Tuesday 18 March 2014

Kedekut Doa

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Selalu disebut-sebut, doa adalah senjata. Mengapa dikatakan senjata? Senjata adalah lambang kekuatan dan keberanian. Doa itulah kekuatan kita. Doa itulah menjadikan kita berani.

Lebih dari itu, kerana kita sandarkan keyakinan bahawa kita sentiasa ada Allah. Kita mohon dan kita minta pada Allah, bukan pada manusia. Allah tidak akan pernah mengecewakan kita. 

Jika Allah tidak makbulkan doa kita, sesungguhnya Dia akan menggantikan kepada kita sesuatu yang lebih baik atau Dia menyimpan doa kita sebagai ganjaran di akhirat kelak.

Kita disuruh berdoa. Kata Habib Ali Zainal Abidin, jangan segan-segan ketika meminta pada Allah. Jangan minta yang kecil, tetapi mintalah yang besar sekali. 

Jangan dilihat kepada kelayakan kita untuk menerima, tetapi lihatlah pada kelayakan Allah yang Maha Memberi. Baiknya Allah dengan hambaNya ini.

Bayangkan kalau kita minta seperti itu pada manusia. Agaknya apakah yang dikatakan oleh mereka kepada kita? Majoritinya akan berkata, sudah diberi betis, hendak paha pula.

Berdoalah sebanyak mungkin. Mintalah apa saja pada Allah. Bukan untuk diri sendiri semata-mata tetapi doakanlah orang lain juga. 

Apa yang kita dapat kalau kita tolong doa untuk orang lain? Jawapan mudahnya, dapat pahala. Selain daripada dapat pahala, apa lagi yang kita akan dapat? Kita ini pula, siapa nak tolong doa? 

Pertama, doa kita ketika itu adalah doa yang mustajab sebab kita doa secara senyap-senyap (orang itu tak tahu kita doakan untuknya). Daripada Abu Darda’ RA bahawa dia mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya : “Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.”(Riwayat Muslim). 

Kedua, malaikat tolong doa untuk kita perkara yang sama, bahkan malaikat minta Allah bagi lebih lagi  untuk kita (berbanding apa yang kita doa untuk saudara kita). Dalam satu riwayat lain juga daripada Abu Darda’ RA, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).

Jadi, jangan berkira dan kedekut untuk doakan orang lain. Kebaikan walaupun sebesar zarah tetap dikira di sisi Allah. Wallahu'alam.




Monday 17 March 2014

Petua Lembutkan Cucur



Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Alhamdulillah, dua tiga hari ni hujan dah mula turun, setelah kita melalui keadaan panas yang agak panjang. Kemudian disusuli pula dengan jerebu. Belum lagi dikira jerebu iman kita.

Cuaca yang redup dan sejuk macam ni cepat membuatkan kita berasa lapar. Sedap kalau dapat makan cucur panas-panas bersama secawan teh atau kopi panas.

Bagi sesetengah orang, buat cucur/jemput-jemput ni sangat mudah. Tapi ada juga yang merungut, bila dah sejuk cucur jadi keras. Saya bukanlah pandai sangat memasak dan petua yang saya dapat ini berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya.

Semasa membancuh tepung, masukkan air secukupnya sebelum digaul. Adunan hanya perlu digaul sekali sahaja dan berhenti apabila air dan tepung sudah sebati. Abaikan kalau masih terdapat ketulan tepung di dalam adunan tersebut.

Apa kesannya kalau kita kacau berlebihan? Hasilnya nanti, cucur akan menjadi keras dan liat. Ini kerana gluten akan terhasil apabila kita menggaul tepung secara berlebihan. Gluten adalah jaringan serat yang terbentuk apabila air dan tepung diuli (seperti dalam pembuatan roti). Sudah tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku.

Oleh itu, tepung perlu digaul pada kadar yang sangat minimum. Semakin banyak jaringan serat yang akan terhasil apabila semakin banyak kita menggaul. Sudah pasti kita tidak mahu perkara ini berlaku.

Selain itu, ada juga yang memasukkan telur ayam ke dalam bancuhan. Sesetengah  petua menyarankan agar telur dipukul sehingga kembang sebelum dicampurkan ke dalam bancuhan.

Banyak lagi petua-petua lain yang saya temui antaranya penggunaan air panas yang mendidih (menggantikan penggunaan air biasa), yis, baking powder, soda bikarbonat, perahan limau, minyak masak, water roux dan sebagainya.

Pada saya, setiap elemen yang dimasukkan ke dalam masakan mempunyai rasa yang berbeza. Kalau tidak banyak pun perbezaannya, sedikit pasti ada. Setiap orang punya cara tersendiri dalam memasak. Hormati perbezaan itu. Allah jadikan manusia berbeza hatta dalam soal citarasa. 

