Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Sebagai seorang Islam saya turut
berbangga dengan kejayaan dan kemajuan yang dikecapi olehnya. Bukan mudah untuk
bersaing dalam perniagaan yang didominasi oleh bukan Islam. Pada peringkat awal pembukaan
farmasinya saya agak pesimis.
Masakan tidak, di tempat yang
sama terdapat beberapa buah farmasi yang lain. Ada juga farmasi di
situ yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu bersaing dan mengalami kerugian. Sedih
pula rasanya melihat situasi tersebut.
Berkat kesungguhan pemiliknya,
hari ini dia menyemai hasilnya. Seorang yang sangat merendah diri sehingga ada
kebanyakan pelanggan yang langsung tidak mengecam bahawa dia adalah pemiliknya.
Pernah ada seorang pelanggan bertanya, “Orang duk sebut Najwa, Najwa. Yang mana
satu Najwa?”
Seorang pelanggan lain pula
menyampuk, “Tu yang kat depan tu la Najwa.” Najwa, pemilik farmasi itu hanya
ketawa.
Kejayaannya hari ini tidak datang
bergolek. Banyak pengorbanan yang telah dilakukan dan banyak juga cabaran yang
terpaksa ditempuhinya. Kedudukan farmasinya bertentangan dengan
stesen bas sudah tentu memudahkan orang ramai berkunjung ke premisnya. Kekangan
terbesar adalah tempat letak kenderaan yang terhad. Silap parking, kita boleh disaman hatta pada hujung minggu sekali pun.
Namun itu bukan halangan untk
pelanggan terus berkunjung ke farmasi tersebut. Premis satu pintu itu tidak
pernah lengang. Sentiasa saja ada pelanggan yang keluar masuk. Lebih-lebih lagi
pada waktu malam.
Kepelbagaian produk antara
tarikan utama pelanggan ke farmasinya. Sebutlah apa sahaja produk kesihatan
semuanya ada dijual. Sesetengah barangan terpaksa disusun hingga mencecah
siling. Tambahan pula harga yang ditawarkan lebih rendah jika dibandingkan
dengan tempat-tempat lain. Tidak hairanlah farmasi tersebut turut bertindak
sebagai pembekal barangan kesihatan kepada beberapa farmasi yang lain.
Perniagaannya mampu pergi lebih
jauh. Menjadi satu-satunya farmasi di kawasan itu yang beroperasi 365 hari
setahun meskipun ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Tidak
sukar untuk bertemu dengan pemiliknya kerana dia banyak menghabiskan masa di
situ. Ini fasa dirinya berkuli. Akan tiba waktunya dia hanya perlu duduk goyang
kaki.
Ada beberapa perkara yang boleh
dilakukan untuk menambah nilai kepada perniagaannya sekarang. Salah satunya dengan
menawarkan kad keahlian kepada para pelanggan di samping mendapatkan premis
yang lebih besar supaya lebih banyak barangan dapat ditawarkan kepada para
pelanggan sesuai dengan permintaan dan keperluan masyarakat setempat.
Wallahu’alam.
Astaghfirullah.