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


“Kamu berwuduk atau mandi?” tanya Ahmad Shuhairi pengacara rancangan Al-Khawater.

Soalan itu diajukan setelah melihat seorang lelaki yang baru sahaja selesai berwuduk dengan  pakaian yang basah di sana sini. Ahmad kemudiannya menyatakan bahawa dianggarkan seorang Muslim yang berwuduk menggunakan kira-kira 26 liter air sehari.

Betul ke? 26 liter hanya untuk berwuduk? Barangkali saya tersilap dengar. Mungkin juga kisah yang dikongsikan itu hanya berlaku di Tanah Arab, tetapi rasanya di tanah air kita pun tidak jauh bezanya. Agaknya maksud meratakan air ke seluruh anggota wuduk ditakrifkan oleh segelintir individu Muslim sebagai menggunakan air dalam kuantiti yang banyak, maka hanya dengan itu seluruh anggota wuduk berkenaan dapat dibasuh dengan sempurna.

Bagi sesetengah orang 26 liter nampak tidak realistik. Baiklah, kita abaikan sahaja soal kuantiti air tersebut. Kita kembali kepada persoalan pokok iaitu pembaziran air. Kalau diikutkan segelas air sudah lebih daripada mencukupi. Namun kebanyakan daripada kita hanya mampu melakukannya ketika keadaan benar-benar mendesak.

Pembaziran air ini berlaku hampir setiap masa. Paling ketara ketika kita memberus gigi dan menyabun pinggan mangkuk. Air adalah suatu nikmat buat kita. Justeru kita perlulah menggunakannya secara berhemat. Bukankah nabi melarang kita berlebihan dalam penggunaan air walaupun semasa berwuduk di sungai yang mengalir?

Wallahu’alam.


Tuesday 7 January 2014

Jangan Berbisik


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


“Dah nak balik ke? Jangan balik lagi. Kita duduk sembang-sembang dulu boleh?” beliau tersenyum.

Saya pelik dengan permintaan itu tetapi sukar untuk saya menolak. Tidak ada ada rasa curiga dengan permintaannya yang luar biasa. Saya ternanti-nanti juga apa yang akan disampaikan oleh beliau.

Beliau lebih banyak bercerita. Sesekali apabila ditanya saya menjawab sepatah dua. Segan nak bercakap lebih-lebih kerana beliau guru saya. Saya fikir beliau hanya ingin meluangkan masa berborak dengan saya. Dalam hati terselit bangga.

Ketika saya meminta izin untuk balik, beliau berkata dengan nada yang cukup lembut sambil tangannya menepuk bahu saya. Serta-merta saya teringat kesilapan saya pada hari tersebut. Terjawab sudah mengapa Ustazah Maziah mengajak saya berborak petang itu.

Terlayar di fikiran saya apa yang berlaku semasa tiba giliran saya untuk mengaji di hadapan ustazah. Belum pun sempat saya memulakan bacaan, seorang rakan berbisik di telinga saya. Walaupun tidak ada suara yang keluar dari mulut saya, tetapi perbuatan kami itu rupa-rupanya diperhatikan oleh guru saya.

Saya menyangka ustazah tidak sedar apa yang berlaku kerana beliau sedang menyemak bacaan beberapa orang pelajar yang lain. Ketika itu saya berasa perbuatan saya adalah betul. Kalau salah sekali pun, bukanlah salah saya. Orang lain yang berbisik di telinga saya, bukan saya yang berbisik kepadanya. Lagi pun, saya cuma mendengar. Apalah salah saya?

Sesi pembelajaran selepas itu berjalan seperti biasa. Tidak kelihatan riak kurang senang atau pun marah di wajah ustazah terhadap perbuatan yang telah saya dan rakan lakukan.  Dalam diam, rupa-rupanya ustazah mencari masa yang sesuai untuk menegur.

“Adilah, Rasulullah SAW melarang dua orang berbisik di hadapan seorang yang lain. Kalau sedang duduk bertiga (tiga orang), janganlah dua orang ini berbisik-bisik di hadapan yang seorang yang lain. Takut yang seorang lagi sedih.” Kata ustazah.

Ayat yang mudah dan terus sampai kepada maksud yang sebenarnya. Cukup untuk membuatkan saya sedar dan faham tanpa menjatuhkan air muka saya. Terima kasih ustazah.



Astaghfirullah. 

Monday 6 January 2014

Rezeki Penoreh Getah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Kisah di bawah ini adalah daripada seorang tua yang saya kenal. Ketika mudanya, dia bekerja keras demi untuk membesarkan anak-anaknya. Pelbagai pekerjaan dilakukan untuk mencari sesuap nasi. Salah satunya adalah menoreh getah.

Ceritanya lagi, setiap penoreh diperuntukan beberapa batang pokok untuk ditoreh setiap hari atau pun disebut ‘satu nama’ yang merujuk kepada seorang pekerja. Berbeza dengan dirinya yang menoreh atas ‘dua nama’. Ini bermakna jumlah pokok getah yang perlu ditorehnya adalah sekali ganda banyaknya berbanding orang lain.

Ramai yang ketawa, tidak kurang juga yang memandang sinis keupayaan dirinya. Dia tidak menghiraukan cakap-cakap orang sekeliling. Biar apa pun kata mereka dia tidak kisah. Tidak ada suatu pun yang mustahil dalam hidupnya.

Apabila tiba saat mengambil wang upah bagi hari tersebut, semua terdiam. Dia telah berjaya menyudahkan kerja-kerjanya sama seperti orang lain. Dia bekerja bagaikan lipas kudung, sangat laju dan pantas. Bayangkan dengan beban kerja melebihi orang lain, dia berjaya menyudahkannya pada waktu yang sama seperti mana penoreh-penoreh lain yang menoreh atas ‘satu nama’.

Rasa ingin tahu saya membuak-buak. Apakah rahsianya?

Dengan rasa rendah dirinya dia bercerita. Saat dia melangkah untuk bekerja, tidak lekang di bibirnya lafaz Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Wallahuakbar. Sepanjang masa itulah yang dilagukannya. Tidak ada yang lain. Dengan izin Allah, semua kerja-kerja menoreh dan mengutip susu getah dapat disiapkan dalam tempohnya. Langsung tidak terasa penat.

Nah, inilah zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya iaitu Fatimah. Kata Rasulullah SAW zikir ini adalah lebih baik berbanding hamba yang dipinta oleh Fatimah untuk meringankan kerjanya.


Wallahu’alam.


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015