Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Wednesday 21 May 2014

4 Perkara Jika Dipandang Dapat Pahala

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Senang betul nak dapat pahala. Tidak perlu buat apa-apa. Pandang pun dah dapat pahala. Tetapi bukan semua pandangan memberikan pahala.

Cuba kita amati, apa yang selalu kita pandang? Gambar apa yang kita suka? Gambar apa yang ada dalam laptop dan telefon kita? 

Kalau anda nak tahu, ada 4 pandangan yang berpahala:

1. Wajah ibubapa
2. Al-quran
3. Lautan
4. Ka’abah
Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: “Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat wajah ibu bapa, melihat al-Quran dan melihat lautan.” – (Riwayat Abu Nuaim) dan ditambah dengan “Melihat Ka’abah”. (Riwayat Abu Daud).
Sepatutnya keempat-empat perkara inilah yang kita selalu pandang. 
P/S : Pandang Al-Quran dapat pahala, kalau kita baca?

Monday 19 May 2014

Amalan Kawal Kemarahan

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Amalan-amalan dalam mengawal kemarahan.

1. Ambil wuduk

2. Tukar posisi
    Kalau berdiri, duduk. Kalau berada dalam bilik, keluar ke ruang tamu.

3. Solat
    Niat untuk solat mutlak 2 rakaat.

4. Selawat
    Selawat banyak-banyak kerana selawat adalah penyejuk.

5. Zikir
    Banyakkan berzikir Ya Latif.

6. Bernafas
   Tarik nafas panjang-panjang. Baca surah At-Takwir ayat 18 dan tarik nafas. Kemudian hembus.


Sumber : Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin

Saturday 10 May 2014

Ibu Tidak Malu

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Meskipun ini merupakan kali kedua saya mendengar kisah yang sama, namun hati tetap dijentik pilu. Air mata bergenang di kelopak mata. Bertahan agar manik jernih ini tidak gugur.



Seorang ibu tidak pernah rasa ada rasa malu demi anaknya. Ustaz Kazim menyambung bicaranya dengan kisah benar yang dilalui bersama ibunya.

Ketika itu beliau, ibu serta adik perempuannya yang masih kecil dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya. Mereka berdiri di tepi jalan menahan bas 'lompat' (henti-henti)

Bas penuh sesak, maka mereka terpaksa berdiri bersama-sama penumpang yang lain. Tidak ada seorang pun yang sudi memberikan tempat duduk kepada ibunya yang terpaksa berpaut pada tiang sedangkan sebelah tangan lagi mendukung adiknya.

Adik perempuannya yang baru berusia beberapa bulan menangis. Puas dipujuk tetapi tangisannya tidak juga reda. Akhirnya, ibunya perlahan-lahan duduk di atas lantai bas dan menyusukan adiknya di celah-celah kaki penumpang lain yang sedang berdiri.

Ustaz yang turut berdiri sambil menggalas beg besar hanya mampu memandang dengan linangan air mata. Sejak itu, ustaz berazam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya apabila beliau dewasa kelak beliau dapat memberikan kebahagian dan kesenangan kepada ibunya.

Beliau tidak mahu lagi melihat ibunya hidup susah. Cukuplah pengorbanan ibu untuk mereka selama ini. Alhamdulillah, doa dan tekad seorang anak yang berumur 9 tahun dimakbulkan oleh Allah.

Seorang ibu sanggup mengenepikan rasa malunya kerana kasih dan sayangnya pada anak-anak. Sayangilah mereka kerana di situ letaknya syurga buat kita. Doakanlah mereka kerana itulah hadiah yang paling bermakna untuk mereka. Wallahu'alam.


Friday 9 May 2014

Menerima Nikmat

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Bismillah.

Nikmat adalah sesuatu kurniaan Allah yang menggembirakan hati kita. Nikmat hadir dalam bermacam-macam bentuk dan rupa. 

Fitrah manusia tatkala mendapat nikmat pastinya kita akan berasa gembira. Apatah lagi jika nikmat itu sememangnya telah lama dinantikan oleh kita.

