Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts

Friday 9 May 2014

Menerima Nikmat

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Bismillah.

Nikmat adalah sesuatu kurniaan Allah yang menggembirakan hati kita. Nikmat hadir dalam bermacam-macam bentuk dan rupa. 

Fitrah manusia tatkala mendapat nikmat pastinya kita akan berasa gembira. Apatah lagi jika nikmat itu sememangnya telah lama dinantikan oleh kita.

Antara nikmat yang disebut-sebut oleh sebahagian besar daripada kita adalah nikmat jodoh, anak, naik pangkat, duit (bonus, pusaka dan lain-lain) dan banyak lagi sebenarnya.

Bagaimana reaksi kita apabila mendapat nikmat tersebut? Pastinya gembira dan bahagia bukan kepalang. Mulut pula tidak jemu-jemu mengungkapkan syukur ke hadrat Allah atas segala limpahan rahmat dan nikmatNya kepada kita.

Itulah sepatutnya yang kita sebagai hambaNya lakukan. Rendah diri dan memuji Allah kerana tidak mungkin nikmat itu kita miliki jika Dia tidak mengizinkannya.

Namun, ramai yang terlupa bahawa bersama-sama nikmat itu ada ujian yang menanti. Ada musibah yang bakal menguji.

Inilah pesanan yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Mahmud agar kita sentiasa berwaspada. Di sebalik nikmat yang kita dapat, besertanya adalah musibah yang tersirat.

Jangan hanya dibuai keseronokan mendapat nikmat, tetapi berdoa dan pohonlah kepada Allah agar dipelihara daripada musibah yang hadir bersama nikmat itu.

Kita bersyukur kerana Allah memberi kita nikmat tersebut. Cuma kita minta jika ada musibah yang terlindung di sebalik nikmat itu, kita kembalikan semula musibah itu kepada Allah.

Misalnya kita dapat naik pangkat. Kita seronok dan bersyukur kerana Allah berikan rezeki  kepada kita. Tetapi jangan pula kita lupa untuk berdoa.

"Ya Allah, aku bersyukur atas nikmat naik pangkat yang Engkau berikan kepada aku. Aku sedar Ya Allah, bersama-sama nikmat ini ada musibahnya (ujian) untuk aku. 

Lindungilah aku daripada apa jua musibah yang Kau tetapkan bersama pangkat ini. Peliharalah aku daripada hasad dengki dan fitnah daripada orang lain.

Aku mahu nikmat ini, ya Allah. Aku tidak mahu musibah ini, ya Allah. Maka aku kembalikan musibah ini kepadaMu, ya Allah."

Orang tua dulu selalu berpesan, jangan seronok sangat nanti kita menangis. Inilah yang mereka cuba sampaikan kepada kita. Bukan menghalang kita berseronok tetapi sebagai peringatan untuk kita kerana dalam bekas gula selalunya ada semut yang menghurung.

Wallahu'alam.





Thursday 8 May 2014

DIY Botol Kosong

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Botol-botol kaca dan plastik yang kosong memang banyak di rumah. Mana tidaknya, sos tomato, cili, kicap, cuka dan banyak lagi semuanya dibotolkan.

Selain boleh jual semula botol-botol ini untuk dapatkan duit dan kitar semula, kita boleh dipelbagaikan fungsinya di rumah kita.

1. Pasu bunga. Paling mudah, basuh botol bersih-bersih. Kemudian, masukkan air ke dalam botol dan masukkan bunga-bunga segar. Dulu-dulu tok saya suka letak bunga orkid sebab orkid adalah bunga kesayangannya.


2. Penyembur air (water spray). Hanya menggunakan botol yang telah dibersihkan. Kemudian letakkan plastik penyembur pada mulut botol. Dalam botol tersebut, boleh masukkan air, sabun cuci tangan, gel mandian dan lain-lain lagi.


3. Pemegang lilin. Satu cara yang kreatif sebagai hiasan meja makan atau pun boleh diaplikasikan ketika ketiadaan bekalan elektrik. Cuma perlu lebih berhati-hati kerana kemungkinan lilin terjatuh (kedudukannya yang terlalu tinggi di mulut botol menyebabkannya tidak stabil).



4. Rolling pin atau pencanai. Sebagai wanita yang banyak menghabiskan masa di dapur, memanglah seronok kalau ada set atau gajet memasak yang lengkap serba-serbi. Tetapi itu bukan alasan dan halangan untuk kita memasak. Boleh gunakan botol sebagai rolling pin untuk mencanai karipap atau kuih-muih sempena hari raya nanti. Bersihkan botol, buang segala pelekat label dan sisa-sisa gam yang ada. Keringkan dan bolehlah digunakan.


Mengapa Saya Menulis?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Bismillah.

