Thursday, 27 March 2014

Selawat Indikator Cinta

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Tanyakan kepada diri kita, berapa kali dalam sehari kita berselawat ke atas nabi? Ini kerana selawat adalah indikator sayang dan cinta kita terhadap nabi.

Semua orang boleh sebut sayang. Semua orang boleh mengaku cinta. Tapi apa buktinya? Bukankah tika hati teringat, maka mulut akan menyebut?

Kenapa kita tidak rasa ghairah untuk berselawat ke atas nabi? Kata seorang ulama, bukan kita yang tak nak kepada nabi, tapi nabi yang tak nak kepada kita. Jawapan yang benar-benar menggigit hati kita.

Ucapkanlah. Lafazkanlah. Ucapan yang bukan sahaja dituntut kepada manusia bahkan Allah dan malaikat turut mengungkapkannya. 

Seperti mana firman Allah:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna salam.”
(Al-Ahzab 56)




Banyakkanlah selawat kerana di situ adanya sumber keberkatan dalam kehidupan. Wallahu'alam.






3 Pesan Nabi

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Pesanan Rasulullah SAW kepada Abdullah bin Salam (seorang Yahudi yang menguasai kitab taurat):


1.  Berilah salam kepada sesiapa saja yang kamu temui.

Seperti mana kata Abu Bakar As-Siddiq, mereka terpaksa bersembunyi supaya mereka berpeluang memberi salam kepada nabi. Jika mereka tidak berbuat demikian, sudah pastilah nabi yang akan terlebih dahulu memberi salam kepada mereka.

Nabi seorang yang sentiasa mendahului orang lain dalam hal berbuat kebaikan dan memberi salam adalah salah satu bentuk kebaikan yang sering kali kita terlepas pandang.


2.  Menjamu orang makan.

Sesekali jamulah orang lain makan. Kalau kita tidak mampu untuk mengadakan kenduri untuk memberi/menjamu orang lain makan kerana terpaksa mengeluarkan wang yang banyak, maka berilah makan walaupun hanya kepada seorang insan. 

Itu pun sudah cukup. Contohnya, di kedai makan kita tolong bayarkan bil makanan dan minuman orang lain. Hal ini juga dikira sebagai menjamu orang makan.


3.  Sewaktu orang lain sedang tidur, bangunlah dan dirikanlah solat.

Jika tidak mampu untuk bangun 2-3 jam awal, memadailah bangun sebelum Subuh kira-kira 15-20 minit awal dan dirikanlah solat tahajud sebanyak dua rakaat. 

Ketiga-tiga pesanan ini adalah kebaikan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.


Wallahu'alam.





Wednesday, 26 March 2014

Hidup Mulia atau Mati Sebagai Syuhada

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google





Dalam tempoh 20 minit, 529 orang dihukum mati. Satu hukuman yang tragik dan langsung tidak masuk akal. Zalim. 



Demi untuk mencapai matlamat, mereka sanggup menghalalkan segala bentuk perlakuan mereka. Pemerintahan kuku besi dalam memastikan mereka kekal berkuasa di mana hak rakyat telah dinafikan sama sekali.

Malangnya, dunia antarabangsa langsung tidak bersuara. Malah, berita ini seolah-olah terpinggir dari liputan media.





Dalam pada itu, Sheikh Muhammad Hassan menyelar keputusan yang dibuat oleh mahkamah Mesir dan memberikan amaran keras kepada mereka.

Beliau berkata, "Allah akan memberikan istidraj (kelebihan untuk melalaikan) kepada orang-orang yang zalim ini sehingga mereka terus berada dalam kegelapan. Janganlah kamu terpedaya dengan kekuatan, kekuasaan serta kezaliman kamu. Dimanakah mereka yang zalim dahulu serta pengikut mereka? Dimanakah Firaun dan Hamman? Tidak ada seorang pun daripada mereka yang terselamat."

Sheikh Hassan menambah, "Berapa ramai orang yang diberikan kelebihan oleh Allah tanpa mereka sedari bahawa mereka adalah dalam golongan yang dimurkai Allah."

Sementara kenyataan yang dikeluarkan oleh Ikhwanul Muslimin menggambarkan tekad dan kesediaan mereka untuk meneruskan perjuangan di bumi Mesir.  Berikut adalah sebahagian kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka:

Hukuman sebegini keras hanya akan menggandakan tekad revolusioner dan mengukuhkan keazaman mereka dalam meneruskan usaha utama menamatkan rampasan kuasa dan menghadapkan setiap seorang penjenayah yang mencabul hak dan kebebasan rakyat Mesir ke muka pengadilan, untuk mencapai hukuman yang adil.

