Showing posts with label Kisah Orang-Orang Soleh. Show all posts
Showing posts with label Kisah Orang-Orang Soleh. Show all posts

Thursday 2 April 2015

Kisah Zaid bin Harithah

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Selepas berkahwin, Khadijah binti Khuwailid telah menghadiahkan seorang budak kepada Rasulullah s.a.w. sebagai pembantu kepada baginda. 

Budak yang dimaksudkan ialah Zaid bin Harithah. Seorang budak berkulit hitam tetapi mempunyai hati yang sangat putih di samping pandai dan ikhlas bekerja.

Zaid berasal dari Yaman dan bapanya seorang yang kaya. Ketika beliau dan bapanya dalam perjalanan membawa barang dagangan, mereka telah dirompak di tengah padang pasir. Bapanya telah dijadikan hamba dan dijual di tempat lain. Sementara Zaid pula dijual di Makkah.

Setelah beberapa lama, Harithah iaitu bapa Zaid berjaya menebus dirinya. Lalu, dia mula mencari anaknya. Puas mencari di merata tempat, bapanya telah diberitahu bahawa mereka pernah melihat seorang budak seperti Zaid di Makkah.

Harithah kemudiannya ke Makkah untuk mencari anaknya. Sesampainya di sana, dia segera menemui Khadijah binti Khuwailid kerana dia mendapat tahu bahawa Khadijah telah membeli anaknya. Apabila ditanya kepada Khadijah tentang anaknya, Khadijah mengakui akan hal tersebut. Namun, Zaid telah pun dihadiahkan kepada suaminya.

Lantas Harithah pergi menemui Rasulullah s.a.w,.

Kata Harithah, "Aku datang dari jauh bersama rombongan dengan membawa harta yang cukup banyak. Aku datang sebab nak beli balik anak aku yang bernama Zaid. Aku tahu dia ada dengan kamu kerana Khadijah hadiahkan kepada kamu. Aku nak beli balik hamba itu. Beritahu saja berapa harganya. Aku orang kaya. Aku sayang anak aku. Aku nak beli."

Nabi s.a.w terus menjawab, "Betul, Zaid sekarang berada denganku. Tapi aku sayang dekat dia."

Kata Harithah, "Aku bapa dia. Aku lebih sayang kepada dia. Ini bapa saudaranya, juga sayang kepadanya."

"Baik. Aku nak tawarkan kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada yang kamu tawarkan kepada aku."

"Apa tawaran kamu?" tanya Harithah.

"Tawaran aku, kamu tak payah beli. Harta kamu, kamu ambil balik. Usah bayar walau sedikit pun. Sekarang ni, Zaid sedang berada di pasar. Kamu kenal dia kan? Kamu pergi sendiri tanya kepada dia di pasar dan bawa dia kepada aku. Lepas itu, kamu tanya dia. Kamu bapa kandungnya, itu bapa saudaranya. Aku ni bapa angkatnya. Siapa yang dia nak pilih?"

Apabila Zaid berada di situ. Maka Zaid pun ditanya, "Kamu kenal ini siapa?"

Jawab Zaid, "Aku kenal. Ini bapa aku. Ini bapa saudara aku (dan yang lain-lain)"

Zaid kenal semua yang datang.

Nabi kata kepada Zaid, "Mereka datang hendak membebaskan kamu. Nak mengambil kamu untuk balik ke Yaman dan tinggal bersama-sama mereka. Mereka tawarkan harta yang banyak kepada aku seolah-olah jika aku benarkan kamu pulang, aku akan jadi orang kaya yang penuh dengan harta benda. Tapi Zahid, kamu buatlah pilihan. Kamu sudah cukup dewasa untuk memilih."

"Kalau kamu pilih mereka, silakan. Pulanglah kamu ke Yaman. Jika kamu pilih aku, terserahlah kepada kamu."

Zaid tidak berfikir panjang. Beliau terus bersuara, "Kalau aku pilih mereka, aku hanya dapat dua sahaja. Aku dapat bapa, aku dapat bapa saudara. Tapi kalau aku pilih kamu, aku dapat tiga. Kamulah bapaku. Kamulah bapa saudaraku dan lebih daripada itu, kamulah kekasih aku. Rasulullah, aku pilih kamu."

Menangis Harithah mendengar pengakuan anaknya itu.





Tuesday 3 March 2015

Kisah Hasan Al-Basri - Jangan Sombong

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Kisah ini tentang Hasan Al-Basri. Dikongsikan oleh seorang rakan di group Whatsapp. Saya coretkan di sini untuk dihadam oleh kita semua.

Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hasan Al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan. Di sisi mereka terdapat sebotol arak.

Kemudian Hasan berbisik di dalam hati, "Alangkah buruk akhlak orang itu dan baiknya kalau dia seperti aku!"

Tiba-tiba Hasan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas kerana karam.

Enam daripada tujuh penumpang itu berhasil diselamatkan.

Kemudian dia berpaling ke arah Hasan Al-Basri dan berkata, "Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta menyelamatkan seorang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang."


Bagaimanapun Hasan Al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu berkata kepadanya, "Tuan, sebenarnya yang duduk di samping saya ini ialah ibu saya sendiri, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan anggur atau arak."

Hasan Al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan."

Lelaki itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan."


Semenjak itu, Hasan Al-Basri selalu merendahkan hati bahkan menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain.

Jika Allah membuka pintu tahajud untuk kita, janganlah lantas kita memandang rendah saudara seiman yang sedang tidur nyenyak.

Jika Allah membuka pintu puasa sunat, janganlah kita memandang saudara seiman yang tidak ikut berpuasa sunat.

Boleh jadi orang yang gemar tidur dan jarang melakukan puasa sunat itu lebih dekat dengan Allah, daripada diri kita. Ilmu Allah amatlah luas.

Jangan pernah ujub dan sombong dengan amalanmu.


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015