Friday 7 March 2014

Secebis Kenangan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Mashaf masih lagi di tangan. Sedang pandangan saya tebarkan ke segenap ruang binaan. Jiwa kecil saya sesak dengan  himpunan perasaan. Segala rasa berpadu. Selepas 13 tahun saya kembali ke sini.

Saat pandangan saya jatuh ke lantai, saya terasa ada seseorang sedang mencuri pandang ke arah saya.  Pandangan kami bertembung. Wajah putih bersih berhidung mancung itu sedang tersenyum.

Kami berbalas pandang dan bertukar senyuman. Gerak hati saya mengatakan ada sesuatu yang diinginkan olehnya. Saat dia menggamit ke arah saya, saya terus bangkit dan duduk betul-betul di sebelahnya.

Kami langsung tidak bercakap. Dia mengeluarkan mashaf lalu dibacanya. Saya pula tanpa disuruh-suruh mendengar dan membetulkan bacaannya. Sebaik saja bacaan ditamatkan, dia renung wajah saya dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya.

Saya ingin beredar tapi dia menahan. Saya melihat dia mencari sesuatu di dalam beg sandangnya. Akhirnya tiga biji gula-gula dihadiahkan kepada saya.  Bersungguh-sungguh dia ingin saya menerimanya. Tidak mahu menghampakannya, saya terima pemberian ikhlas itu dengan senang hati.

Saya cuba memberitahunya bahawa pertolongan saya tidak seberapa dan saya tidaklah pandai sangat sebenarnya, namun terhalang dek masalah bahasa. Usaha saya untuk bercakap dalam bahasa Inggeris dan Arab nyata sia-sia kerana dia langsung tidak memahaminya. Sayangnya saya tidak tahu berbahasa Turki.

Saya tepuk perlahan tangannya sebagai isyarat saya berbesar hati dapat membantunya dan tidak semena-mena dia memeluk saya dengan erat. Apalah sangat bantuan yang saya berikan kepadanya ketika itu.

Kami berpisah usai solat Isyak. Pengalaman singkat yang kerja buatnya dilorongkan oleh Allah. Allah yang mengilhamkan kepada saya untuk menolong hambaNya yang memerlukan bantuan. Allah jua yang memilih saya untuk berada di situ. Jika Allah tidak izinkan, saya tidak dapat berbuat apa-apa.

Secebis kenangan yang indah. Terima kasih Allah. Alhamdulillah. Wallahu’alam.

Monday 3 March 2014

Sepasang Mata

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Saya kenal Kak Ana ketika dalam perjalanan ke dewan kuliah. Orangnya sangat lemah-lembut sehinggakan saya rasa segan dengannya. Saya cuba bercakap dengan nada yang perlahan sepertinya tapi tak berjaya. 

Kami sama-sama mengikuti kelas pengajian Al-Quran di masjid. Di situlah saya melihat Kak Ana dari sudut pandang yang berbeza. Apabila tiba gilirannya untuk membaca ayat kelima surah Al-Mulk, langsung tidak kedengarannya suaranya.


Pelik saya kerana kelas sunyi sepi dan beliau masih lagi membisu seribu bahasa. Tatkala saya ke belakang saya lihat badannya bergetar manakala air matanya turun ibarat hujan. Tudungnya basah dengan air mata. 

Dalam nada yang tersekat-sekat, beliau berjaya menghabiskan bacaannya. Selepas kelas tamat, saya benar-benar ingin bertanya kepadanya namun tidak terluah dengan kata-kata. Tidak wajar rasanya untuk saya bertanya ketika itu kerana usia perkenalan kami belum pun mencecah seminggu.

Peristiwa yang sama berulang apabila saya menyertai usrah yang dikendalikan olehnya. Saat tahajud, saat sendirian membaca Al-Quran begitulah keadaan dirinya. Tanpa perlu bertanya, jawapan sudah tersedia di hadapan saya. Mata itu bukan mata biasa.

Mata itu ialah mata yang menangis kerana takutkan Allah. Bagaimana mungkin saya tidak cemburu dengan sepasang mata itu? Saya ingin memiliki mata seperti itu. 

Daripada Ibnu Abbas r.anhuma katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda. “Dua (jenis) mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis akibat ketakutan kepada Allah dan mata yang tidak tidur berjaga di jalan Allah.” (At-Tirmizi).

Wallahu'alam.

Sunday 2 March 2014

Saya Orang Kaya

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Suka saya nak beritahu kepada semua orang bahawa saya ini orang kaya. Orang yang kaya dengan kelemahan. Saya tidak punya apa-apa cuma mengharap belas kasih Tuhan. 



