Wednesday 3 September 2014

Laluan Takdir

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar  : Google

Semalam, jenazah sembilan lagi mangsa tragedi MH17 dibawa pulang ke tanah air. Hujan renyai-renyai menyambut kepulangan mereka. Begitulah hakikat mati yang memisahkan insan dengan mereka yang dikasihi.



Sejak dari mula, hati ini tertanya-tanya. Beban perasaan yang dipikul oleh ahli keluarga tentunya tidak dapat disukat dengan kata-kata. Pilu.

Anak kehilangan ibu dan bapa.
Ibu bapa kehilangan permata hati mereka.
Isteri kehilangan suami.
Suami kehilangan isteri.

Mereka yang Allah pilih untuk melalui ujian ini adalah insan pilihan. Bukan calang-calang orang yang Allah pilih. Ini ujian berat. Ini ujian yang hebat.

Kita beriman dengan qada dan qadar. Kita percaya bahawa hidup dan mati kita dalam aturan Allah yang Maha Berkuasa. Sesungguhnya, laluan takdir setiap kita telah pun ditetapkan. 

Sebelum ini, pemikiran saya setakat tahu bahawa takdir telah pun tercatat di lauh mahfuz. Habis setakat itu. 

Bagaimana kalau saya yang berada di tempat mereka? Bagaimana melalui hari-hari tanpa insan yang dikasihi? Perpisahan abadi dan pertemuan yang seterusnya hanya di alam yang satu lagi.

Soalan sebegini memakan diri. Tempias kesedihan membuatkan saya tidak keruan. Saya tercari-cari sesuatu yang saya sendiri tidak tahu.

Terbuka mata dan jiwa saya. Jawapan Allah bentangkan di depan mata. Khutbah Jumaat bertajuk hakikat Lauh Mahfuz yang disampaikan pada hari Malaysia Berkabung (secara rasmi) merungkai kekusutan.

Menurut Ibn Atiyah dan Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan kitab di dalam ayat ini ialah Lauh Mahfuz. Daripada Ibnu Mas’ud katanya: 

Bahawa sesungguhnya bila nutfah itu sudah menetap di dalam rahim, malaikat akan mengambil dan meletakkannya di tapak tangannya sambil berkata: 
Tuhanku apakah untuk diciptakan atau tidak diciptakan?
Jika dijawab untuk tidak diciptakan, iapun tidak menjadi manusia, ia akan lebur menjadi darah. 

Sebaliknya jika dijawab diciptakan, malaikat pun berkata: 
Adakah lelaki atau perempuan, sengsara atau bahagia? 
Bagaimana ajalnya, berapa umurnya, apa peninggalannya, apa rezekinya, dan di bumi manakah ia akan mati. 

Allah SWT kemudian berfirman: pergilah ke lauh mahfuz di sana kau akan mendapat nuthfah itu. 
Dikatakan kepada nutfah: Siapakah tuhanmu? Jawabnya Allah.
Ditanya pula: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu. Jawabnya, Allah.

Lalu diciptakan dia menjadi manusia, hidup bersama-sama keluarga dan makan rezeki yang dikurniakan kepadanya. Jika datanglah ajalnya, dia akan meninggal dan dikebumikan di tempat tersebut. (Riwayat al-Hakim)



Laluan takdir ini telah dicatatkan sekian lama. Allah telah menetapkan sedemikian rupa bersama asbabnya jua. Rasa sedih dan pedih tidak mungkin dipisahkan. 

Menangis tidak salah kerana tangisan lahir atas dasar kasih dan sayang. Nabi Muhammad SAW juga menangis ketika kematian anaknya dan ini diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid RA katanya : “Kami sedang berada di sisi Rasulullah SAW ketika salah seorang dari puteri Baginda menyuruh seseorang untuk memanggil Baginda dan memberitahu bahawa anak lelaki puteri Baginda itu berada dalam keadaan nazak.
Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada orang suruhan tersebut: Kembalilah kepadanya dan katakan bahawa yang diambil oleh Allah adalah milik-Nya dan apa yang diberi oleh Allah juga milik-Nya. Segala sesuatu di sisi-Nya akan berakhir, mintalah supaya beliau bersabar dan berserah kepada Allah.
Orang suruhan itu kemudiannya kembali mengadap Rasulullah SAW dan berkata: Dia berjanji akan menunaikan pesanan itu.
Kemudian Nabi SAW berdiri diikuti oleh Saad bin Ubadah dan Muaz bin Jabal RA. Lalu diangkatkan kepada Rasulullah SAW dan diserahkan anak (dari puteri Baginda) yang nafasnya masih tersekat-sekat, seolah-olah dia berada di dalam satu qirbah (bekas air) yang lusuh. Kedua-dua mata Rasulullah SAW mulai berlinangan.
Saad bertanya: Apa ertinya ini wahai Rasulullah?
Rasulullah SAW lalu bersabda: lni adalah rahmat (belas-kasihan) yang diletakkan oleh Allah di hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hamba-Nya yang mempunyai rasa belas-kasihan.” (Riwayat Muslim)