Antara nikmat yang disebut-sebut oleh sebahagian besar daripada kita adalah nikmat jodoh, anak, naik pangkat, duit (bonus, pusaka dan lain-lain) dan banyak lagi sebenarnya.

Bagaimana reaksi kita apabila mendapat nikmat tersebut? Pastinya gembira dan bahagia bukan kepalang. Mulut pula tidak jemu-jemu mengungkapkan syukur ke hadrat Allah atas segala limpahan rahmat dan nikmatNya kepada kita.

Itulah sepatutnya yang kita sebagai hambaNya lakukan. Rendah diri dan memuji Allah kerana tidak mungkin nikmat itu kita miliki jika Dia tidak mengizinkannya.

Namun, ramai yang terlupa bahawa bersama-sama nikmat itu ada ujian yang menanti. Ada musibah yang bakal menguji.

Inilah pesanan yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Mahmud agar kita sentiasa berwaspada. Di sebalik nikmat yang kita dapat, besertanya adalah musibah yang tersirat.

Jangan hanya dibuai keseronokan mendapat nikmat, tetapi berdoa dan pohonlah kepada Allah agar dipelihara daripada musibah yang hadir bersama nikmat itu.

Kita bersyukur kerana Allah memberi kita nikmat tersebut. Cuma kita minta jika ada musibah yang terlindung di sebalik nikmat itu, kita kembalikan semula musibah itu kepada Allah.

Misalnya kita dapat naik pangkat. Kita seronok dan bersyukur kerana Allah berikan rezeki  kepada kita. Tetapi jangan pula kita lupa untuk berdoa.

"Ya Allah, aku bersyukur atas nikmat naik pangkat yang Engkau berikan kepada aku. Aku sedar Ya Allah, bersama-sama nikmat ini ada musibahnya (ujian) untuk aku. 

Lindungilah aku daripada apa jua musibah yang Kau tetapkan bersama pangkat ini. Peliharalah aku daripada hasad dengki dan fitnah daripada orang lain.

Aku mahu nikmat ini, ya Allah. Aku tidak mahu musibah ini, ya Allah. Maka aku kembalikan musibah ini kepadaMu, ya Allah."

Orang tua dulu selalu berpesan, jangan seronok sangat nanti kita menangis. Inilah yang mereka cuba sampaikan kepada kita. Bukan menghalang kita berseronok tetapi sebagai peringatan untuk kita kerana dalam bekas gula selalunya ada semut yang menghurung.

Wallahu'alam.





Sunday 4 May 2014

Sombongkah Kita?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Imam Al-Ghazali menyenaraikan 7 kategori sombong.

1. Sombong kerana memiliki ilmu pengetahuan.

2. Sombong kerana memiliki amal dan ibadah yang banyak.

3. Sombong dengan kedudukan dirinya atau kerana keturunan bangsawannya.

4.  Sombong dengan kecantikannya.

5. Sombong dengan hartanya/kekayaannya.

6. Sombong dengan kekuatan yang ada pada dirinya.

7. Sombong dengan pengikut, pembantu dan handal taulannya.

Kita tidak akan bersikap sombong jika kita sedar bahawa apa saja yang kita ada adalah pinjaman daripada Allah semata-mata. Bagaimana mungkin kita menyombong diri bila mana kita langsung tidak punya apa-apa? 

Tuesday 22 April 2014

Menjemput Rezeki : Beri Kucing Makan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Bismillah.

Semasa berbual dengan seorang rakan, saya cuba mencungkil rahsia di sebalik kejayaan bapanya dalam dunia perniagaan. Dia terdiam mungkin cuba mengingat kembali.

Bapanya pernah mengalami zaman kejatuhan sebelum bangkit membina empayar perniagaannya seperti hari ini. Banyak halangan dan kepayahan yang terpaksa ditempuh sebelum bapanya berjaya.

Diuji dengan masalah rumah tangga yang berakhir dengan penceraian. Dalam masa yang sama bergelut dengan bisnes yang mulai merudum. Malah keadaan menjadi lebih sukar apabila ditipu rakan kongsinya sendiri.

Sebagai anak, dia melihat bapanya melalui kehidupan yang cukup sukar. Meskipun bapanya cuba menyembunyikan masalah yang dihadapi daripada pengetahuan orang lain. 

