Wednesday 26 March 2014

Hidup Mulia atau Mati Sebagai Syuhada

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google





Dalam tempoh 20 minit, 529 orang dihukum mati. Satu hukuman yang tragik dan langsung tidak masuk akal. Zalim. 



Demi untuk mencapai matlamat, mereka sanggup menghalalkan segala bentuk perlakuan mereka. Pemerintahan kuku besi dalam memastikan mereka kekal berkuasa di mana hak rakyat telah dinafikan sama sekali.

Malangnya, dunia antarabangsa langsung tidak bersuara. Malah, berita ini seolah-olah terpinggir dari liputan media.





Dalam pada itu, Sheikh Muhammad Hassan menyelar keputusan yang dibuat oleh mahkamah Mesir dan memberikan amaran keras kepada mereka.

Beliau berkata, "Allah akan memberikan istidraj (kelebihan untuk melalaikan) kepada orang-orang yang zalim ini sehingga mereka terus berada dalam kegelapan. Janganlah kamu terpedaya dengan kekuatan, kekuasaan serta kezaliman kamu. Dimanakah mereka yang zalim dahulu serta pengikut mereka? Dimanakah Firaun dan Hamman? Tidak ada seorang pun daripada mereka yang terselamat."

Sheikh Hassan menambah, "Berapa ramai orang yang diberikan kelebihan oleh Allah tanpa mereka sedari bahawa mereka adalah dalam golongan yang dimurkai Allah."

Sementara kenyataan yang dikeluarkan oleh Ikhwanul Muslimin menggambarkan tekad dan kesediaan mereka untuk meneruskan perjuangan di bumi Mesir.  Berikut adalah sebahagian kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka:

Hukuman sebegini keras hanya akan menggandakan tekad revolusioner dan mengukuhkan keazaman mereka dalam meneruskan usaha utama menamatkan rampasan kuasa dan menghadapkan setiap seorang penjenayah yang mencabul hak dan kebebasan rakyat Mesir ke muka pengadilan, untuk mencapai hukuman yang adil.

Dengan hukuman sekeras ini, komander-komander kudeta pengkhianat dan para sekutu mereka cuba untuk memaksa Revolusi Mesir jauh dari landasan perjuangan yang aman. Tetapi ini tidak akan berlaku, dengan izin Tuhan. Revolusi kami akan kekal aman. Dan sekali lagi, ketidakadilan ini, penindasan dan dendam kesumat pihak junta hanya akan menguatkan keazaman dan hati kami dan menggandakan tekad kami untuk menewaskan junta tentera pengkhianat, dan mengembalikan kebebasan, maruah dan kedaulatan kami.

Detik penentuan sudah semakin hampir, dengan izin Tuhan. Dan penindas yang zalim akan bertemu takdir kesudahan akhir mereka.



Malah Dr Muhammad Badie' iaitu Musyidul Am Ikhwanul Muslimin telah menulis sepucuk surat dari dalam tahanan. 

"Tuhanmu telah berkehendak untuk mengumpulkan orang-orang yang benar dalam satu kelompok, dan orang-orang yang batil dalam satu kelompok lain, sebagaimana tuhan telah mengumpulkan Musa a.s dan kebenaran bersama pengikut-pengikutnya, seperti Firaun dan kebatilan bersama-sama pengikutnya sehingga apabila tidak tinggal apa-apa pilihan atau cara dan jalan dihadapan para pengikut kebenaran melainkan hamparan laut yang luas dan para tentera dibelakang mereka, maka kemenangan dari Allah akan turun menyelamatkan kebenaran dan para pengikutnya sekaligus menghancurbinasakan kebatilan dan pengikut-pengikutnya.

Yakinlah bahawa kemenangan itu telah hampir dan pengikut-pengikut kebatilan masih menjunjung kebatilan mereka, sedang pengikut-pengikut kebenaran menjunjung syariat mereka untuk membezakan kedua kelompok tadi, maka Allah akan memberi kemenangan kepada kebenaran dan pengikut-pengikutnya, dan menenggelamkan kebatilan berserta pengikut-pengikutnya"

Ini bukan omongan kosong kerana mereka tahu apa yang menanti mereka kelak. Menang atau kalah bukan soalnya. Sama ada hidup mulia atau mati sebagai syuhada.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) dari Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar" (Surah At-Taubah: ayat 11)




Mereka Hilang

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Saya turut terkesan dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri berhubung kehilangan pesawat MH370. Disampaikan dengan bahasa yang paling halus untuk mengelakkan berlakunya kecederaan emosi pihak-pihak terbabit.




