Wednesday 19 February 2014

Bersedihlah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Bismillah.

Kita manusia. Makhluk yang Allah bekalkan dengan pelbagai rasa. Kadang-kadang sedih, kadang-kadang gembira. Roda kehidupan kita macam tulah. Ada masa seronok sakan, ada masa sedih sampai tak lalu nak makan. Kan orang -orang tua dulu dah pesan, jangan seronok sangat. Nanti akan tiba saatnya kita bersedih.



Tak salah untuk kita bersedih. Nangis la kalau itu yang mampu meredakan. Cumanya berapa lama kita nak bersedih? Berikan tempoh masa pada diri sendiri. Apabila cukup tempoh tersebut, lap sisa air mata jika masih ada, dan bangkitlah dengan semangat luar biasa. 

Pandanglah ke hadapan kerana apa yang kita cari sudah tidak berada di belakang. Sesekali menoleh tidak mengapa. Meratap dan menangis tidak akan mengubah apa-apa. Hidup kita ini ada tujuan. Sesekali kita diberi ujian. Itulah warna-warni kehidupan. Kabhi kushi kabhi gham.

Wallahu'alam.


Tahniah Mizz Nina

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Bismillah.


Dah lama saya nak menulis tentang Mizz Nina tapi  selalu tertangguh. Suka untuk saya beritahu bahawa saya bukanlah peminat Mizz Nina. Namun berita ‘penghijrahannya’ membuatkan saya teruja.

Dua perkara besar yang beliau lakukan. Pertama, memilih untuk berhijab. Kedua, beliau menetapkan bahawa beliau hanya akan menyanyi di hadapan khalayak wanita sahaja. Pengorbanan yang cukup besar bagi beliau dengan mengambil kira latar belakang dirinya dan keluarga.

Tahniah kepada beliau kerana memilih untuk melakukan perubahan ketika namanya berada di puncak kegemilangan. Selamat kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah sebagai cara hidup dalam kehidupan.

Beliau mula memikirkan tentang hal ini sejak dua tiga tahun yang lepas. Sekembalinya beliau daripada mengerjakan haji, beliau nekad untuk terus menutup aurat. Hentikanlah cakap-cakap sebilangan kecil daripada kita yang mencari cacat cela di sebalik penghijrahannya.

Haji telah mengubah sempadan imannya. Jika dilihat dengan mata kasar, sukar untuk kita membayangkan bahawa beliau akan berubah dalam masa yang singkat. Kerja Tuhan siapa yang tahu kan?

Wallahu’alam.





Tuesday 11 February 2014

Kerja Allah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Jangan main-main dengan kerja Allah. Bagaikan diatur-atur kapal yang seberat 2500 tan terdampar betul-betul di tengah lima buah kampung. Kedudukan yang tepat. Malah kapal ini berjaya mengelak daripada melanggar surau dan masjid.  Semuanya seolah-olah telah dirancang dan diatur dengan teliti. Kapal sebesar itu tapi hanya seorang sahaja yang terselamat di dalamnya. Manakala sebuah bot kecil yang tersadai di atas sebuah rumah ada 54 mangsa yang  terselamat.

Tsunami menyapu bersih bumi Aceh hingga hampir-hampir sahaja tiada apa yang tersisa. Siapa sangka dalam sekelip mata, air yang surut pada mulanya rupa-rupanya mengumpul 'tenaganya' sebelum menjulang tinggi menghempas Serambi Mekah itu. 

Ada yang digulung bersama air ketika dalam perjalanan menyelamatkan diri. Ada pula yang tidak sempat berbuat apa-apa. Sementara ramai yang terpinga-pinga saat datangnya bencana. 

Salah seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian itu menceritakan bahawa beliau sebenarnya tidak tahu apa yang terjadi. Cuma setelah melihat orang ramai bertempiaran lari, maka beliau menumpang sebuah lori untuk menyelamatkan diri. Malangnya, lori tersebut terbalik dipukul air. Beliau tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu kerana air terlalu deras. 