Bakat saya dalam penulisan tidaklah seberapa. Tetapi itulah satu-satunya bakat yang saya ada. Melihat orang lain mampu melukis dengan cantik, ada juga keinginan yang sama terbit di hati saya. Cuma bakat saya setakat tekap dan tiru.

Saya lebih banyak memaksa diri saya untuk menulis. Hampir kebanyakan waktu taktik ini berkesan untuk saya. Ada masanya saya juga buntu, tidak ada apa yang hendak ditulis di sini.

Saya mengharapkan agar catatan saya di sini tidak kekal hanya sebagai catatan. Betul, blog ini tempat saya mencari makan dalam lapangan bisnes. 

Bagi saya, saya tidak mahu sekadar berakhir di situ. Matlamat saya jelas, saya mahukan jika ada sebarang kebaikan pada catatan saya ini mudah-mudahan inilah bekalan dan saham yang berterusan apabila saya sudah tiada kelak.

Hidup bukan sekadar hidup kerana jika hidup sekadar untuk hidup, maka kita adalah hidup-hidupan. Sementara kata-kata Pak Hamka jauh lebih keras dan tajam. Katanya, kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja.

Photo


Wallahu'alam.

Tuesday 6 May 2014

Ibu Tunggal Berjiwa Kental

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Besar jiwanya menadah setiap ujian yang tiba. Ketika ditebak rasa hatinya, ini jawapan yang beliau berikan, "Alhamdulillah, dulu Allah tentukan saya menjadi ibu tunggal. Alhamdulillah, sekarang Allah pilih saya menjadi usahawan."

Pemilik H'aNNisa Bakes, Puan Roshannisa Che Kassim melepaskan jawatannya di sebuah firma perkapalan terkemuka setelah hampir 20 tahun berkhidmat untuk terjun dalam dunia bakeri. 

Selepas beliau berpisah dengan suami, beliau nekad untuk menceburkan diri dalam dunia keusahawanan demi masa depan anak-anaknya. Tambahan pula, anak sulung beliau adalah orang kelainan upaya (OKU).

Faktor utama yang mendorong ibu kepada tiga orang cahaya mata ini berniaga adalah rentetan kerjayanya sebelum ini yang membataskan masanya bersama anak-anak. Melalui perniagaan, beliau dapat memberikan lebih tumpuan dalam menguruskan mereka.

Permohonan Ditolak

Tiga kali permohonannya untuk mendapatkan bantuan sebagai ibu tunggal daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JIKM) ditolak. Namun, tidak sedikit pun mencarikkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan.

Bagi beliau, kegagalan itu membuka pintu rezeki yang lebih besar yang Allah kurniakan buat mereka sekeluarga melalui jalan perniagaan. 

Benarlah seperti mana kata Dato' Roslan. Apabila Allah pandang kita, dia berikan ujiian. Apabila kita REDHA pada pukulan pertama, itulah lapisan terbaik sebagai pelapik jiwa.

Ilmu

Tidak hanya bersandarkan kepada takdir, beliau berusaha menimba ilmu dengan menghadiri kursus berkaitan bakeri untuk menambah ilmu pengetahuan. Di samping menggilap bakat dan kemahiran yang tersimpan.


Modal Kecil 


Dua tahun yang lalu, beliau memulakan bisnes dengan hanya bermodalkan RM 20 di tangan. Kini beliau memiliki mesin pengadun dan pembakar roti yang lebih besar.  Pendapatan bersih yang diperoleh setiap bulan juga semakin meningkat.

Beliau juga bertindak menjadi pembekal bihun jenama Sufi untuk menambahkan lagi sumber pendapatan mereka sekeluarga.

Pasaran

Produk keluarannya telah pun mendapat tempat di beberapa buah sekolah di kawasan sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang. Jangan terkejut kerana produk berasaskan roti keluarannya telah pun sampai ke Johor sekarang.

Selain menjual produk roti, beliau turut menerima tempahan lasagna berintikan ayam atau daging daripada masyarakat setempat. Harga lasagna ini bergantung kepada saiz bekas dan dijual pada harga RM 15 dan RM 35.

Sumbangan Kepada Masyarakat

Kesibukan dengan tugas dan tanggungjawabnya terhadap keluarga dan perniagaan, sedikit pun tidak menghalang beliau untuk berbakti kepada komuniti setempat.

Impian beliau agar suatu hari nanti beliau dapat membina dunia keusahawan khusus untuk golongan ibu tunggal. 

Di samping melibatkan diri dengan kerja-kerja sosial, beliau juga diamanahkan untuk mengetahui bahagian pembangunan wanita di tempat tinggalnya.

Beliau turut mengambil inisiatif sendiri dengan menganjurkan Bengkel Demonstrasi Baking Roti pada bulan Februari yang lalu.

Harapan

Beliau mengharapkan agar lasagna keluaran H'aNNiSa Bakes dapat merebut tempat dalam pasaran halal melalui penyertaan kali pertama syarikatnya dalam Persidangan dan Pameran Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) yang lalu.


Kesimpulan

Semoga bisnes Puan Roshannisa akan terus berkembang maju dan akan dapat membantu lebih ramai ibu tunggal untuk berjaya seperti beliau.

Saya juga berharap agar kita semua dapat belajar  dan mengambil manfaat daripada kisah ini.



Monday 5 May 2014

Sediakan Payung Sebelum Hujan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Selalu sangat kita dengar pepatah sediakan payung sebelum hujan. Kalau hujan turun baru kita cari payung, alamatnya basah kuyuplah kita.

Samalah juga halnya dengan keadaan kewangan kita. Ramai orang tidak bersedia berdepan dengan segala macam kemungkinan pada masa hadapan. Contoh terdekat, GST.

Tanya diri kita, sejauh mana kita bersedia? Dengan GST yang hampir pasti akan dilaksanakan dan kita terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin menjerut kewangan kita.

Dalam situasi sekarang pun, kos sara hidup sudah cukup tinggi dan makin meningkat setiap hari. Ramai yang rasa selesa dengan satu sumber pendapatan yang mereka ada.

Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) mencadangkan agar rakyat Malaysia membuat kerja sampingan untuk menambah pendapatan. Ini susulan jumlah rakyat negara ini yang mempunyai masalah kewangan agak ramai.

Baru-baru ini saya ada terbaca dalam sebuah akhbar seorang bapa kepada mangsa tragedi MH370 yang terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menampung kehidupan. Kesian kan?


Dengan usianya yang sebaya ayah kita, masih lagi perlu bekerja. Bukan kerja tetap pula, kerja sambilan yang upahnya dibayar mengikut jam bekerja. Ada kerja, ada duit. 



Tidak ada sesiapa pun yang meminta tragedi ini berlaku. Beliau sendiri tidak menduga bahawa anak yang selama ini tempat mereka sekeluaga bergantung harap hilang tanpa khabar berita, tidak tahu entah di mana.

Kita pula bagaimana? Sampai bila kita ingin bersikap tunggu dan lihat? Masa tidak pernah menunggu kita. Jangan tunggu sampai tahap kewangan kita parah, baru kita ingin bertindak. 

Orang berjaya, mereka bertindak luar biasa. Mereka tidak bertangguh. Orang gagal, mereka bertindak biasa-biasa. Mereka luar biasa bertangguh. 

Jangan hanya bergantung harap kepada satu punca pendapatan saja. Keadaan hari ini memerlukan kita mempunyai dua sumber pendapatan sebagai sokongan (back up).

Jom jadi orang luar biasa. Apa yang membezakan kita adalah tindakan. Ambil peluang untuk menjana pendapatan tambahan supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.



Sunday 4 May 2014

Sombongkah Kita?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Imam Al-Ghazali menyenaraikan 7 kategori sombong.

1. Sombong kerana memiliki ilmu pengetahuan.

2. Sombong kerana memiliki amal dan ibadah yang banyak.

3. Sombong dengan kedudukan dirinya atau kerana keturunan bangsawannya.

4.  Sombong dengan kecantikannya.

5. Sombong dengan hartanya/kekayaannya.

6. Sombong dengan kekuatan yang ada pada dirinya.

7. Sombong dengan pengikut, pembantu dan handal taulannya.

Kita tidak akan bersikap sombong jika kita sedar bahawa apa saja yang kita ada adalah pinjaman daripada Allah semata-mata. Bagaimana mungkin kita menyombong diri bila mana kita langsung tidak punya apa-apa? 

Wednesday 30 April 2014

Persediaan Sebelum Berhenti Kerja

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya faham isi hati para ibu yang bekerja di luar rumah. Naluri untuk duduk di rumah membesarkan anak-anak sering meronta-meronta. 

Meletak jawatan atau berhenti kerja memang mudah. Sekelip mata saja kita boleh buat. Bagi notis sebulan dua, tunggu sampai waktunya. Berakhirlah kerjaya kita di situ.

Jangan terburu-buru membuat keputusan supaya perkara ini tidak menjadi sesuatu yang kita sesalkan. Terutamanya apabila kita ingin mula bekerja dari rumah.

Kutip sebanyak mungkin ilmu. Sekarang ini banyak sumber ilmu yang di sekeliling kita. Hadirlah ke mana-mana bengkel dan seminar untuk tujuan ini. Ada juga kelas yang dijalankan secara online.

Kemudian, mulakan bisnes secara kecil-kecilan. Bila sudah mampu menjana pendapatan secara konsisten hasil bekerja dari rumah secara sambilan, barulah pertimbangkan untuk berhenti kerja. 

