Monday, 6 January 2014

Rezeki Penoreh Getah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Kisah di bawah ini adalah daripada seorang tua yang saya kenal. Ketika mudanya, dia bekerja keras demi untuk membesarkan anak-anaknya. Pelbagai pekerjaan dilakukan untuk mencari sesuap nasi. Salah satunya adalah menoreh getah.

Ceritanya lagi, setiap penoreh diperuntukan beberapa batang pokok untuk ditoreh setiap hari atau pun disebut ‘satu nama’ yang merujuk kepada seorang pekerja. Berbeza dengan dirinya yang menoreh atas ‘dua nama’. Ini bermakna jumlah pokok getah yang perlu ditorehnya adalah sekali ganda banyaknya berbanding orang lain.

Ramai yang ketawa, tidak kurang juga yang memandang sinis keupayaan dirinya. Dia tidak menghiraukan cakap-cakap orang sekeliling. Biar apa pun kata mereka dia tidak kisah. Tidak ada suatu pun yang mustahil dalam hidupnya.

Apabila tiba saat mengambil wang upah bagi hari tersebut, semua terdiam. Dia telah berjaya menyudahkan kerja-kerjanya sama seperti orang lain. Dia bekerja bagaikan lipas kudung, sangat laju dan pantas. Bayangkan dengan beban kerja melebihi orang lain, dia berjaya menyudahkannya pada waktu yang sama seperti mana penoreh-penoreh lain yang menoreh atas ‘satu nama’.

Rasa ingin tahu saya membuak-buak. Apakah rahsianya?

Dengan rasa rendah dirinya dia bercerita. Saat dia melangkah untuk bekerja, tidak lekang di bibirnya lafaz Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Wallahuakbar. Sepanjang masa itulah yang dilagukannya. Tidak ada yang lain. Dengan izin Allah, semua kerja-kerja menoreh dan mengutip susu getah dapat disiapkan dalam tempohnya. Langsung tidak terasa penat.

Nah, inilah zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya iaitu Fatimah. Kata Rasulullah SAW zikir ini adalah lebih baik berbanding hamba yang dipinta oleh Fatimah untuk meringankan kerjanya.


Wallahu’alam.

Sunday, 29 December 2013

Allah Sebaik-baik Penjaga

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Wan mulai resah. Tengahari nanti dia perlu ke masjid untuk solat Jumaat. Nak diharapkan pembantu rumah untuk menjaga anaknya, pembantu rumah sudah pun cabut lari. Isteri pula tidak dibenarkan bercuti. Hendak dibawa bersama ke masjid, anaknya Ihsan tidak tahu hendak duduk diam. Ke mana saja perginya ketika orang mula bersolat nanti. Buntu.

Penat berfikir Wan tertidur bersama-sama dengan anaknya. Sayup-sayup terdengar suara emak berbisik di telinganya.

“Bangunlah Wan. Pergilah solat Jumaat. Jangan risau, jangan bimbang. Anakmu itu Allah yang jaga. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pemelihara.” ujar emaknya.

Wan terjaga. Ihsan masih lagi tidur di sisinya. Wan bingkas bangun menuju ke bilik air untuk berwuduk. Jiwanya terasa tenang. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada Allah.

Enjin dihidupkan lalu keretanya laju menuju ke masjid. Fikirannya dikosongkan daripada memikirkan perihal anaknya di rumah. Tidak ada lagi gundah gulana seperti sebelumnya.

Usai menunaikan solat Jumaat, dia bergegas pulang ke rumah. Berdebar-debar pula rasanya untuk pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah dia meluru ke arah pintu. Sebaik pintu dibuka, dia melihat anaknya masih lagi diulit lena. Hanya kalimah syukur yang mampu dilafazkan. Alhamdulillah.

Yakinlah bahawa bantuan Allah sangat dekat. Jika kita berusaha mencari keredhaan Allah nescaya Allah akan membuka jalan keluar bagi setiap masalah. Subhanallah.





Saturday, 28 December 2013

Berhenti Merokok

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Puluhan tahun menjadi perokok bukanlah suatu perkara yang mudah untuk berhenti. Tok ayah saya mula merokok sejak zaman mudanya. Sebagai seorang ayah, dia tidak mahu anaknya menjadi perokok sepert dirinya.

Saya tidak tahu bagaimana tok ayah saya berhenti merokok. Seingat saya, adik saya yang dalam lingkungan  lima ke enam tahun sentiasa menujukan pantun untuknya. Adik saya menghafal pantun dua kerat yang tertera di dinding sebuah klinik kesihatan.  Jadi setiap kali adik saya melihat tok ayah saya memegang rokok, adik saya akan mula berpantun.

Ayam berkokok di atas batang,
Hisap rokok penyakit datang.

Pantun ini menjadi siulan adik saya. Tok ayah saya sekadar senyum mendengar pantun tersebut. Hari demi hari, tok ayah saya mula mengurangkan bilangan batang rokok yang dihisapnya setiap hari. Lama juga masa yang diambil untuk dia mengorak langkahnya yang pertama. 

Dia membuat perubahan sedikit demi sedikit. Jika dahulu dia menghisap dua tiga batang rokok setiap hari, kemudian dia menghadkan kepada satu batang rokok sahaja. Dia cuba menyesuaikan diri dengan situasi itu. Tidak boleh lebih daripada sebatang. Tok ayah saya berusaha mendisiplinkan dirinya. Kelakar juga melihat dirinya yang terpaksa 'berjimat' dengan sebatang rokok untuk hari tersebut.

Berbulan-bulan lamanya tok ayah mengguna pakai cara tersebut. Tidak memilih untuk berhenti secara mengejut. Dia konsisten dan fokus terhadap apa yang ingin dicapai. Setelah dapat membiasakan dengan situasi itu, yang saya kira telah pun mencapai sasaran yang ditetapkan oleh dirinya sendiri. Dia mengatur strategi seterusnya.

Kali ini, matlamatnya adalah sebatang rokok untuk dua hari, setelah itu dipanjangkan kepada tiga, empat, lima dan seterusnya. Semua perubahan ini tidak berlaku sekelip mata. 

Kemuncaknya, dia meninggalkan terus kebiasaanya menghisap rokok yang telah pun sebati dalam dirinya sejak sekian lama. Keputusan berhenti merokok dibuat tanpa desakan sesiapa. Dia juga tidak pernah menyuarakan hasratnya berbuat demikian.

Dalam diam dia bergelut melawan ketagihannya. Paling ketara dalam usahanya menangani ketagihan tersebut, dia menghabiskan berpuluh-puluh biji gula-gula dalam sehari. Berminggu-minggu lamanya hal ini berlanjutan. Alhamdulillah, pada akhirnya dia berjaya. Hidup bebas tanpa rokok.


Thursday, 26 December 2013

Tekun Berusaha Menjemput Rezeki

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Sebagai seorang Islam saya turut berbangga dengan kejayaan dan kemajuan yang dikecapi olehnya. Bukan mudah untuk bersaing dalam perniagaan yang didominasi oleh  bukan Islam. Pada peringkat awal pembukaan farmasinya saya agak pesimis.

Masakan tidak, di tempat yang sama terdapat beberapa buah farmasi yang lain. Ada juga farmasi di situ yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu bersaing dan mengalami kerugian. Sedih pula rasanya melihat situasi tersebut.

Berkat kesungguhan pemiliknya, hari ini dia menyemai hasilnya. Seorang yang sangat merendah diri sehingga ada kebanyakan pelanggan yang langsung tidak mengecam bahawa dia adalah pemiliknya. Pernah ada seorang pelanggan bertanya, “Orang duk sebut Najwa, Najwa. Yang mana satu Najwa?”

Seorang pelanggan lain pula menyampuk, “Tu yang kat depan tu la Najwa.” Najwa, pemilik farmasi itu hanya ketawa.

