Teks:
Nor Adilah Ahmad Shokori
Ketika
saya tiba di Pasar Kemboja itu, mereka sudah mahu pulang. Mereka menjinjit beg plastik berisi barangan yang dibeli secara borong di situ. Saya dapat mengagak yang beg itu sarat berisi pakaian.
Ya,
mereka memborong barangan itu untuk berjualan di kilang tempat mereka bekerja.
Saban minggu mereka akan datang ke pasar itu dengan menaiki bas untuk
mendapatkan stok. Saya difahamkan mereka akan mengedarkan barangan tersebut
kepada rakan-rakan yang lain untuk dijual di tempat kerja masing-masing.
Siapa
mereka ini? Mereka itu adalah pendatang asing yang datang ke Malaysia untuk
mencari rezeki. Keberadaan mereka di sini nampaknya bukan sekadar makan gaji
malah lebih daripada itu. Mereka nampak kilang tempat mereka bekerja itu bukan
sekadar tempat mereka makan gaji semata-mata namun lebih daripada itu. Kilang
itu adalah lubuk duit mereka.
Saya
pasti sebelum mereka memutuskan untuk menjual barang-barang tersebut, mereka
melakukan sedikit kajian. Mereka mengkaji berdasarkan pemerhatian terhadap
gelagat dan perbualan pekerja di kilang tersebut khususnya dalam kalangan wanita
yang gemar berbelanja dan pada masa yang sama suka bergaya. Mereka
berniaga bersungguh-sungguh. Bahkan mereka mengambil tahu perkembangan fesyen
di negara ini. Tidak hairanlah jika mereka menyebut perihal tudung Fareeda,
Datuk Siti dan sebagainya. Rasanya orang seperti mereka berilah apa sahaja
mereka mampu menjualnya.
Sayang
sekali rakyat tempatan yang bekerja di kilang bertahun-tahun lamanya tidak menggunakan
kesempatan yang ada meski pun ruang dan peluang sudah terbuka luas di depan
mata. Kalau pun ada, mungkin hanya seorang dua. Kebanyakannya selesa dengan apa
yang ada, cukuplah sekadar makan gaji. Tidak perlu bersusah payah memikirkan
soal modal, stok dan sebagainya.
Apa pun
pokok pangkalnya adalah diri sendiri. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu
dalih. Kejayaan itu milik sesiapa sahaja yang sanggup berusaha secara luar
biasa. Insya-Allah.
Wallahua’alam.
Astaghfirullah.