Jangan menyesal dengan apa yang berlaku. Semua ketentuan Allah pasti akan terjadi. Kita tidak ada pilihan melainkan menerima dengan reda dan hanya dengan cara itulah kita akan beroleh ketenangan jiwa, Insya-Allah.

Wallahu'alam.






Sunday 31 August 2014

Malaysia Kita - Selamat Hari Merdeka

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google



Assalamualaikum.

'Di sini lahirnya sebuah cinta.' Tema hanya akan kekal menjadi tema jika tidak dimaknakan dengan sepenuh jiwa. Cinta harus disertakan dengan rasa tanggungjawab sebagai warganegara.

Cinta boleh hilang tetap tanggungjawab akan terus dipikul selagi hayat.

2014 tahun cukup getir buat Malaysia. Tragedi besar yang bertimpa-timpa sangat menduga. Malaysia memerlukan dokongan kita semua.

Kita melihat rakyat berbilang kaum menunjukkan solidariti terhadap apa yang berlaku. Alhamdulillah, kita masih cakna dan rasa kebersamaan itu masih lagi tebal. 

Barangkali ada ssuatu yang kita terlepas pandang. Marilah kita sama-sama bermuhasabah atas apa yang telah terjadi. Boleh jadi ini suatu peringatan dan amaran daripada Tuhan. Allah SWT telah berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 30 yang bermaksud :

"Telah nampak fasad (kerosakan) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."


Masih belum terlambat untuk kita betulkan kesilapan. Kita takut dan juga bimbang kalau-kalau peringatan demi peringatan ini kita abaikan, kelak Allah turunkan 'amaran' yang lebih besar dan keras.

Ya Allah, ampunilah segala dosa dan kesalahan kami.  Tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan yang Engkau redai. Ya Allah tolonglah kami, bantulah kami untuk taat kepadaMu. Peliharalah kami daripada segala bala dan bencana. Kasihanilah kami. Pandanglah kami dengan pandangan rahmatMu. Kekalkanlah nikmat kemerdekaan ini selama-lamanya. Amin.

Ayuh, kita bantu tanah air ini. Malaysia benar-benar perlukan kita. Cintai dengan sepenuh hati. 

Siapa lagi kalau bukan kita?

Negara ini negara kita.

Tanah tumpah darah kita.

Sunday 17 August 2014

Rahsia Ketenangan

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Bismillah.


Ketenangan itu rezeki.

Ketenangan duduknya di dalam hati dan tidak boleh dibeli.

Ramai orang fikir ada duit hati tenang. Silap. Tidak semua orang kaya itu tenang. Bahkan ada orang miskin lebih tenang hidupnya berbanding orang kaya.

Orang tenang sentiasa menang.

Antara RAHSIA ketenangan adalah dengan solat dhuha. Allah campakkan ketenangan usai kita solat dhuha. 

Mahu tahu bagaimana rasanya? Buat saja dan rasailah kekuatan dan kehebatan solat dhuha.

Wallahu'alam.

Thursday 10 July 2014

Tambah Ilmu Melalui Kelas Online ABDR

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori
 
Bismillah.
Syukur kepada Allah melihat teman saya ini mengorak langkah dalam ABDR. Terharu dan sebak kerana saya ditakdirkan oleh Allah menjadi orang tengah antara Puan Noor Azila dan ABDR.

Bahagia apabila dapat membantu suri rumah menambah ilmu . Alhamdulillah. Semoga terus sukses.
 