Jambatan Kedua Pulau Pinang

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google



Tak sangka Jambatan Kedua Pulau Pinang akhirnya menjadi suatu kenyataan. Ura-ura nak buat jambatan kedua ni dah lama sebenarnya. Tapi lepas tu sepi tanpa berita. Semua orang di sini berteka-teki, jadi atau tak jadi. 

Jambatan ini diwarnai pelbagai peristiwa. Malah menuntut darah dan air mata. Sempena perasmiannya semalam, nama baru telah diumumkan iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'azzam Shah. Bermula tengah malam tadi, jambatan terpanjang di Asia Tenggara sejauh 24 kilometer telah dibuka  dengan 1,000 pengguna yang pertama akan mendapat sijil. Simpanlah, mana tau satu hari nanti anda dicari untuk dokumentari pasal jambatan ni. Hehe.

Persoalan yang ditimbulkan oleh Astro Awani mengetuk minda saya. Sejauh mana Jambatan Kedua Pulau Pinang membanggakan anda? Pendapat saya secara peribadi, sesiapa pun peringkat awal mesti rasa teruja. Teruja nak melalui sendiri pengalaman menggunakan jambatan tersebut. 

Peringkat awal saja la. Lama-lama dah tak rasa apa-apa. Sama juga dulu bila kawan-kawan yang tak pernah sampai ke Pulau Pinang tanya, best tak naik jambatan tu? Entahlah, tak rasa apa-apa pun. Biasa je. Mungkin sebab duk lalu pi balik, pi balik.

Sama macam budak-budak yang dapat permainan baru la kot. Ralit duk main benda tu. Tapi lama-lama bila dia dah bosan, dia akan tinggal mainan tu. Dia tak nak main dah. 

Yang bagusnya, dengan adanya jambatan ini maka kesesakan jalan raya sedikit sebanyak akan berkurangan. Tempias kemajuan dan pembangunan akan turut dirasai oleh rakyat di Seberang Perai Selatan khususnya. Manakala kawasan Batu Maung akan terus berkembang dengan pesat.

Dulu, Batu Kawan hanyalah tempat 'jin bertendang' sebelum wujudnya stadium di kawasan tersebut. Kemudian, kawasan tersebut kembali suram walaupun terdapat perubahan dalam landskap ekonomi di situ. Lepas ni, pasti lebih banyak perubahan akan berlaku apabila kolej dan universiti swasta beroperasi sepenuhnya. Ditambah dengan pembinaan IKEA, makin nilai hartanah di kawasan ini akan melambung tinggi. 

Dari sudut yang lain, orang ramai yang bekerja di sebelah pulau mempunyai pilihan lebih baik kerana kebanyakan mereka terlibat dalam bidang perindustrian. Kos yang tinggi di kawasan pulau menyebabkan ramai yang memilih untuk tinggal di tanah besar (Seberang Perai).

Ini juga bermakna mereka terpaksa menempuh perjalanan yang panjang sebelum sampai ke tempat kerja. Ditambah pula dengan kesesakan jalan raya, maka banyak masa yang terbuang hanya di atas kenderaan. Dengan adanya jambatan kedua sebagai alternatif, maka akses ke kawasan perindustrian dan airport adalah lebih mudah. 

Namun begitu, terbit juga kebimbangan kerana selalunya kemajuan fizikal tidak seiring dengan kemajuan rohani. Ini antara aspek penting yang sering kali kita terlepas pandang dalam merencana pembangunan negara ini. Takut dan gerun melihat kerancakan kemajuan yang berkadar langsung dengan masalah sosial. 

Yang masih menjadi tanda tanya, berapa sebenarnya kadar tol yang akan dikenakan? Ketika pengumuman semalam, tidak pula disebut meskipun menurut Pengarah Urusan syarikat pemegang konsesi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), pemgumuman akan dibuat pada 1 Mac. Cadangan yang dibuat kepada Lembaga Lebuh Raya Malaysia kadarnya tidak kurang daripada RM 7 tetapi tidak melebihi RM 10. Tunggu dan lihat sajalah. Gunalah sementara percuma sepanjang bulan ni. 


Saturday 1 March 2014

Cerita Faris dan Flashcard


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Hari tu Faris tak pi sekolah. Kebetulan terjumpa flash card zaman dulu-dulu kat rumah. 

Perkataan-perkataan dalam flash card tu semua dalam Bahasa Inggeris (dah nama pun flash card kanJ). 

