Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Friday 27 February 2015

Hari Jumaat - Kenapa Disunatkan Mandi ?

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google



Kredit : alkahfi.com.my

Hari Jumaat macam ini, selalunya orang yang paling bising di rumah saya ialah arwah tok ayah. Pasti akan kedengaran dua soalan wajib ini.

"Dah potong kuku?"

"Dah mandi sunat Jumaat ka belum?"

Biasanya tidak ada jawapan balas sebab jawapannya tok ayah sudah tahu. Kalau tidak disuruh, pastinya tidak akan buat. 

Sama juga halnya pada pagi hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Saya selalu terlupa. 

Kadang-kadang saya sudah siap mandi dan keluar bilik air. Tetapi tetap disuruhnya saya mandi sekali lagi gara-gara saya tidak berniat untuk mandi sunat.

Biasalah budak-budak. Patah balik juga ke bilik air sambil mulut mengomel, "Sunat kalau tinggal tidak berdosa, cuma tidak dapat pahala."

Dari luar bilik air saya dengar suara tok ayah. Kuat.

"Kalau buat lagi baik. Allah suka, nabi (s.a.w) sayang. Buat ja la, bukan kena keluaq duit sekupang pun."

Dalam hati saya, "Alamak tok ayah dengaq la."

Saya membesar bersama pesanan tersebut tanpa tahu hikmah di sebaliknya. Tidak terlintas untuk bertanya.

Dalam video Ustaz Ismail Kamus tentang Kelebihan Hari Jumaat, beliau berkongsi tentang,

"Apabila berada pada hari-hari istimewa dalam Islam iaitu pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha serta hari Jumaat kita disunatkan untuk mandi.

Kenapa mandi pada hari-hari tersebut sunat hukumnya?

Sebabnya pada hari tersebut kita akan berada di tempat yang ramai orang berkumpul (untuk solat). Jadi, mesti jaga kebersihan diri. Sunat berwangi-wangian supaya orang lain berasa selesa dan tidak terganggu dengan bau kita."

Oh, indahnya Islam sehingga hal sebegitu pun dijaga.

Wallahu'alam.



Thursday 26 February 2015

Pulangkan Duit Baki - Bolehkah Guna Cara Ini?

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google


Semalam hangat tentang kisah peniaga atas talian yang tidak mahu memulangkan duit baki kepada pelanggan. 

Dahulu, saya berasa aneh dengan cara pemulangan duit baki yang diamalkan oleh majoriti peniaga. Lebih-lebih lagi peniaga makanan.


Sumber : nazcollection.wordpress.com

Beli air 90 sen, kita bagi RM1. Bakinya 10 sen. Dapatnya? Dua biji gula-gula Hacks warna hitam (selalunyalah). Andai baki 20 sen, kadang-kadang dapat lima biji gula-gula atau tisu (pek kecil).

Saya yang ketika itu baru pandai mengira, terkebil-kebil memandang juruwang di kaunter. Hairan saya, bukankah sepatutnya yang diberi adalah duit syiling. 



Kenapa pula dibagi gula-gula? Saya tidak berminat untuk beli gula-gula. Apatah lagi gula-gula hitam yang 'pedas' itu. Dalam terpaksa, ku relakan jua. 

Ambil juga walau tidak puas hati. Duit kita kan?

Saya lihat orang lain tidak ambil pusing. Perkara biasa dan sudah macam satu budaya pula dalam masyarakat kita. 

Saya juga tidak terkecuali. Hanyut dibawa arus. Tidak ada lagi isu yang saya bangkitkan. Saya juga perasan, sekarang sudah tidak ada lagi hal-hal sebegini. 

Sehinggalah, pada tahun 2011 ketika kembali menyambung seorang pengajian pensyarah saya menimbulkan isu ini.

"Pernah tak dulu-dulu kamu beli barang, kalau ada baki sekupang dua (10-20 sen), tauke kedai tu tak bagi duit baki. Dia bagi coklat (gula-gula) kat kamu?" soalnya kepada saya dan rakan-rakan sekelas.

"Ingat-ingat," jawab kami terangguk-angguk.

"Tak boleh macam tu, kalau pembeli tak reda. Hatta sesen sekali pun kita kena bagi balik. Akad jual beli hanya sah bila kedua-dua pihak penjual dan pembeli saling meredai. Kita tak mau beli coklat, dia buat kita terpaksa beli. Tak sah jual beli tu."

Terjawab juga kemusykilan yang bersarang di benak saya sekian lama. Saya sangka hal ini tidak lagi berlaku di mana-mana. Namun, tahun berikutnya, saya mengalami situasi yang sama. Kali ini bukan di tanah air sendiri tetapi di Mekah.

Bezanya di sana, tidak semua orang reda dengan transaksi secara 'paksa' ini. Apabila duit baki perlu dipulangkan ada nilai sen di dalamnya, secara automatiknya juruwang akan memberikan coklat sebagai ganti.

Ada pelanggan yang bertegas mahukan duitnya dan menolak diberi coklat sebagai ganti. Saya masih ingat, sebelum berlalu pelanggan tersebut berkata kepada juruwang tersebut, "Haram. Haram." Sambil meninggalkancoklat tersebut di kaunter.


Peniaga punya pilihan untuk memudahkan mereka dan juga pelanggan. Jika begitu polisinya, genapkan saja harga barangan jualan. Peniaga tidak perlu menyediakan duit syiling dan pelanggan juga senang hati.



Saturday 7 February 2015

Hak Pengguna - Jangan Berdiam Diri

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Dua tiga bulan yang lepas, emak saya membeli sebuah dapur baru bagi menggantikan dapur lama yang telah rosak. Sebelum ini kami tidak pernah menghadapi sebarang masalah sama ada dengan barang yang dibeli mahu pun dengan pihak penjual.


Segalanya nampak tidak kena sejak dari awal lagi. Selepas membuat tempahan dan membayar deposit, emak saya bersetuju agar dapur tersebut dihantar ke rumah dua hari kemudian. 



Keesokan harinya, emak saya dihubungi oleh Penolong Pengurus cawangan tersebut yang memaklumkan bahawa penghantaran akan dibuat pada hari itu. 



Emak saya menolak dengan baik kerana ada urusan di luar yang perlu diselesaikan. Lagi pun, tidak ada sesiapa di rumah.



Bosan didesak berulang kali maka emak saya mengalah dan perancangan asal untuk keluar terpaksa ditangguhkan. Namun, yang dinanti tidak kunjung tiba. 


Apabila emak menelefon ke cawangan tersebut, emak dimaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai kenderaan untuk membuat penghantaran seperti dijanjikan.



Penantian berakhir setelah beberapa jam menunggu, dapur tersebut dihantar ke rumah. Setelah urusan jual beli selesai dan mereka pulang, barulah emak saya sedar bahawa dapur tersebut tidak disertakan dengan kad jaminan (warranty card) dan resit yang diberikan pula bukanlah resit rasmi yang sepatutnya diterima oleh pelanggan.



Maklum balas yang kami terima ialah kad jaminan boleh dituntut secara dalam talian (online). Untuk kepastian, emak membuat tinjauan di beberapa kedai barangan elektrik untuk memastikan hal tersebut dan jawapan yang diterima adalah sebaliknya. 


Kecurigaan semakin bertambah. Untuk kepastian, emak bertindak menghubungi ibu pejabat syarikat tersebut untuk mengesahkan perkara itu dan jawapan yang diberikan ialah kad jaminan sepatutnya disertakan bersama-sama barangan yang dibeli. 


Oleh itu, emak sekali lagi menghubungi cawangan tersebut. Kali ini meminta agar kad jaminan diberikan. Janji hanya tinggal janji. 


Pihak cawangan tersebut bukan sahaja tidak datang pada hari yang dijanjikan malah, permintaan untuk bercakap sendiri dengan Penolong Pengurus terbabit juga ditolak dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.


Seboleh mungkin emak saya ingin menyelesaikan perkara ini dengan segera dan secara baik. Cuma tindakan dan layanan yang diberikan kepada emak saya selaku pelanggan sungguh mendukacitakan. Penolong Pengurus berkenaan seolah-olah cuba berlepas tangan hingga menyebabkan hal ini berlarutan.


Hanya selepas emak saya membuat aduan secara lisan kepada pihak ibu pejabat, barulah Penolong Pengurus cawangan tersebut beria-ia menghubungi emak saya melalui telefon. 


Semuanya telah terlambat. Apa jua bentuk perbincangan selanjutnya hanya akan dibuat secara terus dengan pihak ibu pejabat. 


Langkah berikutnya, saya menulis surat aduan rasmi untuk dikemukakan kepada pihak ibu pejabat untuk tindakan susulan dan penyelesaian.


