Sunday, 16 March 2014

5 Cara Memanfaatkan Lebihan Nasi

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Selalunya kita dah boleh agak berapa banyak yang hendak dimasak berdasarkan jumlah ahli keluarga. Tapi, ada masanya berlaku juga lebihan terutamanya nasi, atau diistilahkan sebagai nasi sejuk.

Masakan yang sinonim dengan nasi pastinya adalah nasi goreng. Kalau dibuang nasi sejuk ini membazir pula. Sebutir beras kan ibarat setitik peluh petani. Ingat lagi tak iklan tu? 

Oleh itu, di sini saya kongsikan beberapa masakan yang menggunakan nasi sebagai salah satu ramuannya. 

1. Cucur nasi
Sama seperti cucur-cucur lain yang biasa kita makan. Cumanya, cucur ini ditambah dengan nasi yang telah dikisar (bersama air) dan dicampurkan ke dalam bancuhan tepung. Cucur nasi boleh diolah mengikut kreativiti dan citarasa masing-masing. Sesetengah orang suka letak ikan bilis atau pun udang. 

2. Roti
Bagi yang suka membuat roti, mungkin boleh mencuba roti nasi. Dinamakan roti nasi kerana salah satu bahannya adalah nasi yang dikisar (dengan air) sebelum disatukan dengan bahan-bahan yang lain. Kalau nak tahu, roti nasi ini mirip roti benggali. Sungguh lembut dan gebu. 

3. Apam
Sesetengah orang panggil apam beras. Ada juga panggil apam nasi. Tak kiralah apa jua namanya, apam ini juga menggunakan lebihan nasi yang dikisar bersama air sehingga halus. Apam ni memang mengenyangkan dan tak muak. Kalau nak lagi sedap, makan dengan kelapa parut (yang digaul dengan sedikit garam). 

4. Lempeng
Satu lagi pilihan yang kita ada ialah buat lempeng. Lempeng nasi ini lebih kurang macam lempeng kelapa. Sedap dimakan dengan kuah kari atau sambal tumis. Bagi yang suka manis, lempeng yang lembut ini boleh juga dicicah dengan gula atau susu pekat. Nak makan macam tu saja pun boleh. 

5. Bubur
Dengan menggunakan lebihan nasi, masa memasak dapat disingkatkan. Nasi telah tersedia, cuma perlu kisarkan bersama air. Seterusnya, teruskan proses memasak bubur seperti biasa. Cuma masa kisar tu, saya lebih suka jika nasi tak terlalu hancur. Jadi ada sedikit tekstur pada bubur nasi tersebut. Apa pun, terpulang kepada selera masing-masing.

Sekadar makluman, jika menggunakan apa jua resepi yang salah satu ramuannya adalah nasi, pastikan bahawa kandungan nasi tidak lebih daripada jumlah tepung yang dimasukkan. Ini untuk mengelakkan lempeng atau cucur menjadi lembik dan melekat di kuali.

Selain itu, jangan masukkan air terlalu banyak ke dalam blender. Cukup setakat blender boleh kisarkan nasi tanpa sebarang masalah. Sesuaikan jumlah tepung dengan air. Kadang-kadang kita tak perlu tambah air lagi kerana bancuhan tepung dah cukup elok.

Perlu diingatkan juga, untuk membuat lempeng nasi, bancuhan tepung tidak boleh cair seperti membuat lempeng biasa. Kena lebih pekat dan elakkan penggunaan nasi yang berlebihan kerana ini boleh mengakibatkan lempeng ini melekit, melekat dan lembik.


Saturday, 15 March 2014

3 Kegunaan Air Beras

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Sebelum memasak nasi, kita akan membasuh beras sekurang-kurangnya tiga kali. Ini bermakna setiap kali basuhan, air tersebut akan dibuang. Sayang rasanya kalau air beras dibuang begitu saja, sedangkan boleh dimanfaatkan dalam beberapa perkara.

1. Siram pokok
Air beras boleh digunakan untuk menyiram pokok. Selalunya pokok yang kerap disiram akan tumbuh lebih subur. Baru-baru ini, saya guna air beras untuk menyiram pokok limau kasturi dan hasilnya alhamdulillah. Pokok nampak lebih 'segar' dan berbuat lebat berbanding sebelumnya. 

2. Cuci muka
Selain itu air beras juga boleh digunakan untuk tujuan kecantikan. Air ini boleh digunakan sebagai pencuci muka. Biarkan air tersebut kering di wajah. Selepas dibilas dengan air biasa, kulit akan terasa lebih bersih dan segar. Tanpa sebarang kandungan bahan kimia. Pastinya selamat dan semulajadi. Insya-Allah.