Apple, Bear, Cat ok dah dia sebut tapi bila sampai huruf D, jadi lain la pulak.


“D”. “Door”


“Bukanlah. Pintu!”


“Door”


“Pintu”


“Pintu dalam Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris sebut door.”


Tengok muka dia macam dah paham dah, tapi sekali dia ambik tangan Mak Teh dia letak kat gambar pintu.


Assalamualaikum!”Sambil ketuk gambar pintu.


Hahahahahaha.Memang tak boleh tahan gelak dengan budak sorang ni.





Thursday 27 February 2014

Ulasan Kelas Blog dan Penulisan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya sedar ketika orang lain berlari, saya berjalan. Ketika orang lain berjalan, barangkali saya merangkak. Walaupun sering kali saya terkulat-kulat melihat mereka berada jauh di hadapan, namun saya jadikan itu sebagai cabaran.

Saya bermula sangat perlahan. Memakan masa berbulan-bulan lamanya. Tapi saya berpegang kepada suatu perkara. Mulakan dan habiskan. Saya belum gagal. Kegagalan hanya bermula apabila saya tidak bangkit daripada kejatuhan. 

Lama juga masa yang saya ambil untuk menyudahkan tugasan yang diberi. Beberapa kali saya terhenti di awal dan pertengahan jalan. Terasa lelah. Terasa payah. Bukan mudah bagi saya. Apatah lagi untuk berkongsi catatan saya secara terbuka terutamanya melibatkan perihal diri.

Acap kali saya bertanya dan mengadu kepada Puan Masayu, bolehkah saya menulis? Untuk kesian kalinya beliau tidak jemu-jemu memberi dorongan kepada saya. 

Kononnya saya ni tak hidup dek puji dan tak mati dek keji. Pada hal kembang kempis juga hati ni mendengar pujian daripada beliau, meski pun tulisan saya tidaklah sehebat mana. Haha. 

Selain nota yang disediakan oleh guru untuk semua pelajar, saya juga kerap mengintai-intai blog rakan-rakan sekelas. Saya kagum dengan pengisian di blog mereka. Saya memerhati dan juga belajar. Sedikit sebanyak saya jadikan panduan. 

Sebelum masuk ke kelas, setiap pelajar perlu menjawab beberapa soalan sebagai proses analisa dalam menentukan hala tuju blog tersebut. Oleh itu, pelajar hanya perlu fokus terhadap apa yang telah ditetapkan.

Kita tidak dibiarkan terkapai-kapai seorang diri apabila kita telah mula menulis. Selain guru, teman-teman yang lain juga saling membantu. Bukankah bergerak secara jemaah itu lebih mudah dan indah?

Percaya atau tidak blog juga boleh menjadi sumber pendapatan. Nampak tidak glamor kerana duduknya hanya di rumah. Tidak ada gelar dan pangkat.

Blog ini ibarat pokok. Tiba masanya kita akan menuai hasilnya. Kebaikan yang ditanam, maka kebaikan juga akan dituai. Untungnya bukan hanya di dunia bahkan sampai ke alam sana.

Tetapi apabila kita sudah bertekad, tidak ada apa yang mampu menggugat. Apalah yang ada pada nama. Cukuplah bila kita bahagia dengan apa yang kita punya.

Cabaran ada di mana-mana. Ada yang akan memandang sebelah mata akan usaha kita. Ada yang akan mengandaikan bahawa kita sedang membuang masa melakukan perkara sia-sia.

Senyumlah kerana ia tidak akan merubah apa-apa. Teruskan berusaha dalam senyap dan biarkan kejayaan yang bercakap.


Wednesday 26 February 2014

Pokok Kalau Takkan Berbuah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google



Pokok kalau takkan berbuah. Tajuk drama kalau tidak silap saya yang mengingatkan saya kepada ungkapan sama yang dilontarkan oleh Dr Shafie dalam satu kursus yang pernah saya hadiri.

Jenuh juga saya berfikir apa puncanya tak berbuah. Fikir punya fikir dapatlah jawapannya. Macam mana pokok nak berbuah sebab kita cuma kata kalau. Kalau kita buat. Kalau kita siram. Soalnya kita siram tak pokok tu?

Cuba kita kaitkan dengan perbuatan kita sehari-hari. Kita kata kalau la aku buat macam ni, mesti dapat macam ni. Kita buat ke tak buat? Setakat duk kata 'kalau' tak ke mananya kita. Justeru, pokok kalau-kalau, kalau hari-hari kita siram mati pokok tu.



Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015