Satu persatu harta milik bapanya berpindah milik. Semuanya hilang sekelip mata. Hanya tinggal sehelai sepinggang. 

Macam-macam kerja yang dilakukan oleh bapanya untuk mendapatkan sesuap nasi. Ketika itu hidup ibarat kais pagi, makan pagi. Kais petang, makan petang.


Sehinggalah suatu hari, ketika sedang duduk di kaki lima untuk makan, tiba-tiba datang seekor kucing yang entah dari mana datangnya. Bapanya yang baru ingin menyuap nasi ke mulut, berhenti berbuat demikian. 

Kasihan melihat kucing itu, bapanya memberikan sedikit nasi bersama ikan goreng kepada kucing tersebut. Walaupun bapanya sendiri sudah beberapa hari hanya mengalas perut dengan air paip.

Bapanya ralit memerhatikan kucing itu makan. Terselit di hatinya, kucing ini juga lapar seperti aku. Kemudian datang pula kucing yang lain. Sekali lagi, bapanya memberikan kucing itu pula makan. 


Kucing-kucing yang datang meminta makanan kepada bapanya semakin banyak. Semuanya diberikan makanan, tidak ada yang dibiarkan oleh bapanya. Akhirnya, nasi di tangan bapanya telah pun habis tanpa sempat dijamah oleh bapanya walaupun sesuap. Bermakna bapanya perlu berlapar untuk tempoh sehari lagi.

Keesokkan harinya, perkara yang sama berulang. Malah kucing yang sama meminta makanan daripada bapanya walaupun bapanya makan di tempat yang berbeza dan jauh berbanding sehari sebelumnya. Peristiwa yang sama berlaku setiap hari selama seminggu.

Lalu, kucing ini dibawa pulang ke rumah kawan tempat bapanya menumpang tinggal. Kucing ini dimanjakan dan dijaga dengan baik. Bahkan kucing ini akan diberi makan terlebih dahulu sebelum bapanya sendiri makan.

Empat lima hari kemudian, seorang rakan bapanya mengajak untuk bertemu dan dalam pertemuan itu, bapanya ditawarkan untuk menguruskan sebuah projek. Di situlah titik tolak kebangkitan semula bapanya dalam dunia perniagaan.

Bertali arus projek yang masuk sehingga bapanya tidak menang tangan. Dengan bantuan dan pertolongan rakannya itu, (dan pastinya dengan izin Allah) nama bapanya berjaya dikeluarkan daripada senarai muflis.

Hari ke hari, rezeki bapanya makin bertambah seiring dengan usaha dan doa tanpa jemu. 

Putaran roda, jika tiga tahun dahulu bapanya terpaksa bergelut dengan saat sukar, maka kesusahan itu telah digantikan dengan kesenangan. 

Perbualan saya dengan anaknya hanyalah sekadar cerita tentang kucing-kucing yang dibela oleh bapanya telah membuka ruang untuk saya belajar pengalaman jatuh bangun seorang jutawan.

Bapanya bukan seorang penggemar kucing namun kini memelihara puluhan ekor kucing di rumah. Bagi bapanya, selain ibu yang mendoakannya, rezeki yang melimpah ini adalah berkat memberi makan kucing.

Malah, sekarang ini bapanya menggajikan dua orang pekerja untuk menguruskan segala keperluan kucing-kucingnya. 

Kucing seperti juga haiwan-haiwan lain tidak mampu membalas jasa manusia. Namun berbuat baik kepada haiwan seperti kucing membuka jalan untuk menjemput rezeki dengan cara yang lebih mudah.

Wallahu'alam.



Saturday 19 April 2014

Allah Buat!

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori



Minggu lepas, dahan pokok milik jiran patah. Kena wayar elektrik dan telefon rumah ayah, putus wayar tu. Faris, anak buah yang semakin petah bercakap sibuk duk tanya Mak Teh dia.

"Ape tu?"

"Pokok tumbang."

"okok umbang?"

"Pokok tumbang kena wayar tu. Putus."