Sumber :  http://noorazilamohamad.blogspot.com/2014/07/ulasan-tentang-blog-asas-dan-fanpage.html
 
Alhamdulillah, akhirnya hampir selesai segala tugasan yang diberikan. Sebulan yang lalu, diperkenalkan oleh Nor Adilah kepada tenaga  pengajar ABDR, Cikgu Anysidayu Zakaria. Sebelum mengenali ABDR, saya sering mengikuti beberapa kursus untuk mula berjinak-jinak dengan bisnes. Yelah, sebelum bertindak kita kenalah persiapkan diri dengan ilmu yang perlu. Kalau tidak, umpama, terjun ke laut tanpa ilmu renang. Saya mula mengikuti kursus Dr. Azizan sewaktu mengandungkan anak pertama. Di situ saya mula membuka mata, seseorang pelajar yang mempunyai kelulusan, dengan gaji RM5k adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan seorang usahawan. Tetapi sebelum bergelar usahawan, pastikan kita memantapkan diri dengan ilmu-ilmu yang dapat membantu kita mengharungi segala cabaran dan dugaan sebelum bergelar usahawan.
 
Faktor yang menyukarkan saya untuk mengikuti beberapa kursus ialah masa dan anak-anak. Jika saya mengikuti kursus, suami perlu bercuti atau menghantar saya. Malah anak-anak pula, tidak pernah berjauhan walaupun hanya sehari. Pernah satu ketika, sewaktu anak pertama berusia 8 bulan, saya dan suami bawa bersama mengikuti kursus pemasaran di Kuala Lumpur. Nasib baik mereka membenarkan, tetapi hanya separuh hari saya mengikutinya, anak dah mula menunjukkan rasa tidak selesa, saya hanya membiarkan suami mengikutinya sehingga tamat.
 
Namun, setelah diperkenalkan dengan ABDR, saya rasa sangat bersyukur , saya dapat menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan mampu menaikkan semangat saya untuk bergelar usahawan. Kelas asas blog dan fanpage ini cukup mudah. Saya tidak perlu lagi menyusahkan suami untuk menghantar, tidak perlu lagi risau tentang anak-anak, semuanya hanya secara 'online'. Masa untuk belajar pun, tidak membebankan, bila-bila ada masa terluang saya akan berhubung dengan cikgu anys. Ada kalanya, saya akan luangkan masa untuk belajar, tengah malam, selepas anak-anak tidur, kadang-kadang awal pagi.Namun cikgu anys, sentiasa ada untuk membantu dan cukup memahami. Seperti kata pepatah "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".  Terima kasih juga kepada pengasas ABDR, Puan Masayu Ahmad, kerana cukup memahami keperluan suri.
 
Sebelum ini, saya mengenali 'bisnes online' hanya menggunakan fb. Setelah mempelajari di ABDR, saya rasa ia lebih mudah, apatah lagi jika kita dapat gabungkan kemahiran pemasaran blog dan fb. Dengan blog, kita lebih mudah untuk menghuraikan mengenai sesuatu produk, lebih mudah untuk mempamerkan produk dan service yang kita ada, dan lebih meyakinkan. Alhamdulillah, saya semakin jelas dengan halatuju untuk bergelar usahawan. In shaa Allah...

Wednesday 9 July 2014

Gaza Bermandi Darah

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Tatkala dunia asyik bercerita tentang Piala Dunia, lupakah kita kepada saudara kita di Gaza? Gaza dibedil lagi. Saudara kita di Gaza mempertahankan bumi suci umat Islam bukan hanya dengan darah dan air mata tetapi juga dengan nyawa.

Senarai nama mereka yang syahid












Photo: ‎مجزرة في خانيونس... عدد من الشهداء والمفقودين بينهم أطفال.

صور وتفاصيل أوفى:
http://www.qudsn.ps/article/44708‎
Kanak-kanak turut menjadi mangsa


Mengikut laporan Kementerian Kesihatan Gaza, setakat pagi tadi 24 rakyat Palestin telah syahid dan 200 orang lagi cedera akibat serangan tentera Zionis Israel. Mereka yang syahid ini telah dipilih oleh Allah untuk bersahur di dunia dan berbuka puasa di syurga. Beruntungnya mereka menjadi insan pilihan di sisi Allah.

Bagaimana pula dengan kita? Apakah kita masih dengan sikap nafsi-nafsi? Masih lagi menghitung juadah berbuka sedang mereka meratapi kematian insan tercinta. Sedang kita diulit sentosa, kirimkanlah doa buat mereka.

Kita mengejar ganjaran di bulan yang mulia usah kita lupa pada saudara kita di Gaza. Cubit paha kanan, paha kiri pasti terasa. Doalah tanda kita cakna. Berdoalah atas dasar cinta. Doa, senjata yang kita ada. Berdoalah kerana doa itu percuma.

Wallahu'alam.



Nota : 
Sumber dari facebook Aman Palestin melaporkan bahawa penentangan hebat dilakukan oleh mujahidin di Gaza telah membunuh 7 org askar zionis dan seorang telah ditawan.

Komando Amfibia Palestin telah sampai ke Israel melalui jalan laut buat kali pertama dan menculik askar Israel.

Roket-roket Al Qassam telah berjaya sampai di Tel Aviv Israel dan menyebabkan bandar utama Israel tersebut lengang dan penduduk Israel bertempiaran menyembunyikan diri. Media Zionis melaporkan 5 juta rakyat Israel kini tinggal di dalam bunkers perlindungan.

Teruskan berdoa utk kemenangan umat Islam..

Untuk sumbangan ke Tabung Kecemasan Gaza 2014
Aman Palestin Bhd
MBB 562263010787
BIMB 12029010047880
CIMB 8600460353
RHB 21245760004907
BMMB 12070005133717

Tarikh: 9 Julai 2014, 12tghri



Saturday 28 June 2014

Tip Memasak Di Bulan Ramadan

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google

Assalamualaikum.

Ramadan bukan tentang soal makan semata-mata tetapi tidak boleh dinafikan bahawa makanan adalah sebahagian daripada komponen puasa. Kita disuruh berpuasa dan kita juga disuruh untuk berbuka. Malah, kita juga disunatkan untuk bersahur.

Yang salahnya apabila juadah menjadi keutamaan kita melebihi segalanya. Seolah-olah Ramadan adalah pesta juadah bukan lagi pesta ibadah.


Salah satu sebab saya ingin berkongsi tip memasak adalah supaya kita dapat merancang masa untuk memasak supaya dapat menghidangkan juadah untuk seisi keluarga meskipun dalam waktu yang pendek terutamanya pada hari-hari kerja. 

Jadi, waktu-waktu mustajab untuk berdoa contohnya sebelum masuk waktu berbuka dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak dibiarkan berlalu begitu saja kerana terlalu sibuk di dapur. 

Semua tip ini saya peroleh hasil daripada rakan-rakan di Facebook dan  blogger.

Antara yang menarik perhatian saya adalah entri Tip Dapur Di Bulan Ramadan oleh blogger masakan yang tidak asing lagi iaitu Che Mat Gebu. Tip-tip yang diberikan sangat membantu menyenangkan kerja-kerja di dapur. Sememangnya tulisan Che Mat di blog www.tiffinbiru.com tidak asing lagi bagi mereka yang meminati bidang masakan termasuklah saya yang merupakan pembaca senyap blog beliau.

Setiap orang mempunyai cara tersendiri bagi memastikan bahawa juadah yang dihidangkan adalah hasil air tangan ibu walau sesibuk mana pun para isteri dan ibu-ibu ini bekerja. Apa yang dapat saya simpulkan, kebanyakan mereka menyediakan bahan-bahan asas untuk memasak lebih awal dan dalam kuantiti yang banyak.

1. Cili kering - rebus dan mesin cili kering bersama air, kemudian campurkan minyak sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

2. Bawang putih/bawang merah/bawang besar - kisar bawang-bawang tersebut secara berasingan (dengan air). Selepas itu letakkan minyak dan garam ke dalam bawang yang telah dikisar. Simpan dalam bekas yang bertutup sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.

3. Kupas bawang-bawang yang diperlukan (bawang putih/merah/besar) siap-siap. Simpan dalam peti sejuk. Bawang ini hanya perlu dihiris jika ingin digunakan dalam masakan. (Tidak perlu kupas banyak-banyak).

Ada juga yang sahabat saya yang lebih suka memasak makanan lebih awal. Ini contoh perkongsian oleh sahabat saya di Facebook.




Cukuplah sekadar itu. Letak banyak-banyak nanti makin pening dibuatnya. Hehe. Kurangkan juadah, tingkatkan ibadah.

Wallahu'alam.




Jadual Waktu Solat, Berbuka Puasa dan Imsak 2014

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Jadual waktu solat, berbuka puasa dan imsak mengikut zon bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Putrajaya serta Sabah dan Sarawak bagi tahun 2014 bersamaan 1435 hijrah. Jadual ini telah disediakan oleh pihak JAKIM untuk kemudahan umat Islam dan boleh dimuat turun menerusi link yang diberikan di bawah :

1. Johor

2. Kedah

3. Kelantan 


4. Kuala Lumpur

5. Labuan

6. Melaka

7. Negeri Sembilan

8. Pahang

9. Perak

10.
Perlis

11. Pulau Pinang

12. Putrajaya

13. Sabah

14. Sarawak

15. Selangor

16. Terengganu





Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015