Jangan sesekali berhenti secara mendadak jika kita mempunyai pelbagai komitmen untuk dilunaskan setiap bulan (rumah, kereta, pinjaman pelajaran dan lain-lain). Kecualilah jika pasangan kita mampu menanggung semuanya.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Pendaftaran kelas-kelas dan servis dibuka setiap hari:

1. Kelas asas blog dan penulisan - online & offline
2. Kelas asas blog, fanpage dan mula bisnes} - online & offline
3. Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif
4. Kelas beriklan mudah.my
5. Kelas urus akaun wahm/soho, boleh pilih mana-mana kategori berikut, 2 trainer kewangan/akaun bertugas
-bengkel akaun sehari 10.5.2014, di Shah Alam, Selangor.
-kelas akaun online
-personal coaching
6. Pendaftaran pengurus online akademi
7. Kelas belajar borong telekung solat
8. Beriklan dengan kami di sini http://sohodirectory.blogspot.com/
9. Tempahan blog bisnes-3 hari siap
10.Kenali kami, baca lagi tentang akademi di sini ya http:/akademibekerjadirumah.blogspot.com/

Hubungi saya.

Facebook: Nor Adilah
Email: noradilah.ahmadshokori@gmail.com


Nor Adilah Ahmad Shokori
Pengurus Online,
Akademi Bekerja Di Rumah.


3 Tips Pengurusan Masa Bagi WAHM

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Cabaran utama yang terpaksa dihadapi oleh para suri yang memilih untuk bekerja dari rumah adalah pengurusan masa. Tidak mudah untuk bekerja dari rumah apatah lagi dengan anak-anak yang masih kecil.

Kita boleh merancang namun ada masanya perancangan kita tidak berjalan seperti yang kita harapkan. Bayangkan, ketika kita baru mengadap laptop atau gajet untuk menulis atau memuat naik gambar di media sosial (facebook, instagram, twitter dan blog), anak-anak mula menangis.

Ada yang merengek inginkan perhatian, ada yang bergaduh kerana si abang memukul adik, ada pula yang berebut mainan, ada yang mengajak kita bermain bersama, ada yang ingin menyusu/makan, buang air dan pelbagai lagi. 

Semuanya menuntut perhatian kita. Belum lagi mengambil kira jika mereka tidak sihat, letih, mengantuk dan 1001 kerenah yang mahu atau tidak kita kena tanganinya dengan bijaksana. Lumrah anak-anak, begitulah. Bila mereka besar kelak, itulah yang akan kita rindukan.

Justeru, penting untuk kita cuba menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran. Apa saja boleh berlaku dan di luar kawalan kita. Bagi yang berpengalaman bekerja di pejabat, situasi ini sangat berbeza.

Jika di pejabat, masa dan tumpuan kita terhadap kerja-kerja yang diberikan. Anak-anak kita tinggalkan di rumah pengasuh atau pusat jagaan. Di rumah, setiap hari inilah yang akan kita lalui. Bergelut dengan tugasan di rumah dan anak-anak serta bisnes yang kita jalankan.

Oleh itu, penting untuk kita kembali kepada matlamat asal kita mengapa kita membuat keputusan untuk bekerja di rumah? 

Sebab utama kita memilih untuk bekerja di rumah supaya kita mempunyai banyak masa bersama keluarga dan melihat anak-anak membesar di depan mata.

Pada masa yang sama, kita ingin berjaya dalam bisnes (juga dengan kerjaya kita). Ini akan menguatkan tekad dan azam kita agar tidak mudah berputus asa. 

3 tips pengurusan masa yang boleh dipraktikkan oleh para suri yang bekerja dari rumah ketika anak-anak masih lagi kecil.

Buat jadual. Senaraikan tugasan yang perlu disempurnakan untuk hari tersebut. Ini dapat membantu kita mengatur masa dengan sebaik-baiknya.
Jadi para suri dapat membahagikan masa antara bisnes dan keluarga dengan betul dan tidak ada yang terabai. Contohnya, waktu anak tidur atau ke sekolah dapat digunakan untuk bisnes/kerja (yang dijalankan dari rumah).

Namun, perlu diingat bahawa masa ini sering berubah-ubah mengikut situasi dan keadaan pada hari tersebut (keperluan dan kemahuan anak-anak yang tidak menentu dan mengira masa).

Perancangan waktu sangat mustahak bagi yang bekerja dari rumah. Tanpa perancangan, waktu akan terbuang begitu saja dan menyebabkan kita gagal menyeimbangkan antara bisnes dan keluarga.

Kenal pasti waktu paling produktif. Bekerja dari rumah bukan bermaksud kita bekerja sama seperti kita bekerja makan gaji. Waktu bekerja adalah tidak tetap.

