Saya tak pernah tengok orang mengurut menggunakan duit syiling. Tapi beberapa tahun yang lalu, saya melihat seseorang melakukannya. Ketika itu ayah saya terlantar di hospital akibat serangan strok. Seorang pelawat yang menziarahi ayah saya meminta izin untuk mengurut tangan kiri ayah saya yang masih lemah dan kebas.
Tidak seperti urutan tradisional
yang biasa kita lihat, urutan dilakukan dengan menggunakan duit syiling. Setelah bahagian tersebut disapu dengan minyak
angin, dia memulakan urutan daripada bahu hingga
ke hujung jari. Duit syiling 10 sen itu ditekan pada urat-urat lengan supaya
aliran darah menjadi lebih lancar.
Urutan tersebut tidak mengambil
masa yang lama sekitar 10 hingga 15 minit sahaja. Pelawat yang berasal daripada
Kemboja itu bercerita bahawa di kampung halamannya tidak ada minyak angin. Mereka
hanya menggunakan minyak tanah untuk mengurut dan sebagainya.
Bila tengok cara dia mengurut
nampak macam tak kuat mana. Tapi kesan-kesan lebam lepas berurut tu memang
nampak jelas sampaikan kami takut kalau doktor tanya macam-macam. Lepas berurut
tu ayah saya kata rasa kebas dah kurang sikit. Alhamdulillah.
Kalau diharapkan rasa kebas itu
hilang seratus peratus tentulah sesuatu yang mustahil. Ini bukan magik. Bak kata
tok saya, penyakit ni mai macam ribut tapi dia pi macam semut.