Monday, 13 January 2014

Raikan Cinta Rasul

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Orang muda ekspresinya berbeza. Selalunya Maulidur Rasul di Malaysia bersifat ekslusif hanya disambut dalam komuniti Muslim sahaja. Justeru, sudah sampai masanya kita sambut cinta rasul dengan seluruh alam dan sampaikan kepada semua tentang Rasulullah SAW termasuk bukan Islam.

Atas dasar tersebut sekelompok anak muda mengambil inisiatif turun ke jalanan bagi menyebarkan dan menzahirkan perasaan cinta kepada Rasulullah kepada masyarakat bukan Islam. Ini bukanlah sesuatu yang asing di negara barat di mana Islam adalah minoriti, di Denmark contohnya apabila tiba Maulidur Rasul mereka akan memberikan bunga ros kepada masyarakat bukan Islam sebagai salah satu bentuk dakwah.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, PBUH2014 : For The Love - Maulid2.0 Giveaway telah diperluaskan ke beberapa buah tempat tumpuan ramai di sekitar ibu negara dan Melaka. Cara dakwah yang sangat santai di mana sukarelawan yang terlibat akan mengagihkan hadiah secara percuma seperti minyak wangi, air dan manisan seperti kek dan coklat.

Melalui pengalaman yang lalu, penerima yang terdiri daripada masyarakat bukan Islam akan bertanya mengapa mereka diberikan barangan secara percuma, dan para sukarelawan akan menjelaskan bahawa ini  adalah manifestasi rasa cinta kepada nabi kita sempena menyambut hari lahir baginda. Jika penerima inginkan penjelasan yang lebih lanjut berkaitan Islam dan sebagainya, maka sukarelawan terbabit akan memberikan buku kecil berkenaan Islam.

Tampak mudah, namun ada juga reaksi negatif daripada orang bukan Islam yang timbul disebabkan oleh salah faham mereka terhadap Islam. Pelikkan kan? Nak bagi free gift pun marah? Orang marah sebab kita bagi free gift? Cuba tengok nabi. Nabi nak bagi syurga, orang tentang nabi. Itu antara kata-kata semangat yang diberikan kepada para peserta.

Moga usaha kecik ini besar nilainya di sisi Allah. 



Wallahu'alam.


Amalan Yang Menyebabkan Fakir

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya ada menonton siaran ulangan rancangan Tanyalah Ustaz yang disampaikan Ustaz Abdullah Mahmud. Kata ustaz, dalam masyarakat Melayu ni banyak pantang larang dan ayat yang selalu kita dengar mak ayah kita akan cakap ‘orang tua-tua dulu kata’. Sebenarnya bukan orang tua-tua kata yang sebetulnya ulama dulu-dulu yang pesan.

Ustaz ada berkongsi denga penonton amalan yang menyebabkan kita fakir. Antaranya:
  1.  Makan dalam keadaaan berjunub.
  2. Pakai seluar dalam keadaan berdiri.
  3.  Pakai serban dalam keadaan duduk.
  4. Menjahit pakaian di badan
  5. Terlalu cepat meninggalkan tempat solat khususnya solat Subuh.
  6.  Mendoakan keburukan kepada anak-anak.
  7. Memadamkan lampu dengan cara meniup (contohnya: lilin).
  8. Membiarkan rumah bersawang (sarang labah-labah).
  9. Tidur tanpa seurat benang (tidak berpakaian).
  10.  Memintas orang tua yang berjalan di hadapan kita.  
Wallahu'alam.


Tip di Dapur: Papan Pencanai

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Tidak cukup peralatan bukan halangan untuk kita mencuba sesuatu masakan. Hanya memerlukan sedikit kreativiti mengguna pakai barangan yang sedia ada di dalam rumah.

Selalunya dulang atau talam kita gunakan untuk mengangkat makanan. Selain daripada itu, dulang atau pun juga disebut sebagai talam boleh digunakan sebagai papan pencanai. Basuh bersih-bersih dulang (yang tidak bertangkai) tersebut dan lap sehingga kering permukaan atas dan bawahnya. Kemudian, terbalikkan dulang itu dan gunakan bahagian bawahnya untuk mencanai.




Sunday, 12 January 2014

Berurut dengan Duit Syiling

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya tak pernah tengok orang mengurut menggunakan duit syiling. Tapi beberapa tahun yang lalu, saya melihat seseorang melakukannya. Ketika itu ayah saya terlantar di hospital akibat serangan strok. Seorang pelawat yang menziarahi ayah saya meminta izin untuk mengurut tangan kiri ayah saya yang masih lemah dan kebas.

Tidak seperti urutan tradisional yang biasa kita lihat, urutan dilakukan dengan menggunakan duit syiling.  Setelah bahagian tersebut disapu dengan minyak angin, dia memulakan urutan daripada bahu hingga ke hujung jari. Duit syiling 10 sen itu ditekan pada urat-urat lengan supaya aliran darah menjadi lebih lancar.

Urutan tersebut tidak mengambil masa yang lama sekitar 10 hingga 15 minit sahaja. Pelawat yang berasal daripada Kemboja itu bercerita bahawa di kampung halamannya tidak ada minyak angin. Mereka hanya menggunakan minyak tanah untuk mengurut dan sebagainya.

Bila tengok cara dia mengurut nampak macam tak kuat mana. Tapi kesan-kesan lebam lepas berurut tu memang nampak jelas sampaikan kami takut kalau doktor tanya macam-macam. Lepas berurut tu ayah saya kata rasa kebas dah kurang sikit. Alhamdulillah.

Kalau diharapkan rasa kebas itu hilang seratus peratus tentulah sesuatu yang mustahil. Ini bukan magik. Bak kata tok saya, penyakit ni mai macam ribut tapi dia pi macam semut.

