Showing posts with label Masakan. Show all posts
Showing posts with label Masakan. Show all posts

Saturday 28 June 2014

Tip Memasak Di Bulan Ramadan

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google

Assalamualaikum.

Ramadan bukan tentang soal makan semata-mata tetapi tidak boleh dinafikan bahawa makanan adalah sebahagian daripada komponen puasa. Kita disuruh berpuasa dan kita juga disuruh untuk berbuka. Malah, kita juga disunatkan untuk bersahur.

Yang salahnya apabila juadah menjadi keutamaan kita melebihi segalanya. Seolah-olah Ramadan adalah pesta juadah bukan lagi pesta ibadah.


Salah satu sebab saya ingin berkongsi tip memasak adalah supaya kita dapat merancang masa untuk memasak supaya dapat menghidangkan juadah untuk seisi keluarga meskipun dalam waktu yang pendek terutamanya pada hari-hari kerja. 

Jadi, waktu-waktu mustajab untuk berdoa contohnya sebelum masuk waktu berbuka dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak dibiarkan berlalu begitu saja kerana terlalu sibuk di dapur. 

Semua tip ini saya peroleh hasil daripada rakan-rakan di Facebook dan  blogger.

Antara yang menarik perhatian saya adalah entri Tip Dapur Di Bulan Ramadan oleh blogger masakan yang tidak asing lagi iaitu Che Mat Gebu. Tip-tip yang diberikan sangat membantu menyenangkan kerja-kerja di dapur. Sememangnya tulisan Che Mat di blog www.tiffinbiru.com tidak asing lagi bagi mereka yang meminati bidang masakan termasuklah saya yang merupakan pembaca senyap blog beliau.

Setiap orang mempunyai cara tersendiri bagi memastikan bahawa juadah yang dihidangkan adalah hasil air tangan ibu walau sesibuk mana pun para isteri dan ibu-ibu ini bekerja. Apa yang dapat saya simpulkan, kebanyakan mereka menyediakan bahan-bahan asas untuk memasak lebih awal dan dalam kuantiti yang banyak.

1. Cili kering - rebus dan mesin cili kering bersama air, kemudian campurkan minyak sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

2. Bawang putih/bawang merah/bawang besar - kisar bawang-bawang tersebut secara berasingan (dengan air). Selepas itu letakkan minyak dan garam ke dalam bawang yang telah dikisar. Simpan dalam bekas yang bertutup sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.

3. Kupas bawang-bawang yang diperlukan (bawang putih/merah/besar) siap-siap. Simpan dalam peti sejuk. Bawang ini hanya perlu dihiris jika ingin digunakan dalam masakan. (Tidak perlu kupas banyak-banyak).

Ada juga yang sahabat saya yang lebih suka memasak makanan lebih awal. Ini contoh perkongsian oleh sahabat saya di Facebook.




Cukuplah sekadar itu. Letak banyak-banyak nanti makin pening dibuatnya. Hehe. Kurangkan juadah, tingkatkan ibadah.

Wallahu'alam.




Wednesday 23 April 2014

Panduan Masak Sambal Tumis Sedap

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Perkongsian ini saya peroleh dari wall ayahanda Mamak Haji, hasil perbincangan beliau bersama rakan-rakannya di facebook. Saya telah meminta izin daripada beliau untuk memanjangkan catatan ini supaya dapat dijadikan bahan rujukan.

Segalanya bermula apabila seorang sahabat Mamak Haji ingin memulakan bisnes meminta pendapatnya tentang cara memasak sambal tumis yang sedap. Menurut Mamak Haji, sambal tumis yang terbaik adalah sambal yang tahan lama dan tidak mudah basi.

Sambal yang sedap tidak hanya bergantung kepada resepi, tetapi juga melibatkan proses penyediaan cili sehinggalah kepada teknik menumis.

1. Pemilihan cili kering.
Pilihlah cili kering yang berkerinting berbanding cili kering yang berkilat. Ini kerana cili yang berkerinting kurang pedas dan memiliki rasa yang lebih enak.