Oleh itu, dengan mengetahui waktu yang benar-benar kita dapat memberikan tumpuan terhadap kerja-kerja berkaitan bisnes dan sebagainya. Jadi, kita hanya perlu memperuntukan sejumlah masa (mungkin 15-20 minit) untuk menyelesaikan tugas tersebut.

Misalnya, kita suka bekerja pada jam 5 pagi kerana pada waktu itu sunyi, tenaga banyak dan badan segar. Maka, bangun lebih awal untuk solat malam, kemudian mulalah membaca untuk mencari idea dan menulis (blog, facebook dan lain-lain).

Segalanya sudah makin mudah sekarang ini. Kita hanya perlu siapkan tugasan seperti entri dan status di media sosial, selepas itu pilih masa itu paparan (post) itu muncul pada masa yang kita kehendaki.

Bolehlah kita buat kerja yang lain pula. Malah, kita boleh rancang segalanya untuk tempoh sebulan akan datang. Hebatkan?

Tetapi sekali lagi, masa ini juga tidak rigid kerana mungkin anak-anak terjaga dan sebagainya. Pandai-pandailah kita sesuaikan masa yang ada.

Beri ganjaran kepada diri sendiri. Tanggungjawab yang dipikul sebagai suri cukup berat. Menguruskan sendiri anak-anak tanpa, ditambah pula dengan kerja-kerja rumah yang tidak pernah berhenti sejak celik mata hingga kita tidur cukup memenatkan.

Rutin ini akan berlangsung setiap hari. Semakin bertambah apabila kita bekerja di rumah.

Berhenti sekejap dan renungkan semua yang telah berjaya kita capai dan sudahkan setiap hari. Pasti kita tidak menyangka bahawa kita telah berjaya melakukannya dengan segala macam cabaran yang telah kita harungi.

Kita layak mendapat ganjaran atas usaha keras kita itu. Rehat dan kumpul semula kekuatan kita walaupun dengan hanya bersantai-santai di rumah. Walau apa pun, jangan lupa untuk merehat dan memanjakan diri seketika.

Ingatan untuk kita semua, hampir mustahil untuk kita melakukan semua perkara tanpa sedikit pun perancangan, penyusunan kerja mengikut keutamaan. Ini akan menjadikan kerja-kerja kita lebih mudah diurus.





Tuesday 29 April 2014

Bulan Rejab

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Assalamualaikum.
Sempena kedatangan 1 Rajab (Rejab) yang jatuh pada esok hari, saya coretkan amalan-amalan yang digalakkan untuk kita lakukan sepanjang bulan ini seperti yang disampaikan oleh Ustaz Muhadhir Joll.

Sayyidul Istighfar

Antara amalan yang disarankan untuk diamalkan ialah istighfar,tasbih dan doa taubat iaitu sebanyak 70 kali pada waktu pagi dan 70 kali pada waktu petang dengan mengangkat tangan (seperti mana kita berdoa). Kata ulama, sesiapa yang mengamalkannya akan diampunkan dosanya oleh Allah.

 Doa Taubat

Waktu terbaik adalah selepas waktu solat atau pun jika tidak berkesempatan, lakukanlah ketika menaiki kenderaan untuk ke tempat kerja dan sebagainya. Amalan ini dibuat oleh salafussoleh. Amalan ini turut diamalkan oleh Habib Zain ibni Ibrahim ketika datang ke Malaysia. (Habib Zain ini dikenali sebagai Imam Shafie kecil kerana seorang yang alim dan faqih)

Ustaz Shamsuri pula merumuskan bahawa tidak terdapat amalan-amalan lain yang dilakukan oleh Rasulullah SAW khusus pada bulan Rejab. Sebaliknya amalan-amalan sunat contohnya puasa adalah sama saja seperti yang dibuat oleh baginda pada bulan-bulan yang lain.

Walau bagaimanapun, tidak menjadi satu kesalahan bagi sesiapa saja yang ingin berpuasa pada bulan Rajab sebagai satu bentuk latihan sebelum tibanya bulan Ramadan. 

Wallahu'alam.



Monday 28 April 2014

Bukan Sekadar Mangga

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori & Google


Assalamualaikum.
Riak-riak hujan mulai kelihatan. Cuaca agak tidak menentu sekarang. Sekejap panas, sekejap hujan. Walau apa pun, kita bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah kurniakan.
Boleh dikatakan sekarang ni adalah musim buah-buahan. Sana sini orang bercakap tentang buah mangga. Di rumah saya sendiri, buah mangga epal dan harumanis berbuah lebat. Seronok melihat buah-buah bergayutan di pokok (SINI)

 

Berdasarkan pembacaan saya di dalam buku Rasulullah Is My Doctor yang ditulis oleh Jerry D. Gray, setiap bahagian pokok mangga mempunyai fungsi dan khasiat tersendiri. Bahagian ini merangkumi akar, kulit pokok, bunga muda dan matang serta biji mangga.

