Thursday, 27 February 2014

Ulasan Kelas Blog dan Penulisan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya sedar ketika orang lain berlari, saya berjalan. Ketika orang lain berjalan, barangkali saya merangkak. Walaupun sering kali saya terkulat-kulat melihat mereka berada jauh di hadapan, namun saya jadikan itu sebagai cabaran.

Saya bermula sangat perlahan. Memakan masa berbulan-bulan lamanya. Tapi saya berpegang kepada suatu perkara. Mulakan dan habiskan. Saya belum gagal. Kegagalan hanya bermula apabila saya tidak bangkit daripada kejatuhan. 

Lama juga masa yang saya ambil untuk menyudahkan tugasan yang diberi. Beberapa kali saya terhenti di awal dan pertengahan jalan. Terasa lelah. Terasa payah. Bukan mudah bagi saya. Apatah lagi untuk berkongsi catatan saya secara terbuka terutamanya melibatkan perihal diri.

Acap kali saya bertanya dan mengadu kepada Puan Masayu, bolehkah saya menulis? Untuk kesian kalinya beliau tidak jemu-jemu memberi dorongan kepada saya. 

Kononnya saya ni tak hidup dek puji dan tak mati dek keji. Pada hal kembang kempis juga hati ni mendengar pujian daripada beliau, meski pun tulisan saya tidaklah sehebat mana. Haha. 

Selain nota yang disediakan oleh guru untuk semua pelajar, saya juga kerap mengintai-intai blog rakan-rakan sekelas. Saya kagum dengan pengisian di blog mereka. Saya memerhati dan juga belajar. Sedikit sebanyak saya jadikan panduan. 

Sebelum masuk ke kelas, setiap pelajar perlu menjawab beberapa soalan sebagai proses analisa dalam menentukan hala tuju blog tersebut. Oleh itu, pelajar hanya perlu fokus terhadap apa yang telah ditetapkan.

Kita tidak dibiarkan terkapai-kapai seorang diri apabila kita telah mula menulis. Selain guru, teman-teman yang lain juga saling membantu. Bukankah bergerak secara jemaah itu lebih mudah dan indah?

Percaya atau tidak blog juga boleh menjadi sumber pendapatan. Nampak tidak glamor kerana duduknya hanya di rumah. Tidak ada gelar dan pangkat.

Blog ini ibarat pokok. Tiba masanya kita akan menuai hasilnya. Kebaikan yang ditanam, maka kebaikan juga akan dituai. Untungnya bukan hanya di dunia bahkan sampai ke alam sana.

Tetapi apabila kita sudah bertekad, tidak ada apa yang mampu menggugat. Apalah yang ada pada nama. Cukuplah bila kita bahagia dengan apa yang kita punya.

Cabaran ada di mana-mana. Ada yang akan memandang sebelah mata akan usaha kita. Ada yang akan mengandaikan bahawa kita sedang membuang masa melakukan perkara sia-sia.

Senyumlah kerana ia tidak akan merubah apa-apa. Teruskan berusaha dalam senyap dan biarkan kejayaan yang bercakap.


1 comment:

  1. Selamat berkenalan rakan seperjuangan.. silakan menulis.. sangat terkesan ..

    kuazue.blogspot.com

    ReplyDelete


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015