2. Buang biji cili kering.
Kaedah pertama: Kalau boleh buang dulu biji cili dengan menggunting cili itu secara menyerong 45 darjah. Biji cili yang banyak akan menyebabkan rasa yang kurang enak.

3. Rebus cili kering.
Basuh dan buang biji cili tersebut. Kemudian rebus supaya cili kembang dan lembut.

4. Kisar cili kering (dengan blender)
Air yang digunakan untuk merebus cili jangan dibuang. Sebaliknya gunakan air rebusan tadi untuk mengisar cili kering yang telah direbus. Masukkan sedikit minyak ke dalam blender supaya blender tidak hangus. Jika cili kering yang ingin dikisar itu banyak, masukkan lebih minyak ke dalam blender. Minyak juga berfungsi untuk mengelakkan daripada cili cepat basi.

5. Bahan lain (blend)
Ada macam-macam versi. Ada yang suka kisar cili kering bersama dengan bawang besar atau bawang merah, bawang putih dan belacan. Kalau saya sendiri, saya tidak suka menggunakan bawang putih dan belacan untuk masak sambal.
Selain menggunakan bawang dan belacan, bahan lain yang boleh dikisar dengan cili kering ialah ikan bilis, udang kering atau pun buah keras (rasa lemak).

* Biasanya peniaga nasi lemak menggunakan belacan yang lebih murah harganya dan serdak ikan bilis untuk menjimatkan kos.
* Ikan bilis yang dikisar bersama cili berfungsi sebagai stok.
* Ada yang suka blend semua bahan serentak, ada juga yang suka blend cili dan bawang berasingan.
* Guna bawang dalam kuantiti yang banyak (bawang memberikan rasa manis kepada sambal).

6. Sukatan air (untuk blend)
Bubuh cili dan bawang sehingga hampir penuh blender. Masukkan air kira-kira 1/3 blender. Kalau masa blend ada bunyi tersekat-sekat maknanya air tidak cukup. Cuma pastikan cili kisar tidak terlalu cair kerana air yang banyak melambatkan proses memasak sambal).

7. Cara masak (tumis)
Di bawah ini pelbagai cara yang dikongsikan oleh rakan-rakan facebook beliau:

✔ Blend bawang asing dengan cili. Sebiji bawang besar, 2 biji bawang putih, sedikit belacan, secubit ikan bilis dikisar. Kemudian, tumis sampai masak elok dengan minyak secukupnya.


✔ Segenggam cili kering yang telah dikisar dimasukkan ke dalam tumisan bawang. Masak perlahan-lahan sekurang-kurangnya selama 30 minit. Selepas itu, masukkan sebiji bawang yang dihiris, air asam jawa, garam dan gula.

✔ Cili kering yang telah direbus sehingga betul-betul kembang dikisar bersama bawang yang agak banyak. Jika suka, tambahkan ikan bilis semasa blend cili dan bawang. Tumis dengan minyak yang banyak dan api yang kecil. Bila cili sudah betul-betul garing dan pecah minyak, masukkan air asam jawa, gula dan garam. Biar lagi, merenih lama sikit. Bila agak-agak sudah pekat, baru masukkan ikan bilis yang telah digoreng. Jaga api supaya tidak hangit. Sambal ini tahan 4-5 hari di luar tanpa perlu dihangatkan.

✔ Tumis bawang hingga naik bau dan air bawang berkurangan. Lepas itu baru campurkan cili dan sambung menumis (Menumis akan memakan masa yang lama).