Selain memiliki khasiat penyembuhan dan pengubatan, mangga dipercayai dapat menguatkan otot pada tubuh manusia. Mangga juga mampu memberikan lebih daya tahan terhadap badan untuk melawan penyakit dan membunuh kuman.


Jus mangga yang dicampur dengan susu (mango lassi) berupaya meningkatkan kekuatan dan tenaga. Oleh itu, pengambilan secara berterusan pada waktu petang dapat mengurangkan keletihan yang dialami.

Mangga juga memiliki khasiat dari sudut kecantikan. Memakan buah mangga secara teratur dan berterusan mampu menjadikan kulit lebih cantik. Di samping membantu proses pelawasan setiap hari.

Daun mangga juga tidak kurang mempunyai manfaat yang tidak diketahui ramai. Daun mangga yang dibakar sehingga menjadi abu dapat digunakan untuk mengurangkan rasa sakit akibat luka terbakar. Caranya, ambil abu daun mangga dan tampalkan pada luka tersebut.

Manakala, kulit kayu mangga seberat kira-kira 20 gram yang dididihkan dalam tiga cawan air hingga tinggal separuh mampu merawat masalah cirit-birit.

Yang terakhir adalah ramuan untuk merawat penyakit batu hempedu. Campurkan kira-kira 10 gram daun mangga yang dikeringkan (kisar hingga menjadi serbuk) ke dalam dan minum setiap hari. Ramuan ini berkesan untuk memecah dan menyingkirkan batu tersebut dari tubuh. Insya-Allah.

Subhanallah, betapa setiap kejadian Allah tidak ada satu pun yang sia-sia. Dari akar hingga ke buah, sampai ke bijinya bermanfaat untuk manusia.

Wallahu’alam.



Saturday 26 April 2014

Kempen Hijau

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Assalamualaikum.

Simpan dahulu sebelum berbelanja bukan sebaliknya. Setiap kali menerima pendapatan, asingkan bahagian yang ingin disimpan. Selebihnya digunakan untuk perbelanjaan dan sebagainya.

Kadar yang disarankan untuk disimpan adalah sebanyak 10 peratus. Namun, jumlah yang ingin disimpan itu terpulang kepada individu tersebut. Tidak ada gunanya kita menyimpan sejumlah wang yang banyak setiap bulan, tetapi di akhirnya kita mengeluarkan wang tersebut untuk dibelanjakan.

Simpanan bukanlah untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya. Malah simpanan juga harus dibahagikan kepada beberapa bahagian sesuai dengan keperluan dan matlamat sebenar. Contohnya simpanan untuk kecemasan, haji dan sebagainya.

Selain daripada keperluan, manusia juga mempunyai nafsu yang berkehendakkan terhadap sesuatu. Fitrah ini perlu diurus dengan sebaiknya. Ramai yang tewas dan dibelenggu masalah kewangan ekoran terlalu menurut kehendak.

Antara langkah bijak dalam memenuhi kemahuan dan kehendak ini adalah dengan menggunakan kaedah tabungan khusus. Kaedah ini dapat melatih diri berbelanja mengikut kemampuan dan mengelakkan berhutang.

Apabila timbul keinginan untuk membeli sesuatu, satu tabungan khusus perlu dibuat. Peruntukan daripada pendapatan yang diperoleh akan digunakan untuk tabungan khusus ini. Pada masa yang sama tidak menjejaskan tabungan tetap yang telah dibuat setiap bulan.


Dalam merealisasikan tabungan khususnya ini beberapa perkara kemahuan lain perlu dikurangkan atau dikorbankan untuk sementara waktu. Misalnya perbelanjaan untuk makan di luar atau perbelanjaan untuk hobi dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, bajet untuk memenuhi kehendak yang baru ini dapat diadakan. 


Kaedah tabungan yang lebih praktikal untuk dibuat adalah seperti yang dicadangkan oleh Tuan Shamsuddin Kadir kepada peserta kursus kewangannya iaitu menyimpan wang kertas RM 5 yang dimiliki. Setiap helai wang kertas hijau ini (RM 5) perlu disimpan dan dimasukkan ke dalam tabung khas.


Wang ini tidak boleh dibelanjakan sama sekali. Jika ingin berbelanja, gunalah wang kertas yang lain kerana si hijau ini dikhususkan untuk simpanan. Jika kaedah ini diamalkan secara konsisten dan disiplin yang tinggi, sudah tentu hasilnya tidak akan mengecewakan.


Kempen si hijau ini boleh dilanjutkan ke satu tahap lagi iaitu kempen si oren. Si oren merujuk kepada wang kertas RM 20. Sesuai dengan angkanya yang lebih besar, maka cabarannya agak hebat untuk menyimpan si oren ini. Tidak mudah untuk mengekang kehendak dan kemahuan berbelanja dengan nilai tersebut di tangan.


Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa si hijau dan si oren yang dipilih? Sebenarnya, kedua-dua wang kertas ini agak jarang diperoleh. Disebabkan jarang diperoleh, maka lebih mudah untuk disimpan jika dibandingkan dengan wang kertas RM 1 dan RM 10.


Saya sendiri pernah mempratikkan amalan menabung dengan cara ini. Ini berpunca daripada kesukaran untuk melatih diri saya menabung. Oleh kerana saya masih belajar dan wang tidak banyak, jadi saya memilih untuk menabung semua wang syiling yang saya miliki.


Apatah lagi, dompet saya ketika itu tidak ada tempat untuk meletakkan duit syiling. Kekurangan itu menyebabkan saya tidak selesa untuk membawa duit syiling. Hikmahnya, semua duit syiling yang saya dapat, terus saya masukkan ke dalam tabung.




Hasilnya memang sangat mengujakan. Setiap penghujung semester, jumlah yang terkumpul mencecah ratusan ringgit. Cabaran terbesar saya apabila duit-duit syiling itu ditukarkan kepada duit kertas, yang mendorong saya untuk berbelanja secara berlebihan.


Kebanyakan kawan-kawan di kolej yang tahu saya mengumpulkan duit syiling akan datang beramai-ramai ke bilik saya untuk menukar duit kertas mereka  dengan duit syiling saya. Mereka terpaksa menukar duit kertas dengan duit syiling kerana ingin menggunakan mesin basuh di kolej. Sedangkan helaian  wang kertas sering menggoda saya untuk berbelanja dan inilah kelemahan saya ketika itu. 

Bagi yang ingin memulakan kempen si hijau ini, saya doakan anda berjaya. Mudah-mudahan anda dapat hidup dengan tenang tanpa hutang.



ِ

Wednesday 23 April 2014

Panduan Masak Sambal Tumis Sedap

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Perkongsian ini saya peroleh dari wall ayahanda Mamak Haji, hasil perbincangan beliau bersama rakan-rakannya di facebook. Saya telah meminta izin daripada beliau untuk memanjangkan catatan ini supaya dapat dijadikan bahan rujukan.

Segalanya bermula apabila seorang sahabat Mamak Haji ingin memulakan bisnes meminta pendapatnya tentang cara memasak sambal tumis yang sedap. Menurut Mamak Haji, sambal tumis yang terbaik adalah sambal yang tahan lama dan tidak mudah basi.

Sambal yang sedap tidak hanya bergantung kepada resepi, tetapi juga melibatkan proses penyediaan cili sehinggalah kepada teknik menumis.

1. Pemilihan cili kering.
Pilihlah cili kering yang berkerinting berbanding cili kering yang berkilat. Ini kerana cili yang berkerinting kurang pedas dan memiliki rasa yang lebih enak.

2. Buang biji cili kering.
Kaedah pertama: Kalau boleh buang dulu biji cili dengan menggunting cili itu secara menyerong 45 darjah. Biji cili yang banyak akan menyebabkan rasa yang kurang enak.

3. Rebus cili kering.
Basuh dan buang biji cili tersebut. Kemudian rebus supaya cili kembang dan lembut.

4. Kisar cili kering (dengan blender)
Air yang digunakan untuk merebus cili jangan dibuang. Sebaliknya gunakan air rebusan tadi untuk mengisar cili kering yang telah direbus. Masukkan sedikit minyak ke dalam blender supaya blender tidak hangus. Jika cili kering yang ingin dikisar itu banyak, masukkan lebih minyak ke dalam blender. Minyak juga berfungsi untuk mengelakkan daripada cili cepat basi.

5. Bahan lain (blend)
Ada macam-macam versi. Ada yang suka kisar cili kering bersama dengan bawang besar atau bawang merah, bawang putih dan belacan. Kalau saya sendiri, saya tidak suka menggunakan bawang putih dan belacan untuk masak sambal.
Selain menggunakan bawang dan belacan, bahan lain yang boleh dikisar dengan cili kering ialah ikan bilis, udang kering atau pun buah keras (rasa lemak).

* Biasanya peniaga nasi lemak menggunakan belacan yang lebih murah harganya dan serdak ikan bilis untuk menjimatkan kos.
* Ikan bilis yang dikisar bersama cili berfungsi sebagai stok.
* Ada yang suka blend semua bahan serentak, ada juga yang suka blend cili dan bawang berasingan.
* Guna bawang dalam kuantiti yang banyak (bawang memberikan rasa manis kepada sambal).