Cuma satu pesanan saya, janganlah dimasukkan semua elemen serentak. Takut lain pula jadinya. Haha.





Sunday 16 March 2014

5 Cara Memanfaatkan Lebihan Nasi

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Selalunya kita dah boleh agak berapa banyak yang hendak dimasak berdasarkan jumlah ahli keluarga. Tapi, ada masanya berlaku juga lebihan terutamanya nasi, atau diistilahkan sebagai nasi sejuk.

Masakan yang sinonim dengan nasi pastinya adalah nasi goreng. Kalau dibuang nasi sejuk ini membazir pula. Sebutir beras kan ibarat setitik peluh petani. Ingat lagi tak iklan tu? 

Oleh itu, di sini saya kongsikan beberapa masakan yang menggunakan nasi sebagai salah satu ramuannya. 

1. Cucur nasi
Sama seperti cucur-cucur lain yang biasa kita makan. Cumanya, cucur ini ditambah dengan nasi yang telah dikisar (bersama air) dan dicampurkan ke dalam bancuhan tepung. Cucur nasi boleh diolah mengikut kreativiti dan citarasa masing-masing. Sesetengah orang suka letak ikan bilis atau pun udang. 

2. Roti
Bagi yang suka membuat roti, mungkin boleh mencuba roti nasi. Dinamakan roti nasi kerana salah satu bahannya adalah nasi yang dikisar (dengan air) sebelum disatukan dengan bahan-bahan yang lain. Kalau nak tahu, roti nasi ini mirip roti benggali. Sungguh lembut dan gebu. 

3. Apam
Sesetengah orang panggil apam beras. Ada juga panggil apam nasi. Tak kiralah apa jua namanya, apam ini juga menggunakan lebihan nasi yang dikisar bersama air sehingga halus. Apam ni memang mengenyangkan dan tak muak. Kalau nak lagi sedap, makan dengan kelapa parut (yang digaul dengan sedikit garam). 

4. Lempeng
Satu lagi pilihan yang kita ada ialah buat lempeng. Lempeng nasi ini lebih kurang macam lempeng kelapa. Sedap dimakan dengan kuah kari atau sambal tumis. Bagi yang suka manis, lempeng yang lembut ini boleh juga dicicah dengan gula atau susu pekat. Nak makan macam tu saja pun boleh. 

5. Bubur
Dengan menggunakan lebihan nasi, masa memasak dapat disingkatkan. Nasi telah tersedia, cuma perlu kisarkan bersama air. Seterusnya, teruskan proses memasak bubur seperti biasa. Cuma masa kisar tu, saya lebih suka jika nasi tak terlalu hancur. Jadi ada sedikit tekstur pada bubur nasi tersebut. Apa pun, terpulang kepada selera masing-masing.

Sekadar makluman, jika menggunakan apa jua resepi yang salah satu ramuannya adalah nasi, pastikan bahawa kandungan nasi tidak lebih daripada jumlah tepung yang dimasukkan. Ini untuk mengelakkan lempeng atau cucur menjadi lembik dan melekat di kuali.

Selain itu, jangan masukkan air terlalu banyak ke dalam blender. Cukup setakat blender boleh kisarkan nasi tanpa sebarang masalah. Sesuaikan jumlah tepung dengan air. Kadang-kadang kita tak perlu tambah air lagi kerana bancuhan tepung dah cukup elok.

Perlu diingatkan juga, untuk membuat lempeng nasi, bancuhan tepung tidak boleh cair seperti membuat lempeng biasa. Kena lebih pekat dan elakkan penggunaan nasi yang berlebihan kerana ini boleh mengakibatkan lempeng ini melekit, melekat dan lembik.


Saturday 15 March 2014

3 Kegunaan Air Beras

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Sebelum memasak nasi, kita akan membasuh beras sekurang-kurangnya tiga kali. Ini bermakna setiap kali basuhan, air tersebut akan dibuang. Sayang rasanya kalau air beras dibuang begitu saja, sedangkan boleh dimanfaatkan dalam beberapa perkara.

1. Siram pokok
Air beras boleh digunakan untuk menyiram pokok. Selalunya pokok yang kerap disiram akan tumbuh lebih subur. Baru-baru ini, saya guna air beras untuk menyiram pokok limau kasturi dan hasilnya alhamdulillah. Pokok nampak lebih 'segar' dan berbuat lebat berbanding sebelumnya. 

2. Cuci muka
Selain itu air beras juga boleh digunakan untuk tujuan kecantikan. Air ini boleh digunakan sebagai pencuci muka. Biarkan air tersebut kering di wajah. Selepas dibilas dengan air biasa, kulit akan terasa lebih bersih dan segar. Tanpa sebarang kandungan bahan kimia. Pastinya selamat dan semulajadi. Insya-Allah.