"Ooo...Sape wat (buat)?"

"Allah buat."

"Allah tu sape?"

"Allah tu yang buat semua benda. Buat Faris, buat Mak Teh, buat umi, buat pokok."

"Aner (mana) Allah?"

"Allah ada kat mana-mana. Dia nampak apa yang kita buat."


Tangan dah siap nak lempar kopiah tok ayah.


"Tak baik baling barang. Allah nampak." Dan-dan (Masa tu juga) letak balik kopiah atas meja.


Petang tu, Mak Lang pulak tanya kat Faris.

"Faris, pokok tumbang sapa buat?"

"Allah wat (buat)!"

"Allah ada kat mana?"

"Allah gi keje."

"Allah pi mana?"


"Allah gi sekolah."

Alahai, Faris! Alhamdulillah. Bila dengar Faris cakap macam tu, rasa tenang. Perasaan nak marah itu jadi reda bila kita kembali mengenang bahawa tidak ada sesuatu pun yang akan berlaku tanpa izin Allah. Wallahu'alam.





Friday 18 April 2014

Doa Memohon Takdir Yang Baik

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Assalamualaikum.

Kita tidak boleh mengelak takdir yang telah ditetapkan untuk kita. Jadi kita pohon kepada Allah jika takdir itu berlaku, kalau berlaku sesuatu perkara yang buruk ketika itu, kita tidak berada di tempat kejadian.

Doa ini diperoleh oleh Ustaz Muhammad Abdullah semasa mengerjakan umrah daripada gurunya di Makkah. Sesuai diamalkan selepas solat. 




Thursday 17 April 2014

Pesanan Kepada Anak-Anak

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Sampaikan pesanan kepada anak-anak dan ahli keluarga kita supaya mencintai Allah dan Rasulullah SAW lebih daripada kasih dan sayang mereka kepada ibu bapa. 

Pesankan juga kepada mereka, seorang anak tidak mampu untuk membalas jasa kedua ibu bapanya. Jasa nabi lagi tidak boleh dibalas. 

Walaupun ibu dan ayah mengasihi anaknya, tetapi mungkin ketika mereka marah mereka pernah menghalau anak-anaknya tetapi nabi tidak pernah sekali pun menghalau mana-mana sahabat baginda keluar dari rumahnya.

Wallahu'alam.


Wednesday 16 April 2014

5 Benda Kena Kalut

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Semua perkara yang dilakukan secara tergesa-gesa semuanya datang (berpunca) daripada syaitan kecuali 5 (lima) perkara. Makna kata, hanya lima keadaan yang kita perlu kalut (tergesa-gesa) nak buat iaitu:

1. Apabila tetamu datang ke rumah, kita kena bersegera hidangkan minuman dan makanan. Contohnya, tetamu baru sampai kita segera bancuh air untuk mereka. Pastikan tetamu tidak dibiarkan (dalam tempoh yang lama) tanpa dihidangkan minuman.

2. Uruskan jenazah dengan segera. Jangan biarkan jenazah terlalu lama. Contohnya kerana nak tunggu anak balik dan sebagainya.

3. Kahwinkan anak apabila sampai masanya. Nabi berpesan, siapa yang seorang lelaki datang meminang anak perempuannya dan lelaki itu diyakini baik agamanya, maka jangan kamu tolak pinangan tersebut. Jika kamu tolak, selepas itu mungkin tidak akan datang lelaki yang lebih baik daripada itu.

4. Bayar hutang. Apabila kita mempunyai wang, perkara pertama yang perlu kita selesaikan terlebih dahulu adalah hutang. Selepas selesai bayar hutang, barulah digunakan wang tersebut untuk tujuan yang lain.

5. Istighfar. Kena bersegera mohon ampun daripada Allah. Jangan tangguh untuk bertaubat. Ditakuti kita meninggal dunia tanpa sempat kita bertaubat.

Wallahu'alam.

Sumber: Ustaz Fawwaz Mad Jan

Wednesday 2 April 2014

Rezeki Kita Berbeza


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Bismillah.



Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA bahawasanya seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah SAW, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk syurga”. Jawab Rasulullah SAW, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturrahim”.