✔ Semasa menumis cili, gunakan api paling kecil sampai cili betul-betul masak dan naik minyak. Minyak kena banyak barulah cili betul-betul masak dan tidak hangus. Sambal yang sedap menggunakan bawang basar yang banyak (kisar sekali dengan cili dan ikan bilis). Bubuh air asam jawa, garam dan gula secukupnya. Masukkan ikan bilis yang telah digoreng (kalau ikan bilis goreng sudah masin, kurangkan garam dalam sambal)

✔ Kisar bawang besar dengan sedikit air kerana bawang sudah mengandungi air yang banyak. Kemudian tapiskan. Air bawang digunakan untuk kisar cili kering, minyak dan ikan bilis. Jadi, apabila memasak cili nanti tidak perlu menunggu lama untuk keringkan airnya.

Bila sudah siap ksar, masukkan ke dalam periuk. Agak-agak telah kering airnya, baru masukkan minyak yang banyak. Terus masak dengan api yang kecil dan kacau selalu.

Sukatan yang biasa digunakan ialah 1 mangkuk cili kering rebus, 2 mangkuk bawang besar siap dihiris dan 2-3 genggam ikan bilis untuk dikisar.

✔ Sambal yang dimasak dengan betul akan berwarna merah berkilat. Kawal api supaya tidak hangus dan garing seperti yang dikehendaki. Kacau cili kisar hingga sampai pecah minyak.

✔ Masukkan pes tomyam untuk rasa yang lebih enak.

✔ Ada lagi satu cara buat sambal tumis tahan lama. Basuh cili kering jgn dipotong biar sebiji2. Toskan. Panaskan 1 cawan minyak goreng cili tadi dengan api kuat sehingga nampak nak garing tapi jangan hangus. Lepas itu kisar guna air. Baki minyak guna semula kalau tidak cukup tambah lagi. Ketika ini tumis sudah tidak lama sebab cili telah masak tadi. Kurangkan masa masak sambal untuk garingkan cili.

 Untuk mengelakkan minyak merecik di dapur, tutup periuk itu. Masa hendak kacau, matikan api dapur, tunggu sampai sambal sudah tidak lagi meletup. Kacau, tutup periuk dan hidupkan api. Ini dapat mengelakkan terkena tangan dan dapur kotor. Bila air telah kering, tidak perlu tutup periuk lagi.

 Gunakan api kecil masa memasak. Tutp dengan periuk kukus supaya minyak tidak terpercik. Bubuh garam, gula dan asam keping agar lebih tahan lama.

 Letak cili yang sudah dibuang biji. Rebus. Kisar cili kering, bawang besar, bawang kecil, bawang putih, belacan dan buah keras. Tumis sampai pecah minyak. Tambahkan air, asam jawa, gula, garam, sedikit bawang yang dihiris dan ikan bilis yang telah digoreng. Sambal tumis yang dibubuh buah keras akan menjadi lebih sedap dan berlemak.

 Selain menggunakan asam keping atau air asam jawa, boleh gantikan dengan cuka. Secukup rasa.

✔ Untuk mendapatkan warna yang lebih gelap, masukkan gula merah menggantikan gula.






Monday 21 April 2014

Macam Mana Nak Kupas Bawang Putih Dalam 10 Saat?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Video: Youtube

Assalamualaikum.

Setakat sebiji dua bawang putih yang perlu dikupas kulitnya, memang tidak jadi masalah. Sekejap saja boleh siap. Macam mana pula kalau terpaksa kupas bawang putih dalam kuantiti yang banyak? Boleh, nak kupas satu persatu. Tetapi ada cara yang lebih pantas dan menjimat masa.

Selamat menonton. Moga bermanfaat pada masa akan datang.





Thursday 17 April 2014

Ikan Goreng Tak Habis?

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Assalamualaikum.


Pagi-pagi, angkat tudung saji dan kita tengok ada ikan goreng yang tidak habis dimakan. Kalau buang, membazir. Sayang sebab benda boleh makan lagi. Selain bagi kucing makan (dapat pahala), kita boleh kitar semula ikan goreng yang masih berbaki.

Antaranya, boleh dijadikan rencah nasi goreng. Caranya, buang tulang ikan dan ambil isinya saja. Tumbuk bawang merah, bawang putih, cili padi, cili hidup dan belacan. Kemudian, tumis bahan tumbuk ini bersama isi ikan goreng. 