Kejayaannya hari ini tidak datang bergolek. Banyak pengorbanan yang telah dilakukan dan banyak juga cabaran yang terpaksa ditempuhinya. Kedudukan farmasinya bertentangan dengan stesen bas sudah tentu memudahkan orang ramai berkunjung ke premisnya. Kekangan terbesar adalah tempat letak kenderaan yang terhad. Silap parking, kita boleh disaman hatta pada hujung minggu sekali pun.

Namun itu bukan halangan untk pelanggan terus berkunjung ke farmasi tersebut. Premis satu pintu itu tidak pernah lengang. Sentiasa saja ada pelanggan yang keluar masuk. Lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Kepelbagaian produk antara tarikan utama pelanggan ke farmasinya. Sebutlah apa sahaja produk kesihatan semuanya ada dijual. Sesetengah barangan terpaksa disusun hingga mencecah siling. Tambahan pula harga yang ditawarkan lebih rendah jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Tidak hairanlah farmasi tersebut turut bertindak sebagai pembekal barangan kesihatan kepada beberapa farmasi yang lain.

Perniagaannya mampu pergi lebih jauh. Menjadi satu-satunya farmasi di kawasan itu yang beroperasi 365 hari setahun meskipun ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Tidak sukar untuk bertemu dengan pemiliknya kerana dia banyak menghabiskan masa di situ. Ini fasa dirinya berkuli. Akan tiba waktunya dia hanya perlu duduk goyang kaki.

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menambah nilai kepada perniagaannya sekarang. Salah satunya dengan menawarkan kad keahlian kepada para pelanggan di samping mendapatkan premis yang lebih besar supaya lebih banyak barangan dapat ditawarkan kepada para pelanggan sesuai dengan permintaan dan keperluan masyarakat setempat.

Wallahu’alam.

Astaghfirullah.



Bersedekah Dengan Makanan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Kisah ini terjadi di sebuah kampung yang terletak di Pulau Pinang. Seorang surirumah bernama Halimah mempunyai kisah menarik tentang sedekah. Di kampungnya, dia digelar Maksu Limah.

Maksu Limah mempunyai amalan sedekah yang amat unik. Dia seorang yang suka menjamu orang makan. Anaknya yang tinggal di asrama sejak berumur lima tahun tidak pernah pulang ke asrama dengan tangan kosong. Maksu Limah akan memasak dalam kuantiti yang banyak untuk dibawa balik oleh anaknya ke asrama dan dinikmati bersama teman-temannya.

Begitulah juga keadaannya apabila dia melawat anaknya di asrama. Perjalanan yang jauh dengan hanya menaiki motosikal bersama suaminya tidak pernah menjadi penghalang untuk dia meneruskan kebiasaannya itu. Raga motosikal suaminya sentiasa sarat dengan makanan.

Rutin Maksu Limah tidak terhenti sekadar itu. Setiap kali berkunjung ke rumah sesiapa sahaja pasti dibawanya buah tangan. Kebiasaannya jika tidak berkesempatan untuk memasak, Maksu Limah akan membeli di mana-mana gerai yang disinggahi.

Pernah suatu hari, ketika menziarahi seorang saudaranya di hospital Maksu Limah datang bersama anak dan menantunya dengan beg plastic penuh di tangan. Apabila ditanya mengapa dia membawa begitu banyak makanan, katanya untuk ahli keluarga pesakit yang menunggu di hospital.

Aturan hidup Allah untuk Maksu Limah sangat istimewa. Berkat amalannya yang suka bersedekah, Allah memberikan kehidupan yang bahagia dan tenang buat mereka sekeluarga. Pencapaian cemerlang anaknya sejak dari zaman pra-persekolahan sehingga sekarang cukup membanggakan. Hari ini anaknya menjadi sebutan di peringkat daerah dan negeri atas bakat yang dimiliki dan prestasi terbaiknya sebagai guru dan jurulatih bahasa.

Wallahu’alam.