Kita dituntut agar memanjangkan hubungan silaturrahim. Dunia hari ini, segalanya di hujung jari. Banyak medium dan pilihan di depan mata. 

Namun, dalam kita bersilaturrahim ada adab dan seninya. Kadang-kadang niat kita betul, cuma pelaksanaannya silap. Tapis dan fikir apa yang mahu dibicarakan. Sesetengah perkara tidak perlu kita sentuh dan seboleh mungkin elakkanlah.

Cuba letakkan diri kita di tempat mereka. Kadang-kadang sehalus mana pun bahasa kita, masih tetap mencederakan emosi orang yang kita tanya. Puncanya ada pada soalan kita.

Bertanya khabar, bertukar cerita biarlah dalam keadaan kedua-dua belah pihak gembira. Masing-masing berasa selesa dan tidak ada hati yang terluka.

Tidak salah bertanya tapi tanyakanlah soalan yang lebih umum. Jangan sesekali menyentuh sisi peribadi. Konsep rezeki itu luas. Fahamilah bahawa rezeki yang Allah tabur untuk setiap hambaNya berbeza-beza. Lebih di sini, kurang di sana. 


Wallahu'alam.






Mereka Mendahului


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Bismillah.

Sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan. Awal-awal pagi dikejutkan dengan berita kematian seorang saudara. 

Beliau meninggal dunia dalam pesawat ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia. Sedang perjalanan masih berbaki tujuh jam. Tentu sekali ahli keluarga yang turut berada di dalam pesawat terpaksa menahan hiba sepanjang tempoh tersebut.

Tidak terlewat walaupun sesaat, tatkala ajal tiba pada masa dan tempat yang sudah ditetapkan sejak sekian lama. 

Beberapa hari lepas, seorang kenalan mak meninggal tiba-tiba. Tidak sempat sampai ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Rupa-rupanya sakit perut yang dialaminya dalam tempoh dua hari hanyalah asbab untuk Allah menjemputnya pulang.

Pandang diri kita. Kita juga menanti giliran untuk berpindah, dari alam dunia ke alam barzakh. Kita ini juga bakal jenazah.

Bila? Di mana? Bagaimana? Itu bukanlah soalan yang perlu ditanya. Soalan yang lebih utama ditanya adalah adakah kita sudah bersedia? Ramai yang telah mendahului kita dan kita juga bakal menyusul mereka. Wallahu'alam.





Monday 31 March 2014

Nikmat Yang Didustakan


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori

Duduk menghadap pokok-pokok kat belakang rumah ini membuatkan perasaan berbunga-bunga. Kadang-kadang boleh tersenyum sorang-sorang. Melihat buah-buah yang bergantungan. Oh, bahagianya!

Betapa patuhnya pohon-pohon ini mengikut aturan yang ditetapkan oleh Allah. Berbunga dan berbuah mengikut masa yang ditetapkan olehNya.

Menikmati fasa-fasa dari mula pokok ini berbunga hingga ke saat menuai hasilnya. Berkongsi rezeki dengan ayam, burung dan tupai.

Terkenang saat tok dan tok ayah masih sihat. Dah lapan tahun berlalu. Sayu. Tak sedar air mata bergenang. 

Tok memang rajin. Pokok-pokok ni tok yang tanam. Kami cuma makan je. Ada mangga epal, jambu dan harumanis. Orkid pula sedang berbunga. 

Terima kasih Allah. Maka nikmatMu yang manakah yang hendak kami dustakan?







    
 



  







Saturday 29 March 2014

Hakikat Dukacita


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Sabarlah menanggung dukacita kerana ada bahagiannya untuk kita di 'sana'. Allah pasti akan ganti. Kalau bukan di dunia, sudah pasti untuk akhirat nanti.




Friday 28 March 2014

Tiada Duka Yang Abadi


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Tidak ada satu benda pun dalam dunia ini yang akan kekal sampai bila-bila. Semuanya hanya sementara. Siang akan diganti dengan malam. Suka boleh bertukar duka. Setiap sesuatu ada pusing hayatnya. Lalui hidup ini apa adanya. 

