Sunday, 12 January 2014

Berurut dengan Duit Syiling

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya tak pernah tengok orang mengurut menggunakan duit syiling. Tapi beberapa tahun yang lalu, saya melihat seseorang melakukannya. Ketika itu ayah saya terlantar di hospital akibat serangan strok. Seorang pelawat yang menziarahi ayah saya meminta izin untuk mengurut tangan kiri ayah saya yang masih lemah dan kebas.

Tidak seperti urutan tradisional yang biasa kita lihat, urutan dilakukan dengan menggunakan duit syiling.  Setelah bahagian tersebut disapu dengan minyak angin, dia memulakan urutan daripada bahu hingga ke hujung jari. Duit syiling 10 sen itu ditekan pada urat-urat lengan supaya aliran darah menjadi lebih lancar.

Urutan tersebut tidak mengambil masa yang lama sekitar 10 hingga 15 minit sahaja. Pelawat yang berasal daripada Kemboja itu bercerita bahawa di kampung halamannya tidak ada minyak angin. Mereka hanya menggunakan minyak tanah untuk mengurut dan sebagainya.

Bila tengok cara dia mengurut nampak macam tak kuat mana. Tapi kesan-kesan lebam lepas berurut tu memang nampak jelas sampaikan kami takut kalau doktor tanya macam-macam. Lepas berurut tu ayah saya kata rasa kebas dah kurang sikit. Alhamdulillah.

Kalau diharapkan rasa kebas itu hilang seratus peratus tentulah sesuatu yang mustahil. Ini bukan magik. Bak kata tok saya, penyakit ni mai macam ribut tapi dia pi macam semut.

Friday, 10 January 2014

Semuanya Sedekah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Jiran             :Tok Ngah, buah-buah kat kebun tu habis orang curi.

Tok Ngah      :Takpa la. Aku anggap sedekah.

Jiran     :Ada yang binatang makan. Sayang la buah-buah tu biar macam tu ja. Kalau jual tu boleh untung banyak tu.


Tok Ngah :Tak kira la burung ka, musang ka, aku anggap sedekah saja la. Kalau hampa teringin nak makan, ambil la. Aku tanam pokok-pokok tu semua untuk anak cucu aku makan. Buah-buah tu banyak, tak larat nak makan. Aku bukan nak buat jual.

Itu satu-satunya kebun buah-buahan yang Tok Ngah ada ketika itu. Tapi Tok Ngah tidak berkira. Tidak pernah bimbang soal rezeki. Semuanya dianggap sedekah. Tidak perlu susah hati dengan apa yang terjadi.

Allah ganti rezekinya. Walaupun nampak macam orang susah dengan hanya berbasikal ke mana-mana. Rezeki Tok Ngah tidak pernah putus. Ladang kelapa sawit, estet getah, bendang dan banyak lagi.

Oh, mudahnya menjemput rezeki!



Astaghfirullah.

Wednesday, 8 January 2014

Berwuduk atau Mandi?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


“Kamu berwuduk atau mandi?” tanya Ahmad Shuhairi pengacara rancangan Al-Khawater.

Soalan itu diajukan setelah melihat seorang lelaki yang baru sahaja selesai berwuduk dengan  pakaian yang basah di sana sini. Ahmad kemudiannya menyatakan bahawa dianggarkan seorang Muslim yang berwuduk menggunakan kira-kira 26 liter air sehari.

Betul ke? 26 liter hanya untuk berwuduk? Barangkali saya tersilap dengar. Mungkin juga kisah yang dikongsikan itu hanya berlaku di Tanah Arab, tetapi rasanya di tanah air kita pun tidak jauh bezanya. Agaknya maksud meratakan air ke seluruh anggota wuduk ditakrifkan oleh segelintir individu Muslim sebagai menggunakan air dalam kuantiti yang banyak, maka hanya dengan itu seluruh anggota wuduk berkenaan dapat dibasuh dengan sempurna.

Bagi sesetengah orang 26 liter nampak tidak realistik. Baiklah, kita abaikan sahaja soal kuantiti air tersebut. Kita kembali kepada persoalan pokok iaitu pembaziran air. Kalau diikutkan segelas air sudah lebih daripada mencukupi. Namun kebanyakan daripada kita hanya mampu melakukannya ketika keadaan benar-benar mendesak.

Pembaziran air ini berlaku hampir setiap masa. Paling ketara ketika kita memberus gigi dan menyabun pinggan mangkuk. Air adalah suatu nikmat buat kita. Justeru kita perlulah menggunakannya secara berhemat. Bukankah nabi melarang kita berlebihan dalam penggunaan air walaupun semasa berwuduk di sungai yang mengalir?

Wallahu’alam.


