Thursday, 12 February 2015

Tukang Urut Dengan Pendapatan Hampir RM10,000 Sebulan

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori


Bagi seorang bekas pesakit strok seperti ayah saya, menjadi rutinnya setiap minggu untuk berurut dengan seorang tukang urut yang dikenali sebagai Pak Man.

Pak Man cuma seorang lelaki biasa dalam lingkungan usia 60-an yang dulunya gemar bermotosikal ke mana-mana.

Apa yang menariknya, walaupun ramai yang berminat untuk menggunakan khidmatnya, dia tidak 'sapu' semua. Dia memilih siapa pelanggannya.

Dia sendiri tahu apa yang dia mahu. Matlamatnya jelas. Dia ingin membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang serius supaya dapat menikmati hidup yang lebih baik. Suatu kepuasan bagi dirinya apabila melihat perubahan positif yang dialami oleh para pelanggannya selepas beberapa sesi urutan dilakukan.




Hati mana yang tidak gembira, melihatkan mereka yang asalnya hanya terbaring di atas katil, kemudiannya sudah mampu untuk duduk meskipun hanya di atas kerusi roda (dengan izin Allah). Tidak ada yang lebih membahagiakan kecuali apabila para pelanggannya menyatakan rasa syukur kerana dapat beribadat dengan lebih sempurna.

Sememangnya Pak Man sudah tidak menang tangan. Justeru, jika ada yang inginkan khidmatnya bagi masalah yang biasa contohnya sekadar lenguh-lenguh badan, maka Pak Man terpaksa menolak permintaan tersebut. Malah, permintaan yang datang dari serata ceruk tanah air hatta oleh orang-orang kenamaan sekalipun terpaksa ditolaknya.

Bagi Pak Man cukuplah berkhidmat di sini. Itu pun ramai lagi yang masih menanti. Bak lirik lagu kumpulan Ukays, "Kalau ku pilih di sana, di sini akan terluka."

Dalam hal ini, saya puji tindakannya. Dia tidak mudah gelap mata. Bukan wang yang menjadi sandaran utama. Walaupun upah yang bakal diterimanya jauh lebih lumayan jika mahu dibandingkan dengan apa yang diperolehinya pada masa sekarang.

Namun begitu, kerja-kerja mengurut ini bukanlah mudah. Selain berbekalkan kemahiran sedia ada, tugas ini menuntut kudrat yang bukan sedikit. 

Jumlah pelanggannya setiap hari sejumlah 10 orang di mana setiap pelanggan akan menjalani tempoh berurut lebih kurang sejam setengah dengan kadar upah RM 40 seorang (biasanya pelanggan akan beri lebih). 

Jadi, secara puratanya, pendapatan kasarnya setiap bulan hampir mencecah RM 10,000 sebulan. (RM 40 x 10 orang x 23 hari)

Selain itu, Pak Man juga menjual minyak angin buatan sendiri dan ada kalanya dia turut menjual madu lebah.

Kerjaya ini bukan semua orang mampu melakukannya. Keluar rumah seawal pagi dan masih mengurut hingga ke tengah malam.  Cukup meletihkan. Tidak hairanlah apabila Pak Man kini mengupah anaknya sebagai pemandu.

Dengan cara begini, dia dapat berehat seketika sebelum tiba ke destinasi seterusnya. Rezeki Allah ada di mana-mana untuk sesiapa saja yang sanggup berusaha kerana yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

Saya segan mahu ambil gambar Pak Man. Nanti-nantilah ya?



Tuesday, 10 February 2015

Dalam Mimpi atau Jaga?

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : publishizer.com


"Aku nak kurus dan sihat!"

Itu yang kita KATA.

Tapi apa yang kita BUAT?

Makan segalanya macam biasa, senaman atas sofa.

Lepas tu kita tanya, kenapa orang lain senang saja turun berat badan? Kenapa berat aku tak turun-turun?

Samalah juga halnya bila kita berimpian untuk berjaya dalam perniagaan dan sebagainya.