Sengaja saya titipkan lirik lagu Opick ini untuk tatapan bersama. Luka akan sembuh, parut akan tinggal. Biarlah masa yang menentukannya. Semat pesanan ini dalam hati. Manusia mungkin akan tinggalkan kita. Tetapi setiap detik dan ketika kita sentiasa ada Allah. Allah tak pernah tinggalkan kita. Cuma kita yang selalu lupakan Allah.


TIADA DUKA YANG ABADI

Tiada duka yang abadi didunia
Tiada sepi merantaimu selamanya

Malam kan berakhir, hari kan berganti

Takdir hidup kan dijalani



Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta dijalanMu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Waktu berputar rembulan dan matahari
Bunga yang mekar akan layu akan mati
Malam kan berakhir, hari kan berganti
Takdir hidup kan dijalani

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Harap ampunkan hamba-Mu ini





Thursday 27 March 2014

Selawat Indikator Cinta

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Tanyakan kepada diri kita, berapa kali dalam sehari kita berselawat ke atas nabi? Ini kerana selawat adalah indikator sayang dan cinta kita terhadap nabi.

Semua orang boleh sebut sayang. Semua orang boleh mengaku cinta. Tapi apa buktinya? Bukankah tika hati teringat, maka mulut akan menyebut?

Kenapa kita tidak rasa ghairah untuk berselawat ke atas nabi? Kata seorang ulama, bukan kita yang tak nak kepada nabi, tapi nabi yang tak nak kepada kita. Jawapan yang benar-benar menggigit hati kita.

Ucapkanlah. Lafazkanlah. Ucapan yang bukan sahaja dituntut kepada manusia bahkan Allah dan malaikat turut mengungkapkannya. 

Seperti mana firman Allah:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna salam.”
(Al-Ahzab 56)




Banyakkanlah selawat kerana di situ adanya sumber keberkatan dalam kehidupan. Wallahu'alam.






3 Pesan Nabi

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Pesanan Rasulullah SAW kepada Abdullah bin Salam (seorang Yahudi yang menguasai kitab taurat):


1.  Berilah salam kepada sesiapa saja yang kamu temui.

Seperti mana kata Abu Bakar As-Siddiq, mereka terpaksa bersembunyi supaya mereka berpeluang memberi salam kepada nabi. Jika mereka tidak berbuat demikian, sudah pastilah nabi yang akan terlebih dahulu memberi salam kepada mereka.

Nabi seorang yang sentiasa mendahului orang lain dalam hal berbuat kebaikan dan memberi salam adalah salah satu bentuk kebaikan yang sering kali kita terlepas pandang.


2.  Menjamu orang makan.

Sesekali jamulah orang lain makan. Kalau kita tidak mampu untuk mengadakan kenduri untuk memberi/menjamu orang lain makan kerana terpaksa mengeluarkan wang yang banyak, maka berilah makan walaupun hanya kepada seorang insan. 

Itu pun sudah cukup. Contohnya, di kedai makan kita tolong bayarkan bil makanan dan minuman orang lain. Hal ini juga dikira sebagai menjamu orang makan.


3.  Sewaktu orang lain sedang tidur, bangunlah dan dirikanlah solat.

Jika tidak mampu untuk bangun 2-3 jam awal, memadailah bangun sebelum Subuh kira-kira 15-20 minit awal dan dirikanlah solat tahajud sebanyak dua rakaat. 

Ketiga-tiga pesanan ini adalah kebaikan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.


Wallahu'alam.





Wednesday 26 March 2014

Hidup Mulia atau Mati Sebagai Syuhada

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google





Dalam tempoh 20 minit, 529 orang dihukum mati. Satu hukuman yang tragik dan langsung tidak masuk akal. Zalim. 



Demi untuk mencapai matlamat, mereka sanggup menghalalkan segala bentuk perlakuan mereka. Pemerintahan kuku besi dalam memastikan mereka kekal berkuasa di mana hak rakyat telah dinafikan sama sekali.

Malangnya, dunia antarabangsa langsung tidak bersuara. Malah, berita ini seolah-olah terpinggir dari liputan media.