Pemilihan perkataan yang positif masih tidak dapat menutup gusar pada wajah dan getar pada nada. Sudah dapat dilihat dan diagak apa khabar yang dibawa.

Saya tidak menolak takdir. Kita beriman pada qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Kita semua percaya sampai satu saat dan ketikanya kita semua pasti akan mati.

Saya turut bersedih dengan pengumuman itu. Saya masih berharap walau harapan sekelumit cuma. Selain itu, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dari sudut agama. Islam ada tatacara yang perlu diikuti.

Perkara yang terlintas di fikiran saya selepas itu adalah bagaimana dengan status seorang isteri? Jika benar telah mati, dia perlu beridah. Pengagihan harta pusakanya dan sebagainya.

Bahkan, banyak lagi perkara bermain dalam minda. Alhamdulillah, Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun memberikan pencerahan dari aspek ini.

Sehingga ke saat ini, saya berpegang kepada pendapat bahawa mereka hilang. Mati? Saya tidak tahu. Allah lebih mengetahui. 

Sesungguhnya, tidak bergerak satu zarah pun tanpa izin dan kuasaNya. Wallahu'alam.



Kenapa Aku?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Menarik perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Don malam tadi. Satu bab yang disentuh adalah persoalan yang selalu terdetik dalam hati kita apabila ditimpa musibah iaitu 'kenapa aku?'.

Kata ustaz, soalan 'kenapa aku' ini menunjukkan kita sama macam manusia biasa. Para nabi juga pernah bertanya soalan yang sama kepada Allah kerana nabi juga adalah manusia. Bezanya, para nabi adalah manusia mulia yang diangkat darjatnya di sisi Allah. Mereka insan pilihan Allah.

Terdapat satu kisah dalam kitab sirah, salah satunya bertajuk Firasat oleh Ustaz Mahadir Haji Juoi tentang kisah Nabi Musa a.s. (tolong betulkan saya kalau saya tersilap). Diceritakan Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah, bagaimana Allah menetapkan takdir?

Lalu, Allah perintahkan Nabi Musa a.s pergi ke sebuah perigi dan memerhatikan perigi tersebut dari tempat yang tersembunyi.

Tidak lama selepas itu, datang seorang pemburu menaiki kuda ke perigi itu untuk meminum air. Di pinggang pemburu itu ada satu uncang berisi emas. 

Bimbang uncang emas itu terjatuh ke dalam perigi, pemburu ini meletakkan uncangnya di tepi perigi itu. Selesai minum, dia berlalu pergi dan terlupa untuk mengambil uncang emas yang diletakkan di tepi perigi tadi. 

Kemudian, datang seorang pengembala kambing ke perigi itu untuk memberi kambing-kambingnya minum. Pengembala kambing ini menjumpai uncang berisi emas (yang ditinggalkan oleh pemburu) di situ. Tanpa membuang masa, pengembala ini melarikan uncang tersebut.

Selepas pengembala kambing meninggalkan perigi bersama uncang emas, datang pula seorang tua ke situ untuk minum. Apabila sudah hilang dahaganya, dia pun berehat di situ.

Tiba-tiba datang pemburu tadi dan terus menumbuk orang tua itu sehingga mati kerana disangkanya orang tua itu telah mencuri uncang emasnya.

Nabi Musa a.s yang menyaksikan hal tersebut bertanya kepada Allah. Lalu, Allah menceritakan bahawa bapa si pemburu ini pernah meminjam wang daripada bapa pengembala kambing. Emas yang terdapat dalam uncang adalah bersamaan dengan jumlah yang dipinjam oleh ayah si pemburu. Jadi, pengembala kambing hanya mengambil haknya saja.

Manakala tindakan pemburu membunuh orang tua yang sedang berehat di situ dalam keadaan tergesa-gesa dan tanpa usul periksa adalah satu bentuk balasan atas perbuatannya (orang tua) kerana telah mebunuh ayah si pemburu.



Inilah keadilan Allah. Lihatlah bagaimana Allah mentakdirkan sesuatu. Pasti ada sebab dan alasannya. Perkara yang tidak mampu ditafsirkan oleh mata, tidak dapat difikirkan dengan akal dan hanya dapat dilihat dengan mata hati kerana disitulah letaknya hikmah yang tersembunyi.

Wallahu'alam.

Monday 24 March 2014

Hikmah Ujian Sakit

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google





Antara hikmah di sebalik ujian sakit ialah:
  • Menyedarkan bahawa kita adalah hamba yang terlalu naif dan lemah.
  • Mengikis sifat sombong dalam hati.
  • Membuka ruang selus-luasnya untuk kita lebih bermuhasabah.
  • Menjadikan kita mudah memiliki rasa simpati dan empati terhadap insan lain.
  • Supaya kita lebih mengukuhkan hubungan kita dengan Allah.
  • Mendapat pahala yang banyak melalui jalan sabar.
  • Mendidik diri untuk bersedekah kerana sedekah adalah terapi kesihatan yang terbaik.
  • Salah satu bentuk penghapusan dosa.
  • Meningkatkan darjat di akhirat.
  • Meraih kasih sayang Allah, kerana ujian adalah tanda kasih dan sayang daripada Allah.


Sumber: Allahyarham Ustaz Rujhan





Friday 21 March 2014

Mati Itu Pasti

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Saya masih gagal untuk melelapkan mata sedangkan jam telah pun menginjak ke angka 3. Di sebelah katil tok saya, ada seorang pesakit buah pinggang yang ditemani oleh anaknya.

Beliau nampak lebih bertenaga berbanding ketika dimasukkan ke wad pada hari pertama. Saya melihat perubahan positif yang ditunjukkan olehnya. Lebih sihat dan bertenaga.

Beliau sudah mula bercakap walaupun dalam nada yang tersekat-sekat. Saya memerhatikan beliau tidur dengan lena, begitu juga dengan anaknya. Kemudian, saya pandang wajah tok saya, beliau juga lena. Lena dalam koma.

Siling hospital saya tenung lama. Kepala ligat berfikir macam-macam perkara. Tidak saya sangka, kami sekeluarga bakal diduga sedemikian rupa, mengubah seluruh kehidupan kami sekeluarga. 

Saya tersentak apabila tiba-tiba saja wad berubah wajah. Jika tadi hanya kedengaran suara ceria jururawat yang berbual sesama mereka, kini suara itu bertukar cemas. Mereka kalut dalam senyap. 

Tirai dipasang menghalang pandangan saya. Ketika itu cuma kedengaran suara doktor yang memberi arahan. Saya tidak pasti apa yang berlaku. Penuh dengan tanda tanya.

Lima minit berlalu, si anak dipanggil. Apabila saya terdengar doktor menyebut dengan jelas 3.40 pagi, mata saya terus terarah pada jam di dinding. Fahamlah saya, pesakit sudah tiada.

Telahan saya tepat. Itulah perkara pertama yang saya nampak ketika tirai dibuka. Sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa. 




Mati itu pasti. Tidak akan pernah lewat meskipun sesaat. Rasanya baru siang tadi doktor menyatakan beliau sudah boleh pulang ke rumah sehari dua lagi. Beliau benar-benar pulang, tapi kepulangannya ke hadrat Ilahi.

Kita semua akan mati. Walau sejauh mana kita pergi. Walaupun sekuat mana kita berlari. Hanya kepada Allah kita akan kembali.

Wallahu'alam.





Wednesday 19 March 2014

Rezeki Telur Itik

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori




Kutip 550 Biji Telur Itik Setiap Hari. Tajuk yang tertera pada salah satu artikel dalam akhbar Sinar Harian semalam.

Cerita kejayaan sering kali membuatkan kita rasa teruja. Saya sifatkan beliau telah pun berjaya. Berjaya dalam erti kata mengubah nasib dan kehidupan keluarga. Justeru, amatlah tidak wajar jika kita cuba membuat perbandingan dengan individu lain yang menjana pendapatan berjuta-juta.

Kehidupan yang serba kekurangan memaksa beliau berusaha keras demi untuk menyara sembilan orang anaknya yang masih belajar. Bagi memastikan kelangsungan hidup mereka sekeluarga, beliau melakukan pelbagai kerja kampung di samping menanam padi.

Dek kesempitan hidup, salah seorang anaknya terpaksa menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sebagai seorang bapa, beliau sedih dan kecewa kerana tidak mampu untuk menanggung pengajian anaknya di sana.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam bidang ini adalah hasil bantuan penghulu kampung yang prihatin dengan nasibnya dan anak-anak. Beliau memperoleh sumbangan daripada pihak kerajaan negeri iaitu sebanyak 50 ekor itik. 

Kini jumlah itik yang diternak berjumlah 700 ekor yang menyebabkan beliau tidak menang tangan mengutip 550 biji telur setiap hari di bendang seluas 16 hektar.

Selain menjual telur itik mentah, isterinya turut menghasilkan telur asin sebagai salah satu cara meningkatkan lagi pendapatan mereka. Nilai tambah ini ternyata memberikan pulangan berganda buat mereka kerana pendapatan tidak hanya bergantung kepada hasil jualan telur mentah dan sayur-sayuran sahaja. 

Selain mereka berdua, anak-anak turut sama menggembleng tenaga dalam menguruskan perniagaan dan pertanian milik ibu bapa mereka. Pastinya gandingan orang lama dan baru akan merancakkan lagi perniagaan keluarga ini.

Kejayaan tidak datang bergolek. Berkat usaha dan doa yang tidak henti, maka mereka berjaya meloloskan diri daripada paras kemiskinan tegar. Perniagaan ini jika diurus dengan baik pasti akan berkembang ke tahap yang lebih tinggi. Insya-Allah. 







Cerita Cinta Ahmad Ammar

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori




Benarlah kematian Ahmad Ammar Ahmad Azam adalah suatu kematian yang hidup. Kematian yang menghidupkan sekian banyak jiwa. 

Baru membaca beberapa bab, hati sudah mula terasa sebak bercampur kagum bukan saja terhadap Ammar tetapi juga ibu bapanya.

Saya kongsikan petikan dari buku Cerita Cinta Ahmad Ammar iaitu ketika bapa Ammar menyampaikan perkhabaran bahawa Ammar telah meninggal dunia kepada ibu Ammar. Mengalir air mata saya.


Sekitar jam 12 tengah malam tatkala abah menjemput emak di Hentian Jalan Duta, kegembiraan telah bertukar menjadi satu kejutan dan kesedihan. Sebaik emak memasuki kereta, abah memberitahu, "You have to be strong. We received a call from Turkey, Ammar kemalangan, dilanggar ambulans dan meninggal."

Allahu akbar...tatkala berita itu menyapa telinga emak, hati emak dirasakan seolah-olah telah direntap sehingga kosong sekosongnya, tanpa meninggalkan sebarang ruang perasaan melainkan hanya mampu melafazkan, "Innalillahi wainna ilaihi ra jiunn..."

Hebat ibu ini. Tidak ada setitis air mata pun yang menitik. Allah berikan ketabahan kepadanya. Kekuatan berdepan dengan saat kehilangan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga mereka. 

Semoga kisah Ammar memberikan inspirasi kepada kita semua. Baiknya Ammar bukan hanya sebagai seorang anak, malah sebagai seorang sahabat, adik, pelajar dan sebagainya.

Seperti mana harapan penerbit buku ini agar fenomena Ammar dapat dilihat dari sudut kaca mata teladan dan diambil sebagai pengajaran bagi kita semua dalam meneruskan kehidupan Muslim menurut ajaran Islam yang sebenar-benarnya.

Sekiranya berminat untuk mendapatkan buku ini, bolehlah menghubungi: 012-425 1356 (Fikri). Buku setebal 400 muka surat berharga RM 20 sangat berbaloi untuk dimiliki.







Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015