3. Kuah tomyam
Bagi kebayakan tukang masak yang berasal dari Thailand, penggunaan air beras dalam masakan khususnya tomyam, bukanlah sesuatu yang pelik dan aneh. Selain menjimatkan, air beras mempunyai rasa lemaknya yang tersendiri. 

Selamat mencuba.

Friday 14 March 2014

Ujian Ibarat Sehelai Kertas

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google



Ujian ibarat sehelai kertas. Berapa berat sehelai kertas? Ringan bukan? Kertas yang sama kita angkat dan pegang selama 15 minit. Apa rasanya? Rasa berat kan? Bagaimana kalau kita pegang selama 3 jam? Sudah pasti kita akan rasa sangat-sangat berat.

Begitulah dalam kehidupan ini. Ujian yang Allah berikan kepada kita sebenarnya sangat ringan cuma kita tidak mahu melepaskannya. Apabila kita lepaskan ujian tersebut, kita akan rasa tenang, lapang dan ringan (hati dan akal).

Hidup kita ini tidak lepas dari diuji. Allah sentiasa menguji kita hambaNya. Setiap saat dan ketika. Baik ujian dalam bentuk kesusahan mahu pun kesenangan. Bezanya, kita lebih terkesan dengan ujian yang hadir dalam bentuk kesusahan dan kepayahan.

Ini kerana kita merasa sakit dan derita akibat ujian tersebut. Kita merintih dan mengeluh. Jarang berlaku ketika kita senang kita bermuhasabah. Ramai yang apabila diuji dengan kesenangan, mula lupa diri. 

Tapi bila kita susah, kita dekat dengan Allah. Kita akrab dengan sejadah. Allah panggil kita 'pulang' melalui jalan yang susah.

Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan. Wallahu'alam.



Thursday 13 March 2014

Ustaz Don dan Adik Luqmanul Hakim

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Video: Youtube

Ustaz Don tergamam. Kelu lidahnya. Saya yang menonton turut merasakannya. Manakan tidak, permintaan seorang anak kecil seperti adik Luqmanul Hakim di luar jangka. 

Adik ini menelefon ketika rancangan 30 Minit Ustaz Don bersiaran secara langsung. Tujuannya supaya Ustaz Don dapat menyemak bacaannya. Disebabkan oleh bacaannya yang sangat baik, jadi Ustaz Don berbesar hati menjemput Adik Luqman ke rancangan tersebut keesokan harinya.

Tidak disangka-sangka jemputan itu disusuli dengan permintaan Adik Luqman agar Ustaz Don mendoakan kedua ibu bapanya yang telah pun meninggal dunia. Sayu dan pilu. Terngiang-ngiang suara ceria anak kecil ini bercakap dengan Ustaz Don. 




Beruntunglah kedua ibu bapanya kerana memiliki seorang anak yang soleh. Malah Allah meletakkan Adik Luqman dalam jagaan seorang ustazah.

Pengajaran bagi kita semua. Sejauh mana kita menambah baik amalan kita. Malu seandainya anak kecil lebih baik dan elok bacaannya daripada kita. Bagi diri saya sendiri, masih terlalu banyak yang perlu diperbaiki. 

Dua soalan yang perlu kita tanyakan dalam diri. Adakah kita berusaha menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu bapa kita? Adakah kita berusaha menjadikan anak kita anak yang soleh?

Berusahalah untuk menjadi bukan mencari. Wallahu'alam.


Tuesday 11 March 2014

Pesawat MH370 Hilang: Antara Tadbir dan Takdir

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Kapten Nik Huzlan ketika ditanya pendapatnya tentang MH370, beliau menegaskan pesawat tersebut hilang. Kemudian seorang tetamu Malaysia Hari Ini (maaf saya tidak ingat namanya) mengimbau peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini di Bario dan memberi penekanan bahawa segala bentuk kepakaran yang disumbangkan dalam misi mencari dan menyelamat ini mesti disertakan dengan ikhtiar rohani iaitu dengan doa, zikir dan ayat suci Al-Quran.

Kemunculan Kapten Noruddin Abdul Majid pula memberi pencerahan dalam kedua-dua aspek yang telah disentuh sebelumnya, di mana beliau telah membuatkan teori sains dan kecanggihan teknologi terkedu. Dari sudut tadbirnya, kita sebagai manusia telah berusaha. Tetapi kita tidak mampu mengatasi takdir Allah. Oleh itu, kita perlu pulang kepadaNya.  Tadahkan tangan kita yang penuh dosa ini mengharap akan rahmat dan ampunan dariNya kerana hanya Dia yang kita yakin, harap dan percaya. Wallahu'alam.









Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015