Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Saya terkenang kisah semasa saya
berumur lima tahun. Ceritanya saya, tok ayah, tok dan seorang sepupu menghadiri
satu majlis perkahwinan. Kami tiba agak lewat sekitar jam 4 petang kerana
terdapat beberapa majlis yang perlu dihadiri sebelumnya.
Kami bertiga dijemput masuk ke
dalam rumah sementara tok ayah saya menuju ke khemah yang disediakan untuk
tetamu lelaki. Saya lihat masing-masing asyik berbual sesama sendiri. Kelibat tuan
rumah tidak pula kelihatan sejak kami sampai.
Rumah itu bukanlah asing bagi
saya dek kerana pertalian keluarga yang wujud antara kami maka saban tahun
khususnya ketika lebaran rumah tersebut merupakan destinasi wajib yang akan
kami kunjungi.
Tidak berapa lama kemudian saya
lihat tuan rumah masuk. Agak janggal apabila dia pura-pura tidak kenal dan memalingkan wajahnya ke arah lain. Kemudian dia menjemput semua yang ada menjamu
selera kecuali kami bertiga. Saya hanya mampu menelan air liur melihat orang
lain menjamu selera. Saya masih ingat yang saya terkebil-kebil memandang wajah
tok saya. Mujur kami sudah sering dipesankan dan diasuh agar jangan suka
meminta-minta. Jika tidak sudah pasti saya memberontak apatah lagi saya memang
betul-betul lapar. Saya cuma diam membungkam.
Sangka saya tuan rumah terlepas
pandang tetapi apabila orang di hadapan, kanan, kiri dan belakang dipersilakan
seorang demi seorang untuk makan saya tahu kehadiran kami tidak dialu-alukan. Kami
bertiga membisu seribu bahasa. Tidak ada rungutan atau pun rengekan baik
daripada saya mahu pun sepupu saya. Ada juga
tetamu yang bersimpati yang mengajak makan bersama. Namun tok saya menolak
ajakan mereka dengan baik.
Sepanjang perjalanan pulang saya
asyik memikirkan tentang hal tersebut. Saya duduk di tepi tingkap kereta
memandang rumah kenduri itu hingga hilang daripada pandangan mata. Saya tidak
bertanya sepatah pun kepada tok saya apa yang berlaku sebenarnya.
Saya hairan, sebelum ini dia melayan
kami sekeluarga dengan baik. Kami bukanlah
orang asing dengan mereka. Kami bersaudara. Pertalian keluarga yang dekat dan
akrab. Mengapa kami dilayan sedemikian rupa? Apa salah kami? Mengapa dia
pura-pura tidak mengenali kami sekeluarga? Setahu saya kami tidak mempunyai
apa-apa masalah.
Saya terfikir satu perkara. Barangkali
kerana tok dan tok ayah saya tidak setaraf dengan tetamu lain yang hadir. Tok ayah
saya sekadar bekerja sebagai pemandu teksi dan kami datang juga dengan menaiki
teksi. Tetamu yang hadir hebat-hebat belaka yang terdiri daripada orang-orang
kenamaan dan golongan professional. Saya terdengar dia memanggil tetamu yang
lain dengan gelaran terhormat.
Saya tidak pernah bercerita
tentang kisah ini kepada sesiapa. Setiap kali saya tatap wajah itu, saya tidak
akan lupa bagaimana dia melayan kami suatu masa dahulu. Sangat berbeza apabila
saya berkunjung dengan kedua ibu bapa saya. Sejak dari insiden tersebut, saya
kurang menyenanginya.
Sehinggalah saya bertemu
dengannya setelah sekian lama. Saya lihat dia terpaksa dipapah oleh
anak-anaknya. Dia sudah tua. Kudratnya sudah tiada. Serta-merta kenangan itu
menerpa di depan mata. Cumanya kali ini hati kecil saya bersuara. Maafkanlah dia.
Itu cerita lama. Kisah masa mudahnya. Sudah pasti dia mengharapkan agar akhir
kehidupannya bersih daripada segala dosa sama ada dengan Tuhan atau pun
manusia. Kita juga banyak salah dan dosa. Tidakkah kita juga berharap akan hal
yang sama? Allah terima taubat kita dan dibukakan hati hambaNya untuk memaafkan
salah kita.
Wallahu’alam.
Astaghfirullah.