Dengan hukuman sekeras ini, komander-komander kudeta pengkhianat dan para sekutu mereka cuba untuk memaksa Revolusi Mesir jauh dari landasan perjuangan yang aman. Tetapi ini tidak akan berlaku, dengan izin Tuhan. Revolusi kami akan kekal aman. Dan sekali lagi, ketidakadilan ini, penindasan dan dendam kesumat pihak junta hanya akan menguatkan keazaman dan hati kami dan menggandakan tekad kami untuk menewaskan junta tentera pengkhianat, dan mengembalikan kebebasan, maruah dan kedaulatan kami.

Detik penentuan sudah semakin hampir, dengan izin Tuhan. Dan penindas yang zalim akan bertemu takdir kesudahan akhir mereka.



Malah Dr Muhammad Badie' iaitu Musyidul Am Ikhwanul Muslimin telah menulis sepucuk surat dari dalam tahanan. 

"Tuhanmu telah berkehendak untuk mengumpulkan orang-orang yang benar dalam satu kelompok, dan orang-orang yang batil dalam satu kelompok lain, sebagaimana tuhan telah mengumpulkan Musa a.s dan kebenaran bersama pengikut-pengikutnya, seperti Firaun dan kebatilan bersama-sama pengikutnya sehingga apabila tidak tinggal apa-apa pilihan atau cara dan jalan dihadapan para pengikut kebenaran melainkan hamparan laut yang luas dan para tentera dibelakang mereka, maka kemenangan dari Allah akan turun menyelamatkan kebenaran dan para pengikutnya sekaligus menghancurbinasakan kebatilan dan pengikut-pengikutnya.

Yakinlah bahawa kemenangan itu telah hampir dan pengikut-pengikut kebatilan masih menjunjung kebatilan mereka, sedang pengikut-pengikut kebenaran menjunjung syariat mereka untuk membezakan kedua kelompok tadi, maka Allah akan memberi kemenangan kepada kebenaran dan pengikut-pengikutnya, dan menenggelamkan kebatilan berserta pengikut-pengikutnya"

Ini bukan omongan kosong kerana mereka tahu apa yang menanti mereka kelak. Menang atau kalah bukan soalnya. Sama ada hidup mulia atau mati sebagai syuhada.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) dari Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar" (Surah At-Taubah: ayat 11)




Mereka Hilang

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Saya turut terkesan dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri berhubung kehilangan pesawat MH370. Disampaikan dengan bahasa yang paling halus untuk mengelakkan berlakunya kecederaan emosi pihak-pihak terbabit.




Pemilihan perkataan yang positif masih tidak dapat menutup gusar pada wajah dan getar pada nada. Sudah dapat dilihat dan diagak apa khabar yang dibawa.

Saya tidak menolak takdir. Kita beriman pada qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Kita semua percaya sampai satu saat dan ketikanya kita semua pasti akan mati.

Saya turut bersedih dengan pengumuman itu. Saya masih berharap walau harapan sekelumit cuma. Selain itu, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dari sudut agama. Islam ada tatacara yang perlu diikuti.

Perkara yang terlintas di fikiran saya selepas itu adalah bagaimana dengan status seorang isteri? Jika benar telah mati, dia perlu beridah. Pengagihan harta pusakanya dan sebagainya.

Bahkan, banyak lagi perkara bermain dalam minda. Alhamdulillah, Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun memberikan pencerahan dari aspek ini.

Sehingga ke saat ini, saya berpegang kepada pendapat bahawa mereka hilang. Mati? Saya tidak tahu. Allah lebih mengetahui. 

Sesungguhnya, tidak bergerak satu zarah pun tanpa izin dan kuasaNya. Wallahu'alam.



Kenapa Aku?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Menarik perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Don malam tadi. Satu bab yang disentuh adalah persoalan yang selalu terdetik dalam hati kita apabila ditimpa musibah iaitu 'kenapa aku?'.

Kata ustaz, soalan 'kenapa aku' ini menunjukkan kita sama macam manusia biasa. Para nabi juga pernah bertanya soalan yang sama kepada Allah kerana nabi juga adalah manusia. Bezanya, para nabi adalah manusia mulia yang diangkat darjatnya di sisi Allah. Mereka insan pilihan Allah.

Terdapat satu kisah dalam kitab sirah, salah satunya bertajuk Firasat oleh Ustaz Mahadir Haji Juoi tentang kisah Nabi Musa a.s. (tolong betulkan saya kalau saya tersilap). Diceritakan Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah, bagaimana Allah menetapkan takdir?

Lalu, Allah perintahkan Nabi Musa a.s pergi ke sebuah perigi dan memerhatikan perigi tersebut dari tempat yang tersembunyi.

Tidak lama selepas itu, datang seorang pemburu menaiki kuda ke perigi itu untuk meminum air. Di pinggang pemburu itu ada satu uncang berisi emas. 

Bimbang uncang emas itu terjatuh ke dalam perigi, pemburu ini meletakkan uncangnya di tepi perigi itu. Selesai minum, dia berlalu pergi dan terlupa untuk mengambil uncang emas yang diletakkan di tepi perigi tadi. 