Dalam pada itu, Sheikh Muhammad Hassan menyelar keputusan yang dibuat oleh mahkamah Mesir dan memberikan amaran keras kepada mereka.

Beliau berkata, "Allah akan memberikan istidraj (kelebihan untuk melalaikan) kepada orang-orang yang zalim ini sehingga mereka terus berada dalam kegelapan. Janganlah kamu terpedaya dengan kekuatan, kekuasaan serta kezaliman kamu. Dimanakah mereka yang zalim dahulu serta pengikut mereka? Dimanakah Firaun dan Hamman? Tidak ada seorang pun daripada mereka yang terselamat."

Sheikh Hassan menambah, "Berapa ramai orang yang diberikan kelebihan oleh Allah tanpa mereka sedari bahawa mereka adalah dalam golongan yang dimurkai Allah."

Sementara kenyataan yang dikeluarkan oleh Ikhwanul Muslimin menggambarkan tekad dan kesediaan mereka untuk meneruskan perjuangan di bumi Mesir.  Berikut adalah sebahagian kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka:

Hukuman sebegini keras hanya akan menggandakan tekad revolusioner dan mengukuhkan keazaman mereka dalam meneruskan usaha utama menamatkan rampasan kuasa dan menghadapkan setiap seorang penjenayah yang mencabul hak dan kebebasan rakyat Mesir ke muka pengadilan, untuk mencapai hukuman yang adil.

Dengan hukuman sekeras ini, komander-komander kudeta pengkhianat dan para sekutu mereka cuba untuk memaksa Revolusi Mesir jauh dari landasan perjuangan yang aman. Tetapi ini tidak akan berlaku, dengan izin Tuhan. Revolusi kami akan kekal aman. Dan sekali lagi, ketidakadilan ini, penindasan dan dendam kesumat pihak junta hanya akan menguatkan keazaman dan hati kami dan menggandakan tekad kami untuk menewaskan junta tentera pengkhianat, dan mengembalikan kebebasan, maruah dan kedaulatan kami.

Detik penentuan sudah semakin hampir, dengan izin Tuhan. Dan penindas yang zalim akan bertemu takdir kesudahan akhir mereka.



Malah Dr Muhammad Badie' iaitu Musyidul Am Ikhwanul Muslimin telah menulis sepucuk surat dari dalam tahanan. 

"Tuhanmu telah berkehendak untuk mengumpulkan orang-orang yang benar dalam satu kelompok, dan orang-orang yang batil dalam satu kelompok lain, sebagaimana tuhan telah mengumpulkan Musa a.s dan kebenaran bersama pengikut-pengikutnya, seperti Firaun dan kebatilan bersama-sama pengikutnya sehingga apabila tidak tinggal apa-apa pilihan atau cara dan jalan dihadapan para pengikut kebenaran melainkan hamparan laut yang luas dan para tentera dibelakang mereka, maka kemenangan dari Allah akan turun menyelamatkan kebenaran dan para pengikutnya sekaligus menghancurbinasakan kebatilan dan pengikut-pengikutnya.

Yakinlah bahawa kemenangan itu telah hampir dan pengikut-pengikut kebatilan masih menjunjung kebatilan mereka, sedang pengikut-pengikut kebenaran menjunjung syariat mereka untuk membezakan kedua kelompok tadi, maka Allah akan memberi kemenangan kepada kebenaran dan pengikut-pengikutnya, dan menenggelamkan kebatilan berserta pengikut-pengikutnya"

Ini bukan omongan kosong kerana mereka tahu apa yang menanti mereka kelak. Menang atau kalah bukan soalnya. Sama ada hidup mulia atau mati sebagai syuhada.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) dari Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar" (Surah At-Taubah: ayat 11)




Mereka Hilang

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Saya turut terkesan dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri berhubung kehilangan pesawat MH370. Disampaikan dengan bahasa yang paling halus untuk mengelakkan berlakunya kecederaan emosi pihak-pihak terbabit.




Pemilihan perkataan yang positif masih tidak dapat menutup gusar pada wajah dan getar pada nada. Sudah dapat dilihat dan diagak apa khabar yang dibawa.