Bila bahan-bahan ini sudah pun garing, masukkan nasi. Kacau rata. Perasakan dengan garam. Jika suka boleh pecahkan telur dan gaul rata telur dengan nasi. Akhir sekali, masukkan sayur. Siap satu hidangan untuk sarapan.

Di samping itu, isi ikan goreng boleh digunakan untuk membuat begedil. Caranya sama seperti kita membuat begedil daging atau ayam.

Malah, lebihan ikan goreng boleh diolah menjadi menu utama untuk dimakan bersama nasi. Antara yang boleh dimasak adalah ikan goreng masak sambal, ikan goreng masak kicap mahu pun ikan masak cuka.

Jimat masa, tenaga dan wang pastinya. =)







Friday 11 April 2014

Sup Kentang

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google



Saya nak kongsi masakan berasaskan kentang yang paling ringkas iaitu sup kentang. Makan pula dengan nasi yang panas dan ikan masin atau ikan goreng, memang sedap.

SUP KENTANG

Bahan-bahan:
Kentang
Bawang merah atau bawang besar
Ikan bilis atau udang
Suun
Air
Garam

Cara-cara:
Mula-mula kupas ubi kentang dan potong kepada beberapa bahagian. Bentuk potongan terpulang sama ada nak potong memanjang (baji) atau kiub.

Hiris bawang merah atau bawang besar. (Di sini, saya memilih untuk tidak memasukkan bawang putih)

Dalam periuk, masukkan ubi kentang, bawang merah, ikan bilis dan air. Rebus sehingga ubi kentang empuk (lembut).

Sementara menanti ubi kentang empuk, kerat dan rendamkan suun di dalam air biasa.

Bila ubi dah empuk, masukkan suhun ke dalam periuk.

Akhir sekali, masukkan garam dan lada hitam (kalau suka).


Nota: Boleh tambahkan dengan lobak merah, telur, tauhu, leek dan cendawan. 
         



Wednesday 9 April 2014

Resepi Epal Hijau Bakar

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Resepi epal bakar ini khusus untuk orang yang sedang diet. Semua orang kena jaga kesihatan sebenarnya, bukan orang yang nak kurus je kena jaga kesihatan atau nak tunggu sakit baru nak jaga pemakanan. Salah ye konsep tu. 

Memanglah dugaan cukup kuat. Pagi-pagi dengan roti canai, nasi lemak, mi goreng, bihun goreng, mana tahan macam ni! Huhu. Saya bercakap tentang diri saya juga. Haha.

Makanlah sekadarnya. Kalau nak makan, cukuplah makan ala kadar. Sesekali terbabas bolehlah dimaafkan tapi kalau selalu itu dah memang sengaja. 

Bila kita cakap tentang diet, ramai yang beranggapan diet mesti makan makanan yang tak sedap dan membosankan. Contohnya, pagi-pagi makan oat sahaja. Letihlah kalau macam tu.

Kat sini saya nak share resepi epal bakar. Rasanya lebih kurang macam apple pie (pai epal) tapi yang penting, resepi ini menyihatkan. Sangat mudah untuk membuatnya. Saya tak bagi sukatan, jadi agak-agak je la ye.

Resepi ini secara umum saja. Terpulang pada kreativiti kita nak buat buat macam mana. Boleh olah ikut selera masing-masing, nak ganti dengan oat pun tidak ada masalah. Lagi pun kita yang membuatnya. Kan? Selamat mencuba.


EPAL BAKAR

Bahan-bahan:

Epal hijau
Kurma
Kismis
Badam (dicincang)
Serbuk kulit kayu manis

Cara-caranya:
1. Belah epal kepada dua bahagian.
2. Korek dan buang biji di tengahnya.
3. Isikan bahagian tengahnya dengan sedikit kurma, kismis dan badam     cincang serta taburkan kulit kayu manis di atasnya.
4. Tangkupkan kedua-dua belah epal tersebut dan bungkuskan dengan aluminium foil.
5. Bakar di dalam ketuhar.


