Saturday 22 February 2014

Nikmat Yang Hilang

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Saya memerhati sepasang suami isteri yang duduk selang semeja dari saya. Kedua-duanya sebaya mak dan ayah saya. Si isteri meletakkan sepinggan penuh makanan yang berisi pelbagai jenis lauk bersama sedikit nasi di tengah-tengahnya.



Apabila pinggan tadi telah pun diletakkan di atas meja, maka si isteri mula bersuara. Beliau menerangkan satu-persatu lauk yang diambilnya. Si suami menongkat dagu sambil merenung pinggan di hadapannya.

Si isteri menanti dengan penuh sabar respon daripada suaminya. Hampa. Si suami kemudiaannya memohon maaf dan berlalu pergi. Mengeluh panjang si isteri dengan reaksi suaminya sambil bersandar di kerusi.

Kisah itu berakhir begitu saja. Saya tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah beberapa minggu selepas itu Allah mentakdirkan saya bertemu dengan isterinya. Entah bagaimana beliau bercerita kepada saya tanpa dipinta.

Tepat andaian saya, suaminya mempunyai masalah kesihatan. Boleh dikatakan sepanjang berada di sana, hanya dua kali menu berasaskan ikan dihidangkan. Selebihnya juadah ayam dan daging menjadi menu harian. Tidak ada pilihan.

Kata si isteri, jika dulu juadah daging kambing dan seafood antara yang menjadi kegemaran suaminya, namun kini semuanya terpaksa dilupakan. Sesekali terbit juga keinginan di hati untuk mencuba daging kambing yang yang menjadi menu istimewa di sana, tetapi apabila mengenangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung kemudian, hasrat itu mati di tengah jalan. 

Makan adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita.  Jangan tunggu sehingga nikmat tersebut hilang. Bersyukurlah, kerana sedikit sekali daripada kalangan hamba-hambaNya yang bersyukur.


Wallahu’alam.

Wednesday 19 February 2014

Bersedihlah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Bismillah.

Kita manusia. Makhluk yang Allah bekalkan dengan pelbagai rasa. Kadang-kadang sedih, kadang-kadang gembira. Roda kehidupan kita macam tulah. Ada masa seronok sakan, ada masa sedih sampai tak lalu nak makan. Kan orang -orang tua dulu dah pesan, jangan seronok sangat. Nanti akan tiba saatnya kita bersedih.



Tak salah untuk kita bersedih. Nangis la kalau itu yang mampu meredakan. Cumanya berapa lama kita nak bersedih? Berikan tempoh masa pada diri sendiri. Apabila cukup tempoh tersebut, lap sisa air mata jika masih ada, dan bangkitlah dengan semangat luar biasa. 

Pandanglah ke hadapan kerana apa yang kita cari sudah tidak berada di belakang. Sesekali menoleh tidak mengapa. Meratap dan menangis tidak akan mengubah apa-apa. Hidup kita ini ada tujuan. Sesekali kita diberi ujian. Itulah warna-warni kehidupan. Kabhi kushi kabhi gham.

Wallahu'alam.


Tahniah Mizz Nina

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Bismillah.


Dah lama saya nak menulis tentang Mizz Nina tapi  selalu tertangguh. Suka untuk saya beritahu bahawa saya bukanlah peminat Mizz Nina. Namun berita ‘penghijrahannya’ membuatkan saya teruja.

Dua perkara besar yang beliau lakukan. Pertama, memilih untuk berhijab. Kedua, beliau menetapkan bahawa beliau hanya akan menyanyi di hadapan khalayak wanita sahaja. Pengorbanan yang cukup besar bagi beliau dengan mengambil kira latar belakang dirinya dan keluarga.

Tahniah kepada beliau kerana memilih untuk melakukan perubahan ketika namanya berada di puncak kegemilangan. Selamat kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah sebagai cara hidup dalam kehidupan.

Beliau mula memikirkan tentang hal ini sejak dua tiga tahun yang lepas. Sekembalinya beliau daripada mengerjakan haji, beliau nekad untuk terus menutup aurat. Hentikanlah cakap-cakap sebilangan kecil daripada kita yang mencari cacat cela di sebalik penghijrahannya.

Haji telah mengubah sempadan imannya. Jika dilihat dengan mata kasar, sukar untuk kita membayangkan bahawa beliau akan berubah dalam masa yang singkat. Kerja Tuhan siapa yang tahu kan?

Wallahu’alam.





Tuesday 11 February 2014

Kerja Allah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Jangan main-main dengan kerja Allah. Bagaikan diatur-atur kapal yang seberat 2500 tan terdampar betul-betul di tengah lima buah kampung. Kedudukan yang tepat. Malah kapal ini berjaya mengelak daripada melanggar surau dan masjid.  Semuanya seolah-olah telah dirancang dan diatur dengan teliti. Kapal sebesar itu tapi hanya seorang sahaja yang terselamat di dalamnya. Manakala sebuah bot kecil yang tersadai di atas sebuah rumah ada 54 mangsa yang  terselamat.

Tsunami menyapu bersih bumi Aceh hingga hampir-hampir sahaja tiada apa yang tersisa. Siapa sangka dalam sekelip mata, air yang surut pada mulanya rupa-rupanya mengumpul 'tenaganya' sebelum menjulang tinggi menghempas Serambi Mekah itu. 

Ada yang digulung bersama air ketika dalam perjalanan menyelamatkan diri. Ada pula yang tidak sempat berbuat apa-apa. Sementara ramai yang terpinga-pinga saat datangnya bencana. 

Salah seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian itu menceritakan bahawa beliau sebenarnya tidak tahu apa yang terjadi. Cuma setelah melihat orang ramai bertempiaran lari, maka beliau menumpang sebuah lori untuk menyelamatkan diri. Malangnya, lori tersebut terbalik dipukul air. Beliau tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu kerana air terlalu deras. 

Tubuh beliau dihempas ke arah bangunan dan kenderaan yang ada berulang-ulang kali. Sakitnya sudah tidak tertanggung lagi. Seluruh badan dan tulang-belulang seolah-olah diperah semahu-mahunya. Perasaan malu lenyap sama sekali, meski pun sudah tidak ada seurat benang pun di badan. Beliau koma beberapa bulan selepas itu. Kini, beliau diberikan peluang kedua untuk terus hidup berkongsi dengan masyarakat sebagai pengajaran dan peringatan.

Tidak ada suatu pun yang mustahil di sisi Allah. Jika Allah kata jadi, maka jadilah ia. Wallahu'alam.







Tuesday 28 January 2014

Tetamu Senja

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Pertama kali membaca puisi yang bertajuk Tetamu Senja, saya jatuh suka. Itu pun secara tidak sengaja. Sekeping kertas putih dengan tulisan tangan yang tertampal di dinding menggamit perhatian saya. Pastinya itu kerja abang saya, pencinta bahasa dan sastera. Saya curi-curi membacanya ketika dia tiada di rumah. 

Saya yang ketika itu berusia 10 tahun benar-benar terkesan dengan puisi ini. Cukup menginsafkan. Hakikatnya dunia ini sebentar cuma dan kita akan kembali kepadaNya. Berbuat baiklah sebagai bekalan untuk menghadapi kematian.



Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
 
Pada tetamu yang datang dan 
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan
 
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
 
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
 
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat 


~ A. Samad Said


Wallahu'alam.

Monday 27 January 2014

Nasi Kerabu Tanpa Budu

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Nak makan nasi kerabu tak? Kalau nak, Kak Biey belikan.

Nak. Tapi saya tak nak budu. Dalam nasi tu letak budu kan?

Haha. Nasi kerabu tentu la ada budu. Kenapa tak nak budu?

Saya pernah baca majalah Ujang kalau tak silap saya. Masa tu saya kecil lagi. Tapi saya ingat dalam tu ada cerita pasal proses buat budu, dari mula sampai akhir. Sejak tu saya tak minat dengan budu.

Sedap la budu, mek. Dia yang tak pernah makan cakap tak lalu.

Saya tak lalu sebab saya baca dalam komik tu ikan bilis diperam dengan kepala dan isi perut sekali. Sedangkan kat rumah, saya ditugaskan oleh mak saya untuk buang kepala dan isi perut ikan bilis. Jadi, persepsi saya kalau ada dua benda ni maksudnya tak elok. Jangan salah faham. Bukan budu je yang saya tak makan Kak Biey, sambal tumis ikan bilis pun kalau dimasak sekali dengan kepala dan isi perutnya saya tak makan.

Kartun sungguh la mu ni Dila.


Hehe. 

Nak buat macam mana. Saya antara orang yang terpengaruh dengan kartun. Bayangkan dengan hanya membaca komik, kesannya terbawa-bawa hingga sekarang. Kuat sungguh pengaruh kartun. Dalam kartunnya, ada ilmu dan nilai yang dikongsikan dengan pembaca. 





Friday 24 January 2014

Fatwa Hati

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Kebaikan tetap kebaikan. Kecil atau besar. Nampak atau tidak. Nilaiannya biarlah Tuhan yang menentukan. Fitrah insan memang sukakan kebaikan. 

Nak buat baik memang senang. Tapi kadang-kadang hati ini yang tidak cukup baik untuk berbuat baik. Baru bercadang nak buat baik, hati dah mula berkocak. Sedangkan kebaikan yang dibesar-besarkan itu cuma sebesar kuman.

Mohon tidak dibutakan oleh perasan dan perasaan. Sedar niat masih tidak mampu diluruskan. Maka fatwa hati menjadi rujukan. 




Kata hati, andai dicari hanyalah puji. Berhentilah. Kita mengejar berbuat kebaikan bimbang semuanya ibarat debu yang berterbangan. Na'uzubillah. Carilah reda Tuhan dalam setiap amalan.


Wallahu'alam.


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015