Saturday, 22 February 2014

Nikmat Yang Hilang

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Saya memerhati sepasang suami isteri yang duduk selang semeja dari saya. Kedua-duanya sebaya mak dan ayah saya. Si isteri meletakkan sepinggan penuh makanan yang berisi pelbagai jenis lauk bersama sedikit nasi di tengah-tengahnya.



Apabila pinggan tadi telah pun diletakkan di atas meja, maka si isteri mula bersuara. Beliau menerangkan satu-persatu lauk yang diambilnya. Si suami menongkat dagu sambil merenung pinggan di hadapannya.

Si isteri menanti dengan penuh sabar respon daripada suaminya. Hampa. Si suami kemudiaannya memohon maaf dan berlalu pergi. Mengeluh panjang si isteri dengan reaksi suaminya sambil bersandar di kerusi.

Kisah itu berakhir begitu saja. Saya tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah beberapa minggu selepas itu Allah mentakdirkan saya bertemu dengan isterinya. Entah bagaimana beliau bercerita kepada saya tanpa dipinta.

Tepat andaian saya, suaminya mempunyai masalah kesihatan. Boleh dikatakan sepanjang berada di sana, hanya dua kali menu berasaskan ikan dihidangkan. Selebihnya juadah ayam dan daging menjadi menu harian. Tidak ada pilihan.

Kata si isteri, jika dulu juadah daging kambing dan seafood antara yang menjadi kegemaran suaminya, namun kini semuanya terpaksa dilupakan. Sesekali terbit juga keinginan di hati untuk mencuba daging kambing yang yang menjadi menu istimewa di sana, tetapi apabila mengenangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung kemudian, hasrat itu mati di tengah jalan. 

Makan adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita.  Jangan tunggu sehingga nikmat tersebut hilang. Bersyukurlah, kerana sedikit sekali daripada kalangan hamba-hambaNya yang bersyukur.


Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015