Tubuh beliau dihempas ke arah bangunan dan kenderaan yang ada berulang-ulang kali. Sakitnya sudah tidak tertanggung lagi. Seluruh badan dan tulang-belulang seolah-olah diperah semahu-mahunya. Perasaan malu lenyap sama sekali, meski pun sudah tidak ada seurat benang pun di badan. Beliau koma beberapa bulan selepas itu. Kini, beliau diberikan peluang kedua untuk terus hidup berkongsi dengan masyarakat sebagai pengajaran dan peringatan.

Tidak ada suatu pun yang mustahil di sisi Allah. Jika Allah kata jadi, maka jadilah ia. Wallahu'alam.







Tuesday 28 January 2014

Tetamu Senja

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Pertama kali membaca puisi yang bertajuk Tetamu Senja, saya jatuh suka. Itu pun secara tidak sengaja. Sekeping kertas putih dengan tulisan tangan yang tertampal di dinding menggamit perhatian saya. Pastinya itu kerja abang saya, pencinta bahasa dan sastera. Saya curi-curi membacanya ketika dia tiada di rumah. 

Saya yang ketika itu berusia 10 tahun benar-benar terkesan dengan puisi ini. Cukup menginsafkan. Hakikatnya dunia ini sebentar cuma dan kita akan kembali kepadaNya. Berbuat baiklah sebagai bekalan untuk menghadapi kematian.



Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
 
Pada tetamu yang datang dan 
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan
 
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
 
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
 
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat 


~ A. Samad Said


Wallahu'alam.

Monday 27 January 2014

Nasi Kerabu Tanpa Budu

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Nak makan nasi kerabu tak? Kalau nak, Kak Biey belikan.

Nak. Tapi saya tak nak budu. Dalam nasi tu letak budu kan?

Haha. Nasi kerabu tentu la ada budu. Kenapa tak nak budu?

Saya pernah baca majalah Ujang kalau tak silap saya. Masa tu saya kecil lagi. Tapi saya ingat dalam tu ada cerita pasal proses buat budu, dari mula sampai akhir. Sejak tu saya tak minat dengan budu.

Sedap la budu, mek. Dia yang tak pernah makan cakap tak lalu.

Saya tak lalu sebab saya baca dalam komik tu ikan bilis diperam dengan kepala dan isi perut sekali. Sedangkan kat rumah, saya ditugaskan oleh mak saya untuk buang kepala dan isi perut ikan bilis. Jadi, persepsi saya kalau ada dua benda ni maksudnya tak elok. Jangan salah faham. Bukan budu je yang saya tak makan Kak Biey, sambal tumis ikan bilis pun kalau dimasak sekali dengan kepala dan isi perutnya saya tak makan.

Kartun sungguh la mu ni Dila.


Hehe. 

Nak buat macam mana. Saya antara orang yang terpengaruh dengan kartun. Bayangkan dengan hanya membaca komik, kesannya terbawa-bawa hingga sekarang. Kuat sungguh pengaruh kartun. Dalam kartunnya, ada ilmu dan nilai yang dikongsikan dengan pembaca. 





Friday 24 January 2014

Fatwa Hati

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Kebaikan tetap kebaikan. Kecil atau besar. Nampak atau tidak. Nilaiannya biarlah Tuhan yang menentukan. Fitrah insan memang sukakan kebaikan. 

Nak buat baik memang senang. Tapi kadang-kadang hati ini yang tidak cukup baik untuk berbuat baik. Baru bercadang nak buat baik, hati dah mula berkocak. Sedangkan kebaikan yang dibesar-besarkan itu cuma sebesar kuman.

Mohon tidak dibutakan oleh perasan dan perasaan. Sedar niat masih tidak mampu diluruskan. Maka fatwa hati menjadi rujukan. 




Kata hati, andai dicari hanyalah puji. Berhentilah. Kita mengejar berbuat kebaikan bimbang semuanya ibarat debu yang berterbangan. Na'uzubillah. Carilah reda Tuhan dalam setiap amalan.


Wallahu'alam.