Surat aduan dan salinan pembelian yang dikemukan telah diterima dan diteliti oleh pihak Perkhidmatan Pelanggan syarikat itu. Mereka meminta maaf atas apa yang berlaku dan mengakui perkara begitu tidak sepatutnya terjadi.


Berdasarkan percakapan dengan pihak ibu pejabat, emak bersetuju untuk berhubung dengan pihak cawangan di mana pembelian dibuat tetapi dengan syarat pegawai cawangan tersebut bukanlah Penolong Pengurus yang mana emak saya berurusan sebelum ini. 


Alhamdulillah, hal ini berjaya diselesaikan walaupun terpaksa melalui proses yang panjang, kami sekeluarga mengambil tindakan ini atas dua sebab utama iaitu menuntut hak sebagai pengguna dan kami tidak mahu ada orang lain mengalami nasib yang sama pada masa akan datang.


Dalam hal ini kalau diikutkan emak saya boleh membuat laporan polis kerana percakapan berbaur ugutan diucapkan oleh Penolong Pengurus tersebut kepada emak saya serta bukti pembelian yang menimbulkan rasa sangsi.


Itu antara yang alternatif kami sekeluarga fikirkan sekiranya masalah menjadi bertambah rumit dan tidak menemui penyelesaian. Namun, urusan dengan pihak ibu pejabat berjalan dengan lancar dan berhasil.


Saya sertakan surat aduan itu di sini sebagai rujukan dan panduan kepada sesiapa yang mungkin memerlukan kelak (harapnya tidaklah). Usah berdiam diri. Kita sebagai pengguna mempunyai hak. Jadilah pengguna yang bijak.



SURAT ADUAN

[Nama pengirim]

[Alamat pengirim]



Bahagian Khidmat Pelanggan

[Nama Syarikat]

(u.p.:Nama Pengawai Khidmat Pelanggan)                                                                   Tarikh




Tuan,

Aduan Tentang Pembelian Dapur Singer Tanpa Kad Jaminan (Warranty Card) dan Tanpa Resit Pembelian Rasmi Singer


Merujuk kepada perkara di atas, saya telah membeli sebuah dapur gas model ABCD di kedai XYZ cawangan CDEF dan pembelian dibuat secara tunai.


2.    Malangnya penghantaran dapur tersebut tidak disertakan dengan kad jaminan dan saya juga tidak diberikan resit rasmi XYZ.


3.       Malah, setelah penghantaran dapur diterima, saya mengesan ada lubang suspected defect pada dapur berkenaan dan meminta penjelasan Penolong Pengurus iaitu Mr.Y di samping meminta kad jaminan tetapi beliau tidak dapat memberikannya. Sebaliknya beliau memberi alasan bahawa pihak XYZ menggunakan sistem online dan kad jaminan akan dihantar ke rumah pembeli kelak.


4. Apabila saya memaklumkan bahawa saya telah menghubungi Miss  P dari Ibu Pejabat XYZ, beliau (Mr.Y) menawarkan untuk memulangkan semula duit saya (refund)  dan menyuruh saya menunggu sehingga panggilan dibuat. Namun, sejak pembelian dibuat pada 12/11/2014 sehingga sekarang, saya tidak menerima sebarang panggilan dan tidak ada wakil kedai XYZ yang datang memeriksa defect atau mengambil semula dapur itu.


5.  Saya juga terkilan dengan layanan yang diberikan oleh Mr.Y kepada saya ketika berurusan dengannya. Beliau bercakap kasar apabila dihubungi melalui telefon. Katanya kepada saya, “Awak hendak refund, buat apa lagi warranty card. Lain kali tak payah beli dapur kalau miskin.”


6.  Apabila diminta datang pada tarikh yang dijanjikan iaitu pada Jumaat, 14/11/2014 beliau marah dan mengatakan,“Awak hendak cari pasal dengan saya ke?” Status sekarang dapur tersebut masih berada di rumah saya  dan saya terpaksa pergi ke kedai XYZ yang lain untuk memastikan lubang yang dikesan sebagai defect selamat digunakan. Sedangkan menjadi tanggungjawab Mr. Y selaku penjual untuk memastikannya.


7.    Saya dengan ini mengemukakan aduan ini kerana bimbang ditipu dengan membeli dapur reject/defect. Saya juga bimbang dengan keselamatan kami sebagai pengguna apabila menggunakan dapur tersebut. Selain itu, saya juga berasa bahawa hak saya sebagai pengguna telah dinafikan untuk membuat apa-apa tuntutan kerana tidak diberikan kad jaminan dan resit rasmi XYZ dalam urusan jual beli itu. Saya juga berharap layanan ejen jualan XYZ dapat diperbetulkan kerana terlalu kasar dan tidak bertamadun.