Mahu berjaya tetapi tidak sanggup untuk berusaha.

Tepat sekali ungkapan yang menyebut bahawa :

Ketika orang lain BERMIMPI untuk berjaya, ada orang lain sedang BERJAGA untuk mencapai kejayaan.




Kita yang mana?



Monday, 9 February 2015

Tiga Sayap

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Imam Abdul Rahman Al-Mahdi merupakan seorang lelaki yang pintar dan luas pengetahuannya. Walaupun begitu, beliau seorang yang sangat merendah diri.

Kelebihan yang dimiliki olehnya menjadi buah mulut pelbagai lapisan masyarakat di kota itu. Ramai yang sangat ingin berguru dengannya terutamanya raja. Baginda mahu agar puteranya dididik oleh Imam Abdul Rahman Al-Mahdi.

Salah seorang putera yang pernah menuntut ilmu dengan beliau bernama Putera Jaafar bin Sulaiman. Pernah satu ketika putera ini bertanya kepada gurunya (Imam Abdul Rahman Al-Mahdi).

"Bukankah manusia ini makhluk yang paling mulia?"

"Ya," jawab gurunya.

"Kalau begitu, Allah telah memuliakan manusia dan menciptakan kita sebagai manusia sebagai sebaik-baik kejadian. Oleh itu wahai Imam, saya ingin sangat nak tahu bagaimana agaknya rupa Allah s.w.t?"


Putera itu menyambung lagi.


"Saya membayangkan..."

"Cukuplah wahai anakku," Abdul Rahman memintas kata-kata anak muridnya.

"Mengapa Imam tidak benarkan saya terus bercakap?" tanya Putera Jaafar meminta penjelasan daripada gurunya.

"Tidakkah kamu membaca firman Allah bahawa, tidak ada yang sepertiNya?"

"Saya tahu, Imam. Tapi saya cuma ingin membayangkan saja."

"Kalau macam tu, jawablah soalan saya. Sekiranya kamu boleh menjawab soalan saya, maka saya akan menerima imaginasi kamu itu."

"Baiklah, saya setuju. Tanyalah."

"Ulama mentafsirkan ayat - Sesungguhnya dia telah memperlihatkan tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar iaitu bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melihat Jibril dengan 600 sayap. 

Sekarang, gambarkan kepada saya tentang makhluk yang mempunyai tiga sayap. Kamu juga kena beritahu kepada saya di mana letaknya sayap yang ketiga itu."

"Saya tak pernah nampak makhluk macam tu. Tengok pun tak pernah, macam mana saya nak bayangkan, wahai Imam."

Abdul Rahman Al-Mahdi tersenyum.

"Jika kamu tidak boleh menceritakan tentang makhluk, macam mana pula kamu nak jelaskan tentang penciptaNya?"

"Benar katamu wahai guruku. Kamu berjaya membetulkan kesilapan saya dan meyakinkan saya. Saya bersyukur kerana menjadi salah seorang pelajarmu."


Pengajaran:

Gunalah akal untuk berfikir tentang kejadian dan ciptaan Allah s.w.t dan jangan gunakan akal untuk berfikir tentang zat Allah. Sebaik-baik fikir ialah fikir yang membawa kita hampir kepada Allah s.w.t



Saturday, 7 February 2015

Hak Pengguna - Jangan Berdiam Diri

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Dua tiga bulan yang lepas, emak saya membeli sebuah dapur baru bagi menggantikan dapur lama yang telah rosak. Sebelum ini kami tidak pernah menghadapi sebarang masalah sama ada dengan barang yang dibeli mahu pun dengan pihak penjual.


Segalanya nampak tidak kena sejak dari awal lagi. Selepas membuat tempahan dan membayar deposit, emak saya bersetuju agar dapur tersebut dihantar ke rumah dua hari kemudian. 