Friday, 10 January 2014

Semuanya Sedekah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Jiran             :Tok Ngah, buah-buah kat kebun tu habis orang curi.

Tok Ngah      :Takpa la. Aku anggap sedekah.

Jiran     :Ada yang binatang makan. Sayang la buah-buah tu biar macam tu ja. Kalau jual tu boleh untung banyak tu.


Tok Ngah :Tak kira la burung ka, musang ka, aku anggap sedekah saja la. Kalau hampa teringin nak makan, ambil la. Aku tanam pokok-pokok tu semua untuk anak cucu aku makan. Buah-buah tu banyak, tak larat nak makan. Aku bukan nak buat jual.

Itu satu-satunya kebun buah-buahan yang Tok Ngah ada ketika itu. Tapi Tok Ngah tidak berkira. Tidak pernah bimbang soal rezeki. Semuanya dianggap sedekah. Tidak perlu susah hati dengan apa yang terjadi.

Allah ganti rezekinya. Walaupun nampak macam orang susah dengan hanya berbasikal ke mana-mana. Rezeki Tok Ngah tidak pernah putus. Ladang kelapa sawit, estet getah, bendang dan banyak lagi.

Oh, mudahnya menjemput rezeki!



Astaghfirullah.

Wednesday, 8 January 2014

Berwuduk atau Mandi?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


“Kamu berwuduk atau mandi?” tanya Ahmad Shuhairi pengacara rancangan Al-Khawater.

Soalan itu diajukan setelah melihat seorang lelaki yang baru sahaja selesai berwuduk dengan  pakaian yang basah di sana sini. Ahmad kemudiannya menyatakan bahawa dianggarkan seorang Muslim yang berwuduk menggunakan kira-kira 26 liter air sehari.

Betul ke? 26 liter hanya untuk berwuduk? Barangkali saya tersilap dengar. Mungkin juga kisah yang dikongsikan itu hanya berlaku di Tanah Arab, tetapi rasanya di tanah air kita pun tidak jauh bezanya. Agaknya maksud meratakan air ke seluruh anggota wuduk ditakrifkan oleh segelintir individu Muslim sebagai menggunakan air dalam kuantiti yang banyak, maka hanya dengan itu seluruh anggota wuduk berkenaan dapat dibasuh dengan sempurna.

Bagi sesetengah orang 26 liter nampak tidak realistik. Baiklah, kita abaikan sahaja soal kuantiti air tersebut. Kita kembali kepada persoalan pokok iaitu pembaziran air. Kalau diikutkan segelas air sudah lebih daripada mencukupi. Namun kebanyakan daripada kita hanya mampu melakukannya ketika keadaan benar-benar mendesak.

Pembaziran air ini berlaku hampir setiap masa. Paling ketara ketika kita memberus gigi dan menyabun pinggan mangkuk. Air adalah suatu nikmat buat kita. Justeru kita perlulah menggunakannya secara berhemat. Bukankah nabi melarang kita berlebihan dalam penggunaan air walaupun semasa berwuduk di sungai yang mengalir?

Wallahu’alam.


Tuesday, 7 January 2014

Jangan Berbisik


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


“Dah nak balik ke? Jangan balik lagi. Kita duduk sembang-sembang dulu boleh?” beliau tersenyum.

Saya pelik dengan permintaan itu tetapi sukar untuk saya menolak. Tidak ada ada rasa curiga dengan permintaannya yang luar biasa. Saya ternanti-nanti juga apa yang akan disampaikan oleh beliau.

Beliau lebih banyak bercerita. Sesekali apabila ditanya saya menjawab sepatah dua. Segan nak bercakap lebih-lebih kerana beliau guru saya. Saya fikir beliau hanya ingin meluangkan masa berborak dengan saya. Dalam hati terselit bangga.

Ketika saya meminta izin untuk balik, beliau berkata dengan nada yang cukup lembut sambil tangannya menepuk bahu saya. Serta-merta saya teringat kesilapan saya pada hari tersebut. Terjawab sudah mengapa Ustazah Maziah mengajak saya berborak petang itu.

Terlayar di fikiran saya apa yang berlaku semasa tiba giliran saya untuk mengaji di hadapan ustazah. Belum pun sempat saya memulakan bacaan, seorang rakan berbisik di telinga saya. Walaupun tidak ada suara yang keluar dari mulut saya, tetapi perbuatan kami itu rupa-rupanya diperhatikan oleh guru saya.

Saya menyangka ustazah tidak sedar apa yang berlaku kerana beliau sedang menyemak bacaan beberapa orang pelajar yang lain. Ketika itu saya berasa perbuatan saya adalah betul. Kalau salah sekali pun, bukanlah salah saya. Orang lain yang berbisik di telinga saya, bukan saya yang berbisik kepadanya. Lagi pun, saya cuma mendengar. Apalah salah saya?

Sesi pembelajaran selepas itu berjalan seperti biasa. Tidak kelihatan riak kurang senang atau pun marah di wajah ustazah terhadap perbuatan yang telah saya dan rakan lakukan.  Dalam diam, rupa-rupanya ustazah mencari masa yang sesuai untuk menegur.

“Adilah, Rasulullah SAW melarang dua orang berbisik di hadapan seorang yang lain. Kalau sedang duduk bertiga (tiga orang), janganlah dua orang ini berbisik-bisik di hadapan yang seorang yang lain. Takut yang seorang lagi sedih.” Kata ustazah.

Ayat yang mudah dan terus sampai kepada maksud yang sebenarnya. Cukup untuk membuatkan saya sedar dan faham tanpa menjatuhkan air muka saya. Terima kasih ustazah.



Astaghfirullah. 


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015