6. Sukatan air (untuk blend)
Bubuh cili dan bawang sehingga hampir penuh blender. Masukkan air kira-kira 1/3 blender. Kalau masa blend ada bunyi tersekat-sekat maknanya air tidak cukup. Cuma pastikan cili kisar tidak terlalu cair kerana air yang banyak melambatkan proses memasak sambal).

7. Cara masak (tumis)
Di bawah ini pelbagai cara yang dikongsikan oleh rakan-rakan facebook beliau:

✔ Blend bawang asing dengan cili. Sebiji bawang besar, 2 biji bawang putih, sedikit belacan, secubit ikan bilis dikisar. Kemudian, tumis sampai masak elok dengan minyak secukupnya.


✔ Segenggam cili kering yang telah dikisar dimasukkan ke dalam tumisan bawang. Masak perlahan-lahan sekurang-kurangnya selama 30 minit. Selepas itu, masukkan sebiji bawang yang dihiris, air asam jawa, garam dan gula.

✔ Cili kering yang telah direbus sehingga betul-betul kembang dikisar bersama bawang yang agak banyak. Jika suka, tambahkan ikan bilis semasa blend cili dan bawang. Tumis dengan minyak yang banyak dan api yang kecil. Bila cili sudah betul-betul garing dan pecah minyak, masukkan air asam jawa, gula dan garam. Biar lagi, merenih lama sikit. Bila agak-agak sudah pekat, baru masukkan ikan bilis yang telah digoreng. Jaga api supaya tidak hangit. Sambal ini tahan 4-5 hari di luar tanpa perlu dihangatkan.

✔ Tumis bawang hingga naik bau dan air bawang berkurangan. Lepas itu baru campurkan cili dan sambung menumis (Menumis akan memakan masa yang lama).

✔ Semasa menumis cili, gunakan api paling kecil sampai cili betul-betul masak dan naik minyak. Minyak kena banyak barulah cili betul-betul masak dan tidak hangus. Sambal yang sedap menggunakan bawang basar yang banyak (kisar sekali dengan cili dan ikan bilis). Bubuh air asam jawa, garam dan gula secukupnya. Masukkan ikan bilis yang telah digoreng (kalau ikan bilis goreng sudah masin, kurangkan garam dalam sambal)

✔ Kisar bawang besar dengan sedikit air kerana bawang sudah mengandungi air yang banyak. Kemudian tapiskan. Air bawang digunakan untuk kisar cili kering, minyak dan ikan bilis. Jadi, apabila memasak cili nanti tidak perlu menunggu lama untuk keringkan airnya.

Bila sudah siap ksar, masukkan ke dalam periuk. Agak-agak telah kering airnya, baru masukkan minyak yang banyak. Terus masak dengan api yang kecil dan kacau selalu.

Sukatan yang biasa digunakan ialah 1 mangkuk cili kering rebus, 2 mangkuk bawang besar siap dihiris dan 2-3 genggam ikan bilis untuk dikisar.

✔ Sambal yang dimasak dengan betul akan berwarna merah berkilat. Kawal api supaya tidak hangus dan garing seperti yang dikehendaki. Kacau cili kisar hingga sampai pecah minyak.

✔ Masukkan pes tomyam untuk rasa yang lebih enak.

✔ Ada lagi satu cara buat sambal tumis tahan lama. Basuh cili kering jgn dipotong biar sebiji2. Toskan. Panaskan 1 cawan minyak goreng cili tadi dengan api kuat sehingga nampak nak garing tapi jangan hangus. Lepas itu kisar guna air. Baki minyak guna semula kalau tidak cukup tambah lagi. Ketika ini tumis sudah tidak lama sebab cili telah masak tadi. Kurangkan masa masak sambal untuk garingkan cili.

 Untuk mengelakkan minyak merecik di dapur, tutup periuk itu. Masa hendak kacau, matikan api dapur, tunggu sampai sambal sudah tidak lagi meletup. Kacau, tutup periuk dan hidupkan api. Ini dapat mengelakkan terkena tangan dan dapur kotor. Bila air telah kering, tidak perlu tutup periuk lagi.

 Gunakan api kecil masa memasak. Tutp dengan periuk kukus supaya minyak tidak terpercik. Bubuh garam, gula dan asam keping agar lebih tahan lama.

 Letak cili yang sudah dibuang biji. Rebus. Kisar cili kering, bawang besar, bawang kecil, bawang putih, belacan dan buah keras. Tumis sampai pecah minyak. Tambahkan air, asam jawa, gula, garam, sedikit bawang yang dihiris dan ikan bilis yang telah digoreng. Sambal tumis yang dibubuh buah keras akan menjadi lebih sedap dan berlemak.

 Selain menggunakan asam keping atau air asam jawa, boleh gantikan dengan cuka. Secukup rasa.

✔ Untuk mendapatkan warna yang lebih gelap, masukkan gula merah menggantikan gula.







Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015