Sunday 6 April 2014

Rahsia Teh Tarik Mamak


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Bayangkan segelas teh tarik tersedia di depan mata kita.

Lemak, berkrim disukai ramai. Siap dengan buih lagi. Maklumlah teh tarik.

Apa yang menyebabkan teh tarik tu jadi sedap?

Buihnya kah?

Susunya kah?

Atau tukang bancuhnya kah? Haha.

Rahsianya terletak pada garam.

Letak garam dalam teh? Biar betul? Bukan patut letak gula ke?

Ya, garam adalah rahsianya. Ini betul-betul ye, bukan cubaan.

Nak mudah, masukkan secubit garam dalam air teh yang kita bancuh.

Tapi kalau kat kedai mamak biasanya sudu yang digunakan untuk bancuh teh akan dicelup dalam bekas berisi air garam. Jadi apabila sudu ini digunakan untuk membancuh teh, sisa-sisa air garam yang terlekat pada sudu akan bercampur dengan air teh.

Rasa garam itulah yang menaikkan rasa lemak teh yang dibancuh. Rasa lemak dah sedia ada bila kita guna susu, cumanya rasanya akan lebih menyerlah apabila ditambah dengan garam.

Macam tu juga dalam apa jua jenis masakan yang kita masak. Kebanyakan masakan yang menggunakan susu atau santan (ada elemen lemak) di dalamnya memerlukan tambahan sedikit garam untuk menyedapkan lagi masakan tersebut. 

Boleh cuba bubuh garam dalam masakan seperti dadih dan bubur. Jangan letak banyak sangat. Sikit saja dah cukup. Rasa manis dan lemak akan saling melengkapi. Cubalah.





Monday 17 March 2014

Petua Lembutkan Cucur



Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Alhamdulillah, dua tiga hari ni hujan dah mula turun, setelah kita melalui keadaan panas yang agak panjang. Kemudian disusuli pula dengan jerebu. Belum lagi dikira jerebu iman kita.

Cuaca yang redup dan sejuk macam ni cepat membuatkan kita berasa lapar. Sedap kalau dapat makan cucur panas-panas bersama secawan teh atau kopi panas.

Bagi sesetengah orang, buat cucur/jemput-jemput ni sangat mudah. Tapi ada juga yang merungut, bila dah sejuk cucur jadi keras. Saya bukanlah pandai sangat memasak dan petua yang saya dapat ini berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya.

Semasa membancuh tepung, masukkan air secukupnya sebelum digaul. Adunan hanya perlu digaul sekali sahaja dan berhenti apabila air dan tepung sudah sebati. Abaikan kalau masih terdapat ketulan tepung di dalam adunan tersebut.

Apa kesannya kalau kita kacau berlebihan? Hasilnya nanti, cucur akan menjadi keras dan liat. Ini kerana gluten akan terhasil apabila kita menggaul tepung secara berlebihan. Gluten adalah jaringan serat yang terbentuk apabila air dan tepung diuli (seperti dalam pembuatan roti). Sudah tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku.

Oleh itu, tepung perlu digaul pada kadar yang sangat minimum. Semakin banyak jaringan serat yang akan terhasil apabila semakin banyak kita menggaul. Sudah pasti kita tidak mahu perkara ini berlaku.

Selain itu, ada juga yang memasukkan telur ayam ke dalam bancuhan. Sesetengah  petua menyarankan agar telur dipukul sehingga kembang sebelum dicampurkan ke dalam bancuhan.

Banyak lagi petua-petua lain yang saya temui antaranya penggunaan air panas yang mendidih (menggantikan penggunaan air biasa), yis, baking powder, soda bikarbonat, perahan limau, minyak masak, water roux dan sebagainya.