Menyesal Kemudian

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Tidak ada orang yang menyesal dahulu, yang ada hanyalah orang yang menyesal kemudian. Saya termenung seketika mendengar kata-kata tersebut. Habis tu kenapa ada peribahasa yang mengatakan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna? Otak saya ligat berfikir.

Saya selak Kamus Dewan, menyesal bermaksud berasa tidak senang kerana telah melakukan sesuatu kesalahan. Patutlah tok cakap macam tu. Perasaan menyesal hanya wujud selepas sesuatu perkara itu terjadi. Kalau belum berlaku, tidak wujud la istilah menyesal. Tidak ada kaitan dengan peribahasa yang ada.


Thursday 23 January 2014

Kes Bunuh Budak 2 Tahun

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori


Kes Bunuh Budak 2 Tahun

Berita pembunuhan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun pasti meremuk-redamkan hati sesiapa sahaja. Kejam. Langsung tidak berhati perut. Entah bagaimana nak digambarkan masyarakat hari ini. Perit untuk kita terima anak itu pergi dalam keadaan sedemikian rupa.

Suspek yang membunuh mangsa adalah teman lelaki ibunya. Manakala si bapa pula dalam tahanan polis atas kesalahan berkaitan dengan dadah. Apa lagi yang boleh diharapkan daripada kedua ibu bapa mangsa?

Melihat kepincangan yang berlaku dalam keluarga anak itu, saya pasti perencanaan Allah untuk anak ini adalah yang terbaik. Pahit untuk kita telan cara mangsa diperlakukan. Tetapi hakikatnya Allah Maha Mengetahui. Tetapi tidak pula bermakna kita reda dengan apa yang diperlakukan oleh suspek terhadap mangsa.


Wallahu'alam.

Wednesday 22 January 2014

Petua Murah Rezeki

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Bismillah.

Doa keluar rumah

Doa di atas saya hafal ketika berumur lima tahun. Ustazah suruh hafal. Jadi terpaksa la saya hafal. Lama kelamaan doa ni sebati dalam diri saya. Apabila nak keluar rumah doa ni meluncur laju di bibir. Spontan. Kita serahkan diri kita yang serba lemah ini dalam pemeliharaan Allah. Itu saja yang saya faham dan tahu masa tu.


Ustaz Ebit Lew ketika membicarakan bab tawakal mengupas lebih lanjut doa di atas. Ketika nak keluar dari rumah, dahulukan kaki kiri dan baca doa tersebut. Sesiapa yang baca doa ini maka:
  1. Allah akan cukupkan rezekinya.
  2. Dilindungi oleh Allah.
  3. Syaitan larikan diri.
  4. diberi hidayah oleh Allah.

Ada satu kisah di mana seorang sahabat Rasulullah SAW yang dibebani oleh masalah hutang walaupun telah berusaha dengan pelbagai cara. Nabi ajar kepadanya sebelum masuk ke dalam rumah, berilah salam. Kemudian bacalah surah al-ikhlas sebanyak tiga kali dan selawat. Sahabat nabi ini mengamalkan apa yang telah diajarkan oleh nabi kepadanya dan Alhamdulillah dengan izin Allah masalah hutangnya selesai.

Wallahu'alam.




Mayat Masih Sempurna

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori


Tragedi bot karam di Sarawak dan tragedi Teluk Bahang. Kisah yang berbeza tapi nasib yang sama. Apakah persamaan mereka? Mayat kedua-duanya ditemui dalam keadaan baik dan sempurna walaupun terendam lebih 40 jam di dalam air.


Mayat Masih Sempurna - Sinar Harian

Kejadian yang berlaku di Teluk Bahang meragut tiga nyawa termasuk Ku Muhammad Ilyas Ku Abdul Halim yang berusia 19 tahun. Menurut bapanya yang merupakan seorang guru agama, anaknya itu selalu membaca al-Quran. Anaknya juga sering membaca surah Yasin, Sajadah dan Duha. Malah anaknya sering melakukan solat tahajud.