Tuesday, 7 January 2014

Jangan Berbisik


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


“Dah nak balik ke? Jangan balik lagi. Kita duduk sembang-sembang dulu boleh?” beliau tersenyum.

Saya pelik dengan permintaan itu tetapi sukar untuk saya menolak. Tidak ada ada rasa curiga dengan permintaannya yang luar biasa. Saya ternanti-nanti juga apa yang akan disampaikan oleh beliau.

Beliau lebih banyak bercerita. Sesekali apabila ditanya saya menjawab sepatah dua. Segan nak bercakap lebih-lebih kerana beliau guru saya. Saya fikir beliau hanya ingin meluangkan masa berborak dengan saya. Dalam hati terselit bangga.

Ketika saya meminta izin untuk balik, beliau berkata dengan nada yang cukup lembut sambil tangannya menepuk bahu saya. Serta-merta saya teringat kesilapan saya pada hari tersebut. Terjawab sudah mengapa Ustazah Maziah mengajak saya berborak petang itu.

Terlayar di fikiran saya apa yang berlaku semasa tiba giliran saya untuk mengaji di hadapan ustazah. Belum pun sempat saya memulakan bacaan, seorang rakan berbisik di telinga saya. Walaupun tidak ada suara yang keluar dari mulut saya, tetapi perbuatan kami itu rupa-rupanya diperhatikan oleh guru saya.

Saya menyangka ustazah tidak sedar apa yang berlaku kerana beliau sedang menyemak bacaan beberapa orang pelajar yang lain. Ketika itu saya berasa perbuatan saya adalah betul. Kalau salah sekali pun, bukanlah salah saya. Orang lain yang berbisik di telinga saya, bukan saya yang berbisik kepadanya. Lagi pun, saya cuma mendengar. Apalah salah saya?

Sesi pembelajaran selepas itu berjalan seperti biasa. Tidak kelihatan riak kurang senang atau pun marah di wajah ustazah terhadap perbuatan yang telah saya dan rakan lakukan.  Dalam diam, rupa-rupanya ustazah mencari masa yang sesuai untuk menegur.

“Adilah, Rasulullah SAW melarang dua orang berbisik di hadapan seorang yang lain. Kalau sedang duduk bertiga (tiga orang), janganlah dua orang ini berbisik-bisik di hadapan yang seorang yang lain. Takut yang seorang lagi sedih.” Kata ustazah.

Ayat yang mudah dan terus sampai kepada maksud yang sebenarnya. Cukup untuk membuatkan saya sedar dan faham tanpa menjatuhkan air muka saya. Terima kasih ustazah.



Astaghfirullah. 

Monday, 6 January 2014

Rezeki Penoreh Getah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Kisah di bawah ini adalah daripada seorang tua yang saya kenal. Ketika mudanya, dia bekerja keras demi untuk membesarkan anak-anaknya. Pelbagai pekerjaan dilakukan untuk mencari sesuap nasi. Salah satunya adalah menoreh getah.

Ceritanya lagi, setiap penoreh diperuntukan beberapa batang pokok untuk ditoreh setiap hari atau pun disebut ‘satu nama’ yang merujuk kepada seorang pekerja. Berbeza dengan dirinya yang menoreh atas ‘dua nama’. Ini bermakna jumlah pokok getah yang perlu ditorehnya adalah sekali ganda banyaknya berbanding orang lain.

Ramai yang ketawa, tidak kurang juga yang memandang sinis keupayaan dirinya. Dia tidak menghiraukan cakap-cakap orang sekeliling. Biar apa pun kata mereka dia tidak kisah. Tidak ada suatu pun yang mustahil dalam hidupnya.

Apabila tiba saat mengambil wang upah bagi hari tersebut, semua terdiam. Dia telah berjaya menyudahkan kerja-kerjanya sama seperti orang lain. Dia bekerja bagaikan lipas kudung, sangat laju dan pantas. Bayangkan dengan beban kerja melebihi orang lain, dia berjaya menyudahkannya pada waktu yang sama seperti mana penoreh-penoreh lain yang menoreh atas ‘satu nama’.

Rasa ingin tahu saya membuak-buak. Apakah rahsianya?

Dengan rasa rendah dirinya dia bercerita. Saat dia melangkah untuk bekerja, tidak lekang di bibirnya lafaz Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Wallahuakbar. Sepanjang masa itulah yang dilagukannya. Tidak ada yang lain. Dengan izin Allah, semua kerja-kerja menoreh dan mengutip susu getah dapat disiapkan dalam tempohnya. Langsung tidak terasa penat.

Nah, inilah zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya iaitu Fatimah. Kata Rasulullah SAW zikir ini adalah lebih baik berbanding hamba yang dipinta oleh Fatimah untuk meringankan kerjanya.