Kemudian, datang seorang pengembala kambing ke perigi itu untuk memberi kambing-kambingnya minum. Pengembala kambing ini menjumpai uncang berisi emas (yang ditinggalkan oleh pemburu) di situ. Tanpa membuang masa, pengembala ini melarikan uncang tersebut.

Selepas pengembala kambing meninggalkan perigi bersama uncang emas, datang pula seorang tua ke situ untuk minum. Apabila sudah hilang dahaganya, dia pun berehat di situ.

Tiba-tiba datang pemburu tadi dan terus menumbuk orang tua itu sehingga mati kerana disangkanya orang tua itu telah mencuri uncang emasnya.

Nabi Musa a.s yang menyaksikan hal tersebut bertanya kepada Allah. Lalu, Allah menceritakan bahawa bapa si pemburu ini pernah meminjam wang daripada bapa pengembala kambing. Emas yang terdapat dalam uncang adalah bersamaan dengan jumlah yang dipinjam oleh ayah si pemburu. Jadi, pengembala kambing hanya mengambil haknya saja.

Manakala tindakan pemburu membunuh orang tua yang sedang berehat di situ dalam keadaan tergesa-gesa dan tanpa usul periksa adalah satu bentuk balasan atas perbuatannya (orang tua) kerana telah mebunuh ayah si pemburu.



Inilah keadilan Allah. Lihatlah bagaimana Allah mentakdirkan sesuatu. Pasti ada sebab dan alasannya. Perkara yang tidak mampu ditafsirkan oleh mata, tidak dapat difikirkan dengan akal dan hanya dapat dilihat dengan mata hati kerana disitulah letaknya hikmah yang tersembunyi.

Wallahu'alam.

Monday, 24 March 2014

Hikmah Ujian Sakit

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google





Antara hikmah di sebalik ujian sakit ialah:
  • Menyedarkan bahawa kita adalah hamba yang terlalu naif dan lemah.
  • Mengikis sifat sombong dalam hati.
  • Membuka ruang selus-luasnya untuk kita lebih bermuhasabah.
  • Menjadikan kita mudah memiliki rasa simpati dan empati terhadap insan lain.
  • Supaya kita lebih mengukuhkan hubungan kita dengan Allah.
  • Mendapat pahala yang banyak melalui jalan sabar.
  • Mendidik diri untuk bersedekah kerana sedekah adalah terapi kesihatan yang terbaik.
  • Salah satu bentuk penghapusan dosa.
  • Meningkatkan darjat di akhirat.
  • Meraih kasih sayang Allah, kerana ujian adalah tanda kasih dan sayang daripada Allah.


Sumber: Allahyarham Ustaz Rujhan





Friday, 21 March 2014

Mati Itu Pasti

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Saya masih gagal untuk melelapkan mata sedangkan jam telah pun menginjak ke angka 3. Di sebelah katil tok saya, ada seorang pesakit buah pinggang yang ditemani oleh anaknya.

Beliau nampak lebih bertenaga berbanding ketika dimasukkan ke wad pada hari pertama. Saya melihat perubahan positif yang ditunjukkan olehnya. Lebih sihat dan bertenaga.

Beliau sudah mula bercakap walaupun dalam nada yang tersekat-sekat. Saya memerhatikan beliau tidur dengan lena, begitu juga dengan anaknya. Kemudian, saya pandang wajah tok saya, beliau juga lena. Lena dalam koma.

Siling hospital saya tenung lama. Kepala ligat berfikir macam-macam perkara. Tidak saya sangka, kami sekeluarga bakal diduga sedemikian rupa, mengubah seluruh kehidupan kami sekeluarga. 

Saya tersentak apabila tiba-tiba saja wad berubah wajah. Jika tadi hanya kedengaran suara ceria jururawat yang berbual sesama mereka, kini suara itu bertukar cemas. Mereka kalut dalam senyap. 

Tirai dipasang menghalang pandangan saya. Ketika itu cuma kedengaran suara doktor yang memberi arahan. Saya tidak pasti apa yang berlaku. Penuh dengan tanda tanya.

Lima minit berlalu, si anak dipanggil. Apabila saya terdengar doktor menyebut dengan jelas 3.40 pagi, mata saya terus terarah pada jam di dinding. Fahamlah saya, pesakit sudah tiada.

Telahan saya tepat. Itulah perkara pertama yang saya nampak ketika tirai dibuka. Sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa. 




Mati itu pasti. Tidak akan pernah lewat meskipun sesaat. Rasanya baru siang tadi doktor menyatakan beliau sudah boleh pulang ke rumah sehari dua lagi. Beliau benar-benar pulang, tapi kepulangannya ke hadrat Ilahi.

Kita semua akan mati. Walau sejauh mana kita pergi. Walaupun sekuat mana kita berlari. Hanya kepada Allah kita akan kembali.

Wallahu'alam.






Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015