Jangan Abai Al-Quran - Berita Harian

Manakala jenazah imam Masjid Kampung Tekajong iaitu Riji Dalol, adalah antara lima mangsa bot karam yang mayat mereka ditemui di Sungai Lassa oleh pasukan penyelamat. Anak lelakinya berkata, mayat ayahnya kelihatan seolah-olah sedang tidur. Sambil menyifatkan ayahnya seorang yang cukup menjaga solat dan sentiasa berselawat. Malah arwah sangat menekankan kepada seluruh ahli keluarga supaya menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.

Wallahu'alam.


Sunday 19 January 2014

Buah Pala Penawar Sakit Kepala

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Saya ingin berkongsi satu petua untuk menghilangkan sakit kepala. Petua ini diberikan oleh seorang kenalan tok ayah saya yang berbangsa Cina. Caranya dapatkan buah pala. Basuh dan rebuskan buah tersebut. Rebus sehingga buah pala menjadi betul-betul lembut. Buah ini akan mengecut dan terbelah dua. Proses ini agak memakan masa (berjam-jam lamanya). Kemudian minum air rebusan ini secawan setiap pagi. Jangan lupa panaskan airnya setiap hari. Selain itu, air rebusan buah pala juga  boleh disimpan di dalam peti sejuk. Mulakan dengan membaca bismillah dan selawat. Tok saya pernah mengamalkan meminum air pala ini. Alhamdulillah sakit kepala sembuh dengan izin Allah. Insya-Allah.




Kangkung

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Semalam masa singgah kat sebuah kedai ni terdengar perbualan pakcik ni dengan pelanggan-pelanggannya.

"Kangkung tak nak?" 

"Tak nak pakcik." Sambil senyum.

Datang pula dua orang lelaki. Masih lagi soalan yang sama pakcik tu tanya.

"Kangkung tak nak? Tinggal seikat je. Kangkung murah sekarang ni."

"Boleh juga." 

"Tapi aku tak makan kangkung."

"Tak makan? Ruginya."

Saya yang mendengar cuma ketawa. Tak habis-habis lagi cerita kangkung rupanya.



Saturday 18 January 2014

Jalan Kita

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Jalan kita mungkin tak seindah jalan orang lain. Jalan kita mungkin dipenuhi dengan batu kerikil. Jalan kita barangkali penuh debu bila tibanya musim kemarau dan berlumpur bila hujan turun. Jalan kita mungkin bersimpang siur. Tapi itulah jalan kita. Cukup cantik di mata kita.

Jalan itu kita bangunkan dengan keringat yang ada. Air mata ada masanya tertumpah juga. Hari ini kita mampu tersenyum melihat jalan kita. Jalan yang sengaja kita pilih berbeza dari apa yang telah tersedia. Penat lelah kita hari ini sudah terbayar. Jalan ini jalan kita. Kita tidak punya apa-apa di awalnya. Hanya berbekalkan keyakinan kepadaNya dan semangat yang membara. 

Ketika kita punya pilihan untuk berhenti, kita masih memilih untuk berjalan kerana kita tahu dengan apa yang menanti di hadapan. Jalan ini jalan kita. Sabar dan tabahlah.




Hidup Adalah Pilihan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Hidup adalah pilihan. Apabila kita memilih untuk menyongsang arus maka bersedialah menerima apa saja kritikan dan kutukan. Ramai yang menunggu untuk meraikan kegagalan kita. Pedulikan apa kata mereka. Jalan terus. 

Selagi mana jalan kita lurus, jangan takut. Teruskan berusaha. Usaha berganda-ganda. Jangan berharap pada manusia tapi yakinlah pada Dia. 









Friday 17 January 2014

Cara Mengupas Halia Dengan Cepat

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Dalam masakan perkara yang dianggap remeh dan melecehkan adalah penyediaan bahan-bahan masakan yang kadangkala mengambil masa yang lebih lama jika dibandingkan dengan masa yang dihabiskan untuk memasak.

Entri ini saya akan berkongsi cara cepat untuk mengupas bahan masakan yang kerap digunakan khususnya dalam masakan Melayu iaitu halia. Kita boleh menggunakan sudu untuk mengupas kulit halia. Menggunakan sudu lebih cepat jika dibanding dengan pisau. Caranya boleh dilihat seperti gambar di bawah.





Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015