8.  Bersama-sama ini saya sertakan dokumen-dokumen sokongan untuk rujukan dan tindakan tuan yang selanjutnya.


Sekian, terima kasih.






Yang benar,

............................................

[NAMA PENGIRIM]

[No. Telefon Pengirim]



s.k.  
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK), Putrajaya




Wednesday 26 November 2014

Sehidup Semati

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Kami ini milikMu dan hanya kepadaMu kami akan dikembalikan.

Perit. Pedih. Perpisahan atas nama kematian.


Itulah takdir yang telah tertulis. Berat rasa ujian.

Belum pun reda kesedihan yang kami lalui, nenda saya menyusuli pemergian isteri tercintanya ke alam sana.

Jarak waktu yang sungguh singkat. Hanya berselang 10 hari. Bagaikan telah berjanji untuk sehidup semati.


Masih saya ingat ketika tok saya meninggal dunia, tok ayah beria-ia memujuk saya. Katanya,

"Hang sayang tok hang kan? Kalau hang ingat kat dia, baca Fatihah hadiah kat dia. Dia dah duk di tempat lebih baik."

Ketika itu, kami sama-sama menangis.

Di mata kami, tok dan tok ayah lebih daripada sekadar nenek dan datuk. Mereka juga mak dan ayah bagi kami. Tiga generasi tinggal di bawah satu bumbung sejak sekian lama. Ayah saya sendiri selaku menantu, turut terhutang budi kepada kedua mertuanya ini.

Justeru, apabila tok ayah pula pergi, kami berasa dunia ini terlalu sunyi. Hiba membungkam dalam dada. Namun, di antara semua, mak yang cukup terpukul dengan kehilangan ini. Berturut-turut tanpa kami sangka secepat ini.

Saya temui tabah tatkala menilik sirah, dalam meneguk ibrah.

Kisah Rasulullah SAW yang kehilangan bapa saudaranya yang sentiasa membela dan mempertahankannya. Namun, perginya bapa saudaranya tanpa melafazkan kalimah syahadah.

Saya dan keluarga, masih boleh mendoakan kedua-duanya. Namun, tidak bagi baginda. Baginda hanya mampu berdoa supaya diringankan azab ke atas bapa saudaranya. Pastinya kesedihan itu berganda.

Saya yakin, sahabat-sahabat saya di sini adalah sahabat yang BAIK.

Oleh yang demikian, saya ingin memohon agar sahabat sekalian dapat menghadiahkan bacaan AL-FATIHAH kepada arwah Haji Hashim dan Hajah Che Teh.

Hanya Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan kalian.

"Ya Allah, aku menadah tangan yang penuh dosa ini memohon keampunan untuk mereka. Ampunkanlah mereka, kasihanilah mereka, maafkanlah mereka. Jadikan kubur mereka satu taman dari taman-taman syurga. Janganlah Kau jadikan kubur mereka satu lubang dari lubang-lubang neraka.

Andai kata sekarang ini mereka sedang diazab, cukuplah ya Allah. 
Cukuplah ya Allah. 
Cukuplah ya Allah. 
Mereka tidak akan mampu menanggungnya.


Ampunkanlah mereka. Maafkanlah mereka. Kasihanilah mereka. Rahmatilah mereka. Wahai Allah yang Maha Baik, Maha Pengasih dan Maha Penyayang."

Amin. Amin. Amin.

Thursday 12 June 2014

Rezeki Tidak Pernah Salah Alamat

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Petang tadi saya singgah beli wafer untuk adik saya. Dalam kepala memang saya dah set nak beli kat kedai mana sebab di situ ada dua kedai.

Sampai saja di kedai, saya terus order. Bila pekerja tu tengah masak wafer, baru saya sedar yang saya bukan nak beli kat kedai tu. Saya sebenarnya nak beli di kedai sebelah.

Saya tak sampai hati nak cancel order tu. Lagi pun pekerja tu dah buatkan untuk saya dan kedai dia pun memang kosong, tidak ada seorang pelanggan pun.

Saya pun jengah kedai sebelah. Banyak pelanggan. Cakap dalam hati oklah, cepat sikit siap.

Bila adik saya makan wafer tu, dia merungut tak sedap. Terlalu berminyak dan kurang masak. Patutlah orang suka beli kat kedai satu lagi sebab kualiti produknya terbaik.

