Thursday, 26 February 2015

Pulangkan Duit Baki - Bolehkah Guna Cara Ini?

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google


Semalam hangat tentang kisah peniaga atas talian yang tidak mahu memulangkan duit baki kepada pelanggan. 

Dahulu, saya berasa aneh dengan cara pemulangan duit baki yang diamalkan oleh majoriti peniaga. Lebih-lebih lagi peniaga makanan.


Sumber : nazcollection.wordpress.com

Beli air 90 sen, kita bagi RM1. Bakinya 10 sen. Dapatnya? Dua biji gula-gula Hacks warna hitam (selalunyalah). Andai baki 20 sen, kadang-kadang dapat lima biji gula-gula atau tisu (pek kecil).

Saya yang ketika itu baru pandai mengira, terkebil-kebil memandang juruwang di kaunter. Hairan saya, bukankah sepatutnya yang diberi adalah duit syiling. 



Kenapa pula dibagi gula-gula? Saya tidak berminat untuk beli gula-gula. Apatah lagi gula-gula hitam yang 'pedas' itu. Dalam terpaksa, ku relakan jua. 

Ambil juga walau tidak puas hati. Duit kita kan?

Saya lihat orang lain tidak ambil pusing. Perkara biasa dan sudah macam satu budaya pula dalam masyarakat kita. 

Saya juga tidak terkecuali. Hanyut dibawa arus. Tidak ada lagi isu yang saya bangkitkan. Saya juga perasan, sekarang sudah tidak ada lagi hal-hal sebegini. 

Sehinggalah, pada tahun 2011 ketika kembali menyambung seorang pengajian pensyarah saya menimbulkan isu ini.

"Pernah tak dulu-dulu kamu beli barang, kalau ada baki sekupang dua (10-20 sen), tauke kedai tu tak bagi duit baki. Dia bagi coklat (gula-gula) kat kamu?" soalnya kepada saya dan rakan-rakan sekelas.

"Ingat-ingat," jawab kami terangguk-angguk.

"Tak boleh macam tu, kalau pembeli tak reda. Hatta sesen sekali pun kita kena bagi balik. Akad jual beli hanya sah bila kedua-dua pihak penjual dan pembeli saling meredai. Kita tak mau beli coklat, dia buat kita terpaksa beli. Tak sah jual beli tu."

Terjawab juga kemusykilan yang bersarang di benak saya sekian lama. Saya sangka hal ini tidak lagi berlaku di mana-mana. Namun, tahun berikutnya, saya mengalami situasi yang sama. Kali ini bukan di tanah air sendiri tetapi di Mekah.

Bezanya di sana, tidak semua orang reda dengan transaksi secara 'paksa' ini. Apabila duit baki perlu dipulangkan ada nilai sen di dalamnya, secara automatiknya juruwang akan memberikan coklat sebagai ganti.

Ada pelanggan yang bertegas mahukan duitnya dan menolak diberi coklat sebagai ganti. Saya masih ingat, sebelum berlalu pelanggan tersebut berkata kepada juruwang tersebut, "Haram. Haram." Sambil meninggalkancoklat tersebut di kaunter.


Peniaga punya pilihan untuk memudahkan mereka dan juga pelanggan. Jika begitu polisinya, genapkan saja harga barangan jualan. Peniaga tidak perlu menyediakan duit syiling dan pelanggan juga senang hati.



No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015