Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google
Semalam, jenazah sembilan lagi mangsa tragedi MH17 dibawa pulang ke tanah air. Hujan renyai-renyai menyambut kepulangan mereka. Begitulah hakikat mati yang memisahkan insan dengan mereka yang dikasihi.
Sejak dari mula, hati ini tertanya-tanya. Beban perasaan yang dipikul oleh ahli keluarga tentunya tidak dapat disukat dengan kata-kata. Pilu.
Anak kehilangan ibu dan bapa.
Ibu bapa kehilangan permata hati mereka.
Isteri kehilangan suami.
Suami kehilangan isteri.
Mereka yang Allah pilih untuk melalui ujian ini adalah insan pilihan. Bukan calang-calang orang yang Allah pilih. Ini ujian berat. Ini ujian yang hebat.
Kita beriman dengan qada dan qadar. Kita percaya bahawa hidup dan mati kita dalam aturan Allah yang Maha Berkuasa. Sesungguhnya, laluan takdir setiap kita telah pun ditetapkan.
Sebelum ini, pemikiran saya setakat tahu bahawa takdir telah pun tercatat di lauh mahfuz. Habis setakat itu.
Bagaimana kalau saya yang berada di tempat mereka? Bagaimana melalui hari-hari tanpa insan yang dikasihi? Perpisahan abadi dan pertemuan yang seterusnya hanya di alam yang satu lagi.
Soalan sebegini memakan diri. Tempias kesedihan membuatkan saya tidak keruan. Saya tercari-cari sesuatu yang saya sendiri tidak tahu.
Terbuka mata dan jiwa saya. Jawapan Allah bentangkan di depan mata. Khutbah Jumaat bertajuk hakikat Lauh Mahfuz yang disampaikan pada hari Malaysia Berkabung (secara rasmi) merungkai kekusutan.
Bahawa sesungguhnya bila nutfah itu sudah menetap di dalam rahim, malaikat akan mengambil dan meletakkannya di tapak tangannya sambil berkata:
Tuhanku apakah untuk diciptakan atau tidak diciptakan?
Jika dijawab untuk tidak diciptakan, iapun tidak menjadi manusia, ia akan lebur menjadi darah.
Sebaliknya jika dijawab diciptakan, malaikat pun berkata:
Adakah lelaki atau perempuan, sengsara atau bahagia?
Bagaimana ajalnya, berapa umurnya, apa peninggalannya, apa rezekinya, dan di bumi manakah ia akan mati.
Allah SWT kemudian berfirman: pergilah ke lauh mahfuz di sana kau akan mendapat nuthfah itu.
Dikatakan kepada nutfah: Siapakah tuhanmu? Jawabnya Allah.
Ditanya pula: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu. Jawabnya, Allah.
Lalu diciptakan dia menjadi manusia, hidup bersama-sama keluarga dan makan rezeki yang dikurniakan kepadanya. Jika datanglah ajalnya, dia akan meninggal dan dikebumikan di tempat tersebut. (Riwayat al-Hakim)
Laluan takdir ini telah dicatatkan sekian lama. Allah telah menetapkan sedemikian rupa bersama asbabnya jua. Rasa sedih dan pedih tidak mungkin dipisahkan.
Menangis tidak salah kerana tangisan lahir atas dasar kasih dan sayang. Nabi Muhammad SAW juga menangis ketika kematian anaknya dan ini diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid RA katanya : “Kami sedang berada di sisi Rasulullah SAW ketika salah seorang dari puteri Baginda menyuruh seseorang untuk memanggil Baginda dan memberitahu bahawa anak lelaki puteri Baginda itu berada dalam keadaan nazak.
Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada orang suruhan tersebut: Kembalilah kepadanya dan katakan bahawa yang diambil oleh Allah adalah milik-Nya dan apa yang diberi oleh Allah juga milik-Nya. Segala sesuatu di sisi-Nya akan berakhir, mintalah supaya beliau bersabar dan berserah kepada Allah.
Orang suruhan itu kemudiannya kembali mengadap Rasulullah SAW dan berkata: Dia berjanji akan menunaikan pesanan itu.
Kemudian Nabi SAW berdiri diikuti oleh Saad bin Ubadah dan Muaz bin Jabal RA. Lalu diangkatkan kepada Rasulullah SAW dan diserahkan anak (dari puteri Baginda) yang nafasnya masih tersekat-sekat, seolah-olah dia berada di dalam satu qirbah (bekas air) yang lusuh. Kedua-dua mata Rasulullah SAW mulai berlinangan.
Saad bertanya: Apa ertinya ini wahai Rasulullah?
Rasulullah SAW lalu bersabda: lni adalah rahmat (belas-kasihan) yang diletakkan oleh Allah di hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hamba-Nya yang mempunyai rasa belas-kasihan.” (Riwayat Muslim)
Jangan menyesal dengan apa yang berlaku. Semua ketentuan Allah pasti akan terjadi. Kita tidak ada pilihan melainkan menerima dengan reda dan hanya dengan cara itulah kita akan beroleh ketenangan jiwa, Insya-Allah.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment