Seorang suami membawa makanan
untuk isteri yang ditahan di hospital akibat kencing manis dan darah tinggi.
Roti canai, teh tarik, nasi lemak, nasi kandar dan sebagainya.
Lalu si isteri menjamah makanan
ini dengan gembira. Si suami pula tersenyum bahagia. Makanan yang disediakan
oleh pihak hospital langsung tidak disentuh. Ini yang berlaku tiga empat kali
sehari. Berlarutan sepanjang dua minggu di hospital.
Benarkah ini tandanya cinta dan
kasih seorang suami terhadap isteri? Sedangkan tahun sebelumnya, si isteri
terpaksa dipotong kakinya hingga ke paras lutut akibat penyakit yang dihidapi.
Saya cuba merasionalkan tindakan
si suami . Memanglah sesekali pasti terbit keinginan di hati isteri untuk
menikmati makanan yang enak di luar sana.
Pokok pangkalnya kembali kepada
empunya diri. Tidak ada sesiapa yang boleh memaksa anda jika anda tidak mahu.
Tapi jika anda mahu, anda boleh mendesak insan-insan yang menyayangi anda.
Pastinya si suami dalam dilema. Kalau
tak diturutkan nanti merajuk. Kalau diturutkan binasa badan. Ditelan mati emak,
diluah mati bapa. Maka lebih baik dikulum saja.
Saya orang luar. Memandang dari
jauh. Kesian kepada suami dan juga isteri. Buat si isteri, sayangilah diri
anda. Jangan campakkan diri anda dalam kebinasaan. Kepada si suami, banyak lagi
cara menzahirkan cinta. Perbuatan anda boleh mengancam nyawanya.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment