Thursday, 27 February 2014

Ulasan Kelas Blog dan Penulisan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya sedar ketika orang lain berlari, saya berjalan. Ketika orang lain berjalan, barangkali saya merangkak. Walaupun sering kali saya terkulat-kulat melihat mereka berada jauh di hadapan, namun saya jadikan itu sebagai cabaran.

Saya bermula sangat perlahan. Memakan masa berbulan-bulan lamanya. Tapi saya berpegang kepada suatu perkara. Mulakan dan habiskan. Saya belum gagal. Kegagalan hanya bermula apabila saya tidak bangkit daripada kejatuhan. 

Lama juga masa yang saya ambil untuk menyudahkan tugasan yang diberi. Beberapa kali saya terhenti di awal dan pertengahan jalan. Terasa lelah. Terasa payah. Bukan mudah bagi saya. Apatah lagi untuk berkongsi catatan saya secara terbuka terutamanya melibatkan perihal diri.

Acap kali saya bertanya dan mengadu kepada Puan Masayu, bolehkah saya menulis? Untuk kesian kalinya beliau tidak jemu-jemu memberi dorongan kepada saya. 

Kononnya saya ni tak hidup dek puji dan tak mati dek keji. Pada hal kembang kempis juga hati ni mendengar pujian daripada beliau, meski pun tulisan saya tidaklah sehebat mana. Haha. 

Selain nota yang disediakan oleh guru untuk semua pelajar, saya juga kerap mengintai-intai blog rakan-rakan sekelas. Saya kagum dengan pengisian di blog mereka. Saya memerhati dan juga belajar. Sedikit sebanyak saya jadikan panduan. 

Sebelum masuk ke kelas, setiap pelajar perlu menjawab beberapa soalan sebagai proses analisa dalam menentukan hala tuju blog tersebut. Oleh itu, pelajar hanya perlu fokus terhadap apa yang telah ditetapkan.

Kita tidak dibiarkan terkapai-kapai seorang diri apabila kita telah mula menulis. Selain guru, teman-teman yang lain juga saling membantu. Bukankah bergerak secara jemaah itu lebih mudah dan indah?

Percaya atau tidak blog juga boleh menjadi sumber pendapatan. Nampak tidak glamor kerana duduknya hanya di rumah. Tidak ada gelar dan pangkat.

Blog ini ibarat pokok. Tiba masanya kita akan menuai hasilnya. Kebaikan yang ditanam, maka kebaikan juga akan dituai. Untungnya bukan hanya di dunia bahkan sampai ke alam sana.

Tetapi apabila kita sudah bertekad, tidak ada apa yang mampu menggugat. Apalah yang ada pada nama. Cukuplah bila kita bahagia dengan apa yang kita punya.

Cabaran ada di mana-mana. Ada yang akan memandang sebelah mata akan usaha kita. Ada yang akan mengandaikan bahawa kita sedang membuang masa melakukan perkara sia-sia.

Senyumlah kerana ia tidak akan merubah apa-apa. Teruskan berusaha dalam senyap dan biarkan kejayaan yang bercakap.


Wednesday, 26 February 2014

Pokok Kalau Takkan Berbuah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google



Pokok kalau takkan berbuah. Tajuk drama kalau tidak silap saya yang mengingatkan saya kepada ungkapan sama yang dilontarkan oleh Dr Shafie dalam satu kursus yang pernah saya hadiri.

Jenuh juga saya berfikir apa puncanya tak berbuah. Fikir punya fikir dapatlah jawapannya. Macam mana pokok nak berbuah sebab kita cuma kata kalau. Kalau kita buat. Kalau kita siram. Soalnya kita siram tak pokok tu?

Cuba kita kaitkan dengan perbuatan kita sehari-hari. Kita kata kalau la aku buat macam ni, mesti dapat macam ni. Kita buat ke tak buat? Setakat duk kata 'kalau' tak ke mananya kita. Justeru, pokok kalau-kalau, kalau hari-hari kita siram mati pokok tu.


Tuesday, 25 February 2014

Nostalgia Kuah Laksa

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google



Nostalgia zaman sekolah dulu. Budak-budak sekolah Sungai Bakap mesti ingat. Kuah laksa. Boleh kata semuanya kami makan dengan kuah laksa. Nasib baik nasi lemak tak boleh makan dengan kuah laksa. Haha.

Berebut-rebut nak beli. Kadang-kadang sampai tak cukup. Bukan takat makan waktu rehat, waktu balik singgah beli lagi kat Ngah kantin. Buh dalam plastik buat balik kononnya. Selalunya tak dan sampai rumah, tengah jalan dah habis. Makan dalam plastik, apa ada hal.

Nak tau apa yang kami makan dengan kuah laksa? Kot-kot la nak terai. Haha. Paling best cucur udang dengan kuah laksa.




Bihun goreng buh kuah laksa pun masyuk.




Mi goreng dengan kuah laksa pun layan gak.



Heaven! 

Setenang Itik Berenang

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Pernah tengok itik berenang? Nampak best kan? Tenang dan senang je kita tengok itik tu berenang ke sana ke mari. Dengan lembutnya itik ini meluncur laju di atas permukaan air. Tapi itu yang kita nampak. Yang kita tak nampak kakinya yang berhempas pulas supaya tubuhnya dapat bergerak dan meluncur gagah.

Sama la halnya dengan hidup manusia. Tengok orang berniaga kita kata mesti untung banyak ni. Hebatnya dia. Kita tak tahu susah payah dia, jatuh bangun dia. Jadi jangan bandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Kita tidak pernah tahu apa yang dia terpaksa harungi selama ini. Wallahu'alam.





Hanya Satu Perkara

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Kita ni banyak hajat dan permintaan. Macam-macam kita mintak kat Allah. Mintaklah, sebab memang Dia suruh kita mintak. Tapi Allah cuma minta satu perkara je daripada kita. Taat kepada Dia. Petikan kuliah Ustaz Shamsuri. Wallahu'alam.

Monday, 24 February 2014

Hati Berjalan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google



Bila kita berjalan, hati kita akan duduk diam. Bila kita duduk diam, hati kita pula berjalan. Macam mana tu?
Contoh paling mudah kita pergi shopping, masa ni hati kita tak fikir yang lain dah. Ingat dan fokus untuk shopping je. Tapi kalau kita tengah solat, kuat sungguh hati ni berjalan. Masa tu la juga dia berjalan cari kunci rumah yang hilang la, hujan turun kain baju kat penyidai tak angkat lagi la. Macam-macam benda dia cari bagi kita teringat. Hebat sungguh hati ni. Astaghfirullahal'azim.

Wallahu'alam.

Sunday, 23 February 2014

Hadiahkan Syurga

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Adik jangan risau. Emak dan abah akan usaha sedaya upaya kami supaya adik sihat macam dulu-dulu. 

Menangis.

Jangan menangis mak. Ini takdir Allah.

Sunyi seketika.

Adik nak apa? Nanti mak suruh abah belikan.

Adik nak syurga. Boleh mak dan abah belikan adik syurga?

Tangisan semakin kuat.

Mak, Abah. Allah duk tunggu nak bagi syurga kat adik. Adik tak sedih. Mak dengan abah jangan sedih tau. Adik tak boleh nak jaga mak dan abah kat sini. Tapi adik janji. Adik akan bawa mak dan abah masuk syurga. Kita masuk sama-sama ye?

Angguk.

Ustaz kata kalau Allah ambil balik barang yang Dia bagi kita pinjam. Kita sabar. Kita boleh masuk syurga. Mak abah mesti boleh masuk. Sebab Allah nak ambil adik balik. Mak abah sabar ye?

Kisah dua puluh tahun lalu yang diceritakan oleh pensyarah saya. Anak bongsunya meninggal dunia pada usia 9 tahun akibat luekimia. Pedih dan perit.

Detik-detik terakhir sebelum anaknya pergi masih terbayang-bayang di ruang matanya. Lama-kelamaan pensyarah saya dapat kekuatan baru. Beliau mula nampak hikmah di sebalik ujian. Sayang macam mana pun beliau kepada anaknya, beliau tak dapat hadiahkan syurga kepada anaknya itu.

Beliau boleh berikan pendidikan agama secukupnya tetapi beliau tak boleh jamin anaknya akan dapat masuk syurga. Allah ambil anaknya ketika masih kanak-kanak. Dalam keadaan bersih daripada dosa. Sementara nasib kita belum tentu lagi bagaimana.


Wallahu'alam.

Benarkah Ini Tandanya Cinta?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Seorang suami membawa makanan untuk isteri yang ditahan di hospital akibat kencing manis dan darah tinggi. Roti canai, teh tarik, nasi lemak, nasi kandar dan sebagainya.

Lalu si isteri menjamah makanan ini dengan gembira. Si suami pula tersenyum bahagia. Makanan yang disediakan oleh pihak hospital langsung tidak disentuh. Ini yang berlaku tiga empat kali sehari. Berlarutan sepanjang dua minggu di hospital.

Benarkah ini tandanya cinta dan kasih seorang suami terhadap isteri? Sedangkan tahun sebelumnya, si isteri terpaksa dipotong kakinya hingga ke paras lutut akibat penyakit yang dihidapi.

Saya cuba merasionalkan tindakan si suami . Memanglah sesekali pasti terbit keinginan di hati isteri untuk menikmati makanan yang enak di luar sana.

Pokok pangkalnya kembali kepada empunya diri. Tidak ada sesiapa yang boleh memaksa anda jika anda tidak mahu. Tapi jika anda mahu, anda boleh mendesak insan-insan yang menyayangi anda.

Pastinya si suami dalam dilema. Kalau tak diturutkan nanti merajuk. Kalau diturutkan binasa badan. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Maka lebih baik dikulum saja.

Saya orang luar. Memandang dari jauh. Kesian kepada suami dan juga isteri. Buat si isteri, sayangilah diri anda. Jangan campakkan diri anda dalam kebinasaan. Kepada si suami, banyak lagi cara menzahirkan cinta. Perbuatan anda boleh mengancam nyawanya.

Wallahu’alam.

Saturday, 22 February 2014

50 Ringgit atau 20 sen

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Ustaz Mohd Elyas bertanya kepada khalayak, kalau dalam poket kita cuma ada sekeping wang kertas RM50 dan sekeping syiling 20 sen. Yang mana satukah yang akan kita masukkan ke dalam tabung masjid? Berapa yang kita ikhlas nak bagi? Kalau bagi RM50 tinggal dalam kocek cuma 20 sen, tapi kalau kita bagi 20 sen masih lagi berbaki RM50. Benarkah apa yang tinggal kepada kita itu milik kita?


        


Ada suatu kisah di mana Saidatina Aisyah telah dihadiahkan seekor kambing. Lalu Aisyah menyedekahkan bahagian-bahagian kambing tersebut. Kemudian Aisyah memberitahu Rasulullah SAW bahawa beliau memberikan semua bahagian kambing itu kepada orang lain kecuali bahagian kaki kerana Rasulullah SAW sangat menyukai bahagian tersebut.

Apa kata Rasulullah? Adakah kamu pasti apa yang tinggal kepada kita itu milik kita? Sebenarnya apa yang kamu beri dan sedekahkan kepada orang lain itulah milik kita. Milik kita yang boleh dituntut di akhirat kelak.

Wallahu'alam.


Nikmat Yang Hilang

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Saya memerhati sepasang suami isteri yang duduk selang semeja dari saya. Kedua-duanya sebaya mak dan ayah saya. Si isteri meletakkan sepinggan penuh makanan yang berisi pelbagai jenis lauk bersama sedikit nasi di tengah-tengahnya.



Apabila pinggan tadi telah pun diletakkan di atas meja, maka si isteri mula bersuara. Beliau menerangkan satu-persatu lauk yang diambilnya. Si suami menongkat dagu sambil merenung pinggan di hadapannya.

Si isteri menanti dengan penuh sabar respon daripada suaminya. Hampa. Si suami kemudiaannya memohon maaf dan berlalu pergi. Mengeluh panjang si isteri dengan reaksi suaminya sambil bersandar di kerusi.

Kisah itu berakhir begitu saja. Saya tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah beberapa minggu selepas itu Allah mentakdirkan saya bertemu dengan isterinya. Entah bagaimana beliau bercerita kepada saya tanpa dipinta.

Tepat andaian saya, suaminya mempunyai masalah kesihatan. Boleh dikatakan sepanjang berada di sana, hanya dua kali menu berasaskan ikan dihidangkan. Selebihnya juadah ayam dan daging menjadi menu harian. Tidak ada pilihan.

Kata si isteri, jika dulu juadah daging kambing dan seafood antara yang menjadi kegemaran suaminya, namun kini semuanya terpaksa dilupakan. Sesekali terbit juga keinginan di hati untuk mencuba daging kambing yang yang menjadi menu istimewa di sana, tetapi apabila mengenangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung kemudian, hasrat itu mati di tengah jalan. 

Makan adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita.  Jangan tunggu sehingga nikmat tersebut hilang. Bersyukurlah, kerana sedikit sekali daripada kalangan hamba-hambaNya yang bersyukur.


Wallahu’alam.

Wednesday, 19 February 2014

Bersedihlah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Bismillah.

Kita manusia. Makhluk yang Allah bekalkan dengan pelbagai rasa. Kadang-kadang sedih, kadang-kadang gembira. Roda kehidupan kita macam tulah. Ada masa seronok sakan, ada masa sedih sampai tak lalu nak makan. Kan orang -orang tua dulu dah pesan, jangan seronok sangat. Nanti akan tiba saatnya kita bersedih.



Tak salah untuk kita bersedih. Nangis la kalau itu yang mampu meredakan. Cumanya berapa lama kita nak bersedih? Berikan tempoh masa pada diri sendiri. Apabila cukup tempoh tersebut, lap sisa air mata jika masih ada, dan bangkitlah dengan semangat luar biasa. 

Pandanglah ke hadapan kerana apa yang kita cari sudah tidak berada di belakang. Sesekali menoleh tidak mengapa. Meratap dan menangis tidak akan mengubah apa-apa. Hidup kita ini ada tujuan. Sesekali kita diberi ujian. Itulah warna-warni kehidupan. Kabhi kushi kabhi gham.

Wallahu'alam.


Tahniah Mizz Nina

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Bismillah.


Dah lama saya nak menulis tentang Mizz Nina tapi  selalu tertangguh. Suka untuk saya beritahu bahawa saya bukanlah peminat Mizz Nina. Namun berita ‘penghijrahannya’ membuatkan saya teruja.

Dua perkara besar yang beliau lakukan. Pertama, memilih untuk berhijab. Kedua, beliau menetapkan bahawa beliau hanya akan menyanyi di hadapan khalayak wanita sahaja. Pengorbanan yang cukup besar bagi beliau dengan mengambil kira latar belakang dirinya dan keluarga.

Tahniah kepada beliau kerana memilih untuk melakukan perubahan ketika namanya berada di puncak kegemilangan. Selamat kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah sebagai cara hidup dalam kehidupan.

Beliau mula memikirkan tentang hal ini sejak dua tiga tahun yang lepas. Sekembalinya beliau daripada mengerjakan haji, beliau nekad untuk terus menutup aurat. Hentikanlah cakap-cakap sebilangan kecil daripada kita yang mencari cacat cela di sebalik penghijrahannya.

Haji telah mengubah sempadan imannya. Jika dilihat dengan mata kasar, sukar untuk kita membayangkan bahawa beliau akan berubah dalam masa yang singkat. Kerja Tuhan siapa yang tahu kan?

Wallahu’alam.





Tuesday, 11 February 2014

Kerja Allah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Jangan main-main dengan kerja Allah. Bagaikan diatur-atur kapal yang seberat 2500 tan terdampar betul-betul di tengah lima buah kampung. Kedudukan yang tepat. Malah kapal ini berjaya mengelak daripada melanggar surau dan masjid.  Semuanya seolah-olah telah dirancang dan diatur dengan teliti. Kapal sebesar itu tapi hanya seorang sahaja yang terselamat di dalamnya. Manakala sebuah bot kecil yang tersadai di atas sebuah rumah ada 54 mangsa yang  terselamat.

Tsunami menyapu bersih bumi Aceh hingga hampir-hampir sahaja tiada apa yang tersisa. Siapa sangka dalam sekelip mata, air yang surut pada mulanya rupa-rupanya mengumpul 'tenaganya' sebelum menjulang tinggi menghempas Serambi Mekah itu. 

Ada yang digulung bersama air ketika dalam perjalanan menyelamatkan diri. Ada pula yang tidak sempat berbuat apa-apa. Sementara ramai yang terpinga-pinga saat datangnya bencana. 

Salah seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian itu menceritakan bahawa beliau sebenarnya tidak tahu apa yang terjadi. Cuma setelah melihat orang ramai bertempiaran lari, maka beliau menumpang sebuah lori untuk menyelamatkan diri. Malangnya, lori tersebut terbalik dipukul air. Beliau tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu kerana air terlalu deras. 

Tubuh beliau dihempas ke arah bangunan dan kenderaan yang ada berulang-ulang kali. Sakitnya sudah tidak tertanggung lagi. Seluruh badan dan tulang-belulang seolah-olah diperah semahu-mahunya. Perasaan malu lenyap sama sekali, meski pun sudah tidak ada seurat benang pun di badan. Beliau koma beberapa bulan selepas itu. Kini, beliau diberikan peluang kedua untuk terus hidup berkongsi dengan masyarakat sebagai pengajaran dan peringatan.

Tidak ada suatu pun yang mustahil di sisi Allah. Jika Allah kata jadi, maka jadilah ia. Wallahu'alam.








Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015