Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Sekiranya kita diberikan 2 pilihan dalam hidup, yang mana satukah yang kita akan pilih?
Pilihan 1 : Kita memiliki segalanya.
Pilihan 2 : Kita berasa tenang tidak kira apa jua yang kita ada.
Majoriti akan memilih pilihan yang kedua. Kenapa kita memilih untuk tenang? Ini kerana tujuan sebenar kita ingin memiliki rumah yang cantik, pasangan yang baik, kenderaan yang elok, anak-anak yang baik bertitik tolak daripada keinginan kita untuk beroleh ketenangan.
Orang yang paling bebas ialah orang yang paling tenang dalam apa jua situasi. Dalam dunia ini ada 3K yang kita inginkan iaitu kebebasan, ketenangan dan kebahagiaan.
Bagaimanakah caranya untuk kita mendapat 3K ini? Cara yang sangat mudah iaitu dengan memberi kepada orang lain. Kalau kita inginkan ketenangan maka kita kena tenangkan orang. Inilah teorinya.
Tahap ketenangan kita boleh diukur dengan melihat emosi kita pada waktu pagi. Jika kita tidak tenang dan serabut maksudnya kita ada sesuatu yang tidak kena pada diri kita. Boleh jadi kerana kita banyak dosa, tidak memaafkan orang lain atau pun kita sangat ego.
Perlu kita ingat bahawa orang ego adalah orang yang sombong dan orang sombong tidak akan tenang. Mereka tidak tenang kerana orang yang sombong adalah orang yang tidak taat kepada Allah serta tidak mahu mengikut hukum Allah. Orang begini akan mengundang kemurkaan Allah.
Sedangkan hati dan jiwa kita berada di dalam genggaman Allah. Tidak ada benda yang berlaku di luar boleh menentukan dalaman kita. Allah yang Maha Berkuasa yang menggenggam langit dan bumi. Dia jugalah yang menggenggam hati kita.
Sesungguhnya orang tenang sentiasa akan menang. Tetapi orang takut tidak akan menang. Orang dengki tidak akan menang. Orang marah tidak akan menang. Orang dendam tidak akan menang. Orang dendam tidak akan menang. Orang tamak tidak akan menang.
Orang yang tidak tenang adalah orang yang mempunyai banyak emosi negatif. Takut adalah emosi negatif. Maka sepatutnya kita hanya takut kepada Allah.
Ayuh kita audit diri kita, berapa kali kita menyebut perkataan-perkataan ini. Takut, risau, kalau, tapi, nanti macam mana, kenapa, boleh ke, 'ye ke' dan 'betul ke'.
Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai; lalu masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku (QS al-Fajr [89]: 27-30).
Wallahu'alam.