Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Kisah di bawah ini adalah
daripada seorang tua yang saya kenal. Ketika mudanya, dia bekerja keras demi
untuk membesarkan anak-anaknya. Pelbagai pekerjaan dilakukan untuk mencari
sesuap nasi. Salah satunya adalah menoreh getah.
Ceritanya lagi, setiap penoreh
diperuntukan beberapa batang pokok untuk ditoreh setiap hari atau pun disebut ‘satu
nama’ yang merujuk kepada seorang pekerja. Berbeza dengan dirinya yang menoreh
atas ‘dua nama’. Ini bermakna jumlah pokok getah yang perlu ditorehnya adalah
sekali ganda banyaknya berbanding orang lain.
Ramai yang ketawa, tidak kurang
juga yang memandang sinis keupayaan dirinya. Dia tidak menghiraukan cakap-cakap
orang sekeliling. Biar apa pun kata mereka dia tidak kisah. Tidak ada suatu pun
yang mustahil dalam hidupnya.
Apabila tiba saat mengambil wang
upah bagi hari tersebut, semua terdiam. Dia telah berjaya menyudahkan
kerja-kerjanya sama seperti orang lain. Dia bekerja bagaikan lipas kudung,
sangat laju dan pantas. Bayangkan dengan beban kerja melebihi orang lain, dia
berjaya menyudahkannya pada waktu yang sama seperti mana penoreh-penoreh lain
yang menoreh atas ‘satu nama’.
Rasa ingin tahu saya
membuak-buak. Apakah rahsianya?
Dengan rasa rendah dirinya dia
bercerita. Saat dia melangkah untuk bekerja, tidak lekang di bibirnya lafaz Subhanallah
Walhamdulillah Walailahaillallah Wallahuakbar. Sepanjang masa itulah yang
dilagukannya. Tidak ada yang lain. Dengan izin Allah, semua kerja-kerja menoreh
dan mengutip susu getah dapat disiapkan dalam tempohnya. Langsung tidak terasa
penat.
Nah, inilah zikir yang diajarkan
oleh Rasulullah SAW kepada anaknya iaitu Fatimah. Kata Rasulullah SAW zikir ini
adalah lebih baik berbanding hamba yang dipinta oleh Fatimah untuk meringankan kerjanya.
Wallahu’alam.