3. Kuah tomyam
Bagi kebayakan tukang masak yang berasal dari Thailand, penggunaan air beras dalam masakan khususnya tomyam, bukanlah sesuatu yang pelik dan aneh. Selain menjimatkan, air beras mempunyai rasa lemaknya yang tersendiri. 

Selamat mencuba.

Friday, 14 March 2014

Ujian Ibarat Sehelai Kertas

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google



Ujian ibarat sehelai kertas. Berapa berat sehelai kertas? Ringan bukan? Kertas yang sama kita angkat dan pegang selama 15 minit. Apa rasanya? Rasa berat kan? Bagaimana kalau kita pegang selama 3 jam? Sudah pasti kita akan rasa sangat-sangat berat.

Begitulah dalam kehidupan ini. Ujian yang Allah berikan kepada kita sebenarnya sangat ringan cuma kita tidak mahu melepaskannya. Apabila kita lepaskan ujian tersebut, kita akan rasa tenang, lapang dan ringan (hati dan akal).

Hidup kita ini tidak lepas dari diuji. Allah sentiasa menguji kita hambaNya. Setiap saat dan ketika. Baik ujian dalam bentuk kesusahan mahu pun kesenangan. Bezanya, kita lebih terkesan dengan ujian yang hadir dalam bentuk kesusahan dan kepayahan.

Ini kerana kita merasa sakit dan derita akibat ujian tersebut. Kita merintih dan mengeluh. Jarang berlaku ketika kita senang kita bermuhasabah. Ramai yang apabila diuji dengan kesenangan, mula lupa diri. 

Tapi bila kita susah, kita dekat dengan Allah. Kita akrab dengan sejadah. Allah panggil kita 'pulang' melalui jalan yang susah.

Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan. Wallahu'alam.



Thursday, 13 March 2014

Ustaz Don dan Adik Luqmanul Hakim

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Video: Youtube

Ustaz Don tergamam. Kelu lidahnya. Saya yang menonton turut merasakannya. Manakan tidak, permintaan seorang anak kecil seperti adik Luqmanul Hakim di luar jangka. 

Adik ini menelefon ketika rancangan 30 Minit Ustaz Don bersiaran secara langsung. Tujuannya supaya Ustaz Don dapat menyemak bacaannya. Disebabkan oleh bacaannya yang sangat baik, jadi Ustaz Don berbesar hati menjemput Adik Luqman ke rancangan tersebut keesokan harinya.

Tidak disangka-sangka jemputan itu disusuli dengan permintaan Adik Luqman agar Ustaz Don mendoakan kedua ibu bapanya yang telah pun meninggal dunia. Sayu dan pilu. Terngiang-ngiang suara ceria anak kecil ini bercakap dengan Ustaz Don. 




Beruntunglah kedua ibu bapanya kerana memiliki seorang anak yang soleh. Malah Allah meletakkan Adik Luqman dalam jagaan seorang ustazah.

Pengajaran bagi kita semua. Sejauh mana kita menambah baik amalan kita. Malu seandainya anak kecil lebih baik dan elok bacaannya daripada kita. Bagi diri saya sendiri, masih terlalu banyak yang perlu diperbaiki. 

Dua soalan yang perlu kita tanyakan dalam diri. Adakah kita berusaha menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu bapa kita? Adakah kita berusaha menjadikan anak kita anak yang soleh?

Berusahalah untuk menjadi bukan mencari. Wallahu'alam.


Tuesday, 11 March 2014

Pesawat MH370 Hilang: Antara Tadbir dan Takdir

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Kapten Nik Huzlan ketika ditanya pendapatnya tentang MH370, beliau menegaskan pesawat tersebut hilang. Kemudian seorang tetamu Malaysia Hari Ini (maaf saya tidak ingat namanya) mengimbau peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini di Bario dan memberi penekanan bahawa segala bentuk kepakaran yang disumbangkan dalam misi mencari dan menyelamat ini mesti disertakan dengan ikhtiar rohani iaitu dengan doa, zikir dan ayat suci Al-Quran.

Kemunculan Kapten Noruddin Abdul Majid pula memberi pencerahan dalam kedua-dua aspek yang telah disentuh sebelumnya, di mana beliau telah membuatkan teori sains dan kecanggihan teknologi terkedu. Dari sudut tadbirnya, kita sebagai manusia telah berusaha. Tetapi kita tidak mampu mengatasi takdir Allah. Oleh itu, kita perlu pulang kepadaNya.  Tadahkan tangan kita yang penuh dosa ini mengharap akan rahmat dan ampunan dariNya kerana hanya Dia yang kita yakin, harap dan percaya. Wallahu'alam.