Pada saya, setiap elemen yang dimasukkan ke dalam masakan mempunyai rasa yang berbeza. Kalau tidak banyak pun perbezaannya, sedikit pasti ada. Setiap orang punya cara tersendiri dalam memasak. Hormati perbezaan itu. Allah jadikan manusia berbeza hatta dalam soal citarasa. 

Cuma satu pesanan saya, janganlah dimasukkan semua elemen serentak. Takut lain pula jadinya. Haha.





Sunday 16 March 2014

5 Cara Memanfaatkan Lebihan Nasi

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Selalunya kita dah boleh agak berapa banyak yang hendak dimasak berdasarkan jumlah ahli keluarga. Tapi, ada masanya berlaku juga lebihan terutamanya nasi, atau diistilahkan sebagai nasi sejuk.

Masakan yang sinonim dengan nasi pastinya adalah nasi goreng. Kalau dibuang nasi sejuk ini membazir pula. Sebutir beras kan ibarat setitik peluh petani. Ingat lagi tak iklan tu? 

Oleh itu, di sini saya kongsikan beberapa masakan yang menggunakan nasi sebagai salah satu ramuannya. 

1. Cucur nasi
Sama seperti cucur-cucur lain yang biasa kita makan. Cumanya, cucur ini ditambah dengan nasi yang telah dikisar (bersama air) dan dicampurkan ke dalam bancuhan tepung. Cucur nasi boleh diolah mengikut kreativiti dan citarasa masing-masing. Sesetengah orang suka letak ikan bilis atau pun udang. 

2. Roti
Bagi yang suka membuat roti, mungkin boleh mencuba roti nasi. Dinamakan roti nasi kerana salah satu bahannya adalah nasi yang dikisar (dengan air) sebelum disatukan dengan bahan-bahan yang lain. Kalau nak tahu, roti nasi ini mirip roti benggali. Sungguh lembut dan gebu. 

3. Apam
Sesetengah orang panggil apam beras. Ada juga panggil apam nasi. Tak kiralah apa jua namanya, apam ini juga menggunakan lebihan nasi yang dikisar bersama air sehingga halus. Apam ni memang mengenyangkan dan tak muak. Kalau nak lagi sedap, makan dengan kelapa parut (yang digaul dengan sedikit garam). 

4. Lempeng
Satu lagi pilihan yang kita ada ialah buat lempeng. Lempeng nasi ini lebih kurang macam lempeng kelapa. Sedap dimakan dengan kuah kari atau sambal tumis. Bagi yang suka manis, lempeng yang lembut ini boleh juga dicicah dengan gula atau susu pekat. Nak makan macam tu saja pun boleh. 

5. Bubur
Dengan menggunakan lebihan nasi, masa memasak dapat disingkatkan. Nasi telah tersedia, cuma perlu kisarkan bersama air. Seterusnya, teruskan proses memasak bubur seperti biasa. Cuma masa kisar tu, saya lebih suka jika nasi tak terlalu hancur. Jadi ada sedikit tekstur pada bubur nasi tersebut. Apa pun, terpulang kepada selera masing-masing.

Sekadar makluman, jika menggunakan apa jua resepi yang salah satu ramuannya adalah nasi, pastikan bahawa kandungan nasi tidak lebih daripada jumlah tepung yang dimasukkan. Ini untuk mengelakkan lempeng atau cucur menjadi lembik dan melekat di kuali.

Selain itu, jangan masukkan air terlalu banyak ke dalam blender. Cukup setakat blender boleh kisarkan nasi tanpa sebarang masalah. Sesuaikan jumlah tepung dengan air. Kadang-kadang kita tak perlu tambah air lagi kerana bancuhan tepung dah cukup elok.

Perlu diingatkan juga, untuk membuat lempeng nasi, bancuhan tepung tidak boleh cair seperti membuat lempeng biasa. Kena lebih pekat dan elakkan penggunaan nasi yang berlebihan kerana ini boleh mengakibatkan lempeng ini melekit, melekat dan lembik.