Keesokan harinya, emak saya dihubungi oleh Penolong Pengurus cawangan tersebut yang memaklumkan bahawa penghantaran akan dibuat pada hari itu. 



Emak saya menolak dengan baik kerana ada urusan di luar yang perlu diselesaikan. Lagi pun, tidak ada sesiapa di rumah.



Bosan didesak berulang kali maka emak saya mengalah dan perancangan asal untuk keluar terpaksa ditangguhkan. Namun, yang dinanti tidak kunjung tiba. 


Apabila emak menelefon ke cawangan tersebut, emak dimaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai kenderaan untuk membuat penghantaran seperti dijanjikan.



Penantian berakhir setelah beberapa jam menunggu, dapur tersebut dihantar ke rumah. Setelah urusan jual beli selesai dan mereka pulang, barulah emak saya sedar bahawa dapur tersebut tidak disertakan dengan kad jaminan (warranty card) dan resit yang diberikan pula bukanlah resit rasmi yang sepatutnya diterima oleh pelanggan.



Maklum balas yang kami terima ialah kad jaminan boleh dituntut secara dalam talian (online). Untuk kepastian, emak membuat tinjauan di beberapa kedai barangan elektrik untuk memastikan hal tersebut dan jawapan yang diterima adalah sebaliknya. 


Kecurigaan semakin bertambah. Untuk kepastian, emak bertindak menghubungi ibu pejabat syarikat tersebut untuk mengesahkan perkara itu dan jawapan yang diberikan ialah kad jaminan sepatutnya disertakan bersama-sama barangan yang dibeli. 


Oleh itu, emak sekali lagi menghubungi cawangan tersebut. Kali ini meminta agar kad jaminan diberikan. Janji hanya tinggal janji. 


Pihak cawangan tersebut bukan sahaja tidak datang pada hari yang dijanjikan malah, permintaan untuk bercakap sendiri dengan Penolong Pengurus terbabit juga ditolak dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.


Seboleh mungkin emak saya ingin menyelesaikan perkara ini dengan segera dan secara baik. Cuma tindakan dan layanan yang diberikan kepada emak saya selaku pelanggan sungguh mendukacitakan. Penolong Pengurus berkenaan seolah-olah cuba berlepas tangan hingga menyebabkan hal ini berlarutan.


Hanya selepas emak saya membuat aduan secara lisan kepada pihak ibu pejabat, barulah Penolong Pengurus cawangan tersebut beria-ia menghubungi emak saya melalui telefon. 


Semuanya telah terlambat. Apa jua bentuk perbincangan selanjutnya hanya akan dibuat secara terus dengan pihak ibu pejabat. 


Langkah berikutnya, saya menulis surat aduan rasmi untuk dikemukakan kepada pihak ibu pejabat untuk tindakan susulan dan penyelesaian.


Surat aduan dan salinan pembelian yang dikemukan telah diterima dan diteliti oleh pihak Perkhidmatan Pelanggan syarikat itu. Mereka meminta maaf atas apa yang berlaku dan mengakui perkara begitu tidak sepatutnya terjadi.


Berdasarkan percakapan dengan pihak ibu pejabat, emak bersetuju untuk berhubung dengan pihak cawangan di mana pembelian dibuat tetapi dengan syarat pegawai cawangan tersebut bukanlah Penolong Pengurus yang mana emak saya berurusan sebelum ini. 


Alhamdulillah, hal ini berjaya diselesaikan walaupun terpaksa melalui proses yang panjang, kami sekeluarga mengambil tindakan ini atas dua sebab utama iaitu menuntut hak sebagai pengguna dan kami tidak mahu ada orang lain mengalami nasib yang sama pada masa akan datang.


Dalam hal ini kalau diikutkan emak saya boleh membuat laporan polis kerana percakapan berbaur ugutan diucapkan oleh Penolong Pengurus tersebut kepada emak saya serta bukti pembelian yang menimbulkan rasa sangsi.


