Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google
Seluruh kampung semacam tak percaya. Tapi, itulah hakikatnya. Rogayah, yang sepatutnya menunaikan haji terpaksa membatalkan hasratnya kerana masalah visa. Sedihnya kerana dia hanya dimaklumkan pada saat-saat akhir sebelum dia bertolak ke lapangan terbang.
Wajah ceria bakal tetamu Allah itu tiba-tiba berubah menjadi mendung. Panggilan telefon yang diterima bagaikan membawa satu khabar duka buatnya. Semua tetamu yang hadir untuk mengiringi pemergiannya ke tanah suci menanti dengan penuh debar.
Wanita itu diam, berfikir barangkali.
"Assalamualaikum, Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir pada pagi ini. Saya juga ingin memaklumkan kepada semua yang saya tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini kerana masalah yang tidak dapat dielakkan," ujarnya.
Jiran tetangga dan saudara-mara yang ada di situ terkesima sebentar. Dia sedang kecewa kerana dengan perkhabaran yang baru diterima usai azan dilaungkan oleh anaknya.
"Doa saya tidak makbul."
Dia akur. Wajahnya kembali menunduk.
Cerita Rogayah terpaksa menangguhkan hasrat menunaikan haji tahun lepas lenyap begitu saya. Mereka yang mengetahui kisah sebenar pastinya kagum dengan perancangan yang Allah susun dalam hidupnya selepas setahun berlalu.
Beberapa bulan selepas itu, Allah takdirkan dia bertemu jodoh dengan seorang pesara guru. Seorang lelaki yang cukup budiman dan berhemah tinggi mengisi kekosongan hidupnya yang telah kematian suami beberapa tahun yang lalu.
Terkini, Rogayah dan suami sedang berada di kota suci Mekah menghitung hari untuk berangkat ke Arafah. Walaupun nampak pada awalnya kejadian yang menimpa Rogayah sesuatu yang tidak patut terjadi.
Sedih, kecewa, marah dan malu terbuku dalam dada. Malah, sikap sambil lewa pihak agensi haji swasta terbabit memang sangat mengecewakan yang sepatutnya memberitahu bakal jemaah lebih awal tentang apa yang berlaku.
Allah hantarkan teman, pendamping hidup. Tidak dibiarkan dia pergi berseorangan. Tidak sekadar itu, tahun ini ialah haji akbar. Kalau pun tidak wujud istilah haji akbar, ia tetap istimewa kerana wukuf jatuh pada hari Jumaat penghulu segala hari. Allahuakbar.
Bukan doanya tidak makbul tetapi Allah makbulkan dengan caraNya. Pastinya cara dan perancangan Allah adalah yang terbaik.
Ingatlah, Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah:216)