Friday, 7 March 2014

Secebis Kenangan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Mashaf masih lagi di tangan. Sedang pandangan saya tebarkan ke segenap ruang binaan. Jiwa kecil saya sesak dengan  himpunan perasaan. Segala rasa berpadu. Selepas 13 tahun saya kembali ke sini.

Saat pandangan saya jatuh ke lantai, saya terasa ada seseorang sedang mencuri pandang ke arah saya.  Pandangan kami bertembung. Wajah putih bersih berhidung mancung itu sedang tersenyum.

Kami berbalas pandang dan bertukar senyuman. Gerak hati saya mengatakan ada sesuatu yang diinginkan olehnya. Saat dia menggamit ke arah saya, saya terus bangkit dan duduk betul-betul di sebelahnya.

Kami langsung tidak bercakap. Dia mengeluarkan mashaf lalu dibacanya. Saya pula tanpa disuruh-suruh mendengar dan membetulkan bacaannya. Sebaik saja bacaan ditamatkan, dia renung wajah saya dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya.

Saya ingin beredar tapi dia menahan. Saya melihat dia mencari sesuatu di dalam beg sandangnya. Akhirnya tiga biji gula-gula dihadiahkan kepada saya.  Bersungguh-sungguh dia ingin saya menerimanya. Tidak mahu menghampakannya, saya terima pemberian ikhlas itu dengan senang hati.

Saya cuba memberitahunya bahawa pertolongan saya tidak seberapa dan saya tidaklah pandai sangat sebenarnya, namun terhalang dek masalah bahasa. Usaha saya untuk bercakap dalam bahasa Inggeris dan Arab nyata sia-sia kerana dia langsung tidak memahaminya. Sayangnya saya tidak tahu berbahasa Turki.

Saya tepuk perlahan tangannya sebagai isyarat saya berbesar hati dapat membantunya dan tidak semena-mena dia memeluk saya dengan erat. Apalah sangat bantuan yang saya berikan kepadanya ketika itu.

Kami berpisah usai solat Isyak. Pengalaman singkat yang kerja buatnya dilorongkan oleh Allah. Allah yang mengilhamkan kepada saya untuk menolong hambaNya yang memerlukan bantuan. Allah jua yang memilih saya untuk berada di situ. Jika Allah tidak izinkan, saya tidak dapat berbuat apa-apa.

Secebis kenangan yang indah. Terima kasih Allah. Alhamdulillah. Wallahu’alam.

Monday, 3 March 2014

Sepasang Mata

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Saya kenal Kak Ana ketika dalam perjalanan ke dewan kuliah. Orangnya sangat lemah-lembut sehinggakan saya rasa segan dengannya. Saya cuba bercakap dengan nada yang perlahan sepertinya tapi tak berjaya. 

Kami sama-sama mengikuti kelas pengajian Al-Quran di masjid. Di situlah saya melihat Kak Ana dari sudut pandang yang berbeza. Apabila tiba gilirannya untuk membaca ayat kelima surah Al-Mulk, langsung tidak kedengarannya suaranya.


Pelik saya kerana kelas sunyi sepi dan beliau masih lagi membisu seribu bahasa. Tatkala saya ke belakang saya lihat badannya bergetar manakala air matanya turun ibarat hujan. Tudungnya basah dengan air mata. 

Dalam nada yang tersekat-sekat, beliau berjaya menghabiskan bacaannya. Selepas kelas tamat, saya benar-benar ingin bertanya kepadanya namun tidak terluah dengan kata-kata. Tidak wajar rasanya untuk saya bertanya ketika itu kerana usia perkenalan kami belum pun mencecah seminggu.

Peristiwa yang sama berulang apabila saya menyertai usrah yang dikendalikan olehnya. Saat tahajud, saat sendirian membaca Al-Quran begitulah keadaan dirinya. Tanpa perlu bertanya, jawapan sudah tersedia di hadapan saya. Mata itu bukan mata biasa.

Mata itu ialah mata yang menangis kerana takutkan Allah. Bagaimana mungkin saya tidak cemburu dengan sepasang mata itu? Saya ingin memiliki mata seperti itu. 

Daripada Ibnu Abbas r.anhuma katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda. “Dua (jenis) mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis akibat ketakutan kepada Allah dan mata yang tidak tidur berjaga di jalan Allah.” (At-Tirmizi).

Wallahu'alam.


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015