Itu antara yang alternatif kami sekeluarga fikirkan sekiranya masalah menjadi bertambah rumit dan tidak menemui penyelesaian. Namun, urusan dengan pihak ibu pejabat berjalan dengan lancar dan berhasil.


Saya sertakan surat aduan itu di sini sebagai rujukan dan panduan kepada sesiapa yang mungkin memerlukan kelak (harapnya tidaklah). Usah berdiam diri. Kita sebagai pengguna mempunyai hak. Jadilah pengguna yang bijak.



SURAT ADUAN

[Nama pengirim]

[Alamat pengirim]



Bahagian Khidmat Pelanggan

[Nama Syarikat]

(u.p.:Nama Pengawai Khidmat Pelanggan)                                                                   Tarikh




Tuan,

Aduan Tentang Pembelian Dapur Singer Tanpa Kad Jaminan (Warranty Card) dan Tanpa Resit Pembelian Rasmi Singer


Merujuk kepada perkara di atas, saya telah membeli sebuah dapur gas model ABCD di kedai XYZ cawangan CDEF dan pembelian dibuat secara tunai.


2.    Malangnya penghantaran dapur tersebut tidak disertakan dengan kad jaminan dan saya juga tidak diberikan resit rasmi XYZ.


3.       Malah, setelah penghantaran dapur diterima, saya mengesan ada lubang suspected defect pada dapur berkenaan dan meminta penjelasan Penolong Pengurus iaitu Mr.Y di samping meminta kad jaminan tetapi beliau tidak dapat memberikannya. Sebaliknya beliau memberi alasan bahawa pihak XYZ menggunakan sistem online dan kad jaminan akan dihantar ke rumah pembeli kelak.


4. Apabila saya memaklumkan bahawa saya telah menghubungi Miss  P dari Ibu Pejabat XYZ, beliau (Mr.Y) menawarkan untuk memulangkan semula duit saya (refund)  dan menyuruh saya menunggu sehingga panggilan dibuat. Namun, sejak pembelian dibuat pada 12/11/2014 sehingga sekarang, saya tidak menerima sebarang panggilan dan tidak ada wakil kedai XYZ yang datang memeriksa defect atau mengambil semula dapur itu.


5.  Saya juga terkilan dengan layanan yang diberikan oleh Mr.Y kepada saya ketika berurusan dengannya. Beliau bercakap kasar apabila dihubungi melalui telefon. Katanya kepada saya, “Awak hendak refund, buat apa lagi warranty card. Lain kali tak payah beli dapur kalau miskin.”


6.  Apabila diminta datang pada tarikh yang dijanjikan iaitu pada Jumaat, 14/11/2014 beliau marah dan mengatakan,“Awak hendak cari pasal dengan saya ke?” Status sekarang dapur tersebut masih berada di rumah saya  dan saya terpaksa pergi ke kedai XYZ yang lain untuk memastikan lubang yang dikesan sebagai defect selamat digunakan. Sedangkan menjadi tanggungjawab Mr. Y selaku penjual untuk memastikannya.


7.    Saya dengan ini mengemukakan aduan ini kerana bimbang ditipu dengan membeli dapur reject/defect. Saya juga bimbang dengan keselamatan kami sebagai pengguna apabila menggunakan dapur tersebut. Selain itu, saya juga berasa bahawa hak saya sebagai pengguna telah dinafikan untuk membuat apa-apa tuntutan kerana tidak diberikan kad jaminan dan resit rasmi XYZ dalam urusan jual beli itu. Saya juga berharap layanan ejen jualan XYZ dapat diperbetulkan kerana terlalu kasar dan tidak bertamadun.


8.  Bersama-sama ini saya sertakan dokumen-dokumen sokongan untuk rujukan dan tindakan tuan yang selanjutnya.


Sekian, terima kasih.






Yang benar,

............................................

[NAMA PENGIRIM]

[No. Telefon Pengirim]



s.k.  
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK), Putrajaya




Thursday, 29 January 2015

Takdir Mengatasi Tadbir

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Saya mungkin seperti kebanyakan 'orang akaun' yang lain, sangat berhati-hati dalam berbelanja. Bukan kedekut cuma ingin memastikan wang yang dibelanjakan tidak sia-sia.