Saya tidak menolak takdir. Kita beriman pada qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Kita semua percaya sampai satu saat dan ketikanya kita semua pasti akan mati.

Saya turut bersedih dengan pengumuman itu. Saya masih berharap walau harapan sekelumit cuma. Selain itu, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dari sudut agama. Islam ada tatacara yang perlu diikuti.

Perkara yang terlintas di fikiran saya selepas itu adalah bagaimana dengan status seorang isteri? Jika benar telah mati, dia perlu beridah. Pengagihan harta pusakanya dan sebagainya.

Bahkan, banyak lagi perkara bermain dalam minda. Alhamdulillah, Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun memberikan pencerahan dari aspek ini.

Sehingga ke saat ini, saya berpegang kepada pendapat bahawa mereka hilang. Mati? Saya tidak tahu. Allah lebih mengetahui. 

Sesungguhnya, tidak bergerak satu zarah pun tanpa izin dan kuasaNya. Wallahu'alam.



Kenapa Aku?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Menarik perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Don malam tadi. Satu bab yang disentuh adalah persoalan yang selalu terdetik dalam hati kita apabila ditimpa musibah iaitu 'kenapa aku?'.

Kata ustaz, soalan 'kenapa aku' ini menunjukkan kita sama macam manusia biasa. Para nabi juga pernah bertanya soalan yang sama kepada Allah kerana nabi juga adalah manusia. Bezanya, para nabi adalah manusia mulia yang diangkat darjatnya di sisi Allah. Mereka insan pilihan Allah.

Terdapat satu kisah dalam kitab sirah, salah satunya bertajuk Firasat oleh Ustaz Mahadir Haji Juoi tentang kisah Nabi Musa a.s. (tolong betulkan saya kalau saya tersilap). Diceritakan Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah, bagaimana Allah menetapkan takdir?

Lalu, Allah perintahkan Nabi Musa a.s pergi ke sebuah perigi dan memerhatikan perigi tersebut dari tempat yang tersembunyi.

Tidak lama selepas itu, datang seorang pemburu menaiki kuda ke perigi itu untuk meminum air. Di pinggang pemburu itu ada satu uncang berisi emas. 

Bimbang uncang emas itu terjatuh ke dalam perigi, pemburu ini meletakkan uncangnya di tepi perigi itu. Selesai minum, dia berlalu pergi dan terlupa untuk mengambil uncang emas yang diletakkan di tepi perigi tadi. 

Kemudian, datang seorang pengembala kambing ke perigi itu untuk memberi kambing-kambingnya minum. Pengembala kambing ini menjumpai uncang berisi emas (yang ditinggalkan oleh pemburu) di situ. Tanpa membuang masa, pengembala ini melarikan uncang tersebut.

Selepas pengembala kambing meninggalkan perigi bersama uncang emas, datang pula seorang tua ke situ untuk minum. Apabila sudah hilang dahaganya, dia pun berehat di situ.

Tiba-tiba datang pemburu tadi dan terus menumbuk orang tua itu sehingga mati kerana disangkanya orang tua itu telah mencuri uncang emasnya.

Nabi Musa a.s yang menyaksikan hal tersebut bertanya kepada Allah. Lalu, Allah menceritakan bahawa bapa si pemburu ini pernah meminjam wang daripada bapa pengembala kambing. Emas yang terdapat dalam uncang adalah bersamaan dengan jumlah yang dipinjam oleh ayah si pemburu. Jadi, pengembala kambing hanya mengambil haknya saja.

Manakala tindakan pemburu membunuh orang tua yang sedang berehat di situ dalam keadaan tergesa-gesa dan tanpa usul periksa adalah satu bentuk balasan atas perbuatannya (orang tua) kerana telah mebunuh ayah si pemburu.



Inilah keadilan Allah. Lihatlah bagaimana Allah mentakdirkan sesuatu. Pasti ada sebab dan alasannya. Perkara yang tidak mampu ditafsirkan oleh mata, tidak dapat difikirkan dengan akal dan hanya dapat dilihat dengan mata hati kerana disitulah letaknya hikmah yang tersembunyi.

Wallahu'alam.


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015