Wallahu’alam.

Sunday, 29 December 2013

Allah Sebaik-baik Penjaga

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Wan mulai resah. Tengahari nanti dia perlu ke masjid untuk solat Jumaat. Nak diharapkan pembantu rumah untuk menjaga anaknya, pembantu rumah sudah pun cabut lari. Isteri pula tidak dibenarkan bercuti. Hendak dibawa bersama ke masjid, anaknya Ihsan tidak tahu hendak duduk diam. Ke mana saja perginya ketika orang mula bersolat nanti. Buntu.

Penat berfikir Wan tertidur bersama-sama dengan anaknya. Sayup-sayup terdengar suara emak berbisik di telinganya.

“Bangunlah Wan. Pergilah solat Jumaat. Jangan risau, jangan bimbang. Anakmu itu Allah yang jaga. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pemelihara.” ujar emaknya.

Wan terjaga. Ihsan masih lagi tidur di sisinya. Wan bingkas bangun menuju ke bilik air untuk berwuduk. Jiwanya terasa tenang. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada Allah.

Enjin dihidupkan lalu keretanya laju menuju ke masjid. Fikirannya dikosongkan daripada memikirkan perihal anaknya di rumah. Tidak ada lagi gundah gulana seperti sebelumnya.

Usai menunaikan solat Jumaat, dia bergegas pulang ke rumah. Berdebar-debar pula rasanya untuk pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah dia meluru ke arah pintu. Sebaik pintu dibuka, dia melihat anaknya masih lagi diulit lena. Hanya kalimah syukur yang mampu dilafazkan. Alhamdulillah.

Yakinlah bahawa bantuan Allah sangat dekat. Jika kita berusaha mencari keredhaan Allah nescaya Allah akan membuka jalan keluar bagi setiap masalah. Subhanallah.





Saturday, 28 December 2013

Berhenti Merokok

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Puluhan tahun menjadi perokok bukanlah suatu perkara yang mudah untuk berhenti. Tok ayah saya mula merokok sejak zaman mudanya. Sebagai seorang ayah, dia tidak mahu anaknya menjadi perokok sepert dirinya.

Saya tidak tahu bagaimana tok ayah saya berhenti merokok. Seingat saya, adik saya yang dalam lingkungan  lima ke enam tahun sentiasa menujukan pantun untuknya. Adik saya menghafal pantun dua kerat yang tertera di dinding sebuah klinik kesihatan.  Jadi setiap kali adik saya melihat tok ayah saya memegang rokok, adik saya akan mula berpantun.

Ayam berkokok di atas batang,
Hisap rokok penyakit datang.

Pantun ini menjadi siulan adik saya. Tok ayah saya sekadar senyum mendengar pantun tersebut. Hari demi hari, tok ayah saya mula mengurangkan bilangan batang rokok yang dihisapnya setiap hari. Lama juga masa yang diambil untuk dia mengorak langkahnya yang pertama. 

Dia membuat perubahan sedikit demi sedikit. Jika dahulu dia menghisap dua tiga batang rokok setiap hari, kemudian dia menghadkan kepada satu batang rokok sahaja. Dia cuba menyesuaikan diri dengan situasi itu. Tidak boleh lebih daripada sebatang. Tok ayah saya berusaha mendisiplinkan dirinya. Kelakar juga melihat dirinya yang terpaksa 'berjimat' dengan sebatang rokok untuk hari tersebut.

Berbulan-bulan lamanya tok ayah mengguna pakai cara tersebut. Tidak memilih untuk berhenti secara mengejut. Dia konsisten dan fokus terhadap apa yang ingin dicapai. Setelah dapat membiasakan dengan situasi itu, yang saya kira telah pun mencapai sasaran yang ditetapkan oleh dirinya sendiri. Dia mengatur strategi seterusnya.

Kali ini, matlamatnya adalah sebatang rokok untuk dua hari, setelah itu dipanjangkan kepada tiga, empat, lima dan seterusnya. Semua perubahan ini tidak berlaku sekelip mata. 

Kemuncaknya, dia meninggalkan terus kebiasaanya menghisap rokok yang telah pun sebati dalam dirinya sejak sekian lama. Keputusan berhenti merokok dibuat tanpa desakan sesiapa. Dia juga tidak pernah menyuarakan hasratnya berbuat demikian.

Dalam diam dia bergelut melawan ketagihannya. Paling ketara dalam usahanya menangani ketagihan tersebut, dia menghabiskan berpuluh-puluh biji gula-gula dalam sehari. Berminggu-minggu lamanya hal ini berlanjutan. Alhamdulillah, pada akhirnya dia berjaya. Hidup bebas tanpa rokok.



Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015