Disebabkan saya mempunyai beberapa masalah dengan telefon sedia ada, maka saya terpaksa membuat pertimbangan untuk mendapatkan telefon yang baru. Saya mengambil masa yang agak lama untuk membuat pembelian tersebut.

Banyak perkara yang berlegar-legar di kepala saya. Apatah lagi bagi seseorang yang kurang meminati gajet seperti saya. Pada awalnya, saya hanya sekadar 'jalan-jalan' di alam maya. Tujuannya untuk mendapatkan sedikit gambaran awal sebelum beralih ke peringkat seterusnya.

Walaupun cara ini kelihatan leceh dan membuang masa, namun sedikit sebanyak membantu saya mengecilkan skop carian saya dan merancang bajet dengan lebih baik. 

Kali ini, kerja saya menjadi lebih mudah. Skop pencarian saya terarah kepada mencari telefon yang sesuai dengan bajet yang saya ada. Hasilnya, saya berjaya menyenarai pendek beberapa model telefon. 

Pencarian telefon itu berkesudahan dengan saya membeli telefon dari jenama yang langsung saya tidak ingin beli meski pun jenama tersebut sangat terkenal. Saya mempunyai alasan tersendiri setelah membaca pandangan dan ulasan individu di internet.

Mesti ada yang berfikir, 'Apalah nak beli telefon pun bukan main panjang lagi cerita.'

Lihatlah betapa gigihnya saya membuat kajian itu dan ini. Makan masa dan tenaga.

Macam mana saya boleh pergi beli jenama yang saya tidak suka? Saya masuk ke outlet hanya untuk tengok-tengok. Tidak disangka-sangka saya keluar dengan membeli salah satu model telefonnya.

Apabila takdir mengatasi tadbir.

Usaha saya sebagai manusia berusaha sungguh-sungguh dengan apa yang terdaya menurut kemampuan saya sebagai manusia. 

Demikian juga dalam hidup kita. Allah tidak suruh kita duduk dan tunggu saja. Kita disuruh bekerja dengan akal dan kudrat yang dikurnia. Sebagai manusia kita berharap apabila kita buat begini maka hasilnya akan begini.

Bagaimana jika keputusannya tidak seperti yang kita harapkan?

Marah?

Kecewa? 

Putus asa?

Tenang. Sabar. Reda dengan apa yang telah Allah tetapkan untuk kita.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah : 216)

Apa tindakan kita seterusnya?

Usaha dan terus berusaha. Itu tugas kita sebagai manusia. Cari guru, tambah ilmu. Ada ilmu amal selalu. Doa jangan pernah jemu. 

Doa. Usaha. Tawakal.

"Apabila kamu telah berazam (bertekad dan berusaha) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah sukakan golongan yang bertawakal." (Surah Ali Imran : 159)

Wallahu'alam.



Wednesday, 28 January 2015

40 Tahun Taubat Tanpa Henti

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa tidak beriman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya, seperti dia mencintai dirinya sendiri.

Itulah peranan sesama muslim. Ibarat satu jasad. Cubit paha kanan, paha kiri akan terasa sakit. Bagaimana diri mampu tidur dengan lena jika salah satu anggota berasa sakit? 

Justeru, mana mungkin seorang Muslim boleh bergembira bila mana ada saudaranya lain sedang sengsara?

Ini mengingatkan saya tentang sebuah kisah yang diceritakan oleh Ustaz Zul Ramli. 

Kisahnya, pada suatu hari, ketika Shaikh Abdul Qadir Al-Jailani sedang berjalan keluar dari masjid, beliau didatangi oleh seseorang yang berlari tercungap-cungap.

Orang itu memaklumkan kepadanya bahawa bahawa Baghdad terbakar keseluruhannya. Semua rumah kedai di lorong tersebut musnah terbakar kecuali kedai Shaikh Abdul Qadir.