Astaghfirullah.



Saturday, 23 November 2013

Guru Oh Guru

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Kamu biadap!

Terkedu saya mendengarnya. Apatah lagi kata-kata itu meluncur laju daripada mulut seorang guru. Kata-kata itu tidak ditujukan kepada saya, malah saya juga tidak berada di dalam situasi tersebut. Saya hanya orang luar yang secara tidak sengaja terdengar guru muda itu melabel pelajarnya dengan label yang negatif.




Saya yang tidak ada kena mengena pun terkesan, apatah lagi pelajar-pelajar lain yang turut berada di dalam kelas itu. Saya tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku walau apa pun alasannya.

Saya tidak dapat membayangkan perasaan pelajar tersebut. Walau seteruk mana pun perbuatan seseorang pelajar, guru tidak sewajarnya menuturkan ayat yang kasar dan keras seperti itu. Emosi pelajar tersebut pasti tercedera.

Ada solusi yang lebih baik dalam mengangani pelajar yang corot akhlaknya. Carilah kebaikan yang dikerjakan olehnya dan pujilah perbuatannya. Pendekatan yang jauh lebih mudah yang membawa kebaikan kepada semua pihak. Cuma kata kuncinya ialah sabar. Sabar itu indah tetapi bukan mudah.

Semua orang berpeluang untuk menjadi baik. Janganlah kita menjadi orang yang menutup terus pintu untuk mereka berubah ke arah kebaikan. Hakikatnya kekerasan tidak akan mengubah apa-apa dan hanya memburukkan lagi keadaan.


Wallahu’alam.



Thursday, 21 November 2013

Hendak Seribu Daya

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Ketika saya tiba di Pasar Kemboja itu, mereka sudah mahu pulang. Mereka menjinjit beg plastik berisi barangan yang dibeli secara borong di situ. Saya dapat mengagak  yang beg itu sarat berisi pakaian.

Ya, mereka memborong barangan itu untuk berjualan di kilang tempat mereka bekerja. Saban minggu mereka akan datang ke pasar itu dengan menaiki bas untuk mendapatkan stok. Saya difahamkan mereka akan mengedarkan barangan tersebut kepada rakan-rakan yang lain untuk dijual di tempat kerja masing-masing.

Siapa mereka ini? Mereka itu adalah pendatang asing yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki. Keberadaan mereka di sini nampaknya bukan sekadar makan gaji malah lebih daripada itu. Mereka nampak kilang tempat mereka bekerja itu bukan sekadar tempat mereka makan gaji semata-mata namun lebih daripada itu. Kilang itu adalah lubuk duit mereka.

Saya pasti sebelum mereka memutuskan untuk menjual barang-barang tersebut, mereka melakukan sedikit kajian. Mereka mengkaji berdasarkan pemerhatian terhadap gelagat dan perbualan pekerja di kilang tersebut khususnya dalam kalangan wanita yang gemar berbelanja dan pada masa yang sama suka bergaya. Mereka berniaga bersungguh-sungguh. Bahkan mereka mengambil tahu perkembangan fesyen di negara ini. Tidak hairanlah jika mereka menyebut perihal tudung Fareeda, Datuk Siti dan sebagainya. Rasanya orang seperti mereka berilah apa sahaja mereka mampu menjualnya.

Sayang sekali rakyat tempatan yang bekerja di kilang bertahun-tahun lamanya tidak menggunakan kesempatan yang ada meski pun ruang dan peluang sudah terbuka luas di depan mata. Kalau pun ada, mungkin hanya seorang dua. Kebanyakannya selesa dengan apa yang ada, cukuplah sekadar makan gaji. Tidak perlu bersusah payah memikirkan soal modal, stok dan sebagainya.

Apa pun pokok pangkalnya adalah diri sendiri. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Kejayaan itu milik sesiapa sahaja yang sanggup berusaha secara luar biasa. Insya-Allah.


Wallahua’alam.
Astaghfirullah.




Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015