Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Wan mulai resah. Tengahari nanti
dia perlu ke masjid untuk solat Jumaat. Nak diharapkan pembantu rumah untuk
menjaga anaknya, pembantu rumah sudah pun cabut lari. Isteri pula tidak
dibenarkan bercuti. Hendak dibawa bersama ke masjid, anaknya Ihsan tidak tahu
hendak duduk diam. Ke mana saja perginya ketika orang mula bersolat nanti.
Buntu.
Penat berfikir Wan tertidur
bersama-sama dengan anaknya. Sayup-sayup terdengar suara emak berbisik di telinganya.
“Bangunlah Wan. Pergilah solat
Jumaat. Jangan risau, jangan bimbang. Anakmu itu Allah yang jaga. Sesungguhnya
Dialah sebaik-baik pemelihara.” ujar emaknya.
Wan terjaga. Ihsan masih lagi
tidur di sisinya. Wan bingkas bangun menuju ke bilik air untuk berwuduk. Jiwanya
terasa tenang. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada Allah.
Enjin dihidupkan lalu keretanya
laju menuju ke masjid. Fikirannya dikosongkan daripada memikirkan perihal
anaknya di rumah. Tidak ada lagi gundah gulana seperti sebelumnya.
Usai menunaikan solat Jumaat, dia
bergegas pulang ke rumah. Berdebar-debar pula rasanya untuk pulang ke rumah. Sampai
sahaja di rumah dia meluru ke arah pintu. Sebaik pintu dibuka, dia melihat anaknya
masih lagi diulit lena. Hanya kalimah syukur yang mampu dilafazkan.
Alhamdulillah.
Yakinlah bahawa bantuan Allah
sangat dekat. Jika kita berusaha mencari keredhaan Allah nescaya Allah akan
membuka jalan keluar bagi setiap masalah. Subhanallah.