Apabila mendengar berita tersebut, secara spontan beliau (Shaikh Abdul Qadir) menuturkan Alhamdulillah kerana kedainya terselamat.

Beberapa ketika kemudian, beliau tersedar betapa jahat dan berdosanya beliau kerana masih boleh menyebut Alhamdulillah ketika saudara yang lain sedang diuji.

Beliau berasa malu di atas akhlak yang dipamerkannya lantas bertaubat kepada Allah selama 40 tahun tanpa henti.

Mungkin secara tidak sengaja, kita juga pernah berkata demikian. 

"Alhamdulillah, kita tak kena (musibah)."

Kita Alhamdulillah? Dalam keadaan orang lain menderita?

Renung-renungkan. Bukan kamu. Tetapi saya juga kita semua.

Wallahu'alam.



Wednesday, 26 November 2014

Sehidup Semati

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Kami ini milikMu dan hanya kepadaMu kami akan dikembalikan.

Perit. Pedih. Perpisahan atas nama kematian.


Itulah takdir yang telah tertulis. Berat rasa ujian.

Belum pun reda kesedihan yang kami lalui, nenda saya menyusuli pemergian isteri tercintanya ke alam sana.

Jarak waktu yang sungguh singkat. Hanya berselang 10 hari. Bagaikan telah berjanji untuk sehidup semati.


Masih saya ingat ketika tok saya meninggal dunia, tok ayah beria-ia memujuk saya. Katanya,

"Hang sayang tok hang kan? Kalau hang ingat kat dia, baca Fatihah hadiah kat dia. Dia dah duk di tempat lebih baik."

Ketika itu, kami sama-sama menangis.

Di mata kami, tok dan tok ayah lebih daripada sekadar nenek dan datuk. Mereka juga mak dan ayah bagi kami. Tiga generasi tinggal di bawah satu bumbung sejak sekian lama. Ayah saya sendiri selaku menantu, turut terhutang budi kepada kedua mertuanya ini.

Justeru, apabila tok ayah pula pergi, kami berasa dunia ini terlalu sunyi. Hiba membungkam dalam dada. Namun, di antara semua, mak yang cukup terpukul dengan kehilangan ini. Berturut-turut tanpa kami sangka secepat ini.

Saya temui tabah tatkala menilik sirah, dalam meneguk ibrah.

Kisah Rasulullah SAW yang kehilangan bapa saudaranya yang sentiasa membela dan mempertahankannya. Namun, perginya bapa saudaranya tanpa melafazkan kalimah syahadah.

Saya dan keluarga, masih boleh mendoakan kedua-duanya. Namun, tidak bagi baginda. Baginda hanya mampu berdoa supaya diringankan azab ke atas bapa saudaranya. Pastinya kesedihan itu berganda.

Saya yakin, sahabat-sahabat saya di sini adalah sahabat yang BAIK.

Oleh yang demikian, saya ingin memohon agar sahabat sekalian dapat menghadiahkan bacaan AL-FATIHAH kepada arwah Haji Hashim dan Hajah Che Teh.

Hanya Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan kalian.

"Ya Allah, aku menadah tangan yang penuh dosa ini memohon keampunan untuk mereka. Ampunkanlah mereka, kasihanilah mereka, maafkanlah mereka. Jadikan kubur mereka satu taman dari taman-taman syurga. Janganlah Kau jadikan kubur mereka satu lubang dari lubang-lubang neraka.

Andai kata sekarang ini mereka sedang diazab, cukuplah ya Allah. 
Cukuplah ya Allah. 
Cukuplah ya Allah. 
Mereka tidak akan mampu menanggungnya.


Ampunkanlah mereka. Maafkanlah mereka. Kasihanilah mereka. Rahmatilah mereka. Wahai Allah yang Maha Baik, Maha Pengasih dan Maha Penyayang."

Amin. Amin. Amin.


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015