Saturday 14 March 2015

Terima Kasih

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google

Minggu lepas seseorang menghantar emel kepada saya mengucapkan terima kasih dan meminta saya untuk terus menulis di blog kerana dia suka membaca tulisan saya. 

Rasa kelakar pun ada. 

Eh, ada ke orang baca blog aku?

Tak sangka ada orang suka baca apa yang aku tulis.

Tulis skema, keras kejung pun orang nak baca ke?

Jujurnya, saya tidak tahu nak balas apa. Lama juga fikir sebelum balas. Kalau bercakap secara berdepan, saya sudah tahu reaksi pertama saya. Saya akan senyum. Itu saja yang saya akan buat.

Orang yang betul-betul kenal saya tahu saya macam mana. Antara bercakap dan menulis, saya pilih menulis. Saya boleh bercakap tidak henti-henti macam orang yang peramah sangat. Pada masa yang sama, saya juga boleh diam tanpa sepatah kata dan lebih suka dengar apa yang orang cakap.

Saya suka melakukan perkara yang kedua. Saya seorang introvert. Saya kagum bila melihat seseorang boleh berdiri dan bercakap dengan yakin di hadapan khalayak. Setakat ini rasanya saya masih belum mampu untuk buat.

Semuanya milik Allah yang dipinjamkan kepada saya, sis.

Menulis merupakan satu-satunya benda yang saya minat untuk buat dan tahu sikit-sikit nak buat.

Kalau ikutkan banyak lagi benda yang saya minat tetapi sampai ke sudah saya tidak boleh buat.

Seandainya boleh dipilih, saya ingin menulis puisi. Tetapi, bakat menulis puisi yang dimiliki oleh emak tidak tumpah kepada saya. Abang yang sulung pandailah menulis.

Saya juga minat muzik tetapi tidak pandai bermain satu pun alat muzik. Kalau pandai, bolehlah saya lagukan kata hati saya. Haha. 

Ingin juga cuba-cuba melukis. Masalahnya, memang saya tidak ada bakat seni. Lukis orang lidi bolehlah. Seingat saya, satu-satunya lukisan yang ada rupa ialah semasa cuba melukis kartun. Itu pun saya tiru.

Menulis pula saya buat kerana saya suka. Tidak ada pen atau kertas, saya taip di telefon dan simpan sebelum saya pindahkan ke dalam buku catatan saya. Ada kalanya saya hanya menulis di atas tisu. Janji saya tambat sesuatu perkara itu dalam bentuk perkataan sebelum luput dari fikiran.

Tulisan yang tidak seberapa dan entah apa-apa. Kejap-kejap mahu jadi Mat Lutfi, sesekali mahu tulis macam Ustaz Pahrol. Kemudian, bermimpi mahu tulis macam orang itu, orang ini. Sudahnya, saya tetap di sini.

Kekangan menulis datang daripada diri saya sendiri. Banyak yang boleh dan mahu ditulis. Akhirnya, tidak ada satu pun yang saya tulis.

Idea paling banyak mengalir di saat-saat akhir. Sama macam menyiapkan tugasan di universiti dulu. Esok kena hantar, sehari dua sebelum itu baru idea turun mencurah-curah. Pada hal sebelum itu bukan main payah nak tulis satu ayat pun.

Dua hari lepas, editor minta sediakan satu artikel untuk buku kedua. Orang lain ada yang sudah siap tulis. Saya? Tiba-tiba rasa sakit kepala. Idea yillek. Huhu. Perah sampai kering pun belum tentu idea mari. 

Memandang jauh ke hadapan. Saya ada cita-cita dan impian dalam bidang penulisan. Ada sesuatu yang saya mahu capai. Bukan hanya contengan kata-kata tanpa makna dan jiwa. Perjalanan ini masih terlalu jauh.

Image result for thank you

Namun begitu, saya hargai anda yang membaca tulisan saya. Terima kasih kerana menjengah ke sini. Maaf atas tulisan yang tidak seberapa. Selagi diizinkan Allah, saya akan terus menulis.

Ustaz Badli Shah bercerita, orang yang kita pernah tolong ketika di dunia adalah antara orang boleh membantu kita ketika di hari akhirat kelak. "Kamu ingat tak lagi, dulu di dunia kamu pernah menolong aku? Marilah ikut aku. Aku nak minta dengan Allah agar Allah masukkan kamu ke dalam syurga macam aku."

Kata ustaz lagi, jangan pandang kecil kepada kebaikan. Buat baik pada orang. Tolong orang yang dalam kesusahan walaupun kecil sahaja pertolongan tersebut, kebaikan itu pasti kembali kepada kita di akhirat kelak.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015