Pengajarannya di sini, kalau dah tertulis rezeki itu milik kita, buatlah macam mana sekalipun akan tetap menjadi milik kita. Tapi kalau rezeki itu telah ditakdirkan bukan milik kita, usahalah macam mana sekalipun tetap takkan jadi milik kita.

Macam saya tadi, saya plan dari awal lagi nak beli kat kedai yang sedap tapi entah macam mana saya pergi beli di kedai yang kurang sedap dan tidak ada seorang pun yang beli di situ.

Sebab apa jadi macam tu? Sebab Allah yang hantar saya ke situ. Faham kan? Rezeki tak pernah salah alamat dan akan sampai kepada orang yang telah Allah tetapkan tidak terlewat dan terlambat.

p/s: cumanya kan bagus kalau kedai tu boleh upgrade kualiti produknya, mesti lebih ramai orang suka untuk membeli Insya-Allah.



====================
 
Pilih mana-mana kelas pilihan yang ditawarkan di akademi bekerja di rumah :
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fan page mula bisnes
3. Kelas beriklan mudah.my
4. Kelas penulisan kreatif
5. Pendaftaran pengurus online
6. Pendaftaran kelas urus akaun wahm soho
7. Tempahan blog bisnes/blog penulisan-siap 3 hari
8. Beriklan bersama kami di http://sohodirectory.blogspot.com/
10. Sertai seminar terkini anjuran kami http://bengkelbranding.blogspot.com/
11. kelas blog fanpage borong telekung solat.

Kenapa kelas ini diadakan? Inilah sumbangan kami terhadap wanita dan suri rumah baik yang bekerja di luar mahupun di rumah saja. Kami sedia membantu anda untuk menyampaikan ilmu di blog atau berniaga online melalui blog dengan teknik yang betul. Blog adalah medium percuma dan akan menjadi luar biasa hebat apabila bergabung dengan teknik content writing yang tepat.

Boleh terus mendaftar mana-mana kelas pillihan melalui saya.

Hubungi saya untuk pendaftaran:
Facebook : Nor Adilah
Email       : noradilah.ahmadshokori@gmail.com
SMS        : 016 - 461 4541



Saturday 7 June 2014

Kuasa Doa, Kuasa Percaya

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Saya bawa duit cukup-cukup untuk beli barang dapur. Kebetulan hari tu banyak buah-buhan segar yang baru sampai. 

Rasa macam nak borong semua. Tapi nak buat macam mana, duit di tangan masa tu tak cukup.

Saya berdoa dalam hati. Saya teringin buah-buah tu tapi sekarang ni duit di tangan tak cukup. Saya percaya Allah akan bagi kat saya. Cuma saya tak tahu dengan cara yang bagaimana.

Beberapa hari lepas tu, ada tetamu singgah di rumah kerana ada sedikit urusan. Tak kenal rapat pun.

Terkedu saya bila nampak tiga plastik penuh buah diberikan kepada saya. Semua jenis buah yang saya tengok dan teringin nak beli tempoh hari ada dalam plastik tu.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar.

Dalam berdoa nyatakan dengan jelas dan terperinci apa yang kita nak. Jangan fikir bagaimana Allah nak makbulkan kerana kadang-kadang Allah berikan dengan cara yang kita langsung tak mampu untuk difikirkan.

Wallahu'alam.


-------------------------- 

Akademi Bekerja Di Rumah menawarkan kelas berikut untuk mereka yang mahu mula bisnes secara online :

1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog fanpage, mula bisnes
3. Kelas penulisan kreatif
4. Kelas penulisan ebook pertama
5. Kelas borong telekung solat
6. Kelas akaun online dan offline
7. Pendaftaran Pengurus Online.
8. Projek duit raya
9. Kelas beriklan di mudah.my
10. Kelas bisnes makanan sunnah

Servis yang ditawarkan:
1) Beriklan di soho directory
2) Tempahan blog peribadi /bisnes
Bagi yang sedang mencari peluang untuk mula mencari pendapatan secara sambilan atau sepenuh masa. Boleh pilih mana-mana kelas untuk sertai akademi. Kami beri bimbingan dan tunjuk ajar cara untuk mula.
Bagi yang belum ada produk kami sudah sediakan produk. Hanya perlu pilih yang mana mahu.
Hubungi saya untuk pendaftaran:
Facebook : Nor Adilah
Email       : noradilah.ahmadshokori@gmail.com
SMS        : 016 - 4614541



Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015