Saturday 15 March 2014

3 Kegunaan Air Beras

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Sebelum memasak nasi, kita akan membasuh beras sekurang-kurangnya tiga kali. Ini bermakna setiap kali basuhan, air tersebut akan dibuang. Sayang rasanya kalau air beras dibuang begitu saja, sedangkan boleh dimanfaatkan dalam beberapa perkara.

1. Siram pokok
Air beras boleh digunakan untuk menyiram pokok. Selalunya pokok yang kerap disiram akan tumbuh lebih subur. Baru-baru ini, saya guna air beras untuk menyiram pokok limau kasturi dan hasilnya alhamdulillah. Pokok nampak lebih 'segar' dan berbuat lebat berbanding sebelumnya. 

2. Cuci muka
Selain itu air beras juga boleh digunakan untuk tujuan kecantikan. Air ini boleh digunakan sebagai pencuci muka. Biarkan air tersebut kering di wajah. Selepas dibilas dengan air biasa, kulit akan terasa lebih bersih dan segar. Tanpa sebarang kandungan bahan kimia. Pastinya selamat dan semulajadi. Insya-Allah.

3. Kuah tomyam
Bagi kebayakan tukang masak yang berasal dari Thailand, penggunaan air beras dalam masakan khususnya tomyam, bukanlah sesuatu yang pelik dan aneh. Selain menjimatkan, air beras mempunyai rasa lemaknya yang tersendiri. 

Selamat mencuba.

Monday 13 January 2014

Tip di Dapur: Papan Pencanai

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Tidak cukup peralatan bukan halangan untuk kita mencuba sesuatu masakan. Hanya memerlukan sedikit kreativiti mengguna pakai barangan yang sedia ada di dalam rumah.

Selalunya dulang atau talam kita gunakan untuk mengangkat makanan. Selain daripada itu, dulang atau pun juga disebut sebagai talam boleh digunakan sebagai papan pencanai. Basuh bersih-bersih dulang (yang tidak bertangkai) tersebut dan lap sehingga kering permukaan atas dan bawahnya. Kemudian, terbalikkan dulang itu dan gunakan bahagian bawahnya untuk mencanai.




Wednesday 2 October 2013

Tomyam

Teks     : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google






“Tomyam ni lain kan?” Saya bertanya.

“Kenapa?” Dia tanya balik.

“Ye la, yang selalu kita beli tu cair. Yang ni pekat sikit. Rasa macam berlemak. Mesti letak santan tak pun susu cair.” Saya mula mengomen.

“Ntah…tak tahu.”

“Lor, tu ja?” Nampak sangat dia malas nak layan.

Lama baru dia balas.

“Masa Kak Biey kerja dengan kakak sulong kat kedai makan dia dulu, pernah tanya tukang masak dia. Ada banyak cara sebenarnya. Selalunya dia kata letak air kelapa la, sebab air kelapa ni ada rasa lemak manis sikit. Rasanya lebih ‘ringan’ kalau nak banding dengan santan.”

“Ooo... Patut pun.”

Kami sambung makan.

“Tapi kan Dila, kalau letak air kelapa banyak-banyak. Mesti harga pun mahal. Tak dapat la dia nak jual murah macam ni.”

“So?” Suspen pulak bunyinya. Saya menanti patah perkataan seterusnya.

“Boleh jugak ganti dengan air beras.”

“Air beras? Macam mana pulak tu?” Lurus saya bertanya.

“Air yang kita basuh beras tu. Jangan buang, simpan. Campur sekali dalam kuah tomyam. Tukang masak tu la cakap.”

Kemudian dia menambah.

“Air basuhan beras yang mula-mula sekali tu memang pekat.Yang kedua dan ketiga tu dah kurang sikit.”

Gulp!

Saya renung wajah di hadapan saya itu. 

"Dila! Sedap kan? Lemak berkrim disukai ramai." Katanya selamba sambil mengenyitkan mata.

“Kak Biey!!!”

Saya tengok dia dah terkekeh-kekeh ketawa.




Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015