Tuesday 30 September 2014

Bukan Doa Yang Tidak Makbul

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google


Seluruh kampung semacam tak percaya. Tapi, itulah hakikatnya. Rogayah, yang sepatutnya menunaikan haji terpaksa membatalkan hasratnya kerana masalah visa. Sedihnya kerana dia hanya dimaklumkan pada saat-saat akhir sebelum dia bertolak ke lapangan terbang.


Wajah ceria bakal tetamu Allah itu tiba-tiba berubah menjadi mendung. Panggilan telefon yang diterima bagaikan membawa satu khabar duka buatnya. Semua tetamu yang hadir untuk mengiringi pemergiannya ke tanah suci menanti dengan penuh debar.

Wanita itu diam, berfikir barangkali.

"Assalamualaikum, Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir pada pagi ini. Saya juga ingin memaklumkan kepada semua yang saya tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini kerana masalah yang tidak dapat dielakkan," ujarnya.

Jiran tetangga dan saudara-mara yang ada di situ terkesima sebentar. Dia sedang kecewa kerana dengan perkhabaran yang baru diterima usai azan dilaungkan oleh anaknya.


"Doa saya tidak makbul."

Dia akur. Wajahnya kembali menunduk.


Cerita Rogayah terpaksa menangguhkan hasrat menunaikan haji tahun lepas lenyap begitu saya. Mereka yang mengetahui kisah sebenar pastinya kagum dengan perancangan yang Allah susun dalam hidupnya selepas setahun berlalu. 

Beberapa bulan selepas itu, Allah takdirkan dia bertemu jodoh dengan seorang pesara guru. Seorang lelaki yang cukup budiman dan berhemah tinggi mengisi kekosongan hidupnya yang telah kematian suami beberapa tahun yang lalu.

Terkini, Rogayah dan suami sedang berada di kota suci Mekah menghitung hari untuk berangkat ke Arafah. Walaupun nampak pada awalnya kejadian yang menimpa Rogayah sesuatu yang tidak patut terjadi. 

Sedih, kecewa, marah dan malu terbuku dalam dada. Malah, sikap sambil lewa pihak agensi haji swasta terbabit memang sangat mengecewakan yang sepatutnya memberitahu bakal jemaah lebih awal tentang apa yang berlaku.

Allah hantarkan teman, pendamping hidup. Tidak dibiarkan dia pergi berseorangan. Tidak sekadar itu, tahun ini ialah haji akbar. Kalau pun tidak wujud istilah haji akbar, ia tetap istimewa kerana wukuf jatuh pada hari Jumaat penghulu segala hari. Allahuakbar.


Bukan doanya tidak makbul tetapi Allah makbulkan dengan caraNya. Pastinya cara dan perancangan Allah adalah yang terbaik.

Ingatlah, Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah:216)



Thursday 25 September 2014

Peluang Kedua

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar  : Google (Darul Murtaza & Zon Kuliah)


Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam. Perasan atau tidak, bulan Zulhijjah adalah peluang kedua yang Allah berikan kepada kita selepas bulan Ramadan.

Sepuluh hari awal pada bulan Zulhijjah adalah hari yang cukup istimewa. Allah berikan ganjaran yang sangat besar kepada sesiapa yang beramal soleh pada sepuluh hari ini.



Solat malam (qiamullail), baca Al-Quran, sedekah, berzikir, tolong orang dan apa jua bentuk amalan baik yang kita buat semuanya Allah berikan pahala. Tetapi, ganjaran pahala yang Allah berikan tidak sebesar ganjaran pahala yang Allah janjikan kepada sesiapa yang melakukan amal soleh pada sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah ini.

AMALAN YANG DIGALAKKAN

Beberapa amalan yang digalakkan khasnya untuk dilakukan pada 1 hingga 10 Zulhijjah, perbanyakan:
  • Zikir (tahlil, tahmid, tasbih dan takbir)
  • Puasa (khususnya pada 9 Zulhijjah iaitu Hari Arafah)
    Nabi SAW berkata, Allah ampunkan dosa-dosa setahun sebelum dan               selepas.
   
    Nabi SAW turut bersabda tentang kelebihan hari Arafah: 
“Tiada hari yang       lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah” (Riwayat     Muslim).
  • Korban 
  • Taubat
  • Baca Al-Quran, sedekah, bantu orang lain dan apa saja amal kebaikan.



AMALAN TAMBAHAN (khusus bagi yang melakukan ibadah korban)

Orang yang berniat untuk melakukan ibadah korban, SUNAT (hukumnya) baginya untuk TIDAK memotong kuku, rambut (dan bulu pada badan) bermula dari 1 Zulhijjah sehinggalah selesai ibadah korban dilakukan (binatang korban disembelih).


Oleh itu, ada saja peluang untuk buat baik, maka buatlah.


Wallahu’alam.





Rujukan: Ustaz Shamsuri Haji Ahmad
                Ustaz Harryanto Rizal Rokman
                Ustaz Zahazan Mohamed
              




Mahu berkongsi kisah inspirasi dan motivasi ?

Belajar ilmu asas blog dan penulisan serta bina khalayak pembaca sendiri.

Daftar kelas asas blog dan penulisan ini sekarang! 



Klik sini untuk maklumat lanjut tentang kelas yang ditawarkan ------->>> Kelas Online


Thursday 18 September 2014

Sombongnya Tentera Al-Qassam

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google


Pulang dari bumi Gaza, seorang ustaz berkongsi pengalamannya berada di sana setelah perang berakhir. Suasana tenang namun Hamas sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika Israel kembali menyerang.



Selepas melalui pelbagai halangan dan kesukaran akhirnya dia (ustaz) dibawa bertemu dengan briged Al-Qassam. Kedatangannya disambut oleh para tentera yang berbaris panjang. 

Malangnya, apabila sampai kepada tentera terakhir yang berada di dalam barisan tersebut, huluran salamnya tidak bersambut. Dia kaget.

Sombongnya tentera Al-Qassam ini!

Kemudian, seorang jeneral menghampiri anak buahnya (tentera yang tidak menghulurkan tangan itu). Lantas dipegang tangan anak buahnya lalu dihulurkan kepada ustaz tersebut.

Tergamam ustaz itu. Rupa-rupanya tentera yang disangkanya sombong adalah seorang tentera yang buta kedua-dua belah matanya. Sedang di bahunya kelihatan beberapa jenis senjata sama seperti tentera lain. Langsung tidak ada bezanya.

Bagaikan dapat membaca apa yang tersirat di hati ustaz itu, tentera itu dengan penuh bersemangat berkata bahawa matanya sekarang sedang berada di syurga. Justeru, yang ada di dunia ini cuma jasad semata-mata. Tidak lama lagi tubuh badannya akan bersatu dengan sepasang mata yang kini sedang berehat di dalam syurga.

Allah. Allah.






Thursday 4 September 2014

Kisah Burung Kakaktua dan Ulama

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar  : Google



Ada seorang ulama yang membeli seekor burung kakaktua untuk dipelihara. Beliau kemudiannya melatih burung ini menyebut 'La ilaha illallah'. Setelah beberapa lama, maka burung kakaktua tadi pun, pandai menyebut apa yang diajar oleh tuannya iaitu ulama tersebut.

Maka, burung kakaktua ini selalulah menyebut 'La ilaha illallah'. Tidak lekang dari mulut burung ini melafazkan kalimah ini. 

Lalu, anak murid dan tetamu ulama ini berasa takjub dengan kebolehan burung kakaktua ini berzikir. Ulama itu pun sangat berpuas hati kerana matlamatnya telah tercapai.

Suatu hari, seekor kucing yang telah lama memerhatikan burung kakaktua ini telah bertindak menerkam burung tersebut. Berlakulah pergelutan antara kucing dan burung kakaktua. 

Apabila berlaku pergelutan, burung kakaktua ini tidak lagi mengucapkan kalimah 'La ilaha illallah'. Sebaliknya, yang kedengaran hanyalah bunyi erangan dan tempikan oleh burung ini.

Akhirnya, burung kakaktua ini mati. Ulama yang juga pemilik burung kakaktua ini, rupa-rupanya memerhatikan kejadian yang berlaku di antara kucing dan burung kakaktua dari awal sehinggalah burung kakaktua itu menemui ajalnya.

Lalu ulama ini menangis tidak henti-henti. Anak muridnya datang dan cuba untuk menenangkannya. Malah, mereka berjanji untuk membelikan burung kakaktua yang baru untuknya.


Kata ulama itu, "Aku menangis bukanlah kerana aku kehilangan burung kakaktua itu. Aku mampu membelinya jika aku mahu. Sebenarnya aku menangis kerana mengenangkan keadaan diriku kelak. Adakah di akhir hayatku nanti aku mampu menyebut kalimah 'La ilaha illallah'?"

"Burung kakaktua itu aku latih sekian lama. Setiap hari dan ketika burung itu menyebut kalimah tersebut dengan mudah dan lancar. Malangnya ketika burung ini berdepan dan bergelut dengan kematian langsung tidak kedengaran kalimah tersebut diucapkannya."

"Aku takut aku akan menjadi seperti burung kakaktua itu. Sekarang ini memang senang untuk aku menyebut kalimah 'La ilaha illallah'."

"Adakah aku akan mampu menyebut kalimah ini semudah ini ketika aku sedang nazak dan berdepan dengan sakaratulmaut? Aku bimbang aku tidak boleh menyebutnya seperti mana yang terjadi kepada burung kakaktua milikku."

Sedangkan ada hadis daripada Mu’az Bin Jabal, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang akhir perkataannya ialah ‘La IlahaIllallah’ maka dia akan masuk syurga”. (Riwayat Abu Daud)




Rujukan : Ustaz Dr. Muhammad Lukman Ibrahim, pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Wednesday 3 September 2014

Laluan Takdir

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar  : Google

Semalam, jenazah sembilan lagi mangsa tragedi MH17 dibawa pulang ke tanah air. Hujan renyai-renyai menyambut kepulangan mereka. Begitulah hakikat mati yang memisahkan insan dengan mereka yang dikasihi.



Sejak dari mula, hati ini tertanya-tanya. Beban perasaan yang dipikul oleh ahli keluarga tentunya tidak dapat disukat dengan kata-kata. Pilu.

Anak kehilangan ibu dan bapa.
Ibu bapa kehilangan permata hati mereka.
Isteri kehilangan suami.
Suami kehilangan isteri.

Mereka yang Allah pilih untuk melalui ujian ini adalah insan pilihan. Bukan calang-calang orang yang Allah pilih. Ini ujian berat. Ini ujian yang hebat.

Kita beriman dengan qada dan qadar. Kita percaya bahawa hidup dan mati kita dalam aturan Allah yang Maha Berkuasa. Sesungguhnya, laluan takdir setiap kita telah pun ditetapkan. 

Sebelum ini, pemikiran saya setakat tahu bahawa takdir telah pun tercatat di lauh mahfuz. Habis setakat itu. 

Bagaimana kalau saya yang berada di tempat mereka? Bagaimana melalui hari-hari tanpa insan yang dikasihi? Perpisahan abadi dan pertemuan yang seterusnya hanya di alam yang satu lagi.

Soalan sebegini memakan diri. Tempias kesedihan membuatkan saya tidak keruan. Saya tercari-cari sesuatu yang saya sendiri tidak tahu.

Terbuka mata dan jiwa saya. Jawapan Allah bentangkan di depan mata. Khutbah Jumaat bertajuk hakikat Lauh Mahfuz yang disampaikan pada hari Malaysia Berkabung (secara rasmi) merungkai kekusutan.

Menurut Ibn Atiyah dan Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan kitab di dalam ayat ini ialah Lauh Mahfuz. Daripada Ibnu Mas’ud katanya: 

Bahawa sesungguhnya bila nutfah itu sudah menetap di dalam rahim, malaikat akan mengambil dan meletakkannya di tapak tangannya sambil berkata: 
Tuhanku apakah untuk diciptakan atau tidak diciptakan?
Jika dijawab untuk tidak diciptakan, iapun tidak menjadi manusia, ia akan lebur menjadi darah. 

Sebaliknya jika dijawab diciptakan, malaikat pun berkata: 
Adakah lelaki atau perempuan, sengsara atau bahagia? 
Bagaimana ajalnya, berapa umurnya, apa peninggalannya, apa rezekinya, dan di bumi manakah ia akan mati. 

Allah SWT kemudian berfirman: pergilah ke lauh mahfuz di sana kau akan mendapat nuthfah itu. 
Dikatakan kepada nutfah: Siapakah tuhanmu? Jawabnya Allah.
Ditanya pula: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu. Jawabnya, Allah.

Lalu diciptakan dia menjadi manusia, hidup bersama-sama keluarga dan makan rezeki yang dikurniakan kepadanya. Jika datanglah ajalnya, dia akan meninggal dan dikebumikan di tempat tersebut. (Riwayat al-Hakim)



Laluan takdir ini telah dicatatkan sekian lama. Allah telah menetapkan sedemikian rupa bersama asbabnya jua. Rasa sedih dan pedih tidak mungkin dipisahkan. 

Menangis tidak salah kerana tangisan lahir atas dasar kasih dan sayang. Nabi Muhammad SAW juga menangis ketika kematian anaknya dan ini diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid RA katanya : “Kami sedang berada di sisi Rasulullah SAW ketika salah seorang dari puteri Baginda menyuruh seseorang untuk memanggil Baginda dan memberitahu bahawa anak lelaki puteri Baginda itu berada dalam keadaan nazak.
Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada orang suruhan tersebut: Kembalilah kepadanya dan katakan bahawa yang diambil oleh Allah adalah milik-Nya dan apa yang diberi oleh Allah juga milik-Nya. Segala sesuatu di sisi-Nya akan berakhir, mintalah supaya beliau bersabar dan berserah kepada Allah.
Orang suruhan itu kemudiannya kembali mengadap Rasulullah SAW dan berkata: Dia berjanji akan menunaikan pesanan itu.
Kemudian Nabi SAW berdiri diikuti oleh Saad bin Ubadah dan Muaz bin Jabal RA. Lalu diangkatkan kepada Rasulullah SAW dan diserahkan anak (dari puteri Baginda) yang nafasnya masih tersekat-sekat, seolah-olah dia berada di dalam satu qirbah (bekas air) yang lusuh. Kedua-dua mata Rasulullah SAW mulai berlinangan.
Saad bertanya: Apa ertinya ini wahai Rasulullah?
Rasulullah SAW lalu bersabda: lni adalah rahmat (belas-kasihan) yang diletakkan oleh Allah di hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hamba-Nya yang mempunyai rasa belas-kasihan.” (Riwayat Muslim)

Jangan menyesal dengan apa yang berlaku. Semua ketentuan Allah pasti akan terjadi. Kita tidak ada pilihan melainkan menerima dengan reda dan hanya dengan cara itulah kita akan beroleh ketenangan jiwa, Insya-Allah.

Wallahu'alam.







Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015