Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google
Menarik perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Don malam tadi. Satu bab yang disentuh adalah persoalan yang selalu terdetik dalam hati kita apabila ditimpa musibah iaitu 'kenapa aku?'.
Kata ustaz, soalan 'kenapa aku' ini menunjukkan kita sama macam manusia biasa. Para nabi juga pernah bertanya soalan yang sama kepada Allah kerana nabi juga adalah manusia. Bezanya, para nabi adalah manusia mulia yang diangkat darjatnya di sisi Allah. Mereka insan pilihan Allah.
Terdapat satu kisah dalam kitab sirah, salah satunya bertajuk Firasat oleh Ustaz Mahadir Haji Juoi tentang kisah Nabi Musa a.s. (tolong betulkan saya kalau saya tersilap). Diceritakan Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah, bagaimana Allah menetapkan takdir?
Lalu, Allah perintahkan Nabi Musa a.s pergi ke sebuah perigi dan memerhatikan perigi tersebut dari tempat yang tersembunyi.
Tidak lama selepas itu, datang seorang pemburu menaiki kuda ke perigi itu untuk meminum air. Di pinggang pemburu itu ada satu uncang berisi emas.
Bimbang uncang emas itu terjatuh ke dalam perigi, pemburu ini meletakkan uncangnya di tepi perigi itu. Selesai minum, dia berlalu pergi dan terlupa untuk mengambil uncang emas yang diletakkan di tepi perigi tadi.
Kemudian, datang seorang pengembala kambing ke perigi itu untuk memberi kambing-kambingnya minum. Pengembala kambing ini menjumpai uncang berisi emas (yang ditinggalkan oleh pemburu) di situ. Tanpa membuang masa, pengembala ini melarikan uncang tersebut.
Selepas pengembala kambing meninggalkan perigi bersama uncang emas, datang pula seorang tua ke situ untuk minum. Apabila sudah hilang dahaganya, dia pun berehat di situ.
Tiba-tiba datang pemburu tadi dan terus menumbuk orang tua itu sehingga mati kerana disangkanya orang tua itu telah mencuri uncang emasnya.
Nabi Musa a.s yang menyaksikan hal tersebut bertanya kepada Allah. Lalu, Allah menceritakan bahawa bapa si pemburu ini pernah meminjam wang daripada bapa pengembala kambing. Emas yang terdapat dalam uncang adalah bersamaan dengan jumlah yang dipinjam oleh ayah si pemburu. Jadi, pengembala kambing hanya mengambil haknya saja.
Manakala tindakan pemburu membunuh orang tua yang sedang berehat di situ dalam keadaan tergesa-gesa dan tanpa usul periksa adalah satu bentuk balasan atas perbuatannya (orang tua) kerana telah mebunuh ayah si pemburu.
Inilah keadilan Allah. Lihatlah bagaimana Allah mentakdirkan sesuatu. Pasti ada sebab dan alasannya. Perkara yang tidak mampu ditafsirkan oleh mata, tidak dapat difikirkan dengan akal dan hanya dapat dilihat dengan mata hati kerana disitulah letaknya hikmah